Sunday, April 22, 2012
Upaya Pemekaran Ilmu dalam Peningkatan Tamadun Alam Melayu
UPAYA PEMEKARAN ILMU DALAM PENINGKATAN TAMADUN ALAM MELAYU
Awang Sariyan
[Inti Sari Ceramah Pra-Mesyuarat Agung Akademi Sains Islam Malaysia(ASASI) di Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia, pada 21 April 2012]
Haluan Bicara
1. Globalisasi sudah menjadi fenomena sejagat.
2. Globalisasi sehala (dari Barat ke Timur) merobah jati diri dan citra bangsa kita.
3. Globalisasi turut mengurangkan peranan bahasa kebangsaan dalam pelbagai ranah kehidupan.
4. Keterbelakangan kita dalam bidang ilmu menjadi lebih parah dengan globalisasi.
5. MABBIM harus dapat berperanan meniupkan nafas baharu kepada bahasa Melayu/Indonesia dalam upaya pengayaan khazanah ilmu dalam rangka meningkatkan tamadun bangsa.
Hubungan antara Ilmu dengan Tamadun
1. Ilmu menjadi dasar kemunculan dan penakatan tamadun umat manusia (sesuai dengan pelaksanaan amanah sebagai khalifah Allah).
2. Bukti yang jelas dapat diperhatikan pada sejarah tamadun Yunani, Rumawi, Islam dan yang lain, termasuk tamadun di alam Melayu.
3. Agenda pembentukan semula zaman emas tamadun Melayu yang memperlihatkan mekarnya budaya ilmu seperti pada zaman klasik, iaitu zaman Kesultanan Melayu perlu diupayakan.
4. Peranan bahasa dan akal amat penting dalam pengilmuan manusia (individu dan masyarakat), sesuai dengan konsep haiwan natiq/rational animal.
Asas Upaya Pengayaan Ilmu
Dua asas utama:
1. Sifat asasi manusia yang memerlukan ilmu dan bertanggungjawab mengembangkan ilmu.
2. Tanggungjawab umat Melayu/Indonesia mengangkat martabat tamadunnya secara kolektif agar menjadi penyumbang besar kepada tamadun umat manusia sejagat (globalisasi dua hala)
Ilmu dan Fitrah Manusia
1. Amanah dan peranan manusia sebagai khalifah dan pentingnya ilmu untuk pelaksanaan amanah tersebut (al-Baqarah, 30 dan 31)
2. Potensi ilmu telah Allah dipersiapkan pada manusia sebelum lahir ke dunia (al-A`raf, 172)
3. Keperluan akan penguasaan dua jenis ilmu secara bersepadu:
(i) Ilmu tanzil (yang diwahyukan)
(ii) Ilmu akal/sains (yang dicari)
(Kaitannya dengan pemenuhan tuntutan fardu `ain dan
fardu kifayah)
Kerangka Perencanaan
Lima tahap utama:
1. Penilaian kritis
2. Pemetaan
3. Pelaksanaan
4. Promosi
5. Peneguhan prasarana
Tahap 1: Penilaian Kritis
1. Bidang - Menilai kekuatan dan kekurangan tamadun kita dalam bidang ilmu tertentu sebagai asas perencanaan selanjutnya (pemetaan yang tuntas).
2. Keahlian - Menilai kekuatan dan kekurangan ahli ilmu kita dalam bidang ilmu tertentu untuk dijadikan asas perencanaan latihan dan pengagihan tanggungjawab.
3. Institusi/Badan - Dikenal pasti dan diinventorisasikan institusi/badan yang sedia bergerak danyang berpotensi untuk ikut serta dalam gerak kerja pengayaan khazanah ilmu.
Tahap 2: Pemetaan
1. Bidang ilmu yang ditanzilkan (the revealed knowledge - Penyenaraian ilmu-ilmu yang tercakup di dalam kategori ini (aqidah, fiqah, tafsir, hadith, tasawuf, sirah, jinayah, muamalah, adab, qiraah dll. untuk dilengkapkan judul-judul dan karyanya, sebagai asas pembinaan manusia Melayu/Indonesia. Untuk tujuan kesalingfahaman antara agama, perlu diupayakan juga penyusunan karya umum tentang ajaran agama-agama lain yang mewakili sejumlah umat di alam Melayu.
2. Bidang ilmu yang dicari (the acquired knowledge) – Penyenaraian dan penulisan ilmu yang tercakup dalam dua bidang utama di bawah kategori ini, iaitu ilmu-ilmu sains kemanusiaan dan ilmu-ilmu sains tabii yang diperlukan untuk maslahat umat Melayu/Indonesia dalam rangka memakmurkan alam (Daftar bidang ilmu yang digarap oleh MABBIM dapat dijadikan titik tolak)
Tahap 3: Pelaksanaan
1. Penyelarasan pelaksanaan rencana kerja – MABBIM, MASTERA, FORKEPS, MEKKAP/MAKKAP
2. Pembentukan pasukan kerja – Di peringkat negara dan antara negara,melalui badan-badan kerjasama serantau seperti di atas atau institusi lain dengan gerak kerja yang berkesan seperti sistem mentor-mentee.
3. Penghasilan dan penerbitan karya ilmu untuk pelbagai lapisan masyarakat
4. Pemanfaatan pelbagai media (dengan penekanan pada teknologi maklumat dan komunikasi untuk mengimbangi globalisasi Barat)
5. Penyelidikan/penelitian dalam rangka eksplorasi bidang, temuan dan dapatan baharu agar bangsa kita tidak semata-mata menjadi bangsa pengguna tetapi menjadi bangsa penyumbang.
Tahap 4: Promosi
1. Persidangan ilmiah antarabangsa secara terancang untuk mengetengahkan hasil yang berorientasikan teori, pendekatan dan kerja pengolahan beracuan tamadun Melayu/Indonesia (dalam hal ini MABM dapat dijadikan wahananya).
2. Rangkaian dengan badan dan forum antarabangsa, termasuk penerbit, untuk mengetengahkan temuan dan dapatan daripada hasil penelitian dan penulisan ahli ilmu dari dunia Melayu/Indonesia.
3. Penerjemahan karya ilmu dan sastera Melayu/Indonesia yang bermutu tinggi ke dalam bahasa-bahasa utama dunia untuk terbitan dan pasaran antarabangsa, baik oleh penerbit di rantau ini mahupun penerbit antarabangsa.
Tahap 5: Peneguhan Prasarana
1. Sektor pendidikan
2. Keberkesanan kerjasama serantau
3. Peranan pemerintah negara-negara berbahasa Melayu
4 Perkongsian pintar antara badan pemerintah dengan badan swasta
~Kembara Bahasa~
22 April 2012/1 Jamadilakhir 1433
No comments:
Post a Comment