Friday, November 4, 2011
Proses dan Strategi Pembudayaan Bahasa Melayu sebagai Tonggak Tamadun
[Jurnal Pemikir Januari-Mac 2011, terbitan Utusan Karya, hlm. 131-150]
PROSES DAN STRATEGI PEMBUDAYAAN BAHASA MELAYU
SEBAGAI TONGGAK TAMADUN
Prof. Dr. Awang Sariyan
Penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia-China
Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia – Beijing Foreign Studies University
Abstrak
Makalah ini mengupas erti “bahasa berbudaya”, iaitu bentuk dan ragam bahasa yang menjadi tonggak pembinaan dan pengembangan tamadun, khususnya bahasa yang berfungsi sebagai bahasa berdaya akliah, bahasa ilmu, bahasa tinggi, bahasa supra, bahasa yang merentas pelbagai ranah dan bahasa estetika. Gagasan “bahasa berbudaya” amt penting dikembangkan dan dibudayakan dalam semua lapisan masyarakat, khususnya dalam saat rakyat negara ini melalui zaman globalisasi yang menimbulkan cabaran dalam bentuk penghakisan unsur-unsur jati diri dan budaya negara, termasuk dalam soal bahasa. Dalam makalah ini dikemukakan juga strategi dan saran praktis ke arah “pembudayaan bahasa”, iaitu proses pelaksanaan bahasa yang berbudaya itu ke dalam hati sanubari seluruh rakyat di negara ini dan penerapannya dalam segenap aspek kehidupan bertamadun di negara ini. Antara strategi yang dikemukakan termasuklah peneguhan, penghayatan dan kesetiaan kepada dasar bahasa, pembudayaan atau pemasyarakatan melalui sistem dan institusi kenegaraan yang utama (pendidikan, pentadbiran, undang-undang, ekonomi dan lain-lain) dan pembudayaan pada peringkat supranasional yang melangkaui batas geopolitik dan sentimen parokial.
Pendahuluan
Hubungan antara bahasa dengan budaya menjadi salah satu tema utama dalam historiografi linguistik sedunia sejak awal pertumbuhan disiplin linguistik, seawal abad ke-5 S.M. Persoalan hubungan antara bahasa dan budaya menyimpulkan rumusan umum bahawa bahasa bukan suatu entiti yang autonom daripada lingkungannya, iaitu pelbagai sistem yang ada dalam masyarakatnya. Dengan pengertian yang luas, budaya atau kebudayaan merujuk kepada segala sistem yang wujud dalam sesuatu masyarakat, iaitu sistem politik dan pemerintahan, sistem perundang-undangan, sistem ekonomi, sistem sosial, sistem pendidikan, sistem nilai, pemikiran dan yang lain-lain, dengan bahasa menjadi perantaraannya.
Dalam hubungannya dengan idealisme pembentukan dan peneguhan bangsa yang bertamadun luhur, peranan bahasa berbudaya, iaitu konsep bahasa yang menjadi tunjang segala sistem masyarakat atau bangsa perlu dijadikan salah satu agenda utama negara, sejajar dengan agenda ekonomi, perhubungan antarabangsa dan yang lain.
Erti “Bahasa Berbudaya”
Erti bahasa berbudaya yang menjadi kata kunci dalam makalah ini tidak dibatasi oleh pengertian umum bahawa bahasa berbudaya ialah bahasa yang sekadar sarat dengan unsur-unsur stilistik atau gaya bahasa seperti simpulan bahasa, bidalan, perumpamaan, pepatah atau dengan istilah stilistik Barat, bahasa yang dibumbui metafora, simile, personifikasi, depersonifiksi, hiperbola, anafora, rima, asonansi, aliterasi dan yang lain. Meskipun penggunaan segala unsur stilistik itu memang menjadi salah satu tanda atau petunjuk bahasa berbudaya, namun erti bahasa berbudaya di sini merujuk kepada konsep yang lebih luas. Asas sesuatu bahasa yang mencapai taraf bahasa berbudaya, antara lain, ialah kemampuannya berfungsi sebagai bahasa akliah, bahasa ilmu, bahasa yang merentas segala ranah sistem sosial masyarakat atau bangsanya, bahasa tinggi, bahasa supra dan bahasa estetik.
1. Bahasa Akliah
Bahasa akliah berkaitan rapat dengan hakikat bahasa dan sebab-musabab bahasa dikurniakan oleh Allah kepada manusia. Secara fitrahnya, bahasa dan akal merupakan suatu sistem yang bertaut, yang menjadi sifat istimewa manusia. Huraian Al-Attas (1995 dll.) merumuskan bahawa istilah haiwan natiq (rational animal) merujuk kepada akar kata nutq yang bererti akal dan bahasa. Manusia diibaratkan sebagai haiwan, tetapi haiwan yang berfikir dan berbahasa. Dalam surah al-Rahman, ayat 1-4, Allah berfirman, dengan mafhumnya, “Tuhan yang maha pemurah yang mengajarkan Qur`an. Dia menciptakan manusia dan mengajarnya pandai berbahasa.”
Istilah bahasa akliah bersinonim dengan istilah bahasa rasional dan bahasa saintifik, iaitu penjabaran daripada ciri rasional dan saintifik yang melandasi pandangan sarwa Islam (lihat kupasan al-Attas tentang ciri rasional dan saintifik yang dibawa oleh Islam, 1972). Rasional dan saintifik yang dimaksudkan di sini merujuk kepada pemahaman dan pengakuan akan segala hakikat yang diatur oleh Allah sebagai pencipta dan pentadbir sarwa alam, bukan rasional dan saintifik yang disempitkan oleh ahli-ahli falsafah Barat yang sama ada menekankan autonomi akal (bagi pendukung aliran rasionalisme) atau taksub kepada kehebatan pancaindera (bagi pendukung aliran empirisisme).
