Wednesday, October 19, 2011
Islam dan Cabaran Masa Kini: Aspek Ilmu dan Pendidikan
ISLAM DAN CABARAN MASA KINI:
TUMPUAN PADA ASPEK ILMU DAN PENDIDIKAN
Prof. Dr. Awang Sariyan
Penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia-China
Beijing Foreign Studies University
[Kertas kerja yang disampaikan dalam Forum Perdana Islam dan Cabaran Masa Kini, bersempena dengan Ihya’ Ramadhan UniMap 2009, Universiti Malaysia Perlis, pada 25 Ogos 2009]
1. Pendahuluan
Agama Islam yang berkonsepkan ‘selamat’ dan ‘penyerahan (makhluk kepada Khaliq)’ diturunkan Allah S.W.T sebagai penyempurna segala agama terdahulu untuk menuntun atau membimbing manusia:
“Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Kucukupkan kepdamu ni`mat-Ku, dan telah Ku-redhai Islam itu menjadi agama bagimu (al-Maidah: 3).
Keperluan manusia dibimbing oleh Allah S.W.T melalui penurunan agama, dengan rasul-rasul pilihan, tidaklah lain disebabkan oleh amanah yang telah diberikan-Nya kepada manusia untuk menjadi khalifah-Nya di muka bumi (al-Baqarah: 30).
Dalam menghadapi kemelut tamadun moden yang simpang-perinang dan tampak terarah lebih berat kepada kemajuan kebendaan dan kemegahan kuasa pemerintahan dan pengetahuan manusia, Islamlah yang menjadi pilihan satu-satunya untuk manusia mencapai keseimbangan dalam pembangunan dan kehidupan. Asasnya ialah bahawa Islam sebagai agama penyempurna memberi manusia manhaj kehidupan yang memiliki ciri-ciri keseimbangan dan kesempurnaan (Al-Qaradhawi, 1998: 204-205).
Manhaj yang seimbang dan sempurna itu terkandung dalam kalimah as-sirat al-mustaqim (jalan yang lurus) (al-Fatihah: 6). Di samping itu, Allah S.W.T telah menjadikan umat Islam sebagai umat yang lebih istimewa daripada umat-umat lain:
“Dan demikian, Kami telah menjadikan kamu umat yang adil dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas perbuatan manusia.” (al-Baqarah: 143).
Dalam pelestarian Islam sebagai jalan lurus yang seharusnya dapat menjadi acuan segenap aspek kehidupan umatnya, timbul pelbagai cabaran. Cabaran itu lebih tepat dikaitkan dengan masalah umat Islam itu sendiri, daripada masalah Islam, kerana lunas-lunas Islam telah jelas disempurnakan oleh Allah S.W.T melalui semua wahyunya yang disampaikan oleh Jibril kepada Nabi Muhammad S.A.W.
Cabaran kepada umat Islam dapat dibahagi kepada dua kategori utama, iaitu cabaran dalaman dan cabaran luaran. Tumpuan perhatian dalam kertas kerja ini diberikan kepada cabaran dalaman, kerana cabaran dalam kategori itulah yang sebenarnya yang lebih banyak menentukan jaya gagalnya umat Islam, baik untuk mendepani segala kemelut dan juga untuk menjadi pemimpin umat manusia seluruhnya. Dalam kertas kerja ini, hanya aspek cabaran kepada umat Islam dalam bidang ilmu dan pendidikan sahaja yang dibincangkan, kerana segala cabaran dan masalah yang melanda sesuatu umat, termasuk umat Islam sebenarnya berpunca daripada masalah ilmu dan pendidikan.
2. Ilmu dan Pendidikan Asas Kebangkitan Islam dan Umat Islam
Terang bahawa Islam ialah agama yang amat menitikberatkan ilmu. Ayat pertama yang diwahyukan oleh Allah S.W.T mengisyaratkan pentingnya ilmu:
“Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmulah yang maha pemurah. Yang mengajar manusia dengan perantaraan kalam. Dia mengajar manusia apa-apa yang tidak diketahuinya.” (al- `Alaq: 1-5)
Manusia pertama, Nabi Adam a.s. dilengkapi ilmu oleh Allah sebagai prasyarat untuk mentadbirkan alam, dengan dikurniai nama segala kejadian yang ada (beserta sifat, kualiti dan kegunaan setiap benda dan kejadian itu) (al-Baqarah: 31).
Ilmu jualah yang membedakan mutu dan nilai seseorang manusia daripada manusia yang lain:
“Katakanlah: Adakah sama orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu.” (al-Zumar: 9).
Bahkan, tingkat taqwa seseorang kepada Allah ditentukan oleh taraf ilmunya:
“Sesungguhnya orang yang paling taqwa (paling takut kepada Allah) ialah kalangan hambanya yang berilmu.” (Fathur: 28).
Islam meletakkan hubungan tiga unsur yang tidak boleh dipisah-pisahkan untuk menjamin kelangsungan tamadun umatnya, iaitu paduan antara Islam, iman dan ilmu. Islam tanpa iman menyebabkan wujudnya umat Islam pada nama, sebahagiannya atas dasar keturunan (dan fenomena ini malangnya berlaku dan dapat disaksikan di beberapa banyak bahagian dunia). Salah punca terjadinya hal itu ialah ialah ketiadaan atau kekurangan ilmu dalam kalangan masyarakat berkenaan (sebahagiannya disebabkan penjajahan yang demikian lama oleh kuasa yang sama anti agama atau anti agama Islam).
Demikianlah pula, iman tanpa ilmu dengan mudah menyebabkan berlakunya kesesatan, kerana ilmu ialah imam (pembimbing) kepada iman. Ketiadaan atau kekurangan, atau kekeliruan ilmu yang benar mendatangkan pelbagai musibah kepada umat Islam, baik dalam amalan beragama mahupun dalam kehidupan sehari-hari.
Rumusan yang dapat dibuat ialah bahawa Islam menekankan pentingnya umatnya menguasai ilmu. Penekanan akan penguasaan ilmu itu pertama-tamnya untuk mengenal Allah sebagai pencipta sekalian kejadian dan segala yang berkaitan dengannya (yang dikenal sebagai Arkan al-Iman atau Rukun Iman), untuk mengetahui dan mengamalkan syariat Islam (segala yang terangkum dalam Arkan al-Islam atau Rukun Islam) dan segala aspek lain kehidupan yang menyeluruh (perihal muamalat, munakahat, jinayat, siasah, akhlak dan yang lain).
Selain itu, tuntutan Islam kepada umatnya agar menguasai ilmu berkaitan rapat dengan keperluan mereka memenuhi amanah manusia sebagai khalifah Allah di muka bumi, dan kemudian untuk menjadi pemimpin umat manusia seluruhnya. Tanpa ilmu, tidak mungkin manusia, khususnya umat Islam dapat melaksanakan tanggungjawabnya sebagai hamba Allah:
“Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia, melainkan supaya mereka beribadah kepada-Ku.” (al-Zariyat: 56).
