Friday, July 22, 2011

Islam di China: Penduduk Islam di Xinjiang (Bahagian 1)






Keterangan gambar: Uygur setempat dan Uygur pendatang; Masjid Baitul Makmur; Dataran dan Kompleks Bazar Antarabangsa; restoran Uygur

Penduduk Islam di Xinjiang: Bahagian (1)

Kisah penduduk Islam di Xinjiang (nama lengkapnya Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang), iaitu salah satu wilayah autonomi di negara China patut mendapat huraian yang khusus. Hal ini demikian kerana ada keunikannya berbanding dengan penduduk Islam di provinsi-provinsi yang lain.

Majoriti penduduk Islam di provinsi-provinsi lain di China ialah orang Hui (asalnya disebut Hui Hui), yang perawakan fizikalnya persis sama dengan perawakan orang Han, iaitu penduduk majoriti negara China, yang umumnya bukan Islam. Di Xinjiang, terdapat 47 kumpulan etnik atau suku bangsa dengan majoriti penduduk asalnya ialah orang Uygur, diikuti oleh kaum Han, Kazak, Hui, Mongolian, Kirkiz, Xibo, Tajik, Uzbek, Mancu, Rusia China, Daur dan Tatar.

Sejarah kependudukan wilayah Xinjiang dipercayai telah bermula pada 10,000 tahun lampau. Kepelbagaian etnik yang hidup bersama menzahirkan keragaman budayanya. Wilayah ini mengadun pelbagai sumber budaya sejagat sejak zaman awalnya, khususnya budaya tanah besar China, budaya India, budaya Yunani dan Rumawi dan juga budaya Islam.

Tujuh kumpulan etnik utama yang menjadi citra umat Islam di Xinjiang ialah kaum Uygur (lebih 8 juta orang), Kazak (lebih 1.2 juta orang), Kirkiz (254,000 orang), Hui (730,00 orang), Tajik (36,000 orang), Uzbek(lebih 12,000 orang), dan Tatar (5,000 orang).

Etnik terbesar, iaitu Uygur bersejarah sejak abad ketiga, dengan pelbagai nama dalam catatan China klasik, iaitu Wuhu, Yuanhe, Weihe, Huihe, Uygur dan beberapa yang lain. Sejak tahun 1935, nama Uygur ditetapkan sebagai nama rasmi bagi etnik tersebut.

Mereka memeluk agama Islam sejak abad ke-10 Masihi. Bahasanya merupakan salah satu dialek bahasa Turki dalam keluarga besar bahasa Altaic. Uniknya, kaum Uygur memiliki tulisannya sendiri yang berakar daripada aksara Arab, sebagaimana juga bahasa Melayu dan beberapa bahasa lain di dunia, sebagai bukti kuat dan berkesannya pengaruh Islam. Tulisan Uygur menjadi salah satu tulisan rasmi sehingga semua gedung perniagaan, bank, pejabat,nama jalan dan yang lain ditulis dalam aksara China dan juga tulisan Uygur, sebagaimana di Brunei dan Darussalam dan di sebahagian tempat di Malaysia.

Apabila saya menunjukkan tulisan Jawi yang saya catat pada sepanjang kajian, mereka terpegun dan berasa bangga kerana adanya persamaan tulisan. Semangat dan rasa persaudaraan dengan segera terjalin lebih jelas. Sejumlah perkataan yang memang berasal daripada bahasa Arab yang saya tulis memang dengan mudah dapat dibaca oleh mereka, seperti masjid, solat, fardhu, majlis, imam dan sebagainya.

Antara makanan tradisi Uygur yang terkenal termasuklah nasi polio (seperti nasi biryani, yang dimasak dengan daging kambing atau biri-biri, bawang, lobak merah. Satu lagi ialah kebab syish yang disebut kawap. Di provinsi-provinsi lain, termasuk di kota Beijing, restoran Xinjiang memang menjadi ikon restoran Islam yang menjadi tumpuan pelancong Islam dan penduduk tempatan, selain restoran Lanzhou. Sate kambing Xinjiang yang dimakan tanpa kuah kacang seperti di Malaysia menjadi kegemaran bukan sahaja orang Islam bahkan seluruh penduduk China.