Bahasa Melayu yang kita kenal kini ialah bahasa yang inti kandungannya sarat dengan sifat bahasa akliah, iaitu bahasa yang telah mengalamai pengislaman, sejajar dengan proses pengislaman Kepulauan Melayu sejak abad ke-13 (malah ada bukti yang menunjukkan waktu yang lebih awal, seperti yang dibicarakan dalam siri terbitan Yayasan al-Fataniyah). Tidak dinafikan bahawa bahasa Melayu memang telah tumbuh dan berkembang lebih awal dalam kerajaan-kerajaan Melayu tua seperti Campa, Langkasuka dan yang paling masyhur kerajaan Sriwijaya. Namun bahasa Melayu yang dikenal kini bukan bahasa yang diwarisi daripada bahasa Melayu kuno yang tidak dapat difahami, kecuali beberapa patah kata yang masih kekal hingga kini. Bandingkanlah, misalnya bahasa pada prasasti abad ke-7 yang diwarnai oleh pengaruh bahasa Sanskrit dengan bahasa pada prasasti abad ke-14 (Batu Bersurat Terengganu) sesudah bahasa Melayu mengalami proses pengislaman. Nescaya dapat dilihat perbedaan yang jelas dan kita masih dapat memahami wacana yang tertancap pada Batu Bersurat Terengganu meskipun gaya bahasanya gaya bahasa lama.
Bahasa akliah yang menjadi tanda bahasa berbudaya bagi bahasa Melayu meliputi segala aspek kehidupan, baik yang berhubungan dengan ketuhanan mahupun yang berhubungan dengan kehidupan bermasyarakat. Dalam bahasa falsafahnya, bahasa Melayu telah dilengkapi aspek ontologinya, aspek epistemologinya dan aspek aksiologinya. Ontologi berkaitan dengan sistem kewujudan yang menghuraikan kewujudan pencipta dan makhluk. Epistemologi memerikan hal ehwal ilmu yang meliputi sumber, kaedah dan matlamat ilmu. Aksiologi pula meliputi aspek sistem nilai atau akhlak. Bagi ketiga-tiga aspek itu, bahasa Melayu telah mempunyai asas yang kukuh dengan kosa kata yang menjelaskan segala konsep yang terkandung di dalamnya. Segala kosa kata yang terkandung dalam huraian yang berkaitan dengan Rukun Iman yang enam merupakan gambaran bahasa akliah yang menjadi teras bagi bahasa Melayu dan umat Melayu.
Tidaklah tercapai bahasa akliah apabila kepercayaan kepada Allah yang esa, misalnya, disertai amalan dan kepercayaan yang syirik, termasuk mensyirikkan Allah dengan manusia, seperti bergantung nasib kepada sesama manusia dalam memperoleh kedudukan atau rezeki. Tidaklah sampai kita pada penghayatan bahasa akliah juga apabila kita tidak redha akan qada` dan qadar Tuhan, malah berusaha melawan takdir dengan cara yang sesat. Demikian juga, belumlah kita masuk ke tahap menghayati bahasa berbudaya yang akliah jika kita belum memahami dan melaksanakan segala konsep yang berkaitan dengan ibadah (Rukun Islam yang lima), sistem muamalah, sistem munakahat, sistem jinayat dan adab yang kesemuanya telah dirakamkan dalam ribuan kosa kata yang mencerminkan sistem hidup yang islami.
Maka itu, untuk menjadikan bahasa Melayu bahasa akliah, iaitu ciri teras bahasa berbudaya, bahasa Melayu perlu dikaitkan dengan landasan dan hala tuju yang jelas tentang konsep-konsep dasarnya. Bahasa Melayu perlu dihindari daripada sekularisme, iaitu penakrifan kosa kata yang menyimpang daripada hakikat Islam dan juga dihindari daripada kaedah menangani bahasa menurut kerangka yang pseudosaintifik (seperti peneleti yang semata-mata menghuraikan bahasa sebagai fenomena sosial tanpa pelibatan aspek akhlaknya). Meskipun globalisasi dan fenomena silang budaya menjadi kenyataan yang tidak dapat dihindari, namun sebagai bangsa yang bertradisi kukuh sejak ratusan tahun, perlu ada keazaman dan ikhtiar untuk kita memulihara bahasa akliah yang bersumberkan agama tanzil.
2. Bahasa Ilmu
Bahasa berbudaya mestilah juga bahasa ilmu, iaitu bahasa yang pertama-tamanya kaya dengan ilmu dan keduanya, menjadi bahasa pengembangan ilmu dalam masyarakat atau bangsanya. Sejak berabad-abad lalu, bahasa Melayu memang telah menjadi bahasa ilmu, bermula dengan benih awalnya sebagai bahasa pengajian agama Buddha dalam zaman pra-Islam, iaitu pada zaman kerajaan Sriwijaya pada abad ke-7. Apabila Islam datang ke alam Melayu, tradisi ilmu menjadi mercu tanda utama kebudayaan Melayu dalam zaman Kesulltanan Melayu di seluruh Kepulauan Melayu. Pasai, Melaka, Aceh, Banjarmasin, Patani, dan Johor-Riau merupakan pusat kebudayaan Melayu yang cemerlang dengan tradisi ilmu. Bahasa Melayu dengan bantuan tulisan Jawi yang dipadankan daripada aksara Arab telah menjadi pengungkap yang berkesan dalam segala bidang ilmu yang dibawa oleh pendakwah Islam pada waktu itu, daripada ilmu kalam kepada ilmu ibadah, muamalat, munakahat, jinayat, sirah, tafsir dan adab. Malahan berkembang suburnya tasawuf atau metafizik di alam Melayu menandai kemuncak pembicaraan dan kupasan ilmu yang tinggi dalam bahasa Melayu. Usahlah kita lupakan pula daya pengungkapan bahasa Melayu dalam bidang ilmu lain seperti persenjataan, perubatan, astronomi dan sebagainya.
