Tuesday, June 14, 2011
Strategi Pengajaran Bahasa kepada Pelajar Asing (Bahagian 4)
Pengajaran Bahasa kepada Pelajar Asing (Bahagian 4)
oleh Awang Sariyan
[Petikan daripada salah sebuah kertas kerja penulis]
Sumber dan Bahan Ajar
Pemilihan dan penyediaan sumber atau bahan pengajaran dan pemelajaran program pengajaran bahasa kepada penutur asing menjadi cabaran yang tidak kurang besarnya. Pengajar tidak boleh memilih dan menyediakan bahan menurut kesukaan dan minat peribadinya. Prinsip yang paling penting ialah kesesuaian bahan itu untuk peringkat usia tertentu, untuk peringkat program (permulaan, pertengahan atau maju) dan kelompok tertentu (berasaskan kerjaya dan lain-lain).
Dalam hal pemilihan dan penyediaan sumber atau bahan pengajaran dan pemelajaran inilah pengajar perlu memasukkan unsur-unsur sosiobudaya yang melatari bahasa Melayu agar penguasaan bahasa Melayu oleh pelajar asing itu tidak terpisah daripada konteks sosiobudayanya. Bahan ajar dalam kuliah di BFSU banyak didasarkan pada buku, majalah, akhbar, CD, video dan bahan siaran televisyen Malaysia yang sebahagian besarnya berkaitan dengan sosiobudaya Melayu dan Malaysia, supaya pelajar dapat menghayati penggunaan bahasa Melayu dalam konteks yang sebenarnya. Siri popular seperti Upin dan Ipin tidak ketinggalan dijadikan bahan ajar untuk merangsang minat pelajar, di samping untuk menghayati sebahagian kehidupan masyarakat Malaysia.
Pengalaman pemakalah mengajar dua kumpulan pelajar dari Universiti Deakin, Melbourne, Australia (2005 dan 2006 di Universiti Putra Malaysia) menunjukkan bahawa mereka perlu diorientasi, dengan pengertian diberi pendedahan kepada situasi sosiobudaya di Malaysia kerana selama ini mereka mempelajari bahasa Melayu yang berlatarbelakangkan sosiobudaya di Indonesia daripada pensyarah mereka yang memang berasal dari Indonesia. Dengan demikian, perlu direncanakan dan disiapkan bahan ajar yang kandungannya berorientasi budaya Melayu Malaysia, dengan turut memasukkan unsur budaya Melayu di negara-negara lain juga, termasuk Indonesia dan Brunei Darussalam.
Menyepadukan bahan untuk meliputi kemahiran berbahasa (mendengar, bertutur, membaca dan menulis), sistem bahasa (tatabahasa, kosa kata dan sebagainya) dan juga kandungan bahasa (ilmu dan maklumat serta aspek sosiobudaya) merupakan cabaran terbesar kepada pengajar. Modul yang biasa dianjurkan oleh pemakalah (dan juga oleh sejumlah pengajar lain) ialah penyediaan dan penyusunan bahan yang berteraskan tema tertentu, misalnya pada peringkat asas tema yang berkaitan dengan “diri”, “keluarga”, “hobi”, “negara”, “makanan”, “perayaan”, “tempat bersejarah dan menarik” dan sebagainya. Selain mengisi tema itu dengan struktur atau binaan bahasa (kata, frasa, ayat dan wacana) yang sesuai, tema itu perlu diisi dengan maklumat atau ilmu yang berkaitan. Aspek sosiobudaya yang dapat dikaitkan, misalnya, ialah kata ganti nama diri, bentuk sapaan yang betul dan ungkapan fatis (seperti ucapan selamat dan tegur sapa) dalam bahasa Melayu apabila berinteraksi dengan khalayak sasaran tertentu.
Bahan itu pula mestilah berbagai-bagai bentuk dan konteksnya. Maksudnya, daripada segi bentuk, pengajar perlu menyediakan bahan berbentuk audio, video, grafik, lukisan, brosur, iklan dan karya kreatif. Daripada segi konteksnya, perlu disediakan bahan yang berkaitan dengan pelbagai aspek kehidupan, daripada yang asas seperti diri kepada keluarga, masyarakat, kesenian, sukan, rekreasi, reka cipta, dan di peringkat yang tinggi boleh tentang politik, pemikiran dan sebagainya.
Pengujian dan Penilaian
Pengujian dan penilaian yang dilaksanakan perlu selaras dengan objektif pengajaran. Bagi pelajar yang mengikuti program pelajaran bahasa Melayu sebagai mata kuliah atau kursus di insitutusi pengajian, ujian yang berkaitan dengan kemahiran bahasa yang empat (mendengar, bertutur, membaca dan menulis) dan sistem bahasa (tatabahasa dan yang lain-lain) perlu diberikan. Bagi pelajar yang mempelajari bahasa Melayu untuk tujuan khusus, seperti doktor dari negara asing, mereka tidak perlu diberi ujian yang meliputi semua aspek kemahiran dan sistem bahasa, sebaliknya diuji penguasaan komunikatifnya sahaja. Yang lebih penting dalam program pengajaran bahasa Melayu kepada penutur asing ialah instrumen pengujian dan penilaian yang diagnostik sifatnya, iaitu yang dapat memberikan maklumat tentang pencapaian pelajar dari waktu ke waktu, bukan semata-mata pada akhir program yang mungkin tidak bertepatan dengan pencapaian sebenar pelajar.
Di Universiti Pengajian Asing Beijing, selain ujian dalam bentuk peperiksaan pertengahan semester dan peperiksaan akhir semester, ujian kecekapan bahasa menyeluruh diadakan dua kali sepanjang pengajian, iaitu pada tahun kedua dan tahun akhir (tahun keempat). Dalam ujian kecekapan bahasa menyeluruh itu, pelajar diuji dalam aspek lisan, pembacaan, penulisan dan tatabahasa. Kelulusan dalam ujian kecekapan itu menjadi syarat pengijazahan.
No comments:
Post a Comment