Thursday, July 21, 2011
Islam di China: Amalan Tarekat
Keterangan gambar: Pintu gerbang utama kompleks tarekat Qadriah di Lanzhou, Gansu; kompleks tarekat Zahriah di Wuchong, Ningxia dan makam Syekh Qudratullah serta keluarga di Wuchong.
Amalan Tarekat di China
Di kebanyakan tempat yang saya kunjungi di beberapa provinsi, kajian tertumpu pada masjid, institusi pendidikan seperti madrasah, kolej dan universiti. Di provinsi Gansu dan di povinsi Ningxia, dapat saya kesan satu aspek lain dalam perkembangan Islam dan masyarakat Islam di China.
Aspek itu ialah amalan tarekat dalam kalangan sejumlah anggota masyarakat. Daripada wawancara singkat dengan beberapa orang informan, tarekat yang berkembang di China antaranya ialah tarekat Zahriah (Zahiriah?), Qadim, Ikhwan dan Qadriah.
Di Lanzhou, kami dibawa ke sebuah kawasan di pinggir bandar di kawasan perbukitan, iaitu Ling Min Tang, tempat terletaknya makam golongan yang dianggap para wali. Kawasan itu dikatakan telah mula menjadi tapak makam para wali dan pusat tarekat Qadriah sejak 80 tahun lalu. Di samping makam, di kompleks yang cukup klasik seni bina semua bangunannya itu, terdapat masjid, dewan utama dan tempat tinggal perhimpunan tahunan puluhan ribu anggota tarekat Qadriah yang bersumberkan aurad Syekh Abdul Qadir al-Jailani.
Haji Muhammad Salihin (Wang Shu Tein), berusia 91 tahun merupakan syekh tarekat Qadriah di kompleks itu. Antara kegiatan harian di kompleks itu termasuklah solat fardhu berjemaah di masjid kompleks, membaca al-Qur'an di makam bermula pada pukul 12 tengah malam dan zikir menurut aurad Syekh Abdul Qadir al-Jailani.
Kegiatan dalam perhimpunan tahunan pada bulan ketiga mengikut kalendar Imlek, iaitu pada sekitar bulan Mac menurut kalendar Masihi, berlangsung selama tiga hingga empat hari. Antara pengisiannya termasuklah solat hajat, tilawah al-Qur'an, maulid Nabi dan ceramah.
Kompleks kumpulan tarekat Qadriah di Lanzhou itu menelan kos 2 bilion yuan, dengan sumbangan derma daripada badan-badan Islam, termasuk badan antarabangsa dan para pengusaha ladang ternakan lembu dan kambing. Menarik juga halnya apabila disebut bahawa antara penyumbangnya termasuklah Bapa Revolusi China Sun Zhuang Shan, Parti Komunis dan juga Kuomintang.
Tarekat itu dikatakan dibawa dari provinsi Xinjiang dan kemudian berkembang di provinsi Gangsu, Ningxia, Qinghai, Henan dan Shanxi.
Di bandar Wuzhong di provinsi Ningxia, kami dibawa ke pusat tarekat Zahriah yang pada 9 Julai 2011 (dua hari sebelum kunjungan kami) mengadakan perhimpunan tahunan (hol) memperingati kepulangan ke rahmatullah mursyid mereka, iaitu Syekh Qudratullah 20 tahun lalu. Puteranya, Syekh Nasratullah kini menjadi syekh atau ketua kumpulan tarekat tersebut. Sejenis kopiah yang menandai pengamal tarekat tersebut menjadi lambang pengenalan yang penting.
Kompleks di kawasan seluas 4 km. persegi itu berusia 100 tahun tetapi diruntuhkan dalam era Revolusi Budaya pada tahun 1960-an dan dibina semula dalam tahun 1980-an. Dalam perhimpunan tahunan, kompleks itu didatangi oleh sekitar 30 ribu orang pengamal tarekat tersebut selama enam hari dari pelbagai daerah dan provinsi lain, seperti Xinjiang, Qinghai, selain dari provinsi Gansu sendiri.
Antara pengisiannya termasuklah zikir selama lima jam sejak pukul 8 pagi, maulid Nabi, ceramah dan beberapa program lain. Sewaktu kunjungan kami, gerai-gerai jualan pelbagai jenis barangan mula didirikan di sekitar kompleks dan sebilangan anggota dari luar daerah mula bertumpu.
Makam Almarhum Syekh Qudratullah dan anggota keluarganya terletak di tempat terbuka, tidak di dalam bangunan seperti di kompleks tarekat Qadriah di Lanzhou.
Di provinsi Ningxia, menurut pegawai dewan pameran di kompleks itu, En. Yusuf (Ma Gui Zhen), terdapat sembilan cawangan pusat tarekat Zahriah.
Yang agak menarik ialah bahawa gerakan tarekat di China seakan-akan diiktiraf oleh pemerintah, kerana di dewan pameran kompleks tarekat Zahriah di Wuzhong, terpapar sijil penyataan yang ditandatangani oleh semua Presiden negara, bersempena dengan kunjungan mereka ke pusat tarekat itu.
~Kembara Bahasa~
22 Julai 2011
No comments:
Post a Comment