Apabila perjuangan memerdekakan negara digerakkan, peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu turut menjadi agenda utama. Demikianlah maka bahasa Melayu telah dirancang menjadi bahasa penghantar utama dalam sistem pendidikan negara dan kemuncaknya ialah apabila sempurnanya penukaran aliran pendidikan berpenghantar bahasa Inggeris kepada sistem pendidikan berpenghantar bahasa Melayu atau bahasa kebangsaan pada tahun 1970-an. Bukti kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi pula ditandai oleh tertubuhnya Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1970 dengan pelibatan rakyat (melalui pungutan derma ke segenap negeri oleh jawatankuasa penaja yang dipengerusikan oleh Tun Syed Nasir Ismail). Asas penubuhan UKM ialah untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar ilmu di pusat pengajian tinggi, 13 tahun lebih awal daripada perancangan kerajaan untuk menjadikan bahasa Melayu bahasa pengajian tinggi pada tahun 1983.
Berkat pelibatan ratusan (mungkin juga ribuan) ilmuwan dalam pelbagai bidang (sains tabii dan sains kemanusiaan), sejumlah lebih satu juta istilah ilmu dan bidang teknikal dalam kira-kira 300 bidang dan subbidang telah digubal, terutama melalui mekanisme yang diatur dan diselaraskan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka sejak tahun 1956 dan secara lebih aktif sejak tahun 1972 sesudah terbentuknya Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu dan Majlis Bahasa Indonesia – Malaysia (MBIM). Wacana ilmiah dalam bentuk buku dan jurnal ilmiah dalam bahasa telah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dan penerbit-penerbit universiti serta sejumlah penerbit swasta. Penyampaian pelbagai mata pelajaran di sekolah dan pelbagai kuliah di institusi pengajian tinggi telah dapat disampaikan dalam bahasa Melayu oleh guru dan pensyarah dengan baiknya. Lulusan sistem pendidikan yang berteraskan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah menjadi tenaga penggerak pembangunan dalam pelbagai sektor.
Oleh itu, untuk menjamin kelangsungan bahasa Melayu terus menjadi bahasa berbudaya, dengan pengertian berfungsi sebagai bahasa ilmu, maka tidak ada tolak ansur yang dapat diterima dalam mengekalkan dan meningkatkan kedudukan dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di negara ini dan di negara berbahasa Melayu yang lain. Prasyarat utama pembentukan bangsa dan tamadun yang luhur ialah keutuhan ilmu yang dimiliki oleh bangsa itu; dan prasyarat keutuhan ilmu bangsa sebahagian besar ditentukan oleh keberkesanan penyampaian ilmu kepada masyarakat, iaitu dengan menggunakan bahasanya sendiri, sekalipun bahasa-bahasa asing tetap diperlukan sebagai bahasa sumber ilmu. Inilah asas perjuangan pejuang bahasa Melayu, bukan disebabkan taksub, ekstrem, tertutup atau anti bahasa asing. Inilah juga hakikat sejarah perkembangan tamadun bangsa-bangsa besar di dunia dari dahulu hingga kini, termasuk bangsa-bangsa Barat yang menjadikan tamadun Islam pada zaman keemasannya, terutama pada zaman Bani Abbasiyah, sebagai sumber ilmu. Mereka mempelajari bahasa Arab dan menerjemahkan sekian banyak karya besar Islam, termasuk karya perubatan, matematik, astronomi dan falsafah ke dalam bahasa Barat.
Apabila bahasa Melayu mula digerhanakan sebagai bahasa ilmu, terutama dengan pelaksanaan pengajaran subjek-subjek dalam sains dan matematik pada tahun 2003 dan penyempitan pelaksanaan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama di institusi pengajian tinggi (sebagai susulan perubahan dasar di peringkat sekolah), kesan langsung tindakan itu ialah kepudaran bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Kita mengharapkan sinar 2012 (atau kini katanya mungkin 2011) menjelma menjadi kenyataan apabila bahasa Melayu dipulihkan kedudukan dan fungsinya menjadi bahasa penghantar utama dalam sistem pendidikan, bukan sahaja di peringkat sekolah tetapi semestinya di peringkat pengajian tinggi juga.
3. Bahasa yang Merentas Pelbagai Ranah Kehidupan Bertamadun
Selain berfungsi sebagai bahasa ilmu, bahasa berbudaya mestilah juga berfungsi sebagai tunjang ranah-ranah kehidupan bertamadun yang lain, seperti pentadbiran, undang-undang, media dan ekonomi. Dalam zaman kerajaan Sriwijaya, bahasa Melayu telah mula digunakan sebagai bahasa pentadbiran, termasuk di wilayah-wilayah jajahannya yang sampai di bahagian utara Semenanjung Tanah Melayu yang dikenal sebagai Segenting Kera. Dalam zaman Kesultanan Melayu pula, bahasa Melayu bertambah kukuh sebagai bahasa pentadbiran, dengan sistem pentadbirannya yang kian canggih. Di Melaka, misalnya konsep pentadbiran beraja didukung oleh sistem pembesar yang empat, iaitu Bendahara, Temenggung, Laksamana dan Penghulu Bendahari, dengan masing-masing berfungsi sebagai ketua portfolio yang khusus – Bendahara selaku ketua eksekutif atau perdana menteri, Temenggung selaku penanggungjawab portfolio keselamatan, Laksamana selaku penanggungjawab hal ehwal kelautan dan Penghulu Bendahari selaku pengawal khazanah negara.
Sebagai bahasa undang-undang pula, Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka menjadi dokumen penting yang membuktikan bahawa bahasa Melayu telah berfungsi sebagai bahasa undang-undang. Demikian juga teks yang diukir pada Batu Bersurat Terengganu yang bertarikh 1303 itu. Malahan hampir setiap kerajaan Melayu pada waktu itu mempunyai kitab undang-undangnya sendiri, seperti Undang-undang 99 Perak, Undang-undang Siak dan, Undang-undang Johor.
