Saturday, July 2, 2011

ISU EPISTEMOLOGI DALAM LINGUISTIK (BAHAGIAN 5)


Isu Epistemologi dalam Linguistik (Bahagian 5)

oleh Awang Sariyan
[Petikan daripada salah sebuah kertas kerja penulis]

Hakikat Bahasa menurut Islam

Hal pokok yang secara langsung berkaitan dengan linguistik Islam ialah hakikat bahasa itu sendiri. Pada hemat pengkaji, persoalan hakikat bahasa merupakan isu dasar dalam perbincangan tentang falsafah bahasa dan pendidikan bahasa. Tanpa pemahaman yang jelas tentang hakikat bahasa, pendidikan bahasa tidak mungkin dapat berlangsung di atas landasan yang tepat. Strategi pengajaran dan pemelajaran bahasa yang berkesan tidak akan berhasil mencapai matalamat pendidikan bahasa.

Persoalan hakikat bahasa, sebagaimana yang telah dipaparkan dalam bahagian yang lebih awal, telah dibincangkan sejak bermulanya tradisi ilmiah. Bahkan persoalan tersebut menjadi salah satu inti sari kajian falsafah sejak awal pertumbuhannya beberapa abad sebelum Masihi dalam kalangan ahli-ahli falsafah Yunani. Namun demikian falsafah dan linguistik Barat hingga kini belum dapat menampilkan penjelasan yang memuaskan tentang hakikat bahasa dan terus-menerus dengan pencarian yang tidak berhujung.

Oleh sebab itu penting sekali diusahakan perumusan hakikat bahasa menurut perspektif Islam dengan berasaskan sumber-sumber ilmu yang diiktiraf sah dalam tradisi ilmiah Islam. Dalan konteks ini, sumber ilmu yang paling autentik ialah al-Quran yang merupakan kalam Allah dan wahyu yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w untuk dijadikan pedoman oleh sekalian manusia. Firman Allah:

“Alif Lam Mim. Kitab al-Quran ini tidak ada sebarang syak padanya, maka itu menjadi petunjuk bagi orang yang bertakwa.”
(Surah al-Baqarah, ayat 2)

Linguistik Barat moden, baik yang berasaskan empirisisme mahupun yang berasaskan rasionalisme melihat bahasa sebagaimana adanya daripada sudut zahir bahasa, dan tidak menghubungkannya dengan gagasan sunatullah atau ketentuan Allah. Dengan perkataan lain, bahasa tidak dilihat sebagai salah satu tanda kebesaran dan kekuasaan Allah yang ada pada diri manusia, sebagaimana yang dinukilkan dalam al-Qur’an (Surah Fussilat, ayat 53).

Lebih-lebih dalam linguistik empiris, bahasa malahan dilihat daripada sudutnya yang zahir semata-mata, iaitu yang disebut sebagai bentuk yang tampak, yang dapat dikaji dan dianalisis binaannya daripada unsur yang terkecil kepada unsur yang terbesar (daripada fonem kepada morfem, kata, frasa, klausa dan ayat). Bentuk zahir bahasa itu pula dihadkan pada pertuturan sehingga bahasa pada tanggapan mereka tidaklah lain daripada pertuturan. Persoalan makna dan persoalan bagaimana bahasa beroperasi dalam akal dianggap persoalan bukan linguistik. Otak atau akal dianggap sebagai kotak gelap yang tidak dapat dikaji.

Oleh sebab itu, pada umumnya takrif bahasa yang dikemukakan oleh ahli-ahli linguistik Barat, sebagaimana yang dirumuskan dalam pelbagai kamus linguistik tertumpu pada bahasa sebagai “lambang bunyi-bunyi yang sewenang-wenang”, seolah-olah bahasa itu hanya bunyi-bunyi atau pertuturan. Chomsky sendiri yang melihat bahasa sebagai suatu proses mental apabila menakrifkan bahasa tetap melihat bahasa pada tahap permukaannya, iaitu sebagai sesuatu yang dapat diperhatikan (observable). Katanya, bahasa ialah suatu himpunan ayat (terhad dan tidak terhad) yang terhad panjangnya dan tersusun dengan menggunakan sehimpunan unsur yang terhad (Chomsky, 1957:13).