3. Cabaran-cabaran kepada Umat Islam dalam Bidang Ilmu dan Pendidikan
Antara isu yang timbul berkaitan dengan cabaran dalam bidang ilmu dan pendidikan termasuklah:
1. Isu ilmu fardhu `ain dan fardhu kifayah
Isu yang paling asas dalam kalangan umat Islam sedunia, termasuk di negara ini ialah penguasaan ilmu fardhu `ain dan ilmu fardhu kifayah, yang sama ada tidak memenuhi syarat yang asasi mahupun tidak mencapai keseimbangan dan kesepaduan antara kedua-duanya. Dalam hal fardhu `ain, misalnya, dapat dikesan wujudnya keadaan sebilangan umat Islam yang tidak menguasai ilmu tersebut pada tahap yang sewajarnya, sehingga ilmu tersebut masih tidak beres pada usia yang lanjut.
Dengan tidak berniat untuk meremehkan usaha mempelajari ilmu fardhu `ain yang telah tertinggal atau dialpakan pada usia yang lebih muda dalam kalangan orang yang berusia 40-an, 50-an atau malah yang lebih tua daripada itu, dapat kita bayangkan besarnya masalah umat Islam untuk dapat mencapai tahap ilmu yang lebih tinggi, termasuk ilmu yang berkaitan dengan pemikiran dan pengurusan pelbagai masalah umat Islam sezaman.
Dengan keadaan demikian, tumpuan perhatian sejumlah umat Islam tidak beranjak ke tahap peningkatan ilmu yang lebih kompleks. Masih banyak kekeliruan yang berkaitan dengan ilmu tentang amalan-amalan asas sebagai orang Islam yang telah mukallaf, sehingga perkembangan ilmu umat Islam dapat dirasakan tersekat. Sebagai contoh mudah, masih agak besar masyarakat umum yang keliru dalam menempatkan ibadah yang wajib dengan yang sunat; sebahagiannya meraikan ibadah yang sunat tetapi meninggalkan yang wajib (contohnya, mengimarahkan masjid pada bulan Ramadhan dengan solat sunat tarawih tetapi menyepikan diri daripada mengikuti kuliah di masjid) atau melaksanakan sebahagian yang wajib tetapi meninggalkan ibadah wajib yang lain (contohnya berpuasa, tetapi tidak solat). Sebahagian punca masalah itu tidak lain daripada kurangnya ilmu.
2. Kelemahan dalam penguasaan ilmu-ilmu fardhu kifayah
Isu selanjutnya yang erat kaitannya dengan isu pertama itu ialah kurangnya penguasaan umat Islam kini, berbanding dengan umat bukan Islam dalam bidang ilmu fardhu kifayah, iaitu ilmu yang berkaitan dengan maslahah umum. Pada zaman kegemilangan Islam dahulu, khususnya pada zaman Bani Abbasiyah, umat bukan Islam menjadikan umat Islam sebagai sumber mereka mempelajari dan kemudian mengembangkan ilmu dalam pelbagai bidang, baik bidang sains kemanausiaan mahupun sains tabii. Sarjana Islam seperti Ibnu Khaldun menjadi sumber rujukan sarjana Barat dalam bidang sejarah dan sosiologi, sementara Ibnu Sina, al-Razi, al-Khwarizmi dan sejumlah besar yang lain menjadi sumber inspirasi orang Barat menguasai sains tabii, termasuk perubatan.
Kini, umat Islam pula yang menjadi makmum kepada sejumlah besar sarjana Barat dalam pelbagai bidang, sebahagiannya menjadi pengikut yang taksub dan tidak dapat menilai kebenaran ilmu dan kaedah yang diperkenalkan oleh sarjana Barat itu. Dalam bidang kehidupan yang umum, umat Islam ironisnya lebih bersikap sebagai masyarakt pengguna daripada masyarakat pencipta keperluan hidup, sehingga kreativiti seolah-olah menjadi milik umat lain, bukan milik umat Islam (sebagai umat yang terpilih). Dalam kebangkitan bangsa Jepun, Korea, China, di samping bangsa-bangsa Barat, kreativiti umat Islam tidak begitu ketara dalam bidang perekaan dan inovasi.
Kedua-dua isu itu tentulah berkaitan dengan sistem pendidikan yang belum berasaskan petunjuk yang telah ada dalam tradisi pendidikan Islam. Ilmu menurut kerangka Islam terbahagi kepada dua katetori yang utama. Yang pertama ialah ilmu-ilmu fardhu `ain (yang meliputi ilmu-ilmu tanzil atau ilmu yang diwahyukan - the revealed knowledge). Yang kedua ialah ilmu-ilmu yang dicari, iaitu ilmu-ilmu yang diperoleh daripada kajian, pemerhatian, renungan dan sebagainya oleh manusia (the acquired knowledge).
Kategori ilmu yang pertama merupakan teras kerana berkaitan dengan ilmu yang berkaitan dengan Allah sebagai pencipta, kepercayaan kepada para Rasul, Kitab-kitab, para Malaikat, Hari Pembalasan, dan Ketentuan Allah. Kategori ilmu yang kedua pula merangkum ilmu-ilmu yang diperlukan untuk memenuhi keperluan hidup, termasuk untuk memenuhi amanah sebagai pentadbir atau pengurus di muka bumi. Dalam kategori ini terangkum pelbagai ilmu sains kemanusiaan (seperti sosiologi, sejarah, psikologi, pengurusan) dan ilmu sains tabii (seperti kimia, fizik, biologi, perubatan dengan pelbagai cabangnya dan lain-lain).
Umat Islam secara sejagatnya masih belum menguasai kedua-kedua kategori ilmu itu secara bersepadu dan seimbang. Sistem pendidikan sebahagian besar umat Islam masih terbelengggu oleh sistem dualisme, iaitu yang memisahkan ilmu keagamaan daripada ilmu duniawi, dan sebaliknya. Maka lahirnya pengkhususan atau aliran yang mengakibatkan adanya golongan lulusan bidang agama dan golongan lulusan bidang bukan agama (sains, perubatan, undang-undang, pengurusan dan sebagainya). Penguasaan ilmu-ilmu keagamaan dianggap sebagai pengkhususan golongan tertentu, sehingga golongan yang berada dalam aliran atau pengkhususan ilmu bukan keagamaan seakan-akan tidak disyaratkan menguasai ilmu keagamaan sebagai ilmu teras.
Kesan langsung daripada keadaan tersebut ialah sama ada kosongnya atau kurangnya nilai dan pertimbangan keagamaan dalam pelaksanaan tugas atau kerjaya sejumlah golongan yang bukan lulusan agama. Istilah jenayah kolar putih yang merujuk kepada jenayah dalam kalangan profesional dengan jelas membayangkan wujudnya masalah sosial yang berkaitan dengan kekurangan pertimbangan akhlak dalam bidang kerjaya. Bagi yang mempunyai kesedaran kemudian, mereka terpaksa mengqadha’ usaha menuntut ilmu fardhu `ain yang telah terabai sehingga terjadi keadaan “sekatan ilmu” pada mereka yang berkenaan, sebagaimana yang telah saya bicarakan lebih awal.
