Friday, December 28, 2012

Tazkirah kepada diri: bahagia orang yang beriman kepada qadha' dan qadar

Tazkirah kepada diri:

Seorang ustaz dalam satu program di TV9 menegaskan bahawa berbahagia orang yang beriman kepada qadha' dan qadar.

Apabila diuji dengan musibah atau kegagalan, ia redha lalu mendapat pahala.

Apabila beroleh nikmat atau kejayaan, ia bersyukur lalu memperoleh pahala.

Dalam keadaan susah dan senang ia tetap berasa bahagia.


Kembara Bahasa
29 disember 2012/15 Safar 1434

Petikan ucapan TPM di Majlis Hadiah Sastera Perdana

SINAR HARIAN

Muhyiddin: Bahasa 'SMS' perlu dibendung

28 Disember 2012

Muhyiddin (kiri) menyampaikan Hadiah Sastera Perdana Malaysia Kategori Buku/Kumpulan kepada Syed Mohd Zakir Syed Othman (kanan). - Foto Bernama
KUALA LUMPUR - Tan Sri Muhyiddin Yassin menyarankan pihak berkenaan memberi perhatian terhadap penggunaan bahasa ringkas yang tidak mengikut kaedah betul kerana bahasa yang popular di kalangan generasi muda itu kini menular dalam aktiviti pendidikan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, penularan hasil perkembangan bidang teknologi maklumat dan komunikasi itu perlu dibendung segera supaya tidak berleluasa seterusnya merosakkan keindahan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

"Hari ini ejaan-ejaan ringkas yang digunakan dalam mesej pesanan ringkas telah mula dipakai secara agak meluas, termasuk dalam aktiviti pembelajaran dan peperiksaan di institusi-institusi pendidikan.

"Ini adalah satu fenomena yang perlu dipantau dan dibendung dengan segera supaya ia tidak terus berleluasa," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian hadiah Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2010/2011 di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Dr Awang Sariyan dan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof Datuk Dr Md Salleh Yaapar.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berkata pelaksanaan program pemantauan dan Audit Bahasa Melyau yang dijalankan DBP diharap berupaya mengelak keindahan bahasa kebangsaan itu daripada dirosakkan.

Beliau berkata, selain inisiatif itu, rakyat juga diseru agar dapat memupuk sikap cintakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dengan menggunakannya secara betul pada setiap masa, sama ada dalam urusan rasmi atau tidak rasmi.

Program audit tersebut adalah inisiatif terbaru DBP di bawah pelan strategik bagi 2011-2015 untuk meningkatkan penggunaan bahasa Melayu di kalangan rakyat tempatan.

Di bawah program itu, DBP akan bekerjasama dengan semua agensi kerajaan dan kementerian untuk memastikan bahasa kebangsaan digunakan dengan sebaiknya oleh rakyat Malaysia dalam kehidupan seharian.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kecenderungan generasi muda yang hanya membaca karya yang bersifat popular juga perlu diberi perhatian dengan mengimbanginya melalui penerbitan karya sastera yang lebih serius.

Beliau berkata khalayak masyarakat harus menyeimbangkan pembacaan mereka dengan memilih karya sastera yang serius untuk menggarap pemikiran yang lebih kritis dan membina nilai estetika.

"Dalam kerancakan penerbitan novel popular dan mudah, ia juga harus diseimbangkan, dan apa yang ingin saya lihat adalah wujudnya keseimbangan dalam penerbitan karya sastera dan pemilihan bahan bacaan kerana tamadun bangsa berkembang seiring dengan kemajuan budaya dan nilai kemanusiaan," katanya.

Dalam perkembangan sama, Muhyiddin berharap Jawatankusa Penilai dan Pemilihan Teks sastera memberi keutamaan kepada karya sastera yang memenangi HSPM untuk digunakan dalam mata pelajaran kesusasteraan, bahasa Melayu dan Komponen Sastera (Komsas) di sekolah.

Beliau berkata, semua karya yang memenangi hadiah itu telah dinilai kualitinya, bukan sahaja daripada nilai sasteranya yang tinggi, malah aspek
bahasanya juga amat baik.

Seramai 35 pemenang HSPM daripada tiga kategori yang dipertandingkan meliputi genre buku, eceran serta kanak-kanak dan remaja menerima hadiah wang
tunai bernilai lebih RM100,000 pada majlis itu.

Antara pemenang ialah Kamaludin Endot atau nama penanya Pelita Di Dalam Kaca menerusi karya berjudul Baldatun Thoiyyibatun dan S.M Zakir dengan buku Serigala dan Sekuntum Tulip, tokoh sastera Zaen Kasturi, bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia Fatimah Busu dan novelis terkenal allahyarham Azizi Abdullah. - Bernama



www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.