Konsep "sewenang-wenang" pula menimbulkan persoalan besar seolah-olah semua unsur bahasa terhasil secara bebas atau arbitrari, sehingga kalam Allah pun mungkin sahaja dapat dianggap mereka bersifat sewenang-senang atau arbitrari. Untuk kata-kata yang dihasilkan oleh manusia sendiri pun sukar diterima konsep sewenang-wenang atau arbitrari itu kerana pada hakikatnya setiap kata yang dizahirkan oleh manusia diatur oleh akal.

Linguistik Barat yang berasaskan rasionalisme pula walaupun ternyata lebih luas perspektifnya tentang bahasa masih belum menyentuh hubungan bahasa dengan “konsep diri”. Chomsky sebagai pendukung aliran mentalisme, misalnya, telah mengemukakan gagasan yang menarik dan rasional tentang bahasa sebagai suatu aspek mental. Ia telah sampai di pertengahan jalan tentang hakikat bahasa apabila ia mengemukakan teori kenuranian bahasa (innateness. Namun Chomsky tidak pernah memperkatakan innate bahasa manusia sebagai suatu kurniaan Tuhan.

Ahli-ahli linguistik mentalis sering mengungkapkan frasa “secara semula jadi” bagi sifat kenuranian bahasa. Sikap demikian tidak lain daripada pandangan sekularis yang tidak melihat objek kajian ilmiah sebagai sesuatu yang berkaitan dengan agama, Tuhan, dan persoalan keruhanian. Asas sekularisme dalam tanggapan ilmiah Barat ini memang telah terasas sejak awal pertumbuhan falsafah mereka.

Ahli-ahli falsafah Milesian, terutama Thales sebagai pelopor falsafah Barat beberapa abad sebelum Masihi bertitik tolak daripada andaian bahawa segala peristiwa alamiah perlu dibincangkan dalam hubungannya dengan kuasa-kuasa alamiah, bukan dengan tindakan Tuhan atau campur tangan kuasa yang tidak alamiah. Anggapan dasar mereka ialah bahawa alam bersifat alamiah (the nature is natural).

Linguistik Islam mengkaji hakikat bahasa sebagai suatu fakulti ternurani (innate faculty) yang menjadi ciri umum dan sejagat bagi semua manusia, tidak kira apa masyarakatnya, bangsanya, maju atau mundur, dan di bahagian dunia mana manusia itu tinggal. Al-Qur’an sebagai sumber induk ilmu mengungkapkan firman Allah tentang kurniaan bahasa kepada manusia (dengan terjemahannya) sebagai yang berikut:

“Tuhan yang Maha pemurah yang mengajarkan Qur’an. Dia menciptakan manusia, mengajarnya pandai berbahasa.”
(Surah al-Rahman, ayat 1-4)

Jelas daripada ayat-ayat itu bahawa Allah menciptakan manusia dengan mengurniainya fakulti bahasa. Dengan perkataan lain, fakulti bahasa yang disebut juga potensi berbahasa ini telah sedia ada pada setiap manusia apabila ia lahir ke dunia. Menurut Chomsky, alat atau organ bahasa ini telah tumbuh pada peringkat embrio (Lee, 1995). Fakulti atau potensi ini, atau yang dinamai Chomsky sebagai language acquisition device (LAD) inilah yang memungkinkan manusia memperoleh bahasa daripada pengalaman dan pendidikan, bermula dalam agen sosialisasi yang awal, iaitu keluarga dan kemudian melalui agen-agen sosialisasi yang lain, iaitu rakan sebaya, institusi sekolah, dan masyarakat umum. LAD ini menurut Chomsky dilengkapi Tatabahasa Sejagat yang memberikan cara membunyikan kata, menjalin kata-kata menjadi ayat, dan memperoleh makna daripada kata-kata, yang dalam istilah linguistik dikenal sebagai fonetik, sintaksis, dan semantik.