Oleh sebab perlu menampung kekurangan ilmu fardhu `ain yang kurang sempurna pada peringkat awal, usaha mendalami ilmu bagi mereka terbatas pada hal ehwal yang berkaitan dengan fardhu `ain yang seharusnya telah selesai pada peringkat remaja. Namun, sekali lagi saya tegaskan bahawa kesedaran untuk mengqhada’ menuntut ilmu fardhu `ain itu masih tetap terpuji, berbanding dengan orang yang tidak mempunyai kesedaran sedemikian dan terus hanyut dengan kejahilan.
Bagi golongan yang terlatih dalam bidang yang dikenal sebagai “pengajian Islam”, timbul anggapan sesetengah anggota masyarakat tentang penguasaan golongan tersebut dalam bidang penerapan, seperti pengurusan. Lulusan bidang agama seolah-olah tidak mempunyai keterampilan yang setanding dengan lulusan bidang lain, dan dalam sesetengah keadaan memiliki bidang kerjaya yang terhad. Sebilangan mereka menjadi mangsa sistem pendidikan yang dualistik.
Bagaimanapun kekecualian fenomena di atas berlaku dalam kalangan anggota masyarakat yang secara sedar berusaha menyepadukan kedua-dua kategori ilmu itu menurut maratib ilmu yang sewajarnya menurut kerangka ilmu Islam (seperti dengan penubuhan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan beberapa institusi lain, baik atas daya usaha kerajaan mahupun pihak bukan pemerintah). Usaha menyepadukan ilmu keagamaan dengan ilmu duniawi telah memperlihatkan hasil yang positif melalui sekolah menengah agama berasrama penuh kelolaan kerajaan dan juga melalui institusi pendidikan bukan pemerintah yang menekankan kesepaduan ilmu.
Demikian juga penstrukturan kurikulum yang memadukan bidang agama sebagai pengkhususan utama dengan bidang lain sebagai pengkhususan kedua (sebagaimana yang dilakukan di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya) di harapkan dapat secara beransur-ansur mengatasi kesan dualisme dalam sistem pendidikan. Agenda mengatasi cabaran ilmu dan pendidikan yang tersebut di atas memang telah kian ketara di sebahagian negara umat Islam, tetapi jelas belum menyeluruh dan belum benar-benar memperlihatkan dampak yang seharusnya.
3. Kesan pengaruh epistemologi Barat
Cabaran lain yang berkaitan dengan ilmu dan pendidikan berkaitan dengan isu epistemologi atau teori ilmu. Lebih tadi ada saya bayangkan bahawa sebilangan anggota masyarakat Islam, khususnya kalangan sarjana, yang terpukau oleh pelbagai teori dan kaedah yang dikemukakan oleh sarjana Barat, sehingga mereka itu dianggap imam besar yang teori dan kaedahnya diterima bulat-bulat dan dikembangkan dalam kalangan masyarakat Islam tanpa penapisan atau penilaian.
Dalam tulisan saya (2007), saya merumuskan krisis dalam bidang epistemologi Barat sebagai yang berikut:
1. lebih cenderung untuk berkonflik daripada untuk mengusahakan pemaduan antara fahaman (seperti antara preskriptisme dengan deskrptifisme);
2. terpengaruh oleh pengasingan atau pemetakan unsur-unsur tertentu yang pada hakikatnya merupakan suatu kesatuan (seperti sumber ilmu yang disandarkan mutlak pada pancaindera dan sumber lain seperti intuisi dianggap tidak ilmiah)
3. lebih cenderung menghormati dan meraikan sesuatu yang lebih baharu (teori, konsep dsb.) daripada yang sedia ada, sehingga pada peringkat yang ekstrem bidang ilmu diperlakukan seolah-olah sebagai fesyen;
4. kehilangan matlamat yang jelas dan hakiki dalam keasyikan dan zauq melaksanakan kerja ilmiah.
5. kepercayaan bahawa ilmu berubah terus-menerus dan tiada kebenaran yang pasti.
Kenyataan yang tidak dapat ditolak dalam perkembangan kegiatan ilmiah, bahkan dalam hampir seluruh kehidupan manusia ialah besarnya pengaruh kebudayaan Barat, yang mula tumbuh dalam zaman Yunani beberapa abad sebelum Masihi kepada kebudayaan manusia sedunia, termasuk masyarakat Islam. Dapat dikatakan bahawa seluruh bidang ilmu, baik ilmu sains tabii mahupun ilmu sains kemanusiaan disandarkan pada tradisi ilmu Barat, termasuk dalam hal epistemologi.
Tradisi ilmu yang kukuh dalam zaman gemilang Islam, terutama dalam zaman Abbasiyah, sejak diambil alih oleh kebudayaan Barat hampir-hampir tidak kelihatan kesannya dalam perkembangan ilmu di dunia. Hanya sesudah timbul gerakan pengislaman ilmu yng secara nyata bermula pada tahun 1970-an, barulah tampak sedikit perkembangan ilmu yang berasaskan epistemologi dan kerangka falsafah Islam.
Oleh sebab hampir keseluruhan perkembangan ilmu sedunia hingga kini dapat dikatakan berteraskan kerangka falsafah kebudayaan Barat, termasuk aspek epistemologinya, maka ada baiknya lebih dahulu diberikan gambaran secara ringkas inti sari falsafah Barat yang secara langsung mempengaruhi epistemologi dan perkembangan ilmu sedunia.
Falsafah Barat yang diasaskan oleh orang Yunani sejak 600 tahun sebelum Masihi di Miletus di pantai timur laut Aegean bertitik tolak daripada semangat untuk memahami alam di sekeliling manusia dan alam dalam diri manusia sendiri (White, 1991: iv). Pada para pemikir Yunani purba, falsafah merupakan bahagian penting kehidupan manusia kerana falsafah berkaitan dengan tiga soal asas, iaitu apakah hakikat alam di sekeliling manusia, bagaimanakah fikiran manusia bekerja, dan apakah jalan mencapai kebahagiaan.
Matlamat praktis falsafah ialah memahami isu isu asas yang berkaitan dengan kehidupan manusia, dengan akal menjadi alat utama untuk melaksanakan penyelidikan falsafah itu. Demikianlah maka sejarah perkembangan falsafah Barat dari zaman kuno yang diwakili oleh orang Yunani ke zaman pertengahan, dan kemudian ke zaman moden ditandai oleh kegiatan akal untuk mencari dan memahami hakikat diri dan alam di sekitarnya.
Usaha manusia Barat mencari hakikat itu dapat dilihat dalam bidang yang dikenal sebagai metafizik, epistemologi, etika, logika, dan falsafah politik (White, 1991: 13 14). Metafizik yang disebut oleh Aristotle sebagai "falsafah pertama" menggarap isu isu asas seperti hakikat, kewujudan, kemanusiaan, kebebasan lawan ketentuan, dan sebagainya. Bidang ini dikenal juga sebagai teori hakikat kewujudan. Hal ini sesuai dengan etimologi kata metafizik daripada bahasa Latin (meta bererti belakang; oleh itu metafizik berkaitan dengan apa apa yang ada atau dipercayai ada di belakang sesuatu) (Sidi Gazalba, 1974: 70).