Wednesday, December 26, 2012

Kupasan S.M. Zakir tentang Kumpulan Puisi "Mencari Makna Diri"

MENCARI MAKNA DIRI MELIHAT KEPERIBADIAN DIRI


S.M. Zakir

[Kertas kerja Bicara Buku di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kedah di Alor Setar pada 22 Disember 2012)

Menurut Seyyed Hossein Nasr dalam bukunya Doktrin Kosmologi Islam, perhubungan antara Wahyu dengan manusia sebagai penerimanya, adalah ibarat perhubungan antara bentuk (form) dengan jirim/bahan (matter). Wahyu adalah bentuk dan struktur akal atau psikik manusia yang menerimanya adalah bahan, di mana bentuk mempamerkan wajahnya. Dalam kata lain bentuk mengacu bahan atau menjadi acuan kepada bahan. Semua tamadun wujud begini, yakni secara pengacuan bentuk ke atas bahan bergantung kepada nilai-nilai psikik dan sifat bangsa yang didatangi oleh bentuk tadi dengan dua cara. Pertama, Wahyu disampaikan dalam bahasa masyarakat yang didatanginya seperti yang termaktub dalam al-Quran dan kedua, bahan yang merupakan tempat didatangi Wahyu memainkan peranan dalam menggilap, memakmur dan memanjangkan bentuk-bentuk yang disampaikan oleh Wahyu.

Apa yang difahami di sini ialah bagaimana bahasa memainkan peranan penting sebagai alat bentuk mengacu bahan. Tanpa bahasa bentuk tentunya tidak dapat mengacu bahan tadi. Maka terlihat di sini bahawa Wahyu diturunkan dalam mukjizat bahasa, yakni keindahan dan keagungan bahasa masyarakat yang didatanginya. Apabila Wahyu diturunkan daripada alam Pencipta yakni Allah Yang Maha Esa, kepada manusia maka segala kebenaran tersebut turun dalam bahasa masyarakat yang didatanginya. Bahasa menjadi bukan sahaja alat dan perantara penting tetapi juga pengacu atau pembentuk ketamadunan manusia. Wahyu yang turun dalam bentuk bahasa ini mewujudkan tamadun, yakni keteraturan hidup manusia yang menurut jalan kebenaran dan kesejahteraan. Pada masa yang sama juga keteraturan ini membentuk kemajuan hidup manusia, sekaligus menjadikan bahasa yang melahirkan keteraturan tadi menjadi bahasa yang bertamadun. Maka di sini, bagaimana ketamadunan manusia terutamanya tamadun Islam amat berkait rapat dengan ’ketamadunan’ bahasa. Malah bahasa menjadi sebahagian ciri utama ketamadunan itu sendiri. Oleh itu apabila masyarakat mengungkapkan kehidupan mereka dalam kata-kata (bahasa), dalam bentuk sastera dan pernyataan seni maka budaya atau amalan hidup masyarakat menjadi sebati mengalir dalam setiap pengucapannya. Dalam konteks ketamadunan Islam, bahasa yang digubah menjadi bentuk karya sastera secara tekal turut mengungkapkan jiwa dan ruh keislaman yang telah bersebati dalam kehidupan masyarakatnya.

Dalam konteks bahasa Melayu, ternyata bahasa Melayu wujud dengan wujudnya ketamadunan Islam di rantau nusantara. Sebelum kedatangan Islam, bahasa Melayu tidak wujud sebagaimana yang ada selepas kedatangan Islam. Malah tulisan dan aksara yang ada di rantau nusantara tidak pun dikenali sebagai bahasa Melayu, melainkan tulisan dan bahasa yang dinamakan secara parokial menurut negeri dan daerah yang ada. Menurut Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam bukunya Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu; kedatangan Islam di rantau Asia Tenggara atau nusantara telah mewujudkan apa yang dikatakan sebagai Zaman Baru. Pengertian Zaman Baru ini menurut beliau ialah suatu zaman yang mempunyai ciri-ciri yang penting dan mempunyai sifat persendirian serta berlainan dengan sifat-sifat zaman yang lampau, zaman yang menayangkan pandangan hidup yang berbeza daripada yang lampau. Zaman yang menubuhkan bukan sahaja rupa baru bahkan juga jiwa baru. Kedatangan Islam telah mewujudkan bahasa Melayu yang menggunakan aksara jawi yang merupakan aksara daripada bahasa Arab-Islam. Sebelum ini bahasa Melayu (tidak pun dikenali sebagai bahasa Melayu) menggunakan baik aksara dari India mahupun aksara tempatan yang sempit penggunaannya, malah hanya terpakai dalam lingkungan istana dan golongan elit. Bahasa Melayu yang menggunakan aksara jawi menjadi bahasa rantau alam Melayu, yang merangkumi golongan atasan mahupun golongan bawahan. Bahasa Melayu menjadi bahasa besar dan bukan lagi bahasa parokial. Dalam kata lain ia menyebar dan menyeluruhi pelosok alam Melayu bersama dengan penyebaran agama Islam. Akhir sekali bahasa Melayu menjadi antara ciri penting ketamadunan Islam di rantau alam Melayu. Maka itu, bahasa Melayu muncul sebagai bahasa ketamadunan Islam yang mencirikan Zaman Baru tersebut.

Maka di sini dapat dilihat bagaimana ketamadunan Islam diiringi oleh ketamadunan ’bahasa’ Islam, yang berada sebelah menyebelah dan saling mendokong. Ketamadunan bahasa mempamerkan ikatan yang bersebati dengan ruh Islam, sehingga peluahan atau pengungkapan kata-kata sepenuhnya berlingkar dalam wadah menjunjung kebenaran Ilahi, mendokong keteraturan Islam, dan mempamer amalan masyarakat berteraskan Islam. Dalam kumpulan puisi Mencari Makna Diri karya Awang Sariyan, kenyataan tentang ketamadunan Melayu yang dibentuk keseluruhannya oleh Islam memperlihatkan betapa bahawa pengungkapan bahasa Melayu melalui puisi itu secara keseluruhannya pula berhubungan dengan amalan dan budaya keislaman yang sangat menebal dan bersebati. Mencari Makna Diri bukan sekadar puisi yang melemparkan kata-kata, tetapi memperlihatkan bentuk ketamadunan bahasa Melayu yang secara langsung mengalirkan prinsip kehidupan Islam. Sajak ”Mitos Bahasa” memperlihatkan sejarah bahasa Melayu yang wujud sebagai bahasa peradaban dan ketamadunan Melayu sejak zaman pra-Islam. Sajak ini disampaikan dalam menentang atau memperbetulkan keraguan tentang bahasa Melayu yang dipandang ’kecil’ dalam era globalisasi, sedangkan bahasa Melayu mempunyai sejarah yang panjang sebagai bahasa peradaban yang maju.

