Thursday, October 20, 2011

Bagaimanakah Tatabahasa Dapat Diajarkan dengan Berkesan?


BAGAIMANAKAH TATABAHASA DAPAT DIAJARKAN
DENGAN BERKESAN?


Prof. Dr. Awang Sariyan
Penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia - China
Beijing Foreign Studies University

[Kertas kerja untuk Bengkel Pengajaran Tatabahasa, Fakulti Bahasa, Universiti Pendidikan Sultan Idris (19 Ogos 2009) dalam rangka tugas sebagai Profesor Adjung UPSI]



PENDAHULUAN

Tatabahasa sering dianggap orang sebagai subjek yang kering, membosankan, dan kadangkala menakutkan. Tatabahasa dianggap kering dan membosankan kerana kononnya tata bahasa hanya terdiri daripada rumus-rumus bahasa, sama halnya dengan matematik. Bercakap tentang tatabahasa seolah-olah bererti bercakap tentang soal salah betul penggunaan bahasa semata-mata. Sekian lama pula telah tertancap pada benak kebanyakan orang bahawa tata bahasa mengekang gaya bahasa dan kreativiti. Persepsi seumpama semua itulah yang kadangkala menjadikan orang takut, malah mungkin benci pula akan tatabahasa. Jika timbul rasa takut dan benci, bagaimanakah tatabahasa dapat menjadi subjek yang menarik di bilik darjah?

Nampaknya tugas pertama saya sebelum memberikan pandangan tentang kaedah dan teknik pengajaran tata bahasa yang menarik ialah berusaha membetulkan anggapan salah tentang tatabahasa. Kata pepatah “Tak Kenal maka tak cinta”. Mudah-mudahan dengan mengenal hakikat tata bahasa, tumbuhlah rasa cinta kepadanya. Teringat pula saya akan satu baris dalam lagu Melayu lama yang berbunyi “Kalau hati sudah suka, semua indah saja”. Demikianlah mudah-mudahan tatabahasa akhirnya dapat dilihat sebagai sesuatu yang indah.

TATABAHASA DAN HAKIKAT BAHASA

Untuk mencapai makrifat tentang bahasa, penting sekali kita mengenal hakikat bahasa. Hakikat bahasa pada asasnya ialah tatabahasa, dengan pengertian yang lebih dasar dan luas daripada sekadar subsistem yang terdiri daripada morfologi dan sintaksis. Tata bahasa yang saya katakan menjadi asas hakikat bahasa ialah satu bentuk potensi akliah yang dikurniakan Tuhan kepada anak-anak Adam (manusia) sewaktu mereka masih di alam ruh, sebelum dilahirkan ke dunia (al-Qur’an, al-A’raf: 172). Oleh Chomsky, potensi yang ternurani atau innate ini disebut tata bahasa sejagat (universal grammar). Potensi ini bukan bahasa dalam bentuk lahiriah yang terdiri daripada fonem, morfem, kata, frasa, klausa, ayat, dan wacana dalam bahasa yang tertentu, tetapi merupakan satu kemampuan akal yang dapat membentuk unsur-unsur bahasa yang disebut tadi dalam satu sistem semantik.

Potensi yang disebut tatabahasa sejagat inilah yang menjadi asas bagi semua manusia berbahasa dalam bahasa masing-masing melalui proses penyesuaian parameter. Dengan memahami asal usul bagaimana kita berbahasa, terang pada kita bahawa tata bahasa merupakan asas yang memungkinkan kita berbahasa. Adanya tata bahasa sejagat pada manusia inilah yang memungkinkan manusia menjadi kreatif, iaitu dapat menghasilkan unsur-unsur bahasa yang tidak terbatas jumlahnya dengan berdasarkan prinsip-prinsip yang terhad. Adanya tata bahasa ini jugalah yang memungkinkan bahasa manusia teracu dalam sistem, tidak seperti haiwan yang biarpun mungkin dapat menguasai sejumlah unsur bahasa, misalnya kata-kata melalui latihan intensif tetap tidak mampu menyusun kata-kata itu dalam pola-pola yang bersistem, kreatif, dan berkonteks.

