Thursday, July 14, 2011

Majalah "Kaituo" sebagai Media Dakwah di China




Majalah "Kaituo" sebagai Media Dakwah di China

Majalah Kaituo (Penerokaan), majalah triwulan yang berpusat di kota Lanzhou, Provinsi Gansu di barat laut China, mula diterbitkan 19 tahun lalu. Penerbitannya di bawah naungan Persatuan Islam Lanzhou.

Sidang redaksi majalah diketuai oleh Encik Isa @ Han Hai Chao, dan dibantu oleh beberapa orang editor, iaitu En. Daud, Encik Nuha, Sudai @ Ma Dong Ping dan Imam Ramadhan serta seorang eksekutif. Kecuali En. Isa, editor lain merupakan editor suka rela yang mempunyai kerja lain. En. Daud ialah editor di sebuah syarikat akhbar di Lanzhou, sementara Haji Nuha merupakan guru agama kepada kanak-kanak. Puan Sudai pula ialah penyelidik budaya di Pusat Penyelidikan Gansu, yang mengkhusus tentang budaya Islam di China.

Makalah dalam majalah Kaituo disumbangkan oleh penulis Islam dari seluruh China dan juga dari luar negara, meliputi segala aspek kehidupan umat Islam, daripada ehwal akidah, ibadah sehingga ehwal kehidupan sehari-hari. Jumlah cetakan setiap edisi berjumlah satu juta naskhah dan diedarkan ke seluruh negara, terutama ke provinsi-provinsi yang berpenduduk Islam.

Kos penerbitan disumbangkan oleh umat Islam sendiri, sama ada dalam bentuk derma mahupun pembelian secara pukal oleh persatuan Islam atau ahli korporat Islam di provinsi atau daerah masing-masing. Nama semua penderma dicatat di bahagian belakang majalah.

Dalam tempoh lapan tahun pertama, sidang redaksi majalah bekerja di pejabat yang disewa tetapi kemudian dengan derma orang ramai, dapat dibeli sebuah pejabat.

Terdapat tiga kategori majalah di negara China. Yang pertama majalah di bawah pemerintah, seperti Islamic Research. Yang kedua ialah majalah kelolaan persatuan Islam, sementara yang ketiga ialah majalah terbitan orang perseorangan. Dalam 10 majalah yang terbaik, majalah Kaituo menduduki tempat ketiga.

Di setiap provinsi yang penduduk Islamnya banyak, ada majalah yang diterbitkan. Beberapa terbitan yang sempat saya lihat di pejabat Kaituo ialah Hongkong Muslim Herald, akhbar Muslim Dong Xun dan akhbar Liao Ning.

[Alamat e.mel sidang redaksi majalah Kaituo: ktzz@sina.com; alamat pejabat: 8th. Postbox, QiLiHe District Post Office, Lanzhou, Gansu Province, China 730050]

~Kembara Bahasa~
15 Julai 2011

No comments:

Post a Comment