Kata yang empunya ceritera
kononnya bahasa Melayu tiada berdaya
menyahut cabaran gelombang samudera
lamun di paparan sejarah telah tertera
bahasa Melayu hebat sejak zaman Sriwijaya
menanjak gemilang membina mercu tanda
dalam zaman kesultanan di seluruh Nusantara
dimahkotakan sebagai bahasa sempurna
merentas ranah, sempadan dan bangsa

Setelah menggambarkan sejarah panjang bahasa Melayu sebagai bahasa unggul sebuah ketamadunan besar, sajak-sajak seterusnya memperlihatkan bagaimana sifat bahasa Melayu yang dibentuk oleh Islam tersebut mencirikan budaya Melayu-Islam. Sajak yang paling simplistik dalam menyampaikan bentuk dan ciri ini ialah sajak “Aduhai Desaku!”. Sajak ini dengan bersahaja mengalurkan gelisah dan resah rindu warga kepada desanya. Tetapi gambaran desa, budaya dan kehidupan masyarakat hadir dengan ciri yang bersebati dengan Islam. Sekaligus menggambarkan ‘keaslian’ bahasa dan jiwa Melayu yang sangat bersebati dengan Islam, malah menjadi sifatnya.

Aduhai desaku!
gelisah dan resah jiwaku
setiap kali pulang melepaskan rindu
aku menjadi kelu dan keliru
melihat kian kurang
anak-anak dihantar mengaji
menggali yang fardu
bertalaqi dan beramali bersama guru
menguasai tulis baca jawi wasilah risalah

Sajak ini memperlihatkan rasa ’kehilangan’ apabila ciri-ciri Islam dalam kehidupan masyarakat tidak lagi seakrab dahulu, sekaligus memperlihatkan ’sebatinya’ bahasa dan jiwa Melayu dengan Islam sehingga perasaan dan rindu itu dihubungkan dengan rasa keislaman tersebut. Dari sisi yang lain terlihat ciri-ciri bahasa Melayu berhubungan kait yang erat dengan risalah Islam. Rangkap ketiga sajak ini memperlihatkan ciri-ciri bahasa Melayu dalam lingkungan Islam tersebut.

Aku menjadi gelisah dan resah
menyaksikan malam yang syahdu
tiada lagi suara merdu
nnak-anak dipandu guru
a i u, ba bi bu, ta ti tu, tha thi thu
mengenal fathah, kathrah dan dhammah
tanwin dan sukun serta sabdu
daripada mukaddam kepada mushaf yang sempurna

Ciri-ciri bahasa Melayu yang berhubungan kait dengan citra Islam ini terlihat jelas hampir dalam keseluruhan kumpulan puisi ini, dalam sajak-sajak yang membawa pelbagai tema. Apatah lagi dalam tema yang sangat jelas mengangkat nilai Islam, contohnya dalam sajak “Sendu Ramadhan”.

Alangkah alpanya aku
akan kurnia istimewa Yang Esa
datangmu dengan rahmat tak tepermanai
sepertiga pertama rahmat
sepertiga kedua pengampunan
sepertiga akhir pelepasan daripada neraka
para malaikat suruhan Yang Perkasa
sepanjang malam hingga terbit fajar
mengucapkan salam sejahtera
kepada hamba-hamba-Nya
yang mengabdikan diri
ke hadrat Pencipta dan Penguasa yang tak berbanding

Malah kenangan yang paling primordial terhadap ayah dan ibu juga dapat dilihat pencirian Islam yang tekal, dalam sifat bahasa Melayu sebagai citra Islam. Sajak ”Mengenangmu Ayahandaku”, diambil rangkap akhirnya.

istirahatlah wahai ayahandaku
di alam yang bebas daripada tipu daya dunia
sementara menanti tibanya alam mahsyar
perhimpunan besar penentu destinasi abadi
semoga kita bersua di syurga jannati

Begitu juga dengan sajak ”Syair Ibundaku nan Mutmainnah”, yang memperlihatkan citra Islam yang lembut dan menyerap sebagai ciri bahasa Melayu.

Ayahanda dan ibunda bahu-membahu
Mendidik anakanda supaya tahu
Mengaji al-Quran menjalani yang fardu
Memandu anakanda mengendalikan kalbu

Diakhirinya dengan rangkap akhirnya

Aduhai ibunda jiwa mutmainnah
semoga ibunda dipelihara Allah
bakti amanah ibunda laksanakan sudah
semoga ibunda kelak di jannah

Sajak “Wasiat Ayahanda” menyambung citra Islam yang menggambarkan titik primordial dalam budaya masyarakat Melayu, yakni titik kekeluargaan yang menjadi primate order dalam perkembangan masyarakat diasaskan dengan nilai Islam yang sangat kuat dan akrab.