Daripada tatabahasa sejagat, terbina tatabahasa yang khusus bagi sesuatu bahasa yang tertentu. Maka itu setiap bahasa ada tatabahasanya yang khusus yang perlu dipelajari apabila orang ingin menguasai mana-mana bahasa. Jadi, adanya konsep tatabahasa sejagat tidak bererti bahawa hanya ada satu tatabahasa yang sesuai untuk semua bahasa manusia seperti yang disalahfahami oleh setengah-setengah orang. Perihal adanya kepelbagaian bahasa manusia, yang bererti adanya tata bahasa yang berlainan dijelaskan dalam al-Qur’an (Surah al-Hujurat, ayat 13 dan Surah al-Rum, ayat 22). Oleh itu perlu difahami perbedaan tata bahasa sejagat daripada tatabahasa khusus bagi bahasa yang tertentu.

Hakikat tatabahasa sebagai tunjang bahasa dapat digambarkan dalam hubungannya dengan penguasaan kemahiran-kemahiran berbahasa. Representasi bahasa yang diwakili oleh kemahiran mendengar, bertutur, membaca, dan menulis berasaskan satu kerangka tersembunyi yang menjadi asas pembentukan pola-pola bahasa yang bermakna. Kerangka tersembunyi itu tidak lain daripada tatabahasa. Tanpa kerangka itu, tidak dapat manusia bertutur untuk melahirkan idea dan perasaan kerana kerangka itulah yang menyusun unsur-unsur pertuturan dalam satu sistem yang teratur dan bermakna. Demikian juga, tanpa kerangka itu tidak mungkin berlaku proses pembacaan dan penulisan kerana segala sesuatu tertulis dalam satu sistem yang menimbulkan makna dan si pembaca perlu memiliki keupayaan menguasai sistem itu. Orang yang hendak menulis pula perlu mempunyai skema sistem itu dan menterjemahkannya dalam bentuk-bentuk bahasa yang bermakna. Sesuai kiranya saya sisipkan di sini konsep tatabahasa (gramatikos) yang ditakrifkan oleh ahli-ahli falsafah Yunani sebagai “seni membaca dan menulis”, yang dengan jelas menunjukkan peranan tata bahasa.

Demikianlah selayang pandang penjelasan tentang hakikat tatabahasa. Dengan bertitik tolak daripada hakikat tatabahasa, yang ternyata bukan sekadar sehimpunan rumus atau aturan bahasa menurut pengertian yang sempit, baharulah sesuai kita bincangkan soal menjadikan tatabahasa sebagai sesuatu yang penting dan menarik untuk diajarkan (oleh guru) dan dipelajari (oleh murid atau pelajar).

PENGAJARAN TATABAHASA: PENYATAAN FENOMENA

Tatabahasa memang kelihatan kering dan membosankan, baik pada guru mahupun murid, jika diajarkan hanya sebagai aturan-aturan, secara didaktik pula. Memang tujuan pokok kita mengajarkan tatabahasa ialah agar murid menguasai sistem bahasa untuk selanjutnya memanfaatkan penguasaan sistem bahasa itu bagi tujuan-tujuan yang fungsional, seperti pemerolehan ilmu, penghayatan nilai-nilai masyarakat, dan berinteraksi dengan baik dalam masyarakat. Jadi, terang bahawa pengajaran tatabahasa ialah prasyarat untuk komunikasi yang berkesan dan juga untuk tujuan pembinaan diri, terutama melalui pemerolehan ilmu. Pengajaran tatabahasa tidak patut bernoktah dengan pendedahan sistem semata-mata. Sebaliknya pengajaran tatabahasa hendaklah dihubungkan secara langsung dengan aspek-aspek fungsionalnya.

