Friday, December 14, 2012

Majlis Bahasa Melayu Negeri Melaka dan Pusat Kecemerlangan Persuratan Melayu Antarabangsa

Siang tadi hamba menyusuli keputusan kerajaan negeri Melaka untuk menubuhkan Majlis Bahasa Melayu Negeri Melaka yang akan bertanggungjawab memastikan bahawa bahasa Melayu dilaksanakan dengan meluas dan berkesan dalam pelbagai urusan kehidupan di negeri itu.

Pengumuman keputusan itu dibuat oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd. Ali Rustam semasa melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan peringkat negeri Melaka pada 3 Disember 2012.

Jabatan atau unit khas akan ditubuhkan di bawah Jabatan Ketua Menteri sendiri untuk menjalankan tugas pelaksanaan, pemantauan dan penyelarasan kursus bahasa. DBP menjadi badan perunding dan sumber maklumat serta tenaga untuk membantu majlis dan jabatan itu. Kertas konsep dan pelaksanaannya teah dikemukakan oleh DBP kepada kerajaan Melaka dan telah diluluskan. Semoga negeri lain yang belum ada prasarana seperti itu segera melaksanakannya.

Sebuah institusi lain yang disetujui penubuhannya oleh kerajaan Melaka atas cadangan DBP ialah Pusat Kecemerlangan Persuratan Melayu Antarabangsa yang dirancang setanding dengan Universiti Leiden di Belanda, dalam konteks koleksi manuskrip dan semua bahan sejarah tamadun Melayu untuk dikaji okeh oara sarjana dan hasil kajian diterbitkan untuk memaparkan segala aspek tamadun Melayu - sejarahnya, bahasanya, sasteranya, budayanya, sistem kepercayaannya, ekonominya, undang-undangnya dan apa-apa sahaja aspek tamadun Melayu. Gagasan jtu mula dicetuskan dalam kertas kerja Ketua Pengarah DBP dalam Hari Sastera Nasional bersempena dengan sambutan 750 tahun peubuhan Melaka dalam bulan Mac 2012 dan diterima sebagai salah satu resolusi.

14 Disember 2012/1 Safar 1434

No comments:

Post a Comment