Thursday, June 30, 2011

ISU EPISTEMOLOGI DALAM LINGUISTIK (BAHAGIAN 4)


Isu Epistemologi dalam Linguistik (Bahagian 4)

oleh Awang Sariyan
[Petikan daripada salah sebuah kertas kerja penulis]

DISIPLIN LINGUISTIK BERSANDARKAN EPISTEMOLOGI ISLAM

Sudah sampai waktunya, pada hemat penulis, bahawa disiplin-disiplin ilmu kita, termasuk linguistik, ditanggap dan diberi oreintasi yang lebih cocok dengan keperibadian kita. Bahasa Melayu di alam Melayu berhak dihuraikan dengan berdasarkan pandangan sarwa yang telah ratusan tahun membentuk falsafah dan pemikiran, bahkan budaya umat di rantau ini, iaitu pandangan sarwa yang dicetuskan oleh agama Islam.

Islam telah memberikan rupa dan jiwa baharu tamadun Melayu dan telah membentuk bahasa Melayu baharu yang kita warisi hingga kini (al-Attas, 1972), selewat-lewatnya sejak abad ke-13, daripada bahasa yang sebelumnya begitu asing bentuk dan citranya dalam zaman kuno.

Dengan gagasan ini, bukanlah maksud penulis bahawa segala yang datang dari Barat perlu dihindari atau diperangi. Teori, kaedah dan dapatan yang bermanfaat dan tidak pula bertentangan dengan pandangan sarwa kita tentu sahaja perlu diterima dan dikembangkan, sebagaimana para saintis menerima temuan saintis Barat dalam hal ehwal yang berkaitan dengan fakta alam, seperti hakikat cakerawala, lapisan bumi dan perihal segala hidupan di dunia.

Maka demikianlah juga kita harus menerima wujudnya subdisiplin linguistik seperti dialektologi, linguisitik sejarah, tatabahasa, semantik, sosiolinguistik, psikolinguistik dan yang lain kerana kesemuanya itu dapat membantu kita meneroka kekayaan bahasa sebagai unsur penting pada manusia sebagai makhluk istimewa ciptaan Tuhan. Demikian juga kita tidak perlu menolak teori lingusitik Barat yang telah memberi kita jalur pemikiran dan kaedah penelitian yang sistematik, baik dalam subbidang linguistik mana pun.

Yang ditekankan dalam pembicaraan ini ialah keperluan kita mengolah huraian bahasa dalam pelbagai subdisiplin linguistik itu menurut kerangka epistemologi Islam. Sebagai contoh, kita tidak perlu terperangkap oleh epistemologi Barat yang menyebabkan timbulnya kontroversi yang melampau dalam mempertentangkan teori-teori yang ada sedangkan ada aspek-aspek tertentu dalam setiap teori itu yang dapat dipadukan untuk manfaat kehidupan manusia.

Tuhan justeru menciptakan pelbagai bangsa manusia dengan pelbagai bahasa untuk tujuan saling mengenal (al-Hujurat, 13). Demikian juga, tidak seharusnya kita mengikat sikap kita demikian ketatnya dalam menentukan sumber ilmu yang dalam tradisi Barat tergambar dalam bentuk dikotomi yang cukup terasing dan terpisah tanpa kompromi, iaitu sama ada rasionalisme atau empirisme.

Maka itu, gagasan yang amat relevan dalam rangka memenuhi judul pembicaraan ini ialah keperluan kita mengetengahkan linguistik menurut perspektif Islam setelah sekian lama kita bermakmum kepada linguistik Barat, setidak-tidaknya sebagai suatu alternatif.

Gagasan itu berkaitan erat dengan gagasan pengislaman ilmu yang melibatkan upaya meletakkan segala ilmu, termasuk linguistik dalam orientasi, objektif, dan fokus yang berasaskan tasawwur atau pandangan sarwa Islam.

Istilah linguistik Islam dalam konteks ini tidak harus dilihat sebagai suatu usaha mewujudkan konflik baru dalam linguistik, iaitu antara lingusitik Barat dengan linguistik Islam. Penggunaan istilah linguistik Islam tidak harus dicarikan antonimnya seperti linguistik bukan Islam, linguistik sekular, linguistik Kristian, apatah lagi linguistik kafir.

Penggunaan istilah linguistik Islam dalam pembicaraan ini tidak lain daripada usaha membina suatu kerangka falsafah dan pemikiran yang menayangkan ilmu bahasa atau linguistik yang mendukung epistemologi Islam, sesuai dengan gagasan pengislaman ilmu itu.