Telah dibahaskan dengan panjang lebar oleh ahli-ahli pendidikan bahasa soal tujuan pengajaran bahasa, termasuk tatabahasa. Sekurang-kurangnya ada empat mazhab yang dominan dalam hal ini. Yang pertama ialah mazhab tradisionalis yang menekankan penguasaan rumus-rumus tata bahasa. Yang kedua ialah mazhab strukturalis behavioris yang menekankan pembentukan kebiasaan berbahasa sebagaimana yang berlaku dalam masyarakat. Yang ketiga pula ialah mazhab rasionalis yang menekankan keupayaan bahasa sebagai lawan pelaksanaan bahasa (bentuk unggul bahasa lawan realiti penggunaannya). Yang terakhir ialah mazhab fungsionalis yang menitikberatkan fungsi bahasa dalam komunikasi sosial. Keempat-empat mazhab itu mewakili pandangan dan sikap yang ekstrem sehingga menimbulkan salah faham tentang tujuan pengajaran bahasa. Tiga mazhab yang pertama dilabelkan oleh mazhab keempat sebagai “model pengajaran kemahiran” kerana menekankan penguasaan sistem bahasa. Sebaliknya mazhab keempat yang mengemukakan “model pengajaran alamiah” terlalu cenderung pada aspek praktis sehingga agak mengabaikan penguasaan sistem pula.

Dua konsep lain yang turut mempengaruhi gaya pengajaran bahasa, termasuk tatabahasa ialah “keupayaan linguistik” dan “keupayaan komunikatif”. Ahli-ahli pedagogi yang memberikan perhatian berat kepada penguasaan sistem bahasa kurang atau sama sekali mengabaikan aspek komunikatif bahasa. Dalam hal pengajaran tatabahasa, penekanan kepada penguasaan rumus-rumus tatabahasa menjadikan guru alpa menerapkannya dalam konteks penggunaan yang wajar dan sesuai. Yang taksub kepada penguasaan aspek komunikatif bahasa pula memandang remeh akan ketepatan bahasa daripada segi rumus tata bahasa. Kesannya ialah bahawa yang pertama gagal atau kurang berjaya menjadikan tatabahasa sesuatu yang bermakna dalam kehidupan murid. Yang kedua pula mungkin menarik kerana mengaitkan bahasa dengan kehidupan sehari-hari tetapi gagal melahirkan murid yang berdisiplin daripada segi penggunaan bahasa yang gramatis dan bersistem.

Impian kita kini ialah menciptakan dan menemukan kaedah pengajaran tatabahasa yang dapat mengukuhkan ketrampilan bahasa murid daripada segi sistem bahasa dan juga daripada segi pragmatiknya. Murid yang patut kita bentuk ialah yang menguasai rumus-rumus tatabahasa secara sedar dan sekaligus dapat menggunakannya untuk komunikasi dengan pengertian yang luas, bukan sekadar komunikasi biasa yang ditandai oleh laras “bahasa terhad” (restricted code) bahkan untuk komunikasi canggih yang ditandai oleh laras “bahasa terbina” (elaborated code). Dalam konteks memenuhi peranan bahasa sebagai wahana pembinaan tamadun, ketrampilan bahasa yang sewajarnya dimiliki ialah yang dapat memenuhi keperluan asas hingga yang dapat menjadi wadah pemikiran, ilmu, dan budaya tinggi.

STRATEGI PENGAJARAN TATABAHASA

Selaras dengan konsep pendidikan bersepadu yang diamalkan di negara ini sejak tahun 1988, maka pengajaran bahasa pun tidak boleh lagi diajarkan menurut cara lama yang memisah-misahkan aspek-aspek yang diajarkan, misalnya antara satu kemahiran dengan kemahiran yang lain, antara kemahiran dengan sistem bahasa dan sebaliknya, serta antara kemahiran dan sistem bahasa dengan isi bahasa, terutama ilmu dan nilai.