Sebagai bahasa ekonomi, telah dirakamkan dalam sejarah bahawa bahasa Melayu menjadi bahasa perdagangan antarabangsa yang penting, sehingga segala pedagang dan utusan dari dari negara asing perlu mempelajari bahasa Melayu. Melaka pada abad ke-15 dan ke-16 telah menjadi entrepot yang menjadi pusat pertukaran barang dagangan timur barat, dengan bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraannya.
Sejarah gemilang bahasa Melayu sebagai bahasa yang merentas ranah utama kehidupan bertamadun tinggi itu perlu diupayakan kesinambungannya pada zaman ini untuk menjadikan bahasa Melayu berbudaya. Walaupun penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pentadbiran telah dilaksanakan untuk memenuhi konsep bahasa rasmi dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, namun peratusan penggunaannya dan mutunnya dalam sesetengah bidang urusan rasmi (surat, laporan, pekeliling, perjanjian, minit mesyuarat) masih belum cukup memuaskan (lihat, misalnya, kajian DBP tentang taraf dan mutu penggunaan bahasa Melayu dalam bidang pentadbiran, 2009).
Penggunaan bahasa Melayu dalam bidang undang-undang pun memperlihatkan zaman pasang surutnya walaupun ada kesungguhan badan kehakiman dan Majlis Peguam melaksanakan bahasa Melayu dalam dokumen dan perbicaraan di mahkamah. Sebagai bahasa ekonomi, bahasa Melayu di negara ini masih terkebelakang jika dibandingkan dengan bahasa asing, terutama bahasa Inggeris dan bahkan bahasa Mandarin. Ikhtiar yang dilakukan oleh DBP untuk ‘menjinakkan’ sektor swasta menghormati bahasa Melayu dalam dokumen, iklan, peragaan dan sebagainya sebahagiannya berhasil, tetapi kerap terbentur setiap kali berlakunya perubahan dasar atau sikap kerajaan tentang Dasar Bahasa Kebangsaan.
Dalam bidang media pula, nasib bahasa Melayu dalam bidang media elektronik banyak bergantung pada tokoh yang menerajui badan-badan penyiaran. Di sektor penyiaran kerajaan sendiri, perubahan waktu berita perdana dalam bahasa Melayu telah beberapa kali diubah sehinggan martabat bahasa Melayu seakan-akan berada di kelas kedua. Syukurlah apabila menteri yang masih utuh semangat dan pemahamannnya tentang dasar bahasa mengambil alih pucuk pimpinan kementerian yang berkenaan, nasib bahasa Melayu tampaknya dijulang semula. Turut disedari oleh pejuang dan pencinta bahasa Melayu bahawa di RTM dalam tempoh beberapa tahun (sekitar 2000-2005) ada pegawai tingginya yang peka tentang keperluan membentuk suatu piawai dalam hal sebutan dan mengeluarkan arahan untuk semua pembaca berita dan pengara menyebut kata-kata serapan daripada bahasa asing menurut sebutan baku bahasa Melayu. Namun, sekali lagi usaha itu banyak bergantung pada iltizam individu tertentu. Dasar penggunaan bahasa Melayu yang dengan jelas diperuntukkan dalam Perlembagaan sering kali dilaksanakan dengan rasa ragu-ragu dan segan silu. Dalam media cetak pula, sudah sering ditimbulkan bagaimana di negara yang bahasa kebangsaan dan bahasa rasminya bahasa Melayu, akhbar berbahasa Melayu dialahkan oleh akhbar-akhbar berbahasa lain daripada segi jumlah edarannya.
4. Bahasa Tinggi
Bahasa berbudaya turut ditandai oleh ragam bahasa tinggi. Pengistilahan ini tidak sepatutnya diberi reaksi negatif oleh mana-mana pihak, kerana penegasan akan perlunya ragam bahasa tinggi tidak bermaksud menafikan dan mematikan pelbagai ragam bahasa yang lain, baik pelbagai dialek daerah yang menjadi warisan bangsa Melayu mahupun pelbagai dialek sosial yang muncul untuk memenuhi keperluan komunikasi tertentu.
Setiap bahasa yang mewakili bangsa yang bertamadun memiliki ragam bahasa tinggi, yang dengan istilah lain disebut juga ragam baku, ragam rasmi dan ragam formal. Dalam hal ini, tidak perlu kita membesar-besarkan istilah bahasa baku sebagai istilah yang kononnya tidak tepat kerana dikatakan berkonotasi menyeragamkan bahasa sepenuh-penuhnya. Sebagai penuntut bidang linguistik, pasti semua kita faham dan sedar bahawa tidak wujud keseragaman seratus peratus dalam hal penggunaan bahasa. Maka itu timbul konsep dialek, idiolek, sosiolek dan diglosia.
Pembakuan bahasa bukan proses penyeragaman seluruh aspek korpus bahasa sehingga ke akar umbinya. Pembakuan bahasa sekadar upaya penyeragaman hal-hal dasar atau rumus-rumus dasarnya, baik dalam tatabahasa, ejaan, sebutan, kosa kata dan laras bahasa. Piawai tertentu diperlukan untuk tujuan mewujudkan keadaan saling faham yang tinggi dalam komunikasi, terutama dalam bidang keilmuan dan urusan rasmi. Jika bahasa Inggeris memerlukan standard English, bahasa Arab memerlukan fusha, bahasa China memerlukan phutonghua, maka bahasa Melayu memerlukan ragam bakunya untuk komunikasi keilmuan dan urusan rasmi. Istilahnya berbeda menurut masing-masing bahasa tetapi konsepnya sama. Istilah baku atau standard tidak mengubah konsep ragam bahasa yang diperlukan untuk situasi rasmi. Isu manakah istilah yang lebih tepat hanya isu luaran, sedang yang lebih inti dan penting ialah keperluan terhadap ragam bahasa rasmi.
