Saturday, May 28, 2011
Kemuliaan Bahasa: Besarnya Makna Isyarat dari Atas
KEMULIAAN BAHASA: BESARNYA MAKNA ISYARAT DARI ATAS
Awang Sariyan
Secara berturut-turut penyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin tentang keunggulan bahasa Melayu mendapat liputan media di tanah air dan semua itu berlaku sesudah beliau pulang dari lawatan ke Republik Rakyat China selama beberapa hari pada minggu ketiga bulan April 2011. Beliau seakan-akan muncul sebagai juara perjuangan bahasa dalam kalangan para pemimpin negara, dalam keadaan kebanyakan yang lain menyepikan diri untuk menyatakan sikap tentang kedudukan dan peranan bahasa Melayu. Kekecualiannya Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim yang memang tekal pendiriannya dalam soal bahasa Melayu.
Laporan tentang kebanggaan beliau apabila menyaksikan pengajian Melayu berkembang luas di peringkat antarabangsa (Utusan Malaysia 21 April 2011), berdasarkan ucapannya di Universiti Pengajian Asing Beijing pada 20 April 2011 seakan-akan dapat membersihkan nama beliau yang sebelum itu agak tercalar apabila diberitakan akan melanjutkan pemansuhan PPSMI ke tahun 2015. Laporan akhbar pada 26 April 2011 pula menampilkan kritikannya kepada pelbagai pihak di tanah air yang berasa malu dan berasa rendah diri untuk mengutamakan bahasa Melayu, hatta dalam majlis kerajaan, selain dalam sektor swasta. Kritikan itu terkandung dalam jawaban kepada soalan persidangan Dewan Negara yang dikemukakan oleh Senator Datuk Firdaus Abdullah.
Yang terbaharu ialah pernyataan medianya bahawa kerajaan bersedia menimbangkan penghantaran guru bahasa Melayu ke negara-negara tempat terdapatnya rakyat Malaysia (The Star, 10 Mei 2011 dan Utusan Malaysia, 11 Mei 2011). Penyataan itu dibuatnya di Copenhagen, Denmark sebagai menyahut permintaan Presiden Persatuan Malaysia Denmark, Chua Poo Choo yang secara suka rela telah menjadi tenaga pengajar bahasa Melayu di kota itu. Dalam berita Utusan Malaysia itu juga beliau menyebut kesediaan kerajaan untuk menggunakan bahasa Melayu dalam majlis peringkat antarabangsa, dengan menyediakan prasarana seperti jurubahasa.
Saya merincikan siri penyataan Timbalan Perdana Menteri yang begitu positif tentang bahasa Melayu itu, semata-mata untuk menunjukkan bahawa betapa besarnya makna dan nilai isyarat yang ditunjukkan oleh pemimpin negara dalam pelaksanaan sesuatu dasar negara. Dalam hal ini, isyarat yang disampaikan melalui siri pernyataan itu melonjakkan nilai bahasa Melayu di mata masyarakat, sekurang-kurangnya dalam tempoh sebelum ada pernyataan lain yang mungkin berbunyi sebaliknya. Kita mengharapkan beliau dan pemimpin yang lain akan terus memperlihatkan sikap dan pendirian yang jelas dan tegas tentang kedudukan dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa negara dan sebagai bahasa tunjang tamadun.
Dengan pernyataan yang dapat dianggap sebagai arahan itu, maka semua pihak pelaksana di pelbagai peringkat, seperti kementerian, jabatan dan agensi kerajaan sewajarnya membuat susulan yang segera dalam menerjemahkan isyarat itu. Sebagai contoh, pada tahun 1997, Jemaah Menteri sendiri telah meluluskan penubuhan Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) melalui Dewan Bahasa dan Pustaka. Dalam tempoh tahun 2000-2004 MABM telah menggerakkan pelbagai kegiatan penyelidikan, seminar, promosi, penerbitan dan tidak ketinggalan penghantaran tenaga pengajar bahasa Melayu ke luar negara, seperti ke Sri Lanka, Kampuchea, Thailand, China dan juga Eropah.
Namun sesudah itu program pengantarbangsaan bahasa Melayu telah dihentikan atas sebab yang kurang jelas dan MABM pun tidak kelihatan dan kedengaran lagi fungsinya. Jemaah Menteri berhak bertanya kepada pihak yang menghentikan program pengantarabangsaan bahasa Melayu yang telah pun mendapat kelulusan Jemaah Menteri itu dan pihak berkenaan seharusnya bertanggungjawab untuk memberikan penjelasan kepada Jemaah Menteri.