Strategi pengajaran bahasa Melayu menurut pendekatan bersepadu berasas pada strategi 2P, iaitu penggabungjalinan dan penyerapan. Penggabungjalinan yang asasnya telah bermula pada lewat 1970-an melibatkan:

a. Penggabungjalinan antara empat kemahiran bahasa, iaitu mendengar, bertutur, membaca, dan menulis dengan sekurang-kurangnya dua kemahiran digabungjalinkan.
b. Penggabungjalinan antara kemahiran bahasa dengan sistem bahasa (terutama tata bahasa) dan sebaliknya.
c. Penggabungjalinan antara peribahasa dengan kemahiran bahasa.

Dalam konteks pengajaran tatabahasa, penggabungjalinan yang berkaitan ialah penggabungjalinan (b) di atas. Secara ringkas, pengajaran tatabahasa tidak boleh dipisahkan sama sekali daripada kemahiran. Apabila tatabahasa diajarkan secara gabung jalin dengan kemahiran, maka dapatlah dielakkan pengajaran yang tertumpu semata-mata pada rumus-rumus tata bahasa sehingga menimbulkan kebosanan. Tatabahasa dapat diajarkan bersama-sama dengan aktiviti mendengar, bertutur, membaca, dan menulis. Selain tidak membosankan, dapat pula murid memahami penggunaan tatabahasa secara fungsional dan dalam konteks yang sesuai dan wajar. Hal ini akan dibincangkan lebih lanjut dalam pembicaraan tentang pengajaran tatabahasa terancang.

Strategi penyerapan pula berkaitan dengan gagasan menyepadukan aspek sistem bahasa dan kemahiran bahasa dengan kandungan bahasa. Dengan perkataan lain, pendidikan bahasa di samping menitikberatkan penguasaan tata bahasa serta aspek-aspek sistem bahasa yang lain dan juga penguasaan empat kemahiran bahasa (mendengar, bertutur, membaca, dan menulis), perlu turut menekankan aspek kandungan bahasa.

Secara kasar, yang dimaksudkan kandungan bahasa ialah segala maklumat tentang kehidupan manusia yang dipelajari dan diwarisi melalui perantaraan bahasa. Dalam konteks pendidikan bahasa di negara kita, penyerapan melibatkan dua aspek utama, iaitu ilmu dan nilai. Secara lebih terperinci, ilmu dipecahkan kepada beberapa aspek lagi, iaitu kandungan mata-mata pelajaran lain, sains dan teknologi, bahasa dan sastera, budaya dan warisan. Selain itu terdapat pula isu dan hal masyarakat dan negara, serta isu dan hal ehwal antara bangsa. Nilai-nilai murni pula dibahagi kepada 16 nilai utama dengan pecahan-pecahannya. Di samping itu perlu diserapkan juga unsur kewarganegaraan.

Dengan berdasarkan strategi 2P itu, saya yakin bahawa pengajaran tatabahasa dapat menjadi sesuatu yang menimbulkan minat guru dan murid, menjadi sesuatu yang betul-betul bererti, dan sekali gus dapat menghakis anggapan salah bahawa tata bahasa merupakan bidang yang kering dan tidak lebih daripada sehimpunan rumus. Melalui strategi penggabungjalinan murid diasuhkan menguasai tatabahasa sambil melakukan aktiviti-aktiviti yang bermakna dalam kemahiran mendengar, bertutur, membaca, dan menulis. Melalui strategi, penyerapan pula, murid dituntun menguasai tatabahasa dalam konteks yang bermakna, iaitu sambil mempelajari beraneka maklumat ilmu, hal ehwal semasa, kegiatan masa lapang, dan nilai-nilai murni. Dengan demikian, tatabahasa tidak menjadi unsur yang terasing daripada kehidupan sehingga fahamlah murid mengapa ia perlu mempelajari tatabahasa dan fahamlah juga guru mengapa ia perlu mengajarkan tatabahasa.