Ayahanda tarbiah anakanda sekalian
oleh murabbi dan mudarris diperteguh jua
awwaluddin ma’rifatullah
ada pun yang utama ialah pengesaan Allah
usah disekutukan zat dan sifat-Nya
itulah awal wacana di alam barzakh
sebagai tuntutan janji anak Adam di alam arwah
nan dahulu dilafazkan di hadapan-Nya secara berjemaah
sebelum roh tersarung oleh jasad

Citra Islam yang mencirikan sifat bahasa Melayu, dalam perkaitannya dengan budaya serta kehidupan seharian juga ditampilkan dalam tiga buah sajak yang dilihat mempunyai metafora dan estetika yang kuat. Sajak pertama ”Musim Luruh”, sebuah sajak pendek yang bukan sahaja menampilkan citra Islam, metafora dan estetika yang kuat tetapi juga perlambangan yang ’sejuk’ dan menyentuh.

Musim luruh
engkau bertandang lagi
semoga menjadi isyarat
dan lambang alam
perihal luruhnya
segala dosa kami
ketika kembali ke fitrah kami
pada idulfitri

perkenankanlah ya, Rabbi

Bentuk sajak yang menghantar metafora dalam citra Islam yang kuat sebegini juga terlihat dalam sajak ”Selamat Datang Tamuku”.

Selamat datang wahai tamuku
dikaulah penyeri taman usrahku
permata hati pendamai kalbu
anugerah nur daripada nan satu

Sebuah lagi sajak yang patut diperhatikan dalam konteks melihat citra Islam dalam metafora yang puitis ialah sajak ”Saat Pamitan”.

Aku sekadar tamu yang singgah
di teratakmu meredakan lelah
dalam kembara panjang yang tak tertelah
ada kalanya aku seakan-akan kehilangan arah

sampai kini saat pamitan
kerana kembara perlu kuteruskan
meredah mujur di gurun tanpa garisan
berbekalkan tawakal mengharapkan ihsan

Akhir sekali ciri ‘kata’ dalam bahasa Melayu yang kaya dengan perbidalan tampil dengan baik dan indah dalam sajak “Permainan Apakah Ini?”. Terdapat inovasi terhadap perbidalan Melayu yang asal dalam memberikan makna baru terhadap isu-isu yang dikritik sebagai ‘permainan’ yang meruntuhkan kejituan bangsa Melayu.

Namun kini hamba bertanya
permainan apakah yang kami saksikan kini?
air yang dicencang tampak biar sampai putus
carik-carik buku ayam sampai sungguh cariknya
mandi bukan sampai basah tetapi sampai binasa bejana
berdakwat bukan sampai hitam tetapi sampai patah pena
menyeluk pekasam bukan sampai di pangkal lengan
tetapi sampai di perdu hawa
rotan biar terkerat, arang biar patah
retak sudah menjadi belah
mahu mati bergalang tanah
mahu nasi biar menjadi bubur!
sesat di hujung jalan tidak mahu kembali ke pangkal jalan
yang keruh tidak dibuang yang jernih tidak diambil

Secara keseluruhan sajak-sajak dalam kumpulan puisi Mencari Makna Diri ini memperlihatkan dengan jelas tentang ciri-ciri bahasa Melayu sebagai bahasa ketamadunan Islam. Kata-kata ’sajak’nya terpamer rupa budaya, amalan, kehidupan dan pegangan bangsa Melayu terhadap Islam; sehingga seluruh citra dalam diksi dan sintaksis bersebati dengan Islam. Kata-kata yang bergerak dan membentuk sajak-sajak dalam kumpulan puisi ini disendikan segenap tautannya dengan citra Islam. Maka apa yang terlihat di sini ialah bagaimana ’bentuk’ yakni Islam itu mengacu bahasa (Melayu) untuk menjadikannya sebagai lambang kepada ketamadunan Islam yang menjadi ciri utama bangsa Melayu. Hal ini mewakili pandangan dan penelitian yang bersifat keseluruhan terhadap kumpulan puisi ini. Sementara penelitian yang bersifat juzukan (piecemeal) melihat tema-tema yang menyangkuti sejarah, perjuangan, kehidupan malah kritikan terhadap isu-isu yang menyangkuti kelangsungan hidup bangsa dan ketamadunan Melayu tersebut. Menutup tulisan ini, amat sesuai rasanya jika dikutip cuplikan beberapa rangkap sajak ”Hakikat Bahasa” yang dapat menyimpulkan secara keseluruhannya tentang kecintaan terhadap bahasa Melayu dan bangsa Melayu kumpulan puisi yang tegas dengan perjuangannya ini.

Bahasa bukan sekadar deretan bunyi-bunyi
yang terbit daripada artikulasi
bahasa bukan sekadar deretan aksara
yang ternukil mewakili suara
bahasa bukan sekadar yang tertanggap oleh indera
oleh telinga dan oleh mata

Bahasa
sesungguhnya cerminan akal budi
pancaran diri dan pekerti
asas jati diri
paksi makna diri

Bahasa
juzuk diri yang hakiki
ternurani pada akal yang rohani
tika roh pada jasad belum bersemadi
menjadi pengantara Khaliq dan makhluk berkomunikasi
tentang ketuhanan Tuhan anak Adam bersaksi:
Alastu birabbikum; qalu bala syahidna.

