Saturday, December 15, 2012

Kisah dan teladan (1)

Sambil bersarapan di teratak kampung, ibunda menyingkap kisah pada zaman Jepun. Mata pencarian arwah ayahanda ialah membuat gula melaka daripada nira kelapa. Kerjanya setiap pagi memanjat pohon kelapa di pantai untuk membubuh tabung pada nira yang dipotong hujungnya dan menjelang tengah hari memanjat pohon kelapa untuk memungut air nira.

Ibunda memasaknya dalam kuali besar sehingga memekat dan dimasukkan dalam acuan sehingga keras. Gula melaka dijual untuk mendapat wang, walaupun harganya sangat murah.

Sambil menunggu waktu untuk memungut tabung gula nira, ayahanda melanggai di laut untuk mendapatkan lauk seperti udang, sotong dan ikan kecil. Beras sukar didapat, maka ubi kayu, keledek dan sagu menjadi makanan ruji.

Menurut ibunda, arwah ayahanda berkebolehan membuat kain daripada daun nanas untuk dijadikan pakaian. Kesusahan mendapat kain menyebabkan pernah ayahanda menyempunakan jenazah jiran dengan daun pisang kering sebagai ganti kain kafan.

16 Disember 2012/ 2 Safar 1434

No comments:

Post a Comment