Daripada segi pelaksanaannya, pendekatan bersepadu dalam pengajaran tatabahasa memerlukan perhatian yang sungguh-sungguh daripada segi perancangan dan pengajarannya di bilik darjah.

Perancangan

Aspek perancangan yang pertama melibatkan usaha mengenal pasti unsur-unsur tatabahasa yang perlu diajarkan sepanjang tahun, dengan berdasar pada Risalah Panduan Pemeringkatan dan Perincian Tatabahasa untuk peringkat sekolah menengah yang diterbitkan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum. Selanjutnya unsur-unsur tata bahasa itu perlu dimasukkan dalam perancangan tahunan, penggal, mingguan, dan akhirnya harian. Kesesuaian unsur tatabahasa tertentu dimasukkan dalam kelompok kemahiran-kemahiran (kecekapan-kecekapan di bawah setiap kemahiran) bergantung pada beberapa pertimbangan, iaitu mudah sukarnya dan relevannya dengan bahan pengajaran.

Aspek lain yang perlu diberi perhatian ialah pemilihan bahan pengajaran. Bahan pengajaran yang dimaksudkan ialah yang dapat digunakan untuk menyampaikan maklumat tentang unsur atau unsur-unsur tata bahasa yang hendak diajarkan. “Bahan” di sini tidak patut disalahertikan sebagai perincian tentang unsur tatabahasa, misalnya bentuk-bentuk kata ganda berserta huraian tentang makna dan contohnya untuk unsur “kata ganda” yang menjadi fokus pengajaran. Bahan yang dimaksudkan ialah wadah penggunaan bahasa yang hendak diajarkan, atau bahan yang dapat dijadikan asas untuk mencungkil atau meramalkan unsur-unsur tata bahasa tertentu. Bahan yang menjadi wadah bahasa ialah pelbagai bentuk wacana, sementara yang dapat menjadi asas mencungkil unsur tata bahasa ialah ilustrasi. Dengan perkataan lain, dapatlah kita katakan bahan itu sebagai “bahan ransangan”.

Beberapa pertimbangan dalam pemilihan bahan untuk pengajaran tatabahasa ialah:

a. Memanfaatkan pelbagai bentuk bahan seperti prosa, puisi dan bahan grafik, sesuai dengan kepalbagaian konteks penggunaan tata bahasa.

b. Bahan hendaklah meliputi pelbagai bidang ilmu dan maklumat yang sesuai, selaras dengan konsep penyerapan ilmu.

c. Bahan hendaklah berisi nilai atau nilai-nilai murni, selaras dengan gagasan penyerapan nilai.

d. Bahan sedapat-dapatnya hendaklah autentik, seperti iklan, borang, risalah, dan sebagainya.

e. Bahan yang dipilih mestilah bermutu bahasanya, kecuali untuk tujuan analisis kesilapan.

f. Bahan hendaklah dapat menarik minat murid.

Dengan adanya bahan rangsangan, dapatlah murid diajar tentang tatabahasa dalam konteks, sama ada konteks ilmu, laras bahasa, mahupun jenis-jenis wacana. Maksudnya, murid tidak mempelajari tatabahasa tanpa latar. Guru pula dapat memanfaatkan bahan untuk memberikan contoh unsur tatabahasa yang ada unsur ilmu dan nilainya. Demikian juga, guru dapat membina latihan daripada bahan tersebut. Apabila pengajaran guru, termasuk contoh dan latihannya berdasar pada bahan yang terpilih, maka terlaksanalah pengajaran yang berdasarkan tema.