Orang Uygur terkenal dengan seni budayanya yang sebahagiannya memancarkan tradisi seni budaya Asia Barat. Lagu-lagu aslinya ketara benar berirama Timur Tengah. Orang lelakinya mudah dikenal dengan songkok berbucu empat yang sebahagiannya berwarna-warni dan wanitanya berbaju labuh serta bertudung atau juga bersongkok berbucu empat atau songkok lain yang berwarna-warni.

Masjid di Xinjiang menampilkan seni bina yang jauh berbeda daripada seni bina masjid kaum Hui. Pengaruh seni bina Asia Barat amat ketara dengan tambahan unsur Turki, terutama dalam dewan solatnya; berbeda dengan kebanyakan masjid kaum Hui yang berseni bina China klasik kerana kebanyakan masjid lama orang Hui dibina dengan naungan dinasti China. Bangunan di dataran dan Kompleks Bazar Antarabangsa di Urumqi mewakili seni bina Uygur yang bersendikan seni bina Arab dan Turki.

~Kembara Bahasa~
23 Julai 2011

5 comments:

  1. Salam, Prof,
    Kita harus berdoa agar sekolah agama kita sama gah dengan sekolah sekular kita atau lebih lagi supaya Jawi kembali bernafas.

    ReplyDelete
  2. Salam, Sdr. Zul,

    Sepatutnya pendidikan agama menjadi teras bagi sistem pendidikan supaya apa-apa sahaja bidang ilmu tidak menyimpang daripada landasan agama. Hingga kini, begitu banyak hal yang bercanggah dengan agama dan sebahagian kebejatan masyarakat dalam bentuk pelbagai jenayah sebenarnya berpunca daripada sistem pendidikan yang sekular.

    Jawi, meskipun ada JQAF, masih menjadi melukut di tepi gantang dalam sistem pendidikan dan kehidupan di negara kita. Di Brunei, Jawi wajib dipaparkan pada semua papan tanda perniagaan, tempat, bangunan, jalan dan yang lain. Demikianlah yang terlaksana di Xinjiang dan di beberapa provinsi yang jumlah penduduk Islamnya besar; tulisan Arab atau tulisan setempat (seperti tulisan Uygur yang berasaskan tulisan itu) digunakan dengan meluas.

    ReplyDelete
  3. Salam, Prof,
    Saya pernah ke Brunei dan berasa bangga dengan situasi itu. Semasa menangani buku teks sekolah rendah untuk Darjah 4 mereka bagi pihak syarikat induk kami di Singapura, saya lihat Jawi juga dipelajari dalam subjek BM.

    Kita di sini seperti malu untuk menanjakkan Jawi itu semula.

    ReplyDelete
  4. Sdr. Zul,

    Ya, di Brunei Jawi masih utuh dan dimartabatkan. Semua jabatan, agensi dan syarikat swasta diwajibkan memamerkan nama dengan tulisan Jawi, di samping dengan tulisan Rumi atau tulisan lain. Maka citra bandar-bandar di Brunei terlihat sebagai bandar alam Melayu. Di negara kita keadaan sedemikian bergantung pada kerajaan negeri atau pihak berkuasa tempatan yang tertentu.

    ReplyDelete
  5. salam prof..sy nak tanya ckit..boleh tak kalau kami student nak wat lawatan sambil blajar ke China utk mendalami dan mengetahui pengamalan agama Islam mereka disana..ada tak sape-sape yg boleh kami contact utk memudahkan urusan ke cna..kalau la tak myusahkan prof..boleh tak sy nak tahu mane tempat-tempat yang sesuai utk kami buat lawatan antarabangsa nie..Kami dr sebuah IPTA Islam dalam jurusan Quran&Sunnah..kami nak cari satu daerah yg diduki org islam utk berkongsi budaya Islam disana dgn budaya Islam dinegara kita..Kami bercadang utk ke Beijing..ttp da ramai Student yg mbuat lawatan kesana..jd kalau boleh kami ingin mendekati penduduk islam di china selain dr daerah beijing yg masih kurang pengamatan agama Islam mereka utk dikongsi bersama kami..hrp prof dpt membantu memberi serba sdikit ttg info utk kami ke sana..jasa dan sgala maklumat yg Prof berikan amat sy hargai..syukran..

    ReplyDelete