Fakulti ternurani atau potensi bahasa ini bukanlah mana-mana bahasa yang tertentu, melainkan suatu keupayaan untuk mempelajari bahasa. Tidak pula dimaksudkan bahawa dengan manusia telah sedia memiliki potensi berbahasa itu bererti bahawa setiap bayi yang lahir telah dilengkapi kosa kata, tatabahasa, sistem sebutan, sistem ejaan, dan laras bahasa. Sistem bahasa yang tersebut itu diperoleh kemudian dalam pengalaman hidup bermasyarakat dalam bahasa tertentu. Oleh itu, tidak kira dalam bahasa apa pun seseorang dilahirkan, manusia yang normal akan mampu menguasai bahasa itu. Anak Inggeris akan mampu menguasai bahasa Inggeris. Anak Arab akan mampu menguasai bahasa Arab. Demikianlah juga, anak Melayu akan mampu menguasai bahasa Melayu.

Yang memungkinkan si anak itu mampu menguasai bahasa masyarakatnya ialah fakulti ternurani atau potensi berbahasa yang telah disediakan oleh Allah sewaktu manusia diciptakan. Menurut huraian Chomsky (1981), LAD atau Tatabahasa Sejagat terletak dalam otak (sebenarnya dalam akal) manusia dan bersifat lentur sehingga dapat disesuaikan dengan sifat-sifat khusus bahasa tertentu. Kelenturan Tatabahasa Sejagat inilah yang memungkinkan mana-mana bahasa dapat dipelajari dan dikuasai oleh bukan penutur jati bahasa itu.

Haiwan, oleh sebab tidak dikurniai fakulti tersebut, tidak akan mampu menguasai bahasa sekalipun haiwan itu lahir dan dibesarkan dalam satu keluarga manusia. Kucing yang lahir di rumah satu keluarga Inggeris dan seterusnya dipelihara oleh keluarga itu tidak akan mampu berbahasa Inggeris kerana tidak memiliki fakulti berbahasa atau alat pemerolehan bahasa (APB/LAD) sebagaimana yang dimiliki manusia.

Hakikat bahawa Allah hanya memberikan potensi berbahasa dan bukan sesuatu bahasa tertentu dijelaskan-Nya dalam firman yang terjemahannya berbunyi:

“Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada
seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu
berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenal ....”
(Surah al-Hujurat, ayat 13)

Ayat di atas menjelaskan bahawa Allah sengaja menciptakan manusia berbangsa-bangsa dan bersuku-suku, dengan pengertian wujudnya juga pelbagai bahasa dan dialek bagi manusia. Ayat tadi dengan sendirinya juga menolak dakwaan bangsa tertentu tentang wujudnya gagasan bahasa agung, iaitu sebagaimana orang Yunani mengisytiharkan bahasa mereka sebagai bahasa tertinggi berbanding dengan bahasa-bahasa lain atau bangsa Yahudi meletakkan bahasa mereka sebagai bahasa Tuhan dan bahasa syurga (Sayyid Muhammad Syeed, 1989: 545).

Hal ini tentu berbeda pula daripada hakikat bahasa Arab yang diberi taraf yang istimewa oleh Allah sebagaimana yang disebut dalam al-Qur’an (Lihat, misalnya surah al-Zumar, ayat 28 dan surah al-Fussilat, ayat 1-2). Dan kelebihan bahasa Arab itu tidak pula sampai menafikan peranan unggul setiap bahasa yang lain, kerana Allah berfirman juga (terjemahannya):

“Dan Kami tidak mengutus seorang rasul, melainkan dengan bahasa kaumnya supaya ia dapat memberikan penjelasan dengan terang kepada mereka ....”
(Surah Ibrahim, ayat 4)