Oleh itu, perancangan bahasa yang berkaitan dengan pengekodan atau kodifikasi bahasa dalam bidang ejaan, sebutan, kosa kata, tatabahasa dan laras bahasa tidak patut diremehkan dalam rangka pembentukan bahasa tinggi. Sikap sesetengah kalangan, yang bersikap laissez-faire, deskriptif seratus peratus dan berlepas tangan terhadap bahasa yang berperaturan akan menyebabkan bahasa Melayu kehilangan jejak yang jelas tentang sistemnya. Yang lebih parah lagi ialah pemansuhan sesuatu aspek yang telah dibakukan, sebagaimana yang berlaku kepada sebutan baku bahasa Melayu, sesudah 12 tahun dilaksanakan dalam sistem pendidikan negara dan di stesen televisyen STMB. Jelas bahawa fungsi ketiga Dewan Bahasa dan Pustak, sebagaimana yang diaktakan, iaitu membakukan ejaan, sebutan dan istilah telah diremehkan dan diceroboh oleh tangan berkuasa yang tidak sepatutnya mengkhianati Akta Parlimen.
Segala usaha meneliti kepelbagaian dialek yang ada dalam bahasa Melayu memang patut disokong, kerana semua dialek itu merupakan warisan budaya yang penting. Namun, pada waktu yang sama amat penting diperkukuh ragam bahasa tinggi untuk menjadi wasilah pengucapan pemikiran, ilmu dan estetika kerana untuk mengangkat tamadun rakyat negara ini sebagai tamadun yang seiring dan sejalan dengan perkembangan dunia, tamadun kita tidak mungkin terlepas daripada unsur-unsur budaya tinggi itu.
5. Bahasa Supra
Bahasa berbudaya perlu juga mencapai tahap penyebaran dan penggunaan yang lebih luas. Selain merentas etnik di peringkat negara, bahasa berbudaya seharusnya dapat juga merentas batas geopolitik. Dalam konteks bahasa Melayu, taraf supranya telah wujud dalam zaman Sriwijaya dan Kesultanan Melayu apabila bahasa Melayu menjadi jati diri dan citra Kepulauan Melayu. Maka itu, tiada masalah kesenjangan atau jurang pemahaman apabila kita membaca Hikayat Raja Pasai, Sulalatus Salatin, Hikayat Aceh, Hikayat Merong Mahawangsa dan Tuhfat al-Nafis sekalipun karya itu dihasilkan di Pasai, di Johor-Riau, di Aceh atau di Kedah. Demikian juga sekian banyak kitab agama yang dihasilkan oleh ulama di pelbagai pusat kebudayaan hingga kini masih dapat dihayati di serata tempat di alam Melayu. Kitab karangan Syekh Arsyad al-Banjari di Kalimantan, kitab karangan Nuruddin al-Raniri dan ulama-ulama lain di Aceh, kitab karangan Syekh Daud Fatani di Patani dan kitab-kitab yang dihasilkan di wilayah lain menggambarkan bahasa Melayu supra.
Kesan penjajahan Inggeris dan Belanda yang memfaraidkan alam Melayu kepada batas geografi milik mereka dan kemudian merdeka atas nama dan bentuk entiti-entiti politik yang berlainan telah memberikan kesan yang buruk kepada taraf supra bagi bahasa Melayu. Jalannya tidak mudah, tetapi kita perlu membuat perancangan yang rapi agar secara beransur-ansur bahasa Melayu dapat mencapai tahap biduk lalu kiambang bertaup. Hasil kerjasama kebahasaan serantau melalui Majlis Bahasa Indonesia – Malaysia (MBIM) dan kemudian Majlis Bahasa Brunei Darussalam – Indonesia – Malaysia (MABBIM) sejak tahun 1972 secara beransur-ansur telah berhasil merapatkan jurang komunikasi antara bahasa Melayu di Malaysia dengan variannya di Indonesia.
Kemudian melalui Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) yang sempat beroperasi dalam tempoh 2000-2004, telah wujud persefahaman untuk menerima konsep bahasa Melayu/Indonesia sebagai bahasa yang dikaji, diajarkan dan dikembangkan di luar dunia Melayu (di Eropah, di Amerika, di Oceania, di Timur Jauh dan di wilayah lain). Sekalipun tidak menegaskan satu ragam yang meleburkan mana-mana varian itu, pendedahan padanan antara dua varian bahasa Melayu itu cukup banyak membantu pemahaman pelajar asing.
Tahap supra yang turut perlu dititikberatkan ialah membina kemampuan bahasa Melayu menjadi bahasa yang bersifat antarterjemah dengan bahasa-bahasa moden lain, khususnya melalui kegiatan terjemahan karya ilmu dan teknikal. Dengan banyaknya karya ilmu dan teknikal yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, secara langsung bahasa Melayu kian kukuh dalam daya pengungkapan hal ehwal ilmu dan teknikal yang sejagat sifatnya.
Demikian pula, peranan bahasa Melayu dalam bidang diplomasi dapat meningkatkan tahap supranya. Sekali lagi, kita memerlukan iltizam dan perancangan yang rapi dan berani serta memandang masa hadapan yang lebih gemilang untuk bahasa Melayu. Protokol negara tertentu seperti Jepun, Republik Rakyat China dan Korea yang mewajibkan para pemimpin berucap dalam bahasa kebangsaan di majlis rasmi antarabangsa, dengan menyediakan jurubahasa atau terjemahan selari, seharusnya menjadi contoh negara kita, jika kita mempunyai cita-cita untuk meningkatkan bahasa Melayu ke tahap supra. Di Pertubuhan Bangsa Bersatu pula, bahasa Melayu boleh digunakan, dengan penyediaan dana untuk khidmat terjemahan. Soalnya, adakah hal ini menjadi agenda negara.