Epistemologi (daripada kata episteme yang bererti ilmu dan logos yang bererti kajian atau sains) ialah bidang falsafah yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan dan konsep konsep yang berkaitan dengannya. Bidang ini dikenal juga sebagai teori ilmu. Sementara itu, etika yang dikenal sebagai falsafah moral ialah bidang yang berkaitan dengan isu benar, salah, dan aspek aspek lain yang berkaitan dengan penilaian tingkah laku manusia.
Selanjutnya, logika ialah bidang falsafah yang mengkaji alasan dan struktur hujah, dan menjadi asas setiap penyelidikan falsafah. Akhir sekali, falsafah politik merangkum isu isu yang timbul dalam kehidupan manusia sebagai anggota masyarakat, termasuk isu kekuasaan politik, utopia, keadilan, dan masalah pengharmonian antara kebebasan dengan tanggungjawab.
Inti sari falsafah Barat yang berkisar di sekitar lima bidang itu tergambar dalam sejarah falsafah Barat dari zaman awal hingga zaman moden. Albert William Levi (1991) membahagi sejarah falsafah Barat kepada empat zaman, iaitu:
a. falsafah zaman silam atau kuno (zaman aristokrat);
b. falsafah zaman pertengahan (zaman paderi);
c. falsafah zaman moden (zaman gentleman);
d. falsafah kontemporari (zaman profesional).
Pembahagian Levi itu membayangkan evolusi falsafah Barat yang bermula dengan peneguhan sistem aristokratik dalam zaman Yunani lalu berkembang kepada penguasaan gereja Roman dalam zaman pertengahan (abad 5 15 M.), dan selanjutnya kepada kemajuan sains dalam zaman moden yang bermula pada abad ke 17.
Menurut analisis Levi (1991: 449), keempat empat zaman itu menayangkan sejarah dan situasi politik, agama, sains, dan semantik yang dilalui oleh masyarakat Barat dari zaman kuno hingga zaman moden. Falsafah zaman kuno yang dicetuskan oleh Plato, yang dianggap oleh Whitehead sebagai pencetus dan pemuka citra falsafah Barat melalui ungkapan "keseluruhan tradisi falsafah Barat ialah siri nota kaki kepada Plato" (Levi, 1991: 3), menimbulkan soalan "Bagaimanakah aristokrasi dapat dipulihkan?" Saint Thomas Aquinas yang mewakili zaman falsafah gereja pula menimbulkan soalan "Bagaimanakah gereja Roman dapat mencapai kejayaan?" dalam rangka menyediakan institusi serta ideologi yang memungkinkan tercapainya kemapanan sosial secara teokratik.
Selanjutnya, falsafah zaman moden yang diwakili oleh Rene Descartes mengajukan soalan "Bagaimanakah sains dapat berkembang maju dan mencapai kepastian?" sebagai upaya membebaskan falsafah dan pemikiran daripada belenggu paderi ke tangan cendekiawan dengan premis kerjanya berdasarkan kuasa akal dan diri, bukan Tuhan dan ciptaan Nya.
Betrand Russell (1993) pula membahagi sejarah falsafah Barat kepada tiga zaman, iaitu:
a. falsafah purba yang meliputi zaman pra Socrates (mazhab Miletus, Pythagoras, Heraditus, Parmenides, Empedocles, Anaxygoras, ahli atom, dan Protagoras), zaman Socrates, Plato, dan Aristotle, dan zaman pasca Aristotle (aliran cynic dan sceptic, fahaman Epicurus, fahaman Stoik, dan Plotinus);
b. falsafah Katolik yang meliputi zaman paderi (agama Kristian sepanjang empat abad yang pertama, doktor doktor gereja, iaitu Saint Arubrose, Saint Jerome, Saint Augustine, dan Pope Gregory) dan zaman ahli mazhab (zaman gelap sistem pemerintahan Paus, John The Scot, pembaruan gereja pada abad ke 11, Saint Thomas Aquinas, mazhab Franciscan, dan zaman gerhana Paus).
c. falsafah moden dari zaman pembaruan hingga zaman Hume (zaman pembaruan Itali, Machiavelli, Erasmus dan More, islah Katolik, kebangkitan sains, Francis Bacon, Leviathan Hobbes, Descartes, Spinoza, Leibniz, Liberalisme berfalsafah, teori ilmu Locke, falsafah politik Locke, Berkeley, dan Hume) dan dari zaman Rosseau hingga kini (gerakan Romantik, Rosseau, Kant, aliran pemikiran abad ke 19, Hegel, Byron, Schopenhauer, Nietzshe, golongan utilitarian, Karl Marx, Bergson, William James, John Reney, dan falsafah analisis logika).
Zaman falsafah purba yang mengalami ketidaktentuan tentang hal hal yang berkaitan dengan teologi dan kosmologi bermula dengan ahli ahli falsafah mazhab Miletus seperti Thales, Anaximender, dan Anaximenes yang spekulasinya bersifat saintifik kepada mazhab falsafah di Itali Selatan yang lebih bersifat keagamaan, dengan Pythagoras sebagai pemukanya; kemudian kepada falsafah keagamaan dan politik (ketaatan kepada negara) yang diwakili terutamanya oleh Socrates, Plato, Aristotle di satu pihak dan golongan Stoik (yang lebih mementingkan hubungan ruh dengan Tuhan lebih daripada hubungan rakyat dengan negara; dan diakhiri oleh Plotinus yang memulakan metafizik Tritunggal Suci (Holy Trinity).
Falsafah Katolik yang menandai tahap kedua evolusi falsafah Barat memperlihatkan konflik antara tugas kepada Tuhan dengan tugas kepada negara dalam bentuk pertentangan antara gereja dengan raja. Pada zaman ini kehidupan intelek diisi oleh kaum paderi. Tempoh keagungan pertama falsafah Katolik dikuasai oleh Saint Augustin sementara tempoh kedua diakhiri oleh Saint Thomas Aquinas. Dari abad ke 4 sehingga abad ke 14, kaum paderi memonopoli falsafah secara mutlak dan dengan itu falsafah ditulis berdasarkan sudut pandangan gereja (Russell, 1993: 362).
Tahap ketiga evolusi falsafah Barat, iaitu falsafah moden ditandai oleh kebangkitan sains yang secara nyata dipelopori oleh Rene Descartes yang di samping menjadi ahli falsafah merupakan ahli matematik dan ahli sains juga. Dalam falsafah, perhatian Descartes tertumpu kepada diri individu dan peranan akal, yang diungkapkannya sebagai "Corgito, ergo sum" ("saya berfikir kerana itulah diri saya"). Dalam hal pengasasan epistemologi Barat moden, Descartes mengemukakan kaedah kesangsian (kesangsian Cartesian) yang ternyata menjadi asas falsafah ilmu dan perkembangan ilmu orang Barat sehingga kini yang menjelma dalam bentuk fahaman subjektivisme, relativisme, dan bahawa tidak ada kebenaran yang mutlak dan muktamad.