Pengajaran

Pengajaran tatabahasa di bilik darjah melibatkan pemilihan aktiviti yang sesuai dan menarik. Pendekatan deduktif yang dilaksanakan dalam bentuk penerangan rumus tampaknya tidak sesuai untuk pengajaran tatabahasa di peringkat sekolah. Antara aktiviti yang dapat menimbulkan minat murid termasuklah:

a. Kegiatan penemuan – murid mengesan unsur atau unsur-unsur tatabahasa tertentu dalam bahasa.

b. Kegiatan berdialog dan berlakon – murid menggunakan pola-pola tertentu yang sesuai, seperti jenis ayat (ayat tanya, ayat penyata, ayat seruan, ayat permintaan) atau kata-kata tanya, kata silaan, kata seru, dan sebagainya.

c. Kegiatan mencungkil unsur bahasa daripada visual – murid menamakan objek atau peristiwa, menyatakan sifat atau keadaan, membina ayat daripada bahan tersebut, dan sebagainya.

d. Kegiatan berpuisi, bernyanyi, dan bercerita – murid menghayati unsur-unsur bahasa dalam bahan dan boleh juga menghasilkan puisi, seni kata, dan cerita.

e. Kegiatan pentomim – murid mengagak nama, perbuatan atau sifat, atau mungkin ayat yang dibayangkan oleh bahasa badan.

f. Kegiatan main peranan – murid diletakkan dalam situasi atau konteks yang sebenarnya dan menggunakan bahasa yang sesuai dengan konteks itu, misalnya sebagai wartawan ia menggunakan kata tanya dan ayat tanya yang betul (5W + 1H).

g. Kegiatan permainan bahasa – murid berteka-teki, menjawab kuiz, meneka nama, sifat, perbuatan, teka silang kata, melengkapkan peta minda, memadankan unsur bahasa (seperti subjek-prediket), melengkapkan ayat, menukar struktur ayat untuk maksud yang sama, dan sebagainya.

h. Kegiatan penyuntingan – murid membuat analisis kesilapan dan membetulkan bahasa pada bahan autentik (termasuk juga karangan murid).

i. Kegiatan penghasilan – murid berkreativiti menggunakan unsur-unsur tatabahasa untuk menulis iklan, moto, slogan, tema, poster, dan sebagainya.

PENUTUP BICARA

Demikianlah secara umum gagasan tentang bagaimana kira-kira tatabahasa dapat diajarkan dengan menarik. Asas yang saya gunakan ialah pertama-tama sekali menimbulkan pengertian bahawa tatabahasa ialah bahagian yang penting dalam kehidupan kita. Oleh itu pengajaran tata bahasa tidak boleh diajarkan secara terasing, melainkan hendaklah diajarkan dengan strategi penggabungjalinan dan penyerapan. Untuk memenuhi strategi tersebut, perlu dibuat perancangan yang rapi, terutama daripada segi pemilihan bahan untuk menunjukkan konteks yang sesuai bagi unsur-unsur tata bahasa yang hendak diajarkan. Dalam pengajaran di bilik darjah pula, guru perlu melaksanakan pelbagai teknik dan aktiviti yang dapat merangsang murid sehingga pengajaran tata bahasa dapat membantu murid menguasai tata bahasa dengan tidak berasa tertekan atau terpaksa.


~Kembara Bahasa~
21 Oktober 2011/23 Zulkaedah 1432


5 comments:

  1. Salam, Prof,
    Insya-Allah, saya akan membeli edisi kedua judul ini kelak. Cepatlah terbitnya edisi kedua itu hendaknya.

    ReplyDelete
  2. Mudah-mudahan. Tampaknya hukum perniagaan berlaku di mana-mana; syarikat mengusahakan penerbitan buku yang mudah dijual dan buku ilmiah menjadi pilihan terakhir dalam jadual penerbitan.

    ReplyDelete
  3. Salam,prof,izinkan saya mengambil sedikit nota ini untuk tugasan saya,terim kasih.