Sekali lagi, tidak harus timbul salah faham bahawa dengan mengutarakan gagasan linguistik yang berteraskan epistemologi Islam kita perlu menyirnakan konsep-konsep sejagat tentang bahasa yang selama ini dihuraikan dalam tradisi linguistik Barat, baik tentang unit-unit bahasa seperti fonem, morfem, kata, frasa, klausa, ayat dan wacana mahupun tentang pelbagai konsep seperti dialek, laras, gaya dan sebagainya.

Keperluan terhadap gagasan linguistik Islam lebih-lebih lagi nyata dengan meluas dan mendalamnya pengaruh sekularisme yang disemaikan oleh kebudayaan Barat melalui semua disiplin ilmu, hatta ilmu-ilmu yang berkaitan dengan agama. Linguistik Barat, sebagaimana disiplin-disiplin ilmu yang lain telah terperangkap dalam sekularisme sebagai kesan pembebasan ilmu daripada kewibawaan gereja sejak Zaman Kebangkitan (Renaissance), baik dengan berlandaskan rasionalisme mahupun empirisisme.

Sehingga demikian, linguistik dikaji sebagai disiplin yang bebas daripada pertaliannya dengan aspek keagamaan, dan penelitian terhadap bahasa tidak dihubungkan dengan matalamat mempelajari “tanda-tanda” kebesaran Pencipta alam sarwajagat sebagaimana yang diisyaratkan dalam al-Qur’an (Surah Fussilat, ayat 53). Demikian juga, konsep-konsep dasar yang berkaitan dengan hakikat bahasa tidak diasaskan pada rujukan agama atau sumber naqli, melainkan diasaskan pada spekulasi atau dapatan daripada kajian deskriptif.

Mohammad Akram A.M. Sa’Adeddin (1995:371) memberikan takrif yang tegas tentang linguistik Islam, iaitu “Kajian saintifik bahasa atau bahasa-bahasa Islam dan bakal bahasa atau bakal bahasa-bahasa Islam (‘the scientific study of Islamic and would be Islamic language[s]”). Ia menegaskan bahawa takrif ini sama sekali berlainan daripada takrif linguistik sebagai kajian saintifik tentang bahasa yang dikemukakan oleh John Lyons (1964) dalam syarahan perdana penerimaan gelar profesor linguistik umum yang berbunyi “kajian saintifik bahasa bermakna penyelidikan yang dibuat berasaskan pemerhatian secara empiris dan dengan merujuk kepada teori struktur bahasa yang umum” (Lyons, 1995:248).

Katanya lagi, berbeda daripada linguistik teoritis - deskriptif Barat, linguistik Islam mencakup aspek deskriptif dan preskriptif sekaligus. Linguistik Islam memberikan perhatian kepada aspek deskriptif kajian bahasa untuk memperoleh maklumat tentang ciri-ciri bahasa Islam, sementara aspek preskriptif diberi perhatian untuk menentukan strategi dan alat bagi penghasilan wacana Islam yang padu dan koheren.

Dengan kata-kata lain, sementara linguistik teoritis Barat menumpukan perhatian pada aras-aras konvensional dalam analisis linguistik, iaitu fonologi, morfologi, sintaksis, dan semantik, linguistik Islam berfokus pada akulturasi Islam, dengan memindahkan pusat perhatian daripada representasi permukaan bahasa kepada asas ilmu dalaman masyarakat Islam yang membayangkan pengalaman budaya mereka hingga ke peringkat pengungkapannya (Sa’Adeddin, 1995: 372).

Sementara dapat bersetuju dengan takrif Sa’Adeddin daripada segi semangatnya, pengkaji berpendapat bahawa linguistik Islam tetap dapat diterapkan untuk penelitian bahasa-bahasa manapun, tidak terhad pada “bahasa-bahasa Islam” sahaja. Hal ini demikian, kerana yang lebih utama dalam linguistik Islam ialah asas falsafahnya, iaitu bagaimana kita melihat dan menanggap bahasa itu. Korpus linguistik Islam haruslah bersifat sejagat, sesuai dengan hakikat kepelbagaian bahasa sebagai suatu sunatullah, sebagaimana yang diisyaratkan dalam al-Qur’an (Surah al-Hujurat, ayat 13).

Dengan demikian pengkaji mengemukakan suatu takrif lain tentang linguistik Islam yang berbunyi “suatu kajian saintifik tentang bahasa berdasarkan tasawwur atau pandangan hidup Islam”.

[bersambung....]

~Kembara Bahasa~
1 Julai 2011

No comments:

Post a Comment