Perbincangan tentang inti sari falsafah Barat yang jauh lebih bererti daripada perbincangan tentang perkembangan evolusi falsafah Barat ialah yang berkaitan dengan hasil kegiatan berfalsafah orang Barat dalam pengutaraan asas pemikiran tertentu yang berpengaruh sebagai kerangka falsafah dan pemikiran umat sedunia, tidak terkecuali umat di dunia Islam. Pemahaman akan kerangka falsafah dan pemikiran Barat yang berpengaruh ini penting dalam konteks membebaskan falsafah dan pemikiran umat Islam daripada kerangka falsafah Barat yang tidak cocok dengan pandangan sarwa atau weltaanschauung Islam. Dalam rangka melaksanakan gagasan pengislaman ilmu, kesedaran dan pemahaman akan kerangka falsafah Barat yang dominan dalam perkembangan ilmu dan sistem pendidikan umat Islam perlu dijadikan titik tolak strategi.
Hasil langsung kegiatan berfalsafah orang Barat dalam konteks pembinaan kerangka falsafah dan pemikiran yang mendasari segala kegiatan intelektual dan ilmiah sehingga kini ialah munculnya fahaman rasionalisme, empirisisme, dan positivisme. Rasionalisme dan empirisisme menjadi dua paksi asas ilmu yang berada pada dua ekstrem dalam tradisi ilmiah Barat, sehingga tidak ada ilmu yang dibincangkan dengan tidak berasas atau bersandar pada dikotomi salah satu fahaman itu. Sementara itu, positivisme merupakan suatu bentuk empirisisme tulen (pure empiricism) yang bermula dengan pengalaman sebagai asas ilmu tetapi sesudah memperoleh teori dan kaedah tertentu persoalan metafizik tidak dianggap penting lagi (Alparslan, 1994: 8).
Rasionalisme ialah fahaman bahawa sekurang kurangnya sebahagian ilmu manusia bersumber daripada akal tanpa bantuan deria, dan oleh itu manusia dapat mengetahui sesuatu yang tidak dapat dinyatakan oleh deria (Wolff, 1992: 29). Bibit fahaman ini telah bermula pada zaman Plato sehingga beliau disebut sebagai orang yang pertama dalam sejarah yang berusaha memberikan penerangan yang sistematik tentang struktur akal atau mental (Hase, 1992: 91). Beliaulah yang mempelopori doktrin bahawa "... tidak ada apa apa yang wajar disebut `pengetahuan' yang dapat diperoleh daripada deria, dan bahawa pengetahuan yang sebenarnya berkaitan dengan konsep" (Russell, 1993: 182).
Dalam teori ideanya, Plato membedakan pengetahuan daripada pendapat, dengan menegaskan bahawa pengetahuan tidak mungkin salah, sedang pendapat mungkin saja salah. Satu lagi aspek penting teori idea Plato ialah bahawa sesuatu yang ketara (apparent) hanya merupakan tanggapan yang berasaskan idea atau bentuk unggul. Dengan kata-kata lain Plato mendasarkan tanggapan tentang sesuatu pada konsep. White (1991: 337 341) merumuskan rasionalisme Plato sebagai yang berikut:
a. Terdapat persamaan dan pertalian antara falsafah dengan matematik dalam mencapai kebenaran;
b. Selain alam fizikal yang dapat ditanggap oleh indera, ada dimensi lain tentang hakikat yang dapat ditanggap hanya oleh akal;
c. Alam tampak penuh dengan objek objek matematik yang disebut Plato bentuk bentuk. Bentuk sukar dinyatakan dengan beberapa patah kata kerana sifatnya yang bukan benda, model unggul sesuatu yang wujud, dan abstrak. Bentuk mewakili bukan saja benda konkrit bahkan juga sifat seperti keadilan, kecantikan, dan kebaikan;
d. Ilmu tentang bentuk merupakan sebenar benarnya ilmu dan ilmu ini hanya dapat diperoleh oleh akal. Maklumat yang diperoleh oleh deria rendah martabatnya kerana bersifat sementara dan berubah terus, sedang ilmu daripada akal memenuhi ciri kebenaran (truth), kekekalan (permanence), kemantapan (stability), ketahanan (duration), dan ketentuan (certainty).
Rasionalisme mendapat garapan yang lebih mendalam, sistematis, dan utuh di tangan Rene Descartes (1596 1650 M.) pemuka falsafah moden Barat, khususnya yang berkaitan dengan konsep ilmu, sehingga epistemologi atau teori ilmu terangkat menjadi tumpuan kajian falsafah (White, 1991: 341). Pendekatan Descartes menjadi ikutan sejumlah ahli falsafah ternama dalam pemecahan soal bagaimana akal manusia bekerja sebagai alat yang menghasilkan ilmu.
Pendekatan Descartes yang mempengaruhi sebilangan ahli falsafah Barat dikenal sebagai "Kesangsian Radikal" (Radical Doubt). Kata radikal merujuk kepada kesangsian yang asas dan juga yang ekstrem, kerana bagi Descartes, kebenaran mestilah pasti dan tidak goyah. Tidak boleh ada sama sekali kesangsian, walaupun sedikit, dalam akal; sesuatu idea perlu ditolak jika timbul kesangsian (White, 1991: 342).
Sebagai lawan rasionalisme yang berteraskan akal, empirisisme ialah fahaman yang menegaskan bahawa semua pengetahuan manusia bersumber daripada bukti atau pengalaman deria yang lima, dan bukan hasil operasi akal (Wolff, 1992: 29 dan White, 1991: 348). Kalau bibit rasionalisme telah tersemai sejak Plato, maka bibit empirisisme telah bermula lima abad sebelum Masihi juga, iaitu pada zaman Aristotle apabila timbul ungkapan "Tidak ada yang dapat difahami kalau tidak terlebih dulu kita tangkap dengan pancaindera" (Scruton, 1989: 18). Gagasan Aristotle kemudian mempengaruhi falsafah pada Zaman Paderi selama dua abad (abad ke 11 dan 12 M) dengan tokohnya yang terkenal ialah Saint Thomas Aquinas. Dalam zaman falsafah moden Barat, fahaman itu digarap dengan lebih mendalam dan sistematis oleh John Locke (1632 1704 M) dan ahli ahli falsafah yang sealiran dengannya.
Dua rukun empirisisme ialah:
a. Ilmu datang melalui deria;
b. Fakta mesti dapat diperhatikan dan diuji (observable and testable). Pemerhatian yang tidak memenuhi dua ciri ini dianggap palsu dan bukan ilmu yang tulen.
(White, 1991: 348)
Golongan empiris menolak pegangan golongan rasionalis atas dasar bahawa ilmu yang berasaskan pendekatan rasional tidak memberikan sesuatu yang baru, sebaliknya ilmu empiris menghasilkan sesuatu yang belum diketahui sebelumnya.