Maksudnya, Allah tetap mengiktiraf mana-mana bahasa pun, temasuk bahasa rasul-rasul sebelum Nabi Muhammad s.a.w. Tambahan pula, sesuai dengan ayat 53 surah Fussilat yang telah dibincangkan sebelum ini, wujudnya kepelbagaian bahasa manusia adalah tanda kebesaran dan kekuasaan Allah, sebagaimana yang disebut dalam al-Qur’an (terjemahannya):

“Dan antara tanda-tanda kekuasaannya termasuklah menciptakan langit dan bumi dan berlain-lainan bahasamu dan warna kulitmu. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang tahu.”
(Surah al-Rum, ayat 22)

Menurut huraian Sayyid Muhammad Syeed (1989), al-Qur’an bukan sahaja mengiktiraf wujudnya kepelbagaian bahasa manusia sebagai manifestasi kebesaran dan kekuasaan Allah, malahan al-Qur’an menyajikan kemungkinan untuk manusia melakukan penelitian dan pemahaman terhadap kepelbagaian itu.

Pengurniaan fakulti ternurani atau potensi bahasa kepada manusia oleh Allah s.w.t. berkaitan rapat dengan pembinaan konsep diri manusia dan pengilmuan manusia. Al-Attas dalam beberapa banyak tulisan dan syarahannya yang sebahagiannya terangkum dalam kumpulan tulisan beliau tentang metafizik Islam, iaitu Prolegomena to Metapyshics of Islam (1995) menjelaskan bahawa bahasa menjadi faktor yang menimbulkan makna diri atau identiti bagi manusia. Dengan perkataan lain, bahasa menjadi asas penting dalam pembinaan konsep diri manusia.

Kata al-Attas (1995:121-122), kita menakrifkan manusia sebagai “haiwan rasional”, dengan istilah rasional itu merujuk kepada istilah natiq, iaitu suatu fakulti ternurani (innate faculty) yang berkaitan dengan ilmu, fakulti yang memahami makna alam semesta dan yang merumuskan makna segala sesuatu. Perumusan makna yang melibatkan pertimbangan, pembedaan, dan penjelasan inilah yang menjadi asas kerasionalan manusia.

Istilah rasional (natiq) dan proposisi “memiliki kuasa untuk merumuskan makna” (dhu nutq), kata al-Attas lagi, terbit daripada akar kata yang sama yang menimbulkan makna asas ‘pertuturan’. Dengan demikian, kedua-dua istilah itu membayangkan suatu kuasa dan keupayaan ternurani pada manusia untuk mengungkapkan kata-kata atau bentuk-bentuk pelambangan dalam pola-pola yang bermakna. Daripada akar kata yang sama (nutq), terbit kata nama untuk ilmu wacana yang dikenal sebagi al-mantiq atau logika, iaitu ilmu yang menggarap soal pembentukan hujah, perumusan kaedah-kaedah perdebatan, penemuan kepalsuan, teori pengelasan dan penakrifan, fikiran asas tentang silogisme, pengkonsepsian bukti dan demonstrasi, dan kerangka umum kaedah intelektual dalam pencarian kebenaran.

Dengan istilah haiwan rasional, manusia dapat juga dikatakan “haiwan berbahasa” (al-hayawan al-natiq), dan kemampuan manusia melahirkan lambang-lambang linguistik dalam pola-pola yang bermakna (seperti kata, frasa, klausa, dan ayat) dimungkinkan oleh adanya suatu hakikat dalaman yang tidak dapat dilihat, yang dikenal sebagai intelek (al-‘aql).

Istilah ‘aql atau akal itu pada asasnya bererti ‘suatu bentuk ikatan’ yang menunjukkan hakikatnya sebagai suatu satuan yang aktif dan sedar, yang mengikat dan menampung objek-objek ilmu melalui bentuk-bentuk pelambangan (kata-kata). Hakikat akal ini merujuk kepada hakikat yang sama bagi kalbu, ruh, dan diri. Akal atau intelek ini merupakan substansi abstrak yang menjadi alat bagi ruh rasional mengenal kebenaran dan membedakan kebenaran daripada kepalsuan. Akal, dengan demikian, menurut al-Attas, merupakan hakikat yang mendasari takrif diri manusia. Bahasa yang menyatu dalam konsep akal atau intelek itu, dengan demikian, merupakan bahagian yang penting dalam pembinaan diri manusia dan sekaligus menjadi asas pengilmuan diri manusia.

