Monday, July 25, 2011
Puisi: Sutera Kasih (1)
Sutera Kasih (1)
Aku anak Melayu
dari wilayah dahulunya empayar kesatuan
merentas zaman dan merentas kawasan
daripada kedatuan Sriwijaya kepada kesultanan
di daratan dan di kepulauan
Aku anak Melayu
membawa obor yang telah dinyalakan
oleh para pendeta dan cendekiawan
oleh maharaja dan oleh sultan
oleh bendahara, laksamana dan utusan
Aku anak Melayu
membawa cita dan impian
mendukung penghormatan dan penghargaan
akan persamaan dan perbedaan
antara dua tamadun penuh kekayaan
Aku anak Melayu
menyambung anyaman tikar Pendeta Yi Qing
datang ke alam Melayu kembalinya membawa khabar penting
martabat bahasa Melayu wahana pengajian tidaklah asing
dalam pentadbiran dan perdagangan tidak pula terkesamping
Aku anak Melayu
menyambung persetiaan sultan Melaka dan maharaja China
menjalin akrab dua tamadun di wilayah yang berbeda
dalam persatuan cita membina persahabatan semesta
Zheng He diutus tanpa perebutan kuasa dan wilayah, tanpa sengketa
Aku anak Melayu
menyambung semangat penghormatan kepada bahasaku
Dalam Si Yi Guan gagasan bestari Dinasti Ming
bahasa Melayu menanjak dalam Hui Hui Guan
Terakam akhirnya bahasa Melayu dalam Man La Jia Guo Yi Yu
dikaji dan dipelajari menjadi jambatan persefahaman
[Catatan: Si Yu Guan ialah Jabatan Bahasa Asing yang ditubuhkan dalam zaman Dinasti Ming pada abad ke-15; Hui Hui Guan ialah Jabatan Bahasa-bahasa Islam, tempat bahasa Melayu dipelajari dan dikaji bersama-sama dengan bahasa Islam yang lain, iaitu Arab dan Parsi; Man La Jia Guo (Senarai Perkataan Negeri Melaka) ialah kamus Melayu-China yang pertama, disusun dalam abad ke-15]
~Kembara Bahasa~
26 Julai 2011
No comments:
Post a Comment