Asas yang membedakan kedua dua pendekatan itu ialah bahawa golongan rasionalis menghasilkan penyataan analitis (analytic statements) sementara golongan empiris menghasilkan penyataan sintesis (synthetic statements) (White, 1991: 348 350). Yang dimaksudkan penyataan analitis ialah penyataan yang memberikan sifat kepada sesuatu dan bahawa sifat itu sedia implisit dalam takrif objek atau konsep itu, misalnya "satu segi sama mempunyai empat sisi" atau "Orang bujang ialah orang yang belum kahwin". Penyataan sintesis pula memberikan sifat kepada sesuatu, tetapi sifat itu di luar takrif benda atau konsep yang berkenaan, misalnya "Kertas ini putih", dengan sifat putih bukan sifat yang sedia terkandung dalam takrif kertas (kerana kertas dapat berbagai bagai warnanya).
John Locke, ahli falsafah Inggeris yang terkenal dengan Teori Perjanjian Masyarakat (Social Contract) menolak gagasan bahawa akal dapat menanggap pati semesta yang tidak nyata dan bahawa akal telah dilengkapi idea nurani (innate ideas), kerana menurutnya akal tidak lain daripada sehelai kertas kosong yang kemudian menerima tulisan ilmu dari dunia di luarnya. Setiap sesuatu yang ada dalam akal ialah hasil pengamatan (dengan deria) atau refleksi (pemikiran tentang pengamatan). Pandangan Locke ini diperkukuh oleh seorang lagi ahli empirisisme David Hume yang percaya bahawa objek objek di dunia menghasilkan kesan (impressions) dalam akal yang jika berkekalan menjadi idea (White, 1991: 351). Kesan rasionalisme dan empirisisme dalam konteks falsafah bahasa dan pendidikan bahasa akan dihuraikan kemudian.
Epistemologi Islam dapat difahami dengan mendalami bidang falsafah Islam kerana epistemologi merupakan salah satu bahagian kajian falsafah. Istilah falsafah Islam membangkitkan kontroversi dalam kalangan sesetengah sarjana Islam, khususnya yang bersangkutan dengan etimologi kata falsafah itu sendiri dan juga kandungan bidang itu. Kedua dua isu yang menimbulkan kontroversi itu saling berkaitan. Sebagaimana yang telah dihuraikan lebih awal, kata falsafah dalam bahasa Arab merupakan kata serapan daripada bahasa Yunani philosophia yang bererti `cinta akan hikmah atau kebijaksanaan'.
Tradisi falsafah Yunani yang menjadi tunjang falsafah Barat memancarkan pandangan hidup orang Yunani dalam aspek teologi, kosmologi, dan etika atau aksiologi yang menurut pandangan Islam meraba raba dan senantiasa dalam pencarian yang tidak berkesudahan. Ketidakserasian konsep falsafah Yunani yang lebih disebabkan oleh kandungannya yang bertentangan dengan asas asas aqidah Islam dalam beberapa hal (seperti yang akan diuraikan kelak) menyebabkan timbul keberatan pada sebilangan sarjana Islam untuk menerima istilah falsafah Islam.
M. Saeed Sheikh (lihat Zakaria Stapa dalam Ibrahim Abu Bakar, 1994: 7), misalnya, dengan tegas membedakan istilah falsafah muslim daripada falsafah Islam. Falsafah muslim mungkin saja bersifat tidak Islam apabila, misalnya, ahli ahli falsafah yang beragama Islam berusaha menyesuaikan falsafah mereka dengan falsafah yang berakar umbi dalam kebudayaan Barat.
Demikianlah, citra falsafah yang disebut falsafah Islam pada peringkat awalnya memang ditandai oleh upaya menerapkan falsafah Yunani, khususnya Platonisme, Neo Platonisme, dan Aristotelisme. Inilah yang diusahakan oleh tokoh tokoh yang dikenal dalam sejarah sebagai falasifah, iaitu ahli falsafah Islam, misalnya al Kindi, al Farabi, Ibn Sina, dan Ibn Rushd (Zakaria Stapa dalam Ibrahim Abu Bakar, 1994: 1 2; Mahmud Hamdi Zaqzuq, 1993: 3 6; Shariff, M.M. 1992), sedang falsafah yang dikembangkan dengan berasaskan falsafah Yunani itu dipertikaikan, ditolak, atau malah dikafirkan oleh setengah setengah sarjana Islam.
Tokoh yang paling keras menganggap falsafah yang berasaskan falsafah Yunani itu sebagai sesat ialah al Ghazali (1058 1110 M) yang melalui karya seperti Tahafut al Falasifah (Kekacauan Ahli Falsafah) dan Al Munqidh Min al Dalal (Pembendung Kesesatan) memperlihatkan asas asas kesesatan aliran falsafah itu (lihat Mahmud Hamdi Zaqzuq, 1993: Pendahuluan dan 3 6).
Dalam Tahafut al Falasifah Al Ghazali mengemukakan 20 kesalahan aqidah dalam falsafah yang dianut oleh al Farabi dan Ibn Sina, serta ahli ahli falsafah yang lain, dan tiga yang paling besar ialah:
a. Alam ini qadim dan azali;
b. Allah hanya mengetahui perkara perkara yang umum atau universal (al kulliyat) dan tidak mengetahui perkara perkara yang khusus (al juz'iyat);
c. Jasad manusia tidak dibangkitkan semula pada hari Kiamat; hanya roh yang akan menerima pembalasan.
(Zakaria Stapa dalam Ibrahim Abu Bakar, 1994: 2 dan Mahmud Hamdi Zaqzuq, 1993: 17)
Jelas bahawa yang menjadi keberatan sarjana sarjana Islam yang berusaha menjaga kemurniaan aqidah dan syariah Islam ialah aliran falsafah yang bernafaskan falsafah Yunani, sehingga falsafah sedemikian menurut M. Saeed Sheikh hanya layak disebut falsafah muslim kerana kebetulan dikembangkan oleh ahli ahli falsafah yang menganut agama Islam, tetapi belum mencapai konsep falsafah Islam. Apakah falsafah Islam?
Menurut M. Saeed Sheikh, falsafah Islam mesti ditakrifkan sebagai upaya menerjemahkan dan membina semula pelbagai wawasan metafizik yang terdapat dalam al Qur'an dengan menggunakan bahasa dan gaya falsafah yang tidak terdapat di dalamnya sebarang unsur muhibah terhadap sesuatu yang tidak Islam (Zakaria Stapa dalam Ibrahim Abu Bakar, 1994: 7 8).