6. Bahasa Estetik
Bahasa berbudaya tidak terlepas juga daripada fungsinya sebagai pengungkap estetik. Bahasa Melayu memang sesungguhnya kaya dengan karya susastera yang memancarkan nilai estetik yang tinggi, sehingga memukau perhatian dan minat sarjana sedunia. Pengikitirafan UNESCO kepada Sulalatus Salatin dan Hikayat Hang Tuah sebagai antara warisan persuratan sedunia menjadi bukti yang jelas. Genre sastera Melayu lama yang bervariasi, baik dalam bentuk prosa mahupun puisi, menjadi tapak yang kukuh untuk bahasa Melayu kini ditingkatkan menjadi bahasa berbudaya daripada segi estetik.
Penerokaan karya kreatif tidak seharusnya hanya dalam bentuk pengisian genre yang wujud dalam sastera bahasa lain, seperti novel, cerpen, drama, sajak, tetapi juga dalam bentuk peningkatan pemikiran dan nilai estetikanya. Bahasa dan persuratan Melayu Melayu kini memerlukan jelmaan Hamzah Fansuri, Nuruddin al-Raniri,l Tun Seri Lanang, Raja Ali Haji dan nama-nama besar lain. Sasterawan Negara yang diberi pengiktarafan perlu disertai oleh lebih banyak karyawan dalam upaya peningkatan aspek tersebut, dengan penerokaan yang menghasilkan kesan lonjakan paradigma sastera Melayu.
Selain itu, dambaan kita ialah bahawa akan tiba saatnya bahasa berbudaya daripada segi estetik menarik minat dan penghayatan serta menjadi kemahiran bukan hanya dalam kalangan yang eksklusif atau golongan yang ditakdirkan mengkhusus dalam penulisan sastera semata-mata, tetapi turut menggerakkan minat dan penghayatan serta menjadi kemahiran golongan dalam bidang sains dan tekonologi, ekonomi, pengurusan dan yang lain.
Strategi Pembudayaannya
Pembudayaan yang dimaksudkan dalam makalah ini ialah pemupukan sikap, kesedaran dan keterlibatan semua pendukung bahasa berbudaya dalam pelaksanaannya dalam pelbagai sektor. Pembudayaan di sini dapat juga disamakan dengan usaha pemasyarakatan bahasa berbudaya untuk mencapai tahap tamadun luhur. Antara strategi yang disarankan termasuklah seperti yang berikut.
1. Peneguhan dan Kesetiaan kepada Dasar Bahasa
Dasar Bahasa Kebangsaan telah diungkapkan dengan jelas dalam undang-undang negara, iaitu Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan, Akta Pendidikan dan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka. Yang diperlukan kini ialah peneguhan dasar itu, bukan pengurangan atau pelemahannya. Kedudukan dan peranan bahasa Melayu sebagai rasmi, sebagai contoh, masih memerlukan peneguhan dalam pelaksanaannya. Meskipun jelas bahawa erti bahasa rasmi dalam Perlembagaan meliputi penggunaan bahasa dalam segala urusan rasmi di peringkat kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa awam, namun sesudah lebih setengah abad merdeka, peruntukan itu belum terlaksana sepenuhnya, malah belum pada tahap yang cukup memuaskan. Kebiasaan bermesyuarat dalam bahasa yang bercampur-aduk antara bahasa Melayu dengan bahasa asing masing merata. Pekeliling yang judulnya sahaja dalam bahasa Melayu sedang seluruh teksnya dalam bahasa asing pun masih dikeluarkan oleh sesetengah kementerian, jabatan dan pihak berkuasa awam.
Kesetiaan kepada Dasar Bahasa Kebangsaan sebagai salah satu dasar negara perlu dibudayakan dengan sungguh-sungguh kepada seluruh lapisan masyarakat, daripada pemimpin negara kepada penjawat awam, pengamal media dan pengendali sektor swasta. Nasihat dan teguran semata-mata tampaknya tidak memberikan kesan yang nyata. Oleh itu, perlu dirangka mekanisme yang dapat memantau pelaksanaan dasar bahasa itu. Dalam era kepemimpinan negara kini menekankan KPI atau Indeks Pencapaian Utama untuk memastikan segala dasar dan perancangan pembangunan negara tercapai dengan optimum, maka sewajarnya dasar bahasa diberi ruang dalam KPI di semua peringkat eksekutif. Saya pernah menyarankan dalam beberapa seminar sebelum ini agar diwujudkan sistem audit bahasa untuk perkhidmatan awam, jika kita serius dalam pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan. Saran ini sekali gus dapat menjadi kayu ukur penilaian penguatkuasaan peruntukan-peruntukan undang-undang dan garis panduan yang berkaitan dengan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu.
2. Pembudayaan melalui Sistem Pendidikan
Oleh sebab pendidikan merupakan lembaga sosial yang terpenting dalam proses sosialisasi, maka pembudayaan bahasa berbudaya hendaklah benar-benar ditumpukan kepada sektor ini. Kurikulum pendidikan di negara ini berteraskan kurikulum bersepadu yang menekankan kesepaduan antara rohani, jasmani, emosi dan intelek. Gagasan bahasa merentas kurikulum yang diperkenalkan sejak tahun 1987 menekankan peranan bahasa sebagai asas penguasaan pelbagai ilmu dan kemahiran. Kajian penilaian perlu dilakukan untuk memastikan adakah bahasa Melayu masih merentas kurikulum atau telah kembali semula ke petaknya yang dahulu kala.
Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu sekolah menengah berteraskan tiga komponen utama, iaitu hasil pemelajaran bidang interpersonal, hasil pemelajaran bidang maklumat dan hasil pemelajaran bidang estetik. Apabila menyaksikan lepasan sekolah yang masih menghadapi masalah berkomunikasi dengan meyakinkan, baik dalam lisan mahupun tulisan, kita seharusnya meneliti kesan pendidikan bahasa yang dilaksanakan di sekolah. Demikian juga, penekanan bahasa Melayu tinggi di sekolah yang bertunjangkan sistem bahasa yang teratur tampaknya masih memerlukan peningkatan yang sungguh-sungguh.
Kokurikulum difahami sebagai sokongan untuk mengukuhkan penguasaan kemahiran pelajar, termasuk kemahiran berbahasa. Pembudayaan bahasa berbudaya melalui kegiatan kokurikulum memerlukan perancangan yang benar-benar dapat membantu kemahiran bahasa pelajar.
Sisi lain yang masih perlu ditegaskan kepada kerajaan ialah peri pentingnya bahasa Melayu dikembalikan tarafnya sebagai bahasa penghantar utama di institusi pengajian tinggi awam, dan pada waktu yang sama mengupayakan pemenuhan peruntukan Akta Pendidikan 1996 yang turut meliputi penggunaan bahasa Melayu di institusi pengajian tinggi swasta.
3. Pembudayaan melalui Media Massa
Media massa merupakan satu lagi agen sosialiasi yang amat berpengaruh dalam pembentukan sahsiah anggota masyarakat, khususnya golongan muda. Akta penyiaran dan garis panduan penggunaan bahasa Melayu dalam media penyiaran kerajaan dan swasta perlu dikemaskinikan supaya bahasa Melayu mendapat tempat yang sejajar dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan.
Selain aspek pemenuhan taraf bahasa, aspek yang tidak kurang pentingnya dititikberatkan ialah penggunaan bahasa, termasuk kandungan program yang selari dengan gagasan bahasa berbudaya, terutama bahasa akliah, bahasa ilmu dan bahasa estetik.
4. Pembudayaan melalui Pengayaan Khazanah Ilmu
Dengan menegaskan bahawa prasyarat kelestarian sesuatu tamadun ialah kesuburan budaya ilmunya, maka upaya pengayaan khazanah ilmu dalam bahasa Melayu perlu diketengahkan sebagai agenda pembangunan negara yang jelas. Cita-cita untuk menempatkan universiti di negara ini dalam penarafan yang cemerlang di peringkat antarabangsa tidak harus sampai menenggelamkan penghormatan kepada nilai ilmu yang ditulis dan diterbitkan dalam bahasa Melayu. Usahakanlah penerbitan dalam jurnal yang tersenarai dalam siri yang diiktiraf itu, tetapi tidak seharusnya diremehkan dan dinafikan nilai hasil sarjana untuk mengilmukan masyarakatnya dengan menggunakan bahasa Melayu.
Malahan institusi pengajian tinggi, Dewan Bahasa dan Pustaka dan penerbit lain perlu mengusahakan sesuatu agar jurnal yang diterbitkan dalam bahasa Melayu diterima dalam senarai jurnal yang mendapat pengiktirafan antarabangsa itu. Banyak jurnal berbahasa Melayu yang bertaraf jurnal berwasit dan editor perundingnya terdiri daripada kalangan sarjana antarabangsa. Mutu karya ilmiah yang bertaraf antarabangsa bukan bergantung semata-mata pada sesuatu bahasa perantaraan yang khusus. Semua bahasa yang telah mencapai taraf bahasa ilmu seharusnya diberi ruang dan peluang untuk diberi pengiktirafan sebagai bahasa perantaraan karya ilmu yang bertaraf antarabangsa.
Dalam hal ini, Kementerian Pengajian Tinggi perlu mempunyai dasar dan garis panduan yang jelas agar institusi pengajian tinggi di negara ini tidak berlumba-lumba semata-mata untuk mendapat penarafan yang cemerlang di peringkat antarabangsa tetapi mengabaikan peranannya dalam mengilmukan rakyat negara ini sendiri. Perlu ada keseimbangan antara cita-cita membina imej dan pengiktirafan dengan amanah sosial yang dipikul oleh institusi pengajian tinggi.
5. Kegiatan Massa yang Berdampak Besar
Jika dalam tahun 1960-an gerakan Bulan Bahasa Kebangsaan berjaya memberikan dampak yang besar kepada pemupukan rasa cinta dan penghayatan bahasa Melayu tanpa mengenal bangsa, maka pada waktu ini perlu dirancang dan dilaksanakan kegiatan massa yang kira-kira sama dampaknya dengan Bulan Bahasa Kebangsaan tahun 1960-an. Pada tahun 1999 telah dilancarkan Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN) yang dalam tempoh lima tahun pelaksanaannya (hingga tahun 2004) memperlihatkan dampak yang besar kepada rakyat massa. Apabila berlaku “penyederhanaan” hampir semua program DBP, maka BBSN pun tampaknya menjadi hambar. Program Kembara Bahasa yang berjaya mendekatkan bahasa dan sastera dengan rakyat pelbagai lapisan dan lokasi tidak digerakkan lagi.
Peningkatan usaha mengembalikan Bulan Bahasa Kebangsaan yang dilancarkan di Kuching, Sarawak oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran memperlihatkan lonjakan sedikit dalam menyemarakkan kecintaan dan kesedaran kepada peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu, tetapi tampaknya masih memerlukan perancangan dan pelaksanaan kegiatan bahasa dan persuratan Melayu yang memberikan dampak yang lebih besar dan menyeluruh.