Maka itu
usahlah dipersempit gagasan bahasa
pada lambang-lambang yang arbitrari
usahlah diperkecil daerah selidiknya
pada yang tampak di zahir diri
usahlah dipinggirkan di dunia sepi
tika membangun ekonomi
tika melonjakkan martabat diri
tika membina acuan madani dan hadhari

Rangkap akhir sajak ini menyimpulkan segala.

Marilah kita lestarikan
sendi tamadun dan akal budi bangsa
anugerah Allah Rabbulalamin
dalam membina jati diri
dalam membina kekuatan peribadi
dalam membina harga diri



Rujukan

Awang Sariyan, 2012. Kumpulan Puisi Mencari Makna Diri. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Seyyed Hossein Nasr, 1993. Doktrin Kosmologi Islam terj. Baharuddin Ahmad & Osman Bakar. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Syed Muhammad Naquib al-Attas, 1972. Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu. Kuala Lumpur. Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.







Tuesday, December 25, 2012

Tazkirah kepada diri: Usah mulakan sesuatu dengan bayangan kegagalan.

Tazkirah kepada diri:

Ketika akan memulakan sesuatu yang telah dirancang dengan teliti dan rapi, yang jelas matlamat dan manfaatnya, maka usahlah membayangkan kegagalan.

Sebaliknya laksanakanlah program itu dengan yakin, berstrategi dan bertawakal kepada Allah. Seandainya ada kendala dan masalah yang timbul, maka terimalah kesemuanya sebagai ujian, bukan untuk berundur, tetapi untuk melakukan penambahbaikan.

Kembara Bahasa
25 Disember 2012/12 Safar 1434



Rogayah Razak Saya setuju sangat dengan cara pemikiran ini. Jangan berundur sebelum kalah.
57 minit yang lalu

Kembara Bahasa Melayu Mahawangsa: Demikianlah hendaknya, sahabat hamba Dr. Rogayah Razak. Apabila hamba menggerakkan Program Penerbitan Berpakej, ada suara yang terus membayangkan kegagalannya. Pada hemat hamba, matlamatnya dan manfaatnya jelas - bahasa Melayu mesti lengkap dengan karya ilmu dalam ratusan bidang yang ada, baru taraf negara maju yang didambakan pada tahun 2020 itu benar-benar bererti. Apatah ertinya negara maju dalam industri dan ekonomi tetapi mundur kuasa ilmunya? Untuk menggerakkan pengayaan ilmu dalam bahasa Melayu dengan cepat dan mutunya terkawal, maka program penerbitan berpakej dijangka dapat menjadi salah satu mekanismenya. Ujian dan kendala dapat diduga pasti banyak tetapi kalau tidak dipecahkan ruyung masakan dapat sagunya, bukan? Terima kasih kerana puan sebagai penyelaras salah satu panel penulis (bagi bidang yang agak baru dalam tradisi linguistik di Malaysia, itu linguistik klinikal) telah memulakan gerakan awal. Alhamdulillah.

DBP dan KPM merancang kursus bahasa Melayu untuk warganegara Malaysia di seberang laut

Bernama.com 21 Disember 18.55 petang

DBP, Education Ministry Planning Bahasa Melayu Course For Malaysians Abroad

BESUT, Dec 21 (Bernama) -- Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) and the Education Ministry (KPM) are planning to provide Bahasa Melayu courses for Malaysians living overseas to ensure they were not left behind in mastering the national language as citizens of the country.

DBP director-general Dr Awang Sariyan said the plan was a follow-up from the Deputy Prime Minister and Education Minister Tan Sri Muhyidin Mohd Yassin's statement in wanting Malaysians abroad to be given Bahasa Melayu courses to strengthen their command of the national language.

He said the programme was to ensure that the course provided to all Malaysians especially students and government officers serving in foreign missions would be based on a syllabus set up jointly by both KPM and DBP.

"The course will be held during semester holidays in cities according to the continent or region such as Europe, Middle East, East Asia and Oceania," he told Bernama here today.

Dr Awang also said London had been chosen as the centre for Europe, Cairo for the Middle East, Beijing for East Asia and Melbourne, Australia for Oceania.

-- BERNAMA
21 Disember 2012

Sunday, December 23, 2012

Doa memohon rezeki yang cukup

Ya, Allah, tiadalah kami memohon kurniaan yang berlebihan melainkan Dikau cukupkan rezeki kami sehingga tidak sampai kami kufur kerana kesusahan.

Sesungguhnya kehidupan kami amat singkat sehingga tidak kami dambakan kurniaan yang berlebihan yang mungkin pula menjadikan kami kufur nikmat.

Kembara Bahasa
24 Disember 2012/10 Safar 1434

Sunday, December 16, 2012

Tazkirah kepada diri: Usahakan sumber yng sahih

Tazkirah kepada diri:

Elok sesiapa jua, apatah lagi yang terdidik dalam disiplin ilmiah, berusaha mendapat maklumat daripada sumber yang sahih daripada mendengar sesuatu daripada pihak yang mungkin tidak mempunyai kejelasan dan akibatnya kesimpulan yang dibuat menjadi tidak tepat atau mungkin salah sama sekali.