Demikian juga, suara yang mengkritik pengutamaan bahasa asing dalam majlis rasmi kerajaan telah sekian lama bergema. Jika hal ini dapat ditangani dengan segera dan tekal oleh semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan, maka usaha untuk meningkatkan penggunaan bahasa Melayu dalam majlis rasmi di peringkat antarabangsa seperti yang disebut oleh Timbalan Perdana Menteri itu akan dapat digerakkan sebagai usaha susulan. Idea positif itu perlu disertai semangatnya oleh semua penjawat awam, bermula daripada Ketua Setiausaha Negara kepada Ketua Setiausaha Kementerian, Ketua-ketua Pengarah Jabatan dan penjawat awam di semua peringkat, dengan mula merancang pelaksanaan idea itu. Kita tidak mahu sesudah pembesar negara berkata-kata, tiada susulan yang jelas pada peringkat pelaksanaannya.
Berkaitan dengan pengajian Melayu yang kian meluas di peringkat antarabangsa pula, perlu ada tindakan yang jelas oleh kerajaan agar bidang itu tidak hanya subur dan mekar di peringkat antarabangsa, sebagai sesuatu yang dapat dijadikan kebanggaan, sedang di dalam negara usaha untuk meminggirkan atau meremehkan bidang pengajian Melayu terus-terusan berlaku. Bersama-sama dengan bidang-bidang kemanusiaan yang lain, pengajian Melayu dianggap oleh sesetengah pemimpin institusi ilmiah negara sebagai bidang yang tidak mempunyai nilai ekonomi dan malah disifatkan oleh kalangan tertentu dalam kepemimpinan institusi pengajian tinggi sebagai duri dalam daging, kerana kononnya tidak membantu meningkatkan penarafan universiti menurut piawai badan asing di luar negara.
Masih terlalu banyak duri dan ranjau yang perlu dilalui untuk melihat bahasa Melayu mendapat kedudukan dan penghormatan yang selayaknya di negaranya sendiri. Masih terlalu banyak isu yang perlu dirungkaikan dalam pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan di pelbagai sektor, baik pentadbiran, kehakiman, pendidikan, mahupun swasta. Kesemuanya memerlukan azam dan iltizam yang tinggi pada semua pihak. Yang paling utama ialah pemimpin negara sendiri kerana sudah menjadi tabii kebanyakan orang, apabila pemimpin di peringkat tinggi bersuara, maka suara itu lazimnya dijadikan isyarat dan dorongan untuk mereka dan menggerakkan dasar-dasar negara dalam bentuk program yang nyata. Maka itu, dalam bidang apa pun, baik ekonomi, pendidikan, kebudayaan, politik dan tidak terkecuali bahasa, azam dan iltizam pemimpin peringkat tinggi amat penting dan bermakna.
Pelaksana di peringkat pentadbiran, baik di kementerian, jabatan mahupun agensi kerajaan pasti menghadapi dilemma dan konflik dalaman yang serius apabila sikap dan pendirian serta keputusan pihak tertinggi tidak selaras dengan dasar negara dan undang-undang negara. Dalam kes bahasa Melayu, pelaksanaan PPSMI, sebagai contoh, jelas bertententangan dengan Akta Pendidikan dan sejumlah pentadbir di kementerian berkenaan faham akan hal itu. Yang tegas menyuarakan rasa tidak setuju, tetapi lebih banyak yang bersungut di belakang atau memilih iman tahap ketiga, iaitu tidak meredhai sesuatu yang salah sekadar di dalam hati sahaja. Yang memang tabiatnya menangguk di air keruh pula menjadi gunting dalam lipatan dan api dalam sekam untuk menjayakan dasar yang jelas bertentangan dengan dasar dan undang-undang negara, sehingga terjadi “lebih sudu daripada kuah”.
Para pemimpin perlu mempunyai kebulatan tekad untuk memimpin masyarakat berfikir dan bertindak menurut jalur dan lunas dasar kenegaraan serta undang-undang, terutama Perlembagaan dan akta-akta yang telah diluluskan oleh Parlimen sebagai badan penggubal undang-undang yang tertinggi. Mudah-mudahan Timbalan Perdana Menteri dapat memulakan tradisi itu.
~Kembara Bahasa~
29 Mei 2011
No comments:
Post a Comment