Pengurniaan potensi bahasa yang berkaitan rapat dengan pengilmuan diri manusia telah berlaku di alam arwah, iaitu sebelum ruh ditiupkan ke jasad manusia. Prof al-Attas, (1995:174) dengan memetik uraian al-Junayd, al-Kalabadhi dan lain-lain, menggambarkan bagaimana diri manusia ketika masih di alam arwah telah berkomunikasi dengan Allah berkenaan dengan asas ilmu tauhid. Ayat al-Qur’an yang menggambarkan hal tersebut berbunyi (terjemahannya):

“Dan ingatlah, ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak
Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka seraya berfirman:’Bukankah Aku ini Tuhanmu?’ mereka menjawab: ‘Benar Engkau Tuhan kami, kami menjadi saksi’. Kami lakukan yang demikian itu agar pada hari kiamat kamu tidak mengatakan: “Sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang yang alpa tentang keesaan Tuhan.”
(Surah al-Acraf, ayat 172)

Terang daripada ayat itu bahawa manusia telah sedia berpotensi untuk berbahasa sebelum lahir ke dunia, walaupun komunikasi mereka dengan Allah itu tentu bukan dalam bentuk bahasa khusus yang ada di dunia kerana peristiwa itu berlaku di alam ruh. Selain itu, pengurniaan potensi bahasa itu turut membayangkan proses pengilmuan yang berlaku, iaitu bagaimana manusia menerima ilmu asas tauhid yang berkaitan dengan keesaan Allah. Maksudnya, sejak di alam arwah lagi diri manusia telah memiliki ilmu ketuhanan - ia kenal akan Allah sebagai Pencipta, ia tahu akan dirinya sebagai ciptaan Allah, dan ia memiliki ilmu untuk memahami sesuatu.

Pentingnya asas tauhid sebagai ilmu terawal yang dimiliki manusia ini dapat dihubungkan dengan hadith yang bermaksud “Awal-awal agama ialah mengenal Allah” dan kata hikmat sufi Islam “Barang siapa mengenal dirinya, maka ia mengenal Tuhannya”, malah dapat dikaitkan juga dengan soalan pertama malaikat Munkar dan Nakir di alam barzakh, iaitu “Siapakah Tuhanmu?” Selanjutnya hal ini berkaitan juga dengan hadith nabi yang menyebut bahawa sesiapa yang pada akhir hayatnya dapat mengungkapkan kalimah syahadah akan menjadi ahli syurga. Demikianlah bagaimana eratnya pertalian antara pengurniaan bahasa kepada manusia dengan pembinaan konsep diri manusia dan proses pengilmuan diri itu.

Ayat lain dalam al-Qur’an yang menunjukkan pertalian kemampuan berbahasa yang dianugerahkan Allah dengan proses pengilmuan manusia terdapat dalam surah al-Baqarah, ayat 31, yang terjemahannya berbunyi:

“Dan Allah telah mengajar Adam tentang nama (hakikat) segala kejadian ....”

Penganugerahan ilmu tentang nama segala kejadian di alam semesta ini kepada Nabi Adam oleh Allah s.w.t bukan sekadar pengenalan tentang nama sesuatu, bahkan turut meliputi sifat-sifat, kegunaan, dan maklumat-maklumat lain yang berkaitan dengan kejadian atau ciptaan itu.

Ayat itu turut memberikan pengertian bahawa keturunan Adam, iaitu manusia dikurniai Allah ilmu bahasa atau ilmu pengenalan yang berkaitan pula dengan penguasaan ilmu dalam cabang-cabang yang lain. Demikianlah rapatnya penguasaan ilmu bahasa dengan penguasaan ilmu-ilmu lain, yang dalam konteks kajian ini diterjemahkan melalui gagasan pendidikan bersepadu, termasuk kesepaduan antara penguasaan bahasa dengan penguasaan ilmu-ilmu lain, dan pendekatan bersepadu dalam pendidikan bahasa.