Kembara Bahasa
17 Disember 2012

Saturday, December 15, 2012

Kisah dan teladan (1)

Sambil bersarapan di teratak kampung, ibunda menyingkap kisah pada zaman Jepun. Mata pencarian arwah ayahanda ialah membuat gula melaka daripada nira kelapa. Kerjanya setiap pagi memanjat pohon kelapa di pantai untuk membubuh tabung pada nira yang dipotong hujungnya dan menjelang tengah hari memanjat pohon kelapa untuk memungut air nira.

Ibunda memasaknya dalam kuali besar sehingga memekat dan dimasukkan dalam acuan sehingga keras. Gula melaka dijual untuk mendapat wang, walaupun harganya sangat murah.

Sambil menunggu waktu untuk memungut tabung gula nira, ayahanda melanggai di laut untuk mendapatkan lauk seperti udang, sotong dan ikan kecil. Beras sukar didapat, maka ubi kayu, keledek dan sagu menjadi makanan ruji.

Menurut ibunda, arwah ayahanda berkebolehan membuat kain daripada daun nanas untuk dijadikan pakaian. Kesusahan mendapat kain menyebabkan pernah ayahanda menyempunakan jenazah jiran dengan daun pisang kering sebagai ganti kain kafan.

16 Disember 2012/ 2 Safar 1434

Friday, December 14, 2012

Majlis Bahasa Melayu Negeri Melaka dan Pusat Kecemerlangan Persuratan Melayu Antarabangsa

Siang tadi hamba menyusuli keputusan kerajaan negeri Melaka untuk menubuhkan Majlis Bahasa Melayu Negeri Melaka yang akan bertanggungjawab memastikan bahawa bahasa Melayu dilaksanakan dengan meluas dan berkesan dalam pelbagai urusan kehidupan di negeri itu.

Pengumuman keputusan itu dibuat oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd. Ali Rustam semasa melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan peringkat negeri Melaka pada 3 Disember 2012.

Jabatan atau unit khas akan ditubuhkan di bawah Jabatan Ketua Menteri sendiri untuk menjalankan tugas pelaksanaan, pemantauan dan penyelarasan kursus bahasa. DBP menjadi badan perunding dan sumber maklumat serta tenaga untuk membantu majlis dan jabatan itu. Kertas konsep dan pelaksanaannya teah dikemukakan oleh DBP kepada kerajaan Melaka dan telah diluluskan. Semoga negeri lain yang belum ada prasarana seperti itu segera melaksanakannya.

Sebuah institusi lain yang disetujui penubuhannya oleh kerajaan Melaka atas cadangan DBP ialah Pusat Kecemerlangan Persuratan Melayu Antarabangsa yang dirancang setanding dengan Universiti Leiden di Belanda, dalam konteks koleksi manuskrip dan semua bahan sejarah tamadun Melayu untuk dikaji okeh oara sarjana dan hasil kajian diterbitkan untuk memaparkan segala aspek tamadun Melayu - sejarahnya, bahasanya, sasteranya, budayanya, sistem kepercayaannya, ekonominya, undang-undangnya dan apa-apa sahaja aspek tamadun Melayu. Gagasan jtu mula dicetuskan dalam kertas kerja Ketua Pengarah DBP dalam Hari Sastera Nasional bersempena dengan sambutan 750 tahun peubuhan Melaka dalam bulan Mac 2012 dan diterima sebagai salah satu resolusi.

14 Disember 2012/1 Safar 1434

Monday, December 10, 2012

Perihal kata "kelindan" dan "kelendan"


Dalam satu mesyuarat, seorang kenalan bercerita tentang kian banyaknya kosa kata bahasa Melayu yang tidak difahami oleh pengguna bahasa. Salah satu ialah kata "kelindan" dalam peribahasa "Lulus jarum luluslah kelindan".

Seorang teman kenalan saya itu bertanya tentang apakah kaitan antara jarum dengan kelendan lori. Kata "kelindan" yang berkaitan dengan bahagian tempat benang dimasukkan pada jarum telah hilang daripada kosa kata sejumlah pengguna bahasa.

Selain rujukan kepada kamus, tampaknya kaedah yang berkesan untuk mengatasi masalah itu adalah dengan menulis makalah umum yang mudah difahami oleh masyarakat. Itulah asas hamba menulis siri makalah "Ceritera di Balik Kata" yang kemudian dibukukan menjadi "Tuntunan Bahasa".

Kembara Bahasa
11 Disember 2012

Sunday, December 9, 2012

Tazkirah kepada diri: Usah memusuhi musuh

Tazkirah kepada diri:

Sebaik-baiknya usahlah memusuhi orang yang memusuhi kita, kerana mudah-mudahan ia pada satu masa akan menjadi sahabat atau setidak-tidaknya menginsafi kesilapannya.

9 Disember 2012/26 Muharam 1434

Friday, December 7, 2012

Tazkirah kepada diri: gerakkanlah persefahaman

Memang tidak mudah, namun perlu diusahakan perundingan untuk mencari titik-titik persefahaman, meskipun bermula dengan satu titik. Ayuh, mulakanlah jangan sampai ruang yang ada meskipun kecil tertutup terus!

8 Disember 2012/24 Muharam 1434

Monday, December 3, 2012

Antara pemain dengan penonton

Dalam mana-mana permainan, terutama sukan, sudah menjadi adat bahawa penonton banyak memberikan ulasan. Sebahagiannya munasabah dan sebahagiannya sekadar ulasan kosong. Antara ulasan yang tidak bermakna termasuklah membodohkan pemain seolah-olah penonton berkenaan lebih hebat daripada pemain yang dicercanya.

