Thursday, November 3, 2011

Pandangan Kassim Ahmad tentang PPSMI



Khamis, 3 November 2011
PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN SAINS DAN MATEMATIK
DALAM BAHASA INGGERIS (PPSMI) – MENGAPA JADI KONTROVERSI?


Oleh: Kassim Ahmad
3 November, 2011

[Petikan daripada blog Kassim Ahmad]

Sejak kebelakangan ini, apabila Kerajaan memutuskan supaya pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggersi (PPSMI) dihentikan mulai tahun depan, dan digantikan dengan konsep Memeratabat Bahasa Melayu dan memperkasa bahasa Inggeris (MBMMBI), banyak kontroversi timbul.
Nyatalah lebih emosi daripada fikiran rasional bertanggungjawab. Dalam artikel ini, saya akan kaji masalah ini dari segi cita-cita nasional kita.

Jangan lupa kita telah merdeka selama 54 tahun. Zaman saya di sekolah menengah dan universiti dulu, kita masih belum merdeka. Semua pelajaran dalam bahasa Inggeris. Zaman itu sudah berlalu. Seperti sewajarnya, kita telah mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. Ingat, sebelum intervensi penjajahan Eropah ke Alam Melayu, bahasa Melayu itu lingua franca di kota Melaka, kota yang termasyhur di dunia. Sekarang bahasa ini dipertutur oleh hampir 300 juta rakyat Malaysia dan Indonesia. Tidak ada sebab kita hendak berbalik ke zaman penjajahan setelah kita, melalui satu perjuangan kemerdekaan yang besar, merdeka!

Anehnya, ada anggota Kabinet yang mahu menjadi orang tengah hendak “menyelesaikan” masalah ini. Tidakkah beliau malu? Orang-orang seperti ini – di mana kejujuran mereka sebagai rakyat Malaysia. Di mana patriotisme mereka? Kebebasan itu untuk menjadi petugas yang bertanggungjawab untuk menjaga kemerdekaan kita, bukan merebankannya!

Ini bukan soal perasaan individu itu atau ini, anak sekolah atau ibu-bapa, Melayu, Cina India atau mana-mana kaum lain. Apalagi jika mereka mengugut untuk meninggalkan negara ini untuk berhijrah ke negara lain. Tiada siapa boleh melarang sesiapa daripada rakyat kita yang mahu berpindah ke negara lain. Bumi Tuhan luas. Pergilah!

Soalnya: buat apa kita mendirikan negara-bangsa kesayangan kita Malaysia ini? Kita mahu kebebasan dan hak untuk mewarnai negara kita mengikut cita-cita luhur kebangsaan kita, kebangsaan Malaysia. Ini telah pun kita gubal ke dalam Perlembagaan kita. Memang betul Perlembagaan pun boleh dipinda, jika dikendaki oleh suara ramai. Namun demikian, Perlembagaan itu bukan benda permainan. Jangan sengaja-sengaja dipermainkan!

Menyatakan ini semua tidak bermakna kita menolak kepentingaan bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa yang perlu dikuasai oleh rakyat kita. Malah lagi banyak bahasa yang kita tahu, lagilah baik. Bahasa itu pintu kepada ilmu. Lagi banyak bahasa yang kita tahu, lagilah banyak pintu ilmu yang terbuka untuk kita. Tetapi, bila-bila pun, bahasa kita tidak boleh ditukar-ganti dengan bahasa apa pun, kerana bahasa kita itu fikiran kita sendiri. Kita membangunkan tamadun dengan bahasa kita.


~Kembara Bahasa~
4 November 2011/8 Zulhijah 1432

No comments:

Post a Comment