Dengan lebih mendalam, Alparslan (1994) menakrifkan konsep falsafah Islam sebagai "konsep saintifik yang muncul daripada pandangan hidup Islam, tetapi sebagai unjuran daripadanya, secara langsung melalui skema konsep saintifik Islam". Berasaskan takrif tersebut, beliau menggariskan tiga faktor yang mencirikan konsep falsafah Islam, iaitu:
a. pandangan hidup Islam sebagai perspektif yang seluas luasnya dan sebagai asas falsafah;
b. skema konseptual saintifik sebagai asas yang bersifat langsung dan rapat, yang dengannya ahli falsafah melaksanakan kegiatan kegiatannya;
c. kegiatan falsafah itu sendiri yang dilaksanakan melalui istilah istilah khusus yang disebut skema konsep saintifik yang khusus.
Faktor pertama, iaitu pandangan hidup merupakan suasana latar bagi kewujudan falsafah Islam. Pandangan hidup Islam yang melatari falsafah Islam dirumuskan oleh al Attas (1978: 41 42) melalui konsep pengislaman sebagai pembebasan manusia daripada kekangan tahayul, dongeng, animisme, tradisi budaya pribumi, dan sekularisme terhadap akal dan bahasanya. Oleh itu, segala kegiatan saintifik falsafah terlaksana dalam lingkungan suasana latar yang berasaskan pandangan hidup tersebut.
Faktor kedua, iaitu skema konsep saintifik dikenal sebagai "konteks" falsafah Islam. Tatanama yang dihasilkan oleh sarjana Islam dengan berlandaskan pandangan hidup Islam melahirkan skema konsep saintifik Islam yang berbeda daripada skema konsep saintifik Barat. Mana mana kegiatan falsafah yang tidak berasaskan skema konsep saintifik Islam tidak dapat diterima sebagai hasil falsafah Islam. Antara skema konsep saintifik Islam yang penting termasuklah konsep ilmu, kebenaran, sains, penyataan saintifik, teori, dan kaedah (Alparslan, 1994: 27).
Akhirnya, faktor ketiga, iaitu skema konsep saintifik yang khusus ialah hasil penyelidikan sarjana dalam bidang masing masing yang bersifat khusus untuk bidang ilmu yang tertentu, tetapi kesemuanya tetap dalam kerangka pandangan hidup dan skema konsep saintifik Islam tadi. Sebagai contoh, konsep konsep dalam disiplin sains tabii mungkin berlainan daripada konsep konsep dalam sains sosial; namun kelainan itu semata mata bersebab daripada kelainan bidang tetapi tetap berasaskan skema konsep saintifik yang sama dalam hal ilmu, kebenaran, keadilan, teori, kaedah dan sebagainya.
Sejajar dengan kenyataan bahawa pandangan hidup Islam melatari falsafah Islam, Seyyed Hossein Nasr (1989) menegaskan ciri falsafah Islam sebagai suatu ilmu tabii yang merujuk serta berdasar pada tauhid sebagai doktrin induknya. Dengan sendirinya falsafah yang berlandaskan skeptisisme atau kesangsian yang menjadi kegiatan ego diri manusia untuk melampaui ilmu Tuhan tidak dapat diterima sebagai falsafah Islam.
Bahkan tafsiran "keislaman" ahli falsafah muslim yang jelas terjerat oleh falsafah Barat seperti yang dilakukan oleh Iqbal, menurut S.H. Nasr masih tetap di luar konsep falsafah Islam (Nasr, 1989: 4). Senario falsafah menurut perspektif Islam tidak sesuai lagi disempitkan kepada konsep falsafah yang diamalkan oleh orang Yunani atau ahli ahli falsafah Barat moden seperti Descartes, Leibnitz, Locke, Hume, Kant, dan Hegel, ataupun falsafah yang melahirkan aliran pemikiran eksistensialisme, positivisme, dan mekanisme.
Bahkan falsafah Islam yang sering dikaitkan dengan Ibn Sina dan al Farabi itu pun belum sesungguhnya memenuhi konsep falsafah Islam sejati. Seperti kata Mahsin Mahdi (lihat Zakaria Stapa dalam Ibrahim Bakar, 1994: 9 10), falsafah Islam yang berasal usulkan tradisi Yunani sudah berupa suatu persoalan sampingan saja; pelbagai gantian telah dikemukakan sebagai pilihan yang lebih baik untuk mengisi falsafah Islam, iaitu teologi Islam, perundang undangan Islam, tasawuf Islam, dan sebagainya sehingga sekalian mutakallimin (ahli ilmu kalam atau teologi), ahli sufi, fuqaha, muhadithun (ahli hadith) merupakan pemikir yang sah untuk digelar sebagai ahli falsafah Islam.
Seyyed Hoesein Nasr (1987: 3 4 dan 21 25) memperkukuh pandangan itu dengan mengungkapkan bahawa yang difahami sebagai falsafah itu bukan semata mata falsafah menurut perspektif Barat, bahkan wujud juga dalam segala ilmu Islam yang lain seperti tafsir, hadith, kalam, usul fiqh, tasawuf, sains tabii, matematik, kosmologi, kesenian, psikologi, sains sosial, dan sains politik. Sesungguhnya konsep falsafah yang difahami umum, iaitu falsafah menurut kerangka atau skema pemikiran Barat itu merupakan kesan gerakan orientalisme yang menyemaikan kepercayaan melalui bidang ilmiah dengan teori kebangsaan12 bahawa Islam tidak mampu melahirkan ilmu falsafahnya sendiri melainkan mencedok falsafah tradisi Yunani (Mahmud Hamdi Zaqzuq, 1989: 84 89).
Daripada sudut penggunaan akal sebagai asas berfalsafah, tidak ada agama mana pun yang meletakkan akal manusia begitu tinggi kecuali agama Islam (Mahmud Hamdi Zaqzuq, 1989: 86). Allah memuliakan manusia dan melebihkannya daripada makhluk Nya yang lain dengan mengurniakan akal. Agama Islam meletakkan akal sebagai asas aqidah dan pertanggungjawapan manusia. Mengabaikan penggunaan akal dianggap sebagai satu kesalahan atau satu dosa. Hal ini ditegaskan dalam al Quran Surah al-Mulk, ayat 10 11. Jelas bahawa al Quran menyeru manusia supaya menggunakan akal fikirannya dan hal ini akan dihisab kelak, sesuai dengan penegasan al Quran dalam Surah al Isra’, ayat 36.
Dengan tegas Islam menolak taklid secara melulu dan sebaliknya mewajibkan penggunaan akal fikiran dalam segala hal yang bersangkutan dengan aqidah dan syariah Rasulullah S.A.W. menurut riwayat al Tarmizi bersabda, "Jangan kamu menjadi pengikut buta." Dalam konteks inilah Taha Jabir al Alwani (1993) menegaskan ijtihad sebagai keperluan mutlak dalam memastikan kelangsungan hidup syiar Islam. Di samping itu Islam menolak segala bentuk khurafat, sihir, tilik menilik, dan segala perbuatan yang tidak bersandar pada akal yang terpimpin. Inilah asas yang memungkinkan terbentuknya tamadun dan pemikiran Islam yang menurut al Attas berasaskan intelektualisme dan rasionalisme (1965, 1972, dan 1979).