Ulasan sedemikian berlaku juga dalam bidang lain. Ada orang yang tabiatnya sekadar mengkritik kerja orang lain, sering kali tanpa pertimbangan yang saksama, tetapi lebih untuk menunjukkan kehebatan dirinya, yang malangnya tidak terbukti hebat. Teguran tentu sahaja ada gunanya asalkan dizahirkan dengan niat untuk menambahbaikkan hasil kerja seseorang atau sesuatu pihak. Bentuk teguran yang ikhlas terpancar pada pernyataan teguran itu. Nadanya tidak menyakitkan hati dan tidak menayangkan kegahan diri serta tidak meremehkan atau memperlekehkan usaha orang atau pihak lain.

Lebih buruk lagi, kritik dizahirkan tanpa hujah dan lunas ilmu atau fikiran, kecuali perasaan melulu belaka. Orang yang demikian itu sebenarnya,di samping menzalimi pihak yang dikritiknya, menzalimi dirinya sendiri. Menzailimi diri sendiri yang dimaksudkan ialah bahawa ia merosakkan wibawa dan maruah dirinya sehingga mungkin dipandang keji oleh orang lain atau tidak dihormati. Di luar kesedarannya, ia telah menzalimi dirinya sendiri.

Marilah kembali kepada pendekatan dan kaedah syariat dalam menzahirkan teguran agar perbuatan menegur dengan betul itu menjadi amal soleh dan menjadi sumber pahala, bukan perbuatan mungkar yang menjadi sumber dosa.

Kembara Bahasa
3 Disember 2012/13 Muharam 1434

Sunday, December 2, 2012

Bulan Bahasa Kebangsaan daripada kaca mata Uthaya Sankar

Free Malaysia Today

3 Disember 2012

Ketua Pengarah DBP tetap optimis walaupun objektif penganjuran masih belum tercapai sepenuhnya.

Dalam soal memartabatkan serta menjaga mutu Bahasa Malaysia, orang ramai biasanya meletakkan tugas dan tanggungjawab itu pada bahu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Namun, pada hakikatnya, tugas berkenaan merupakan tanggungjawab bersama setiap rakyat Malaysia.
Ketua Pengarah DBP, Dr Awang Sariyan mengemukakan pandangan yang sama sewaktu kami bertemu di pejabat beliau di Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November lalu untuk berbincang tentang program Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK).

BBK 2012 peringkat kebangsaan dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Stadium Tertutup Nilai, Negeri Sembilan pada 10 Oktober lalu manakala pelbagai program bahasa dan sastera diatur selama tiga bulan di seluruh negara.
“Dalam tempoh sebulan, waktu tidak cukup untuk melibatkan kelompok-kelompok yang penting dan meluas dalam pelbagai kegiatan yang padat dalam masa sebulan,” katanya sebagai menjelaskan perubahan yang dilakukan mulai tahun ini.

Sesungguhnya banyak program rasmi dan tidak rasmi diatur sepanjang Oktober hingga Disember 2012 di seluruh negara. Maklumat mengenainya disiarkan dalam majalah-majalah DBP keluaran Oktober lalu.

Dr Awang yang menerima Anugerah Profesor Kehormat Pendidikan Bahasa dan Kebudayaan daripada Beijing Foreign Studies University (BFSU) pada 31 Ogos lalu melihat “Kembara Bahasa” sebagai salah satu pengisian penting bagi BBK.

“Dalam program Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN) dahulu, Kembara Bahasa merupakan satu pakej penting. Kali ini, ia diadakan kembali sebagai usaha pemantauan bahasa, menghayati nilai keindahan bahasa dan tegur bahasa,” katanya.

Penyertaan Bukan Melayu masih kurang

Kembara Bahasa berlangsung pada 20-24 November serta melibatkan peserta daripada pelbagai kementerian, jabatan, agensi, syarikat berkaitan kerajaan, swasta, persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO). Program ini melibatkan pergerakan simbolik kenderaan berkonvoi secara serentak melalui empat laluan – utara, timur, selatan, tengah – menuju ke Putrajaya sambil mengendalikan kegiatan bahasa, persuratan dan kemasyarakatan.
Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) turut menerima undangan pada 12 November 2012 tetapi memandangkan rata-rata ahli Kavyan baru sahaja kembali ke tempat kerja selepas cuti panjang (10-18 November) sempena Deepavali, amat mustahil untuk memohon cuti tambahan bagi menyertai Kembara Bahasa dengan notis yang relatif singkat. Mungkin penganjur terlepas pandang perkara ini sehingga menyebabkan penyertaan khalayak Bukan Melayu dalam Kembara Bahasa kurang memberangsangkan.

Bagaimanapun, Kavyan sempat menganjurkan “Baca Cerpen Kavyan” di Menara DBP pada 3 November sebagai pengisian BBK. Persatuan-persatuan penulis dan NGO lain turut mengendalikan pelbagai aktiviti di seluruh negara dengan tema “Satu Bahasa, Satu Bangsa, Satu Negara”.

Dr Awang mengakui bahawa penyertaan masyarakat Bukan Melayu pada kali ini memang amat kurang disebabkan pelbagai faktor. Bagi BBK 2013, beliau berharap perancangan dapat dilakukan sejak awal tahun supaya penglibatan adalah lebih menyeluruh dan menggambarkan realiti masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.