    ReplyDelete
  4. Nama saya ialah Sanjib Adhikari. Sebagai panduan trekking yang bebas dan pengendali pelancongan di Nepal, saya ingin mengalu-alukan semua orang di negara motherland saya, Nepal. Dengan minat dalam pelancongan pengembaraan, saya telah terlibat dalam bidang ini pada usia yang sangat muda. Mengejar kerjaya saya dalam kapasiti yang berlainan sebagai porter, panduan Penolong, saya telah membangunkan diri saya sebagai panduan trekking yang bebas dan kepimpinan dalam pelbagai aktiviti luar. Berlesen dan disahkan sepenuhnya dari kerajaan Nepal, kita merancang dan membimbing penerokaan dan pengembaraan sepanjang Nepal.

    Sedikit sejarah: Aku sendiri pernah melalui ekspedisi ke puncak Mera, puncak Pulau, Kalapathar, Gokyo memuncak, Tseryo RI dan merentasi banyak tinggi Pas di Nepal, Larkye Pas, Ampulapcha Pas, bantu Pas, Pas Renjula Tashilapcha Pas, Pas Ganjala, Thorong La Pas, Pas Tilicho, (Mesokantola Pas). Kami juga menawarkan Everest asas Trek kem, Annapurna asas kem berjalan, Ghorepani Poon Bukit berjalan Manaslu Trek, Langtang Trek, Kanchenjunga berjalan. Dalam masa panjang perjalanan yang mencabar, saya mempunyai pengalaman membimbing yang luas di Mt. Kailash, Lhasa di Tibet juga Ladak dan Sikkim di India. Pendaftaran selama 7 tahun perjalanan panjang memberi saya keberanian untuk bekerja untuk satu kebebasan yang dianjurkan agensi trekking.

    ReplyDelete
  5. Panduan Kembara di Nepal
    Trek kem dasar Everest / Kalapattar


    Acara kemuncak: Gunung EVEREST TREKKING
    Kami Everest Base Camp berjalan mengambil trekkers berpengalaman ke tengah-tengah Himalaya
    Melihat matahari terbit dari atas Kalapattar
    Belajar tentang budaya dengan
    Tinjauan:
    Everest Base Camp trek anda akan sampai ke tengah-tengah rantau Himalaya dan Gunung Everest yang legenda. Diberi amaran: trek kami merupakan satu cabaran yang sukar. Orang-orang yang lengkap boleh mengatakan mereka telah melawat gunung tertinggi di dunia.
    Description/kawalan:
    Everest Base Camp perjalanan jauh (5, 350m) adalah bagi orang-orang yang digunakan untuk berjalan kaki dan mendorong diri mereka kepada had. Ia adalah satu cabaran yang sukar terutamanya di sepanjang glasier Khumbu.

    Untuk pemandangan tanpa halangan puncak Everest di windblown, kami akan mendaki ke puncak Kala Patar pada melebihi 18,500 Ka (5,545 meter). Dari puncak tengah, matahari terbit adalah satu penglihatan yang tidak dapat dilupakan.

    Beberapa orang balik dari Everest Base Camp berjalan unmoved dengan pengalaman. Ini adalah sebab utama mengapa trek kem dasar Everest semakin meningkat popular. Menjelang akhir anda akan mampu untuk mengatakan anda telah melawat gunung tertinggi di dunia.


    http://nepalguideinfo.com/Everest-Base-Camp-trek/
    http://nepalguideinfo.com/

    http://www.hikehimalayas.com/trekking-in-Nepal/trekking-Region/Everest-Region/Everest-Base-Camp.htm
    Email-:sanjib-adhikari@Hotmail.com
    https://www.Facebook.com/Independenttrekkinguidenepal
    http://nepalguideinfo.com/

    http://www.hikehimalayas.com/trekking-in-Nepal/trekking-Region/Everest-Region/Everest-Base-Camp.htm
    Email-:sanjib-adhikari@Hotmail.com
    https://www.Facebook.com/Independenttrekkinguidenepal

    ReplyDelete