6. Pembudayaan pada Peringkat Antarabangsa
Selaras dengan pemenuhan gagasan bahasa supra sebagai salah satu petunjuk bahasa berbudaya, maka tidak dapat dialpakan pembudayaan bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa. Program yang telah dirintis oleh Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) selama lima tahun (2000-2004) dan telah pun mula memperlihatkan hasil yang nyata diteruskan, sekalipun dengan kaedah gerak kerja yang mungkin perlu diubah suai. MABM perlu dijadikan prasarana untuk meningkatkan martabat bahasa dan persuratan Melayu di peringkat antarabangsa, apatah lagi dengan memperhitungkan bahasa badan itu telah diluluskan penubuhannya oleh Jemaah Menteri pada tahun 1997. Dewan Bahasa dan Pustaka yang bertanggungjawab menggerakkan badan penyelarasan bahasa dan persuratan Melayu pada peringkat antarabangsa perlu memenuhi amanah tersebut.
Kewujudan lebih 100 buah institusi ilmiah di seluruh dunia yang mempunyai program pengajaran dan penyelidikan tentang bahasa dan persuratan Melayu seharusnya dijadikan asas kukuh untuk strategi pembudayaan bahasa dan persuratan Melayu pada peringkat antarabangsa. Penubuhan Kursi Pengajian Melayu oleh Kerajaan Malaysia di Ledien (Belanda), di Wellington (New Zealand), di Beijing (Republik Rakyat China) yang terbaharu di Seoul (Korea Selatan) sewajarnya mendapat dukungan badan seperti Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu, selain dukungan oleh institusi-institusi pengajian tinggi di tanah air.
Penutup Bicara
Dalam makalah ini, saya telah dikemukakan ciri-ciri bahasa berbudaya yang menjadi tunjang pembentukan dan peningkatan tamadun luhur bagi bangsa dan negara. Bahagian kedua pula mengemukakan strategi untuk membudayakan bahasa Melayu sebagai bahasa berbudaya dalam sektor-sektor utama kehidupan bertamadun, di peringkat negara dan antarabangsa.
Sebahagian gagasan dan saran dalam makalah ini telah berulang kali dikemukakan dalam pelbagai wacana lisan dan tulisan sebelum ini, tetapi tampaknya masih banyak yang belum singgah dan lekat di hati sanubari pihak-pihak yang bertanggungjawab membudayakan bahasa Melayu sebagai tunjang tamadun. Pejuang bahasa masih bersuara dan terus bersuara, dengan harapan akan sampai saatnya semua pihak yang berkaitan menginsafi peranan bahasa dalam pembentukan dan peningkatan tamadun bangsa dan negara.
Bibliografi
Al-Attas, S.M.N. 1972. Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Al-Attas, S.M.N. 1995. Prolegomena to the Metaphysics of Islam: An Exposition of the Fundamental Elements of the Worldview of Islam. Kuala Lumpur: International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC).
Abdullah Hassan (Ed.). 1999. Perancangan Bahasa di Asia Tenggara. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Abdullah Hassan (Ed.). 2006. Mengapa Kami Bantah! Penggunaan Bahasa Inggeris bagi Mengajarkan Sains dan Matematik. Kuala Lumpur: Persatuan Penterjemah Malaysia.
Abdul Rahim Bakar dan Awang Sariyan (Ed.). 2005. Suara Pejuang Bahasa. Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik Malaysia dan Dawama.
Asraf (Ed.). Manifesto Budaya: Pupus Bahasa Pupuslah Bangsa. Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik Melayu.
Awang Sariyan. 2005. Hakikat Bahasa dan Realisasi Fungsinya dalam Pembinaan dan Penakatan Tamadun. Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik Malaysia.
Awang Sariyan. 2006. Warna dan Suasana Perancangan Bahasa Melayu di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Awang Sariyan. 2006. “Analisis Beberapa Isu Utama Sosiobudaya Bangsa”, kertas kerja Dialog Susulan Kongres Kepentingan Bangsa Peringkat Wilayah Persekutuan, Dewan Al-Malik Faisal, Petaling Jaya (15 April 2006). Terbit dlm. Abdullah Hassan. Mengapa Kami Bantah! Penggunaan Bahasa Inggeris bagi Mengajarkan Sains dan Matematik. 2006. Kuala Lumpur: Persatuan Penterjemah Malaysia.
Awang Sariyan. 2007. “Keunggulan Bahasa, Persuratan dan Tamadun Melayu”. Ucap Utama Kolokium Pasca-Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ke-7, anjuran Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG), GAPENA, Persatuan Penulis Pulau Pinang dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (27 Mac 2007) di Dewan Seri Pinang, Pulau Pinang. Terbit dalam Jurnal Persatuan Linguistik Malaysia 2007.
Awang Sariyan. 2009. Mencari Makna Diri Melayu: Renungan untuk Bangsaku. Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik Malaysia.
Dewan Bahasa dan Pustaka. 2009. Laporan Kajian Taraf dan Penggunaan Bahasa Melayu dalam Bidang Pentadbiran.
GAPENA dan Dewan Bahasa dan Pustaka. Kumpulan Kertas Kerja Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ke-7 (6-8 November 2006).
Kementerian Pelajaran Malaysia. 2001. Sukatan Pelajaran Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah: Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Persatuan Linguistik Malaysia (dengan Kata Penghantar oleh Awang Sariyan). 2002. Keranda 152: Bahasa Kita, Air Mata dan Maruah Kita. Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik Malaysia.
~Kembara Bahasa~
5 November 2011/9 Zulhijah 1432
Tahniah Prof, semoga terus berkarya demi bahasa bangsa yang ada segelintir manusia ingin menyanggahguna bahasa warisan nenek moyang kita pada masa lampau. Perubahan demi perubahan hinggalah ianya menjadi wadah kepada generasi sekarang.
ReplyDeleteSalam Mej. Baharudin,
ReplyDeleteSama-samalah kita perjuangkan warisan tamadun kita; semoga bahasa Melayu yang telah ditakdirkan menjadi bahasa umat Islam terbesar di dunia dan menjadi salah satu asas tamadun negara kita dapat dipertahankan maruahnya. Terima kasih atas penyertaan dalam perjuangan.
terbaik huraiannya, semoga boleh menjadi seperti beliau,,, aamiin
ReplyDelete