Sekali lagi, tentulah tugas dan tanggungjawab melakukan perancangan lebih teliti sambil mengambil kira pelbagai perkara seperti di atas tidak terletak pada bahu DBP semata-mata. Sebaliknya, semua pihak pada semua peringkat harus sama-sama terlibat serta sensitif terhadap cuti musim perayaan kaum/agama pada Oktober-Disember apabila membuat perancangan aktiviti. Janganlah pula memberikan undangan pada saat akhir sehingga menyukarkan orang ramai menyertai aktiviti yang dianjurkan.

Malah, berdasarkan program selama dua bulan lalu, Ketua Pengarah DBP mengakui bahawa objektif BBK belum tercapai sepenuhnya. Walaupun penyertaan adalah jauh lebih luas berbanding tahun-tahun sebelumnya, masih ada banyak ruang untuk melakukan pembaikan.
“BBK perlulah dianggap sebagai program negara walaupun masih ada yang melihatnya sebagai program DBP. Saya harap pihak swasta, kementerian, persatuan penulis, NGO dan semua sekali terlibat sama bagi memeriahkan dan menjayakan program memartabatkan bahasa kebangsaan,” katanya.

Perlu buat perancangan lebih awal

Bagi bulan Disember pula, DBP merancang untuk mengadakan pesta buku secara besar-besaran di kota-kota utama seluruh negara sebagai usaha menghidupkan budaya ilmu.
“Melalui pseta buku itu, kita bukan hanya mempamerkan atau menjual buku, tetapi kita sepadukan dengan kegiatan bahasa dan sastera. Untuk itu, soal pemilihan lokasi adalah penting. Kita perlu memilih tempat yang selalu dikunjungi orang supaya objektif tercapai,” beliau menghuraikan.

Sekiranya senarai aktiviti BBK dirujuk dalam majalah-majalah DBP keluaran Oktober lalu, rata-rata program yang dirancang adalah bagi bulan berkenaan sahaja. Majalah-majalah keluaran November dan Disember tidak pula menyiarkan sebarang jadual aktiviti bagi bulan-bulan berkenaan.

Dr Awang mengakui bahawa kebanyak program besar sempena BBK sudah dilaksanakan manakala bulan ini diisi dengan pelbagai acara kecil yang masih meneruskan tradisi dan semangat memartabatkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa milik seluruh rakyat.

Berbalik pada soal kurangnya penglibatan masyarakat Bukan Melayu, beliau menegaskan bahawa DBP dan semua pihak terbabit perlu mengambil kira masalah yang timbul serta menggerakkan usaha bersungguh-sungguh melibatkan penyertaan masyarakat pelbagai kaum dengan membuat perancangan teliti sejak awal tahun sebagai persiapan bagi BBK 2013.
“Publisiti juga harus dilakukan secara lebih meluas supaya dapat mewar-warkan kepada orang ramai mengenai program-program yang diatur. Persatuan dan NGO pelbagai kaum yang berminat melaksanakan aktiviti sempena BBK boleh mengemukakan permohonan lebih awal kepada DBP. Peranan media juga amat penting dalam menyebarkan maklumat berkaitan kepada khalayak.

“Malah, saya berharap aktiviti bukan hanya di kota-kota dan kawasan bandar, sebaliknya sampai kepada khalayak di kawasan terpencil juga. Saya mengalu-alukan penyertaan mana-mana pihak yang mahu terlibat sama dalam usaha memartabatkan bahasa dan sastera kebangsaan,” katanya.

Audit Bahasa bermula Januari 2013

Dalam soal memartabatkan Bahasa Malaysia di luar konteks program BBK itu sendiri, Dr Awang menekankan pentingnya ketegasan dalam pelaksanaan usaha itu.
“Gerakan bahasa dan sastera kebangsaan semakin mendapat perhatian kerajaan dan orang ramai. Namun, komitmen yang lebih menyeluruh daripada semua pihak masih diperlukan. Saya berharap Audit Bahasa yang akan dimulakan pada Januari 2013 mendapat sokongan padu semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan. Pengauditan ini bertujuan memastikan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul dalam semua sektor,” beliau menghuraikan.
Dr Awang optimis bahawa dalam masa tiga tahun, kita akan nampak lonjakan semangat dan komitmen untuk menggunakan bahasa kebangsaan yang betul dan bermutu dalam pelbagai sektor.

Ringkasnya, walaupun BBK yang pada asalnya dijalankan selama sebulan sudah diluaskan selama tiga bulan, tugas semua pihak dalam usaha untuk sama-sama memartabatkan bahasa kebangsaan perlukan dilakukan secara berterusan sepanjang masa.
Dalam soal ini, tidak dapat tidak, saya teringat akan kenyataan Dr Awang yang disiarkan di Free Malaysia Today pada 29 Ogos 2012. Beliau bersetuju dengan pandangan saya bahawa golongan politikus menjadi antara pihak yang paling banyak menghancurkan Bahasa Malaysia.

Maka, bagi BBK 2013, mungkin pemantauan khas boleh dilakukan terhadap penggunaan Bahasa Malaysia dalam kalangan golongan politikus; khususnya sepanjang kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dan selepas memegang jawatan dalam kerajaan pusat/negeri selepas PRU-13.
Persatuan dan NGO yang berminat mengendalikan aktiviti sempena BBK 2013 boleh menghubungi infokavyan@yahoo.com.my untuk mendapatkan panduan memohon dana.