Dalam konteks pengembangan falsafah sebagai suatu disiplin ilmu, al Quran menyeru manusia menyelidik sekalian yang ada di langit dan di bumi serta yang ada pada diri manusia sendiri untuk mengenal hakikat kebenaran. Salah satu ayat al Quran yang berkaitan dengan hal ini terdapat dalam Surah Fussilat ayat 53 (“Kami memperlihatkan tanda-tanda kekuasaan Kami kepada mereka, di segenap ufuk dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelaslah bagi mereka bahawa al-Qur`an itu adalah benar.”) dan pada . Jika kita pertalikan persoalan pokok yang digarap oleh ahli ahli falsafah sejak zaman awal, iaitu yang berfokus pada hakikat alam dan hakikat diri, jelas bahawa Islam memang menganjurkan penelitian yang sedemikian.
Berkaitan dengan doktrin falsafah, al Quran menyajikan aspek aspek yang sempurna, iaitu meliputi hal ehwal duniawi dan hal ehwal ukhrawi. M.M. Shariff (1994) dalam kupasannya tentang doktrin falsafah dalam al Quran menggariskan aspek aspek yang berikut:
a. Hakikat muktamad (Allah dan sifat sifat Nya).
b. Tuhan dan alam.
c. Hubungan Tuhan dengan manusia.
d. Hakikat ruh.
e. Teori ilmu (epistemologi).
f. Kuasa manusia.
g. Kebebasan manusia.
h. Perihal mati.
i. Hidup sesudah mati.
Jelas bahawa cakupan falsafah Islam tidak terkeluar daripada perkara perkara dasar yang berkaitan dengan aqidah. Inilah yang membedakan falsafah Islam daripada falsafah Barat.
Khusus tentang epistemologi Islam, beberapa prinsip yang penting tentang ilmu dapat dirumuskan daripada huraian Jurjani dalam kitabnya Ta`rifat (Muhammad Zainy Uthman, 1989) seperti yang berikut:
1. Ilmu didasarkan pada pegangan (iktikad) yang teguh, bertepatan dengan hakikat.
2. Tibanya rupa sesuatu pada akal (al-Attas mengungkapkannya sebagai “ketibaan makna pada diri”).
3. Ilmu merupakan suatu sifat yang ada pada diri manusia yang membolehkannya mendapat dan mengenal kulliyat dan juz`iyyat.
Tentang sumber ilmu pula, kitab Aqaid al-Nasafi yang menjadi sumber rujukan utama Ahli al-sunnah wal-Jamaah menetapkan tiga sumber utama ilmu, iaitu pancaindera yang lima, khabar yang sadiq atau benar dan akal. Jelas bahawa menurut epistemologi Islam, asas untuk merumuskan sesuatu ilmu (termasuk dapatan dan analisis kajian) tidak disandarkan semata-mata pada pancaindera sebagaimana yang begitu ditekankan dalam epistemologi Barat. Dalam tradisi ilmiah masyarakat Islam kini, penekanan yang berlebihan pada pancaindera sebagai sumber ilmu amat ketara, selaras dengan falsafah empirisme. Sebagai satu ekstrem lain, penolakan terhadap pancaindera menyebabkan penekanan yang berlebihan pula kepada akal sebagai sumber ilmu, selaras dengan falsafah rasionalisme dalam tradisi Barat. Demikian kuatnya rasa terikat oleh epistemologi Barat, tradisi ilmu umat Islam sebahagiannya tidak mendukung panji-panji ilmu menurut kerangka Islam, bahkan sebahagiannya bertentangan pula.
Strategi Mendepani Masalah Ilmu dan Pendidikan Umat Islam
Antara strategi dan langkah yang dapat membantu umat Islam mendepani masalah dalam bidang ilmu dan pendidikan termasuklah:
1. Penggubalan semula atau penyemakan kurikulum pada semua peringkat pendidikan, daripada peringkat prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah, kepada peringkat pengajian tinggi. Asas penggubalan kurikulum ialah klasifikasi ilmu-ilmu menurut kerangka Islam, iaitu pertama ilmu-ilmu teras yang termasuk dalam kategori “ilmu yang ditanzilkan” dan kedua ilmu-ilmu yang termasuk dalam kategori “ilmu yang dicari”. Pemaduan antara kedua-dua kategori ilmu itu, yang juga mengisi konsep ilmu fardhu `ain dan ilmu fardhu kifayah dapat memenuhi konsep pendidikan menurut kerangka dan konsep pendidikan Islam. Falsafah Pendidikan Negara yang telah digubal dan direalisasikan dalam Kurikulum Bersepadu pada peringkat sekolah di Malaysia, bermula pada tahun 1987 hendaklah diberi perhatian semula. Dualisme, terutama yang memisahkan pendidikan agama daripada pendidikan umum perlu dirungkai.
2. Di institusi pengajian tinggi, Ilmu Wahyu (The Revealed Knowledge) atau yang berkaitan dengan ketuhanan perlu dijadikan komponen teras dan diwajibkan kepada pelajar, supaya Ilmu Yang Dicari (The Acquired Knowledge) tetap selaras dengan lunas-lunas yang berkaitan dengan ilmu teras itu. Hal ini penting untuk menyepadukan kedua-dua kategori ilmu itu. Dalam hal ini, kurikulum Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dapat dijadikan asas rujukan.
3. Penerapan epistemologi Islam dalam pelbagai disiplin ilmu perlu dijadikan agenda besar oleh sarjana Islam dalam disiplin-disiplin tersebut (sains kemanusiaan dan sains tabii). Usaha seperti yang dilaksanakan di ISTAC, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI) yang mengupayakan pengislaman ilmu perlu diperluas dengan pelibatan institusi-institusi dan pertubuhan kesarjanaan yang lain, khususnya yang dipimpin atau digerakkan oleh sarjana Islam dalam pelbagai disiplin ilmu.
4. Budaya ilmu perlu dijadikan salah satu tonggak pembangunan negara dalam segenap bidang, baik pentadbiran, ekonomi, undang-undang, media massa (media elektronik dan media cetak). Asas budaya ilmu ialah kebenaran dan keadilan. Peranan dan pelibatan ahli ilmu perlu ditingkatkan dalam semua sektor pembangunan.
5. Hedonisme atau fenomena hiburan melulu dan melampau yang melanda sebahagian besar umat Islam perlu dikawal oleh pihak yang berkuasa, melalui penguatkuasaan undang-undang dan juga melalui sektor pendidikan yang menyeluruh (pendidikan formal dan pendidikan tidak formal).
Penutup
Demikian sekadar kupasan selayang pandang tentang isu-isu asas yang berkaitan dengan cabaran atau tantangan kepada umat Islam kini dalam bidang ilmu dan pendidikan. Mudah-mudahan dengan menyedari masalah yang perlu didepani itu, umat Islam dapat beransur-ansur melepaskan diri daripada krisis dan masalah dalaman yang menghalang kemajuan dan juga menghalang pemenuhan amanah sebagai khalifah Allah di muka bumi.
~Kembara Bahasa~
20 Oktober 2011/22 Zulkaedah 1432
No comments:
Post a Comment