Wednesday, May 25, 2011

Puisi: Penyair


Penyair

Berdendanglah
bersyairlah
berpantunlah
berselokalah
bernazamlah
bersanjaklah

Wahai, taulan penyair!

Lagu merdumu
Syair sendumu
Pantun ibaratmu
Seloka kiasmu
Nazam tazkirahmu
Sanjak suara batinmu
semoga membelai jiwa nan rawan
menuntun akal nan walah
memujuk hati nan walang
mengurung nafsu amarah

Biarkan cemuhan mahupun sendaan
dibawa angin berlalu ke rimba raya
kerana dikau ada beban yang mesti kaugalas
ada gagasan yang mesti kauperjelas
ada peringatan meskipun majaz
sebagai penunjuk akal budi kekal waras

Berdendanglah
bersyairlah
berpantunlah
berselokalah
bernazamlah
bersanjaklah

Wahai, taulan penyair!

Selama paksimu berlunaskan hidayah
selama hatimu tunduk menyerah
selama niatmu kerana Ilah
selama jalanmu menurut risalah

~Kembara Bahasa~
Dinihari 26 Mei 2011

4 comments:

  1. entahlah, Pak.
    mahu berundur rasanya hati; bangsa tiada mahu sedar barang seinci

    ReplyDelete
  2. Getirnya ujian buat sang pejuang terasakan manisnya kerana ditunaikan.

    ReplyDelete
  3. isu penyair telah disuarakan di sini:

    http://puisikabur.blogspot.com/2010/09/mimpi-sang-penyair.html

    ia berbuat bukan demi dirinya sahaja... tetapi apa yang didapatnya?

    ReplyDelete
  4. Ini rasa saya sebagai seorang penyair.

    Aku Penyair
    Aku penyair,
    Penggubal kerajaan aksara aku,
    Menurap bait-bait puitis,
    Di atas jalan putih rentang hirisan kayu.
    Meratakan lenggok bahasa indah milik Bangsa Melayu.

    Aku penyair,
    Perencana setiap bahasa kiasan terpilih,
    Agar terjaga hati-hati yang bisa merasa,
    Dalam susunan aksara aku lenturkan sejuta perasaan,
    Dengan bahasa yang merungkai kisah teladan.

    Aku penyair,
    Sendi-sendi jari pantas mengukir kata pengajaran,
    Biar lelah mengukur jarak antara senda atau gurauan,
    Biar tertibnya bergerak lincah merona setiap kesepian,
    Akulah pengembara dalam kalimah ciptaan aku.

    Aku penyair,
    Seusai kata nanti,
    Akan aku salutkan dengan jiwa yang berfikir,
    Usahkan ditenggelam dengan ragu anasir,
    Biar selirat usia aku gadaikan sebagai musafir,
    Bernafas dalam sungai bahasa yang mengalir.

    Aku penyair,
    Sedarku pada peringatanku sendiri,
    Berdayung dalam sampan kehidupan,
    Kembara aku baru saja melabuhkan layar,
    Selagi sauh masih belum dikaramkan,
    Aku tetap berenang di selat bahasa yang dalam.

    Mushesa

    http://mushrinesa.blogspot.com/

    ReplyDelete