Dengan mengambil epistemologi Islam sebagai dasar huraian, maka disiplin linguistik memperoleh citra dan dimensi yang jelas daripada sudut:

1. hakikatnya sebagai disiplin yang mengkaji bahasa sebagai tanda kebesaran Pencipta alam dan segala isinya, termasuk manusia dan bahasa, dengan pengertian bahawa semakin mendalam penelitian atau kajian seseorang tentang pelbagai aspek bahasa, semakin tinggi tahap imannya;

2. hakikatnya sebagai disiplin yang tidak seratus peratus autonom berasaskan akal dan diteliti hanya sebagai kegiatan atau latihan ilmiah dalam rangka melaksanakan kerjaya semata-mata, kerana bahasa sebahagiannya bersangkutan dengan ketentuan naqli dan berkaitan dengan matlamat membina adab manusia.

3. hakikatnya sebagai disiplin yang mengkaji bahasa sebagai unsur penting kurniaan Tuhan kepada manusia sebagai makhluk teristimewa, dalam (a) pembentukan konsep “diri” manusia, (b) sebagai alat pengilmuan manusia (individu dan masyarakat (melalui proses pemerolehan dan pengembangan ilmu), (c) sebagai wahana penyaluran dan pewarisan sistem nilai, falsafah, pandangan sarwa dan seluruh aspek kebudayaan masyarakat;

4. hakikat bahawa setiap bangsa dikurniai bahasanya masing-masing (juga dengan pengertian wujudnya pelbagai dialek daerah dan dialek sosial dalam pelbagai kelompok sesuatu masyarakat), yang menyedarkan kita betapa tidak benarnya mitos bahawa kemajuan sesuatu bangsa bergantung pada sesuatu bahasa tertentu yang dianggap bahasa unggul dunia.

5. luwesnya pendekatan dalam penelitian bahasa, yang tidak bergantung semata-mata pada kaedah empiris yang bersandarkan pancaindera semata-mata untuk memenuhi syarat “dapat diperhatikan dan dapat diuji” (observable and testable), kerana pada hakikatnya ada unsur bahasa yang memerlukan dapatan deskriptif dan ada pula yang qat`i. Contohnya, penakrifan kata-kata dan istilah-istilah yang bersumberkan ilmu wahyu, seperti konsep ilmu, adil, benar, sah, batil, zalim, hukum, wahyu, ilham, bahagia, aurat dan ribuan lagi tidak sewajarnya ditangani dengan berdasarkan kaedah deskriptif yang memerlukan pengiraan kadar kekerapan penggunaan yang tinggi dalam masyarakat kerana semua konsep itu telah ditetapkan dalam syariat. Demikian juga, peranan intuisi dalam penggunaan bahasa tidak dapat ditolak sebagai sumber data yang tidak sah atau tidak bernilai ilmiah kerana sebahagian data penggunaan bahasa anggota masyarakat tetap lahir daripada intuisi, perasaan dan bahkan khayalan juga.

6. tugas dan tanggungjawab ahli bahasa bukan sekadar perakam penggunaan bahasa oleh masyarakat, atas alasan untuk bersikap objektif, tetapi dalam konteks tertentu menjadi pemimpin masyarakat dalam penggunaan bahasa yang beradab, santun dan yang dapat meningkatkan akal budi dan daya pemikiran masyarakat. Dengan demikian, ketentuan norma penggunaan bahasa masyarakat tidak diasaskan semata-mata pada penggunaannya secara massa meskipun diakui bahawa penggunaan bahasa masyarakat massa itu merupakan ragam bahasa masyarakat juga tetapi bukan sebagai penentu kesahan norma bahasa. Hassan al-Bana, pemimpin reformis Islam Mesir memasukkan dalam wasiatnya kepada para da`i agar memelihara dan mempertahankan bahasa Arab fusha (bahasa Arab baku) kerana itulah ragam bahasa Arab yang dapat mempertahankan nilai-nilai luhur agama Islam.

PENUTUP

Gagasan untuk menyemak dan menilai pemahaman, sikap dan amalan kita dalam disiplin linguistik diketengahkan dengan penuh kesedaran bahawa kita perlu memberikan orientasi dan membuat pengolahan yang sesuai bagi segala bidang ilmu, termasuk linguistik. Kita telah demikian lamanya berada dalam jalur pemikiran, falsafah dan pandangan sarwa Barat yang asasnya menerbitkan beberapa kejanggalan dan kepalsuan dalam pembinaan tanggapan dan sikap kita terhadap bahasa. Penulis berkali-kali dari awal hingga akhir pembicaraan ini menegaskan bahawa yang dimaksudkan dengan ijtihad dan tajdid dalam pembaharuan iktikad kita terhadap ilmu tidak sekali-kali berkaitan dengan khayalan untuk menolak fakta-fakta dan dapatan-dapatan yang telah demikian banyaknya menyerlahkan hakikat bahasa dan penggunannya sebagaimana yang telah digarap dalam pelbagai subdisiplin linguistik yang ditangani dengan gigihnya oleh orang Barat.

Kita memang banyak berhutang budi kepada Barat dalam hal penerokaan pelbagai aspek dan dimensi bahasa, baik dalam klasifikasi dan pembinaan anatomi bidang linguistik mahupun dalam penelitian tentang kategori dan fungsi bahasa. Banyak yang dapat terus kita lanjutkan selama semua itu tidak bercanggah dengan epistemologi Islam yang menjadi pegangan hidup kita. Kita tidak perlu, misalnya, menolak dan meninggalkan hasil analisis terhadap pelbagai dialek dan variasi bahasa yang wujud dalam masyarakat yang memang dipelopori oleh para ahli dialektologi Barat. Kita tidak perlu juga sepenuhnya menolak analisis kategori dan fungsi bahasa sebagaimana yang terdapat dalam bidang tatabahasa. Kita tidak juga wajar menolak analisis yang memaparkan hakikat dan sifat bahasa, baik yang berkaitan dengan morfologi, sintaksis, fonologi mahupun semantik sesuatu bahasa, biar dengan menggunakan teori apa pun.

Yang sesungguhnya memerlukan penyemakan dan penilaian ialah dasar-dasar yang berkaitan dengan epistemologinya. Epistemologi amat rapat kaitannya dengan sistem kepercayaan dan daripada sudut Islam, epistemologi (yang bersangkutan dengan hakikat ilmu, sumber ilmu, kaedah dan matlamat ilmu) telah dijelaskan dalam ajaran agama, sama ada yang secara langsung disebut dalam al-Qur’an dan hadith mahupun yang dihuraikan oleh ahli tafsir dan ulamak muktabar.

Dalam pembicaraan ini, penulis telah berusaha menunjukkan seperangkat prinsip atau premis epistemologi Islam. Dalam hubungannya dengan linguistik, telah dihuraikan hakikat bahasa, kelahiran dan pemerolehan bahasa pada manusia, peranan bahasa (dalam pembentukan diri manusia dan pengilmuan manusia serta pengembangan dan pewarisan sistem nilai dan kebudayaan masyarakat), hakikat kepelbagaian bahasa manusia, paduan antara deskriptisme dengan preskriptisme sebagai pendekatan menemukan norma bahasa dan peranan ahli bahasa.

Antara dasar epistemologi Barat yang telah dihuraikan dan yang menurut hemat penulis perlu dinilai termasuklah kekaburan dalam menjelaskan hakikat bahasa, kecenderungan membina dikotomi yang terlalu ketat, terpesona oleh pembaharuan dan terpengaruh oleh fahaman kenisbian, terikat oleh pendekatan autonom ilmiah saintifik yang mengekang iltizam peneliti dan semata-mata bersandar pada bahasa masyarakat massa sebagai asas norma yang dianggap sah.

~Kembara Bahasa~
3 Julai 2011

No comments:

Post a Comment