Friday, January 4, 2013

Harapan seorang pencinta bahasa


Kamarul Faizal kepada Kembara Bahasa Melayu Mahawangsa
Di Facebook 19 jam yang lalu (4 Januari 2012)

Aktiviti pengauditan Bahasa Melayu (BM) yang dipelopori oleh Prof merupakan satu usaha dalam penambahbaikkan mutu BM khas di sektor kerajaan. Tahniah Prof. Wajar juga pada pendapat saya untuk diperluaskan ke sektor swasta dan GLC yang bertindak sebagai enjin ekonomi bagi kerajaan dalam memacu negara ke arah negara berpendapatan tinggi serta seterusnya menjadi kelompok negara maju. BM dalam sektor swasta dan GLC amat-amat menyedihkan. Bahasa penjajah khasnya bahasa inggeris digunakan secara keterlaluan sehingga menampakkan BM seolah-olah langsung tiada nilai ekonomi dan komersil. BM dinodakan dengan perlakuan sebahagian besar golongan professional dan pekerja yang rata-ratanya mendapat pendidikan kebangsaan.

Sebagai contoh saya sekadar mengambil satu syarikat iaitu PETRONAS sebagai entit syarikat berkait kerajaan (GLC). Saya pernah bekerja sebagai kontraktor di PETRONAS hampir 5 tahun. Satu kebanggaan buat saya kerana dapat mencari pengalaman dalam bidang saya iaitu keselamatan, kesihatan dan persekitaran (HSE) di loji-loji minyak dan gas sama ada di darat (onshore) mahupun laut (offshore) milik konglemerat nasional ini. Cuma satu rasa kesedihan dan kekecewaan adalah nilai BM yang diamalkan di PETRONAS. Biarpun ia dikendalikan oleh bangsa kita, Melayu dan majority pekerjanya adalah orang Melayu dan rakyat Malaysia, namun penggunaan BM amatlah mengecewakan.

Bermula dengan motonya dalam bahasa penjajah (reimagining energy) yang kononnya untuk menonjol imej korporat dan keantarabangsaan , laman sesawangnya yang menggunakan sepenuhnya bahasa penjajah, mesyuarat (biarpun dihadiri oleh orang melayu atau mereka yang memahami BM) yang dikendalikan sepenuhnya dalam bahasa penjajah atau bahasa sekerat ular sekerat belut, minit mesyuarat dan memo yang sepenuhnya dalam bahasa penjajah, apa jua borang yang berkaitan dengan urusan kerja PETRONAS, tender, laporan tahunan dan apa jua bentuk pemberitahuan atau penyiaran hampir semua menggunakan medium bahasa penjajah semata-mata..

Jadi saya terfikir di mana nilai BMnya? Cukupkah sekadar memperlihatkan wajah kemelayuan atau ketimuran tetapi berlidah atau berminda barat sepenuhnya. Semata – mata untuk menunjukkan bahawa konglemerat kita adalah sebahagian dari warga global tajaan Amerika dan Barat, sanggup kita meminggirkan penggunaan BM dalam syarikat yang bertaraf multinasional ini. Sikap yang sebahagian besar warga PETRONAS yang bermula dari pengurusan tertinggi sehingga ke golongan pelaksana (eksekutif) yang bertaraf Melayu professional tidak menggambarkan mereka sebagai professional Melayu. Melayu professional adalah mereka yang berfikiran bahawa mereka ini kononnya maju tetapi hampir tercabut nilai kejatidirian mereka khasnya dalam mempertahankan nilai BM dan kebudayaan melayu, berbanding pula professional Melayu yang begitu kental semangat kemelayuan dan keislaman mereka biarpun mereka bukan dari golongan Melayu professional.

Jika dibuatlah pengauditan BM di PETRONAS pasti penarafannya adalah sangat menyedihkan. Pengalaman saya rata-rata mereka begitu fasih berbahasa penjajah (sesuatu yang dibanggakan) namun dari segi BM mereka amatlah menyedihkan, lagi-lagi yang bercakap itu adalah bangsa kita sendiri. Disebabkan persekitaran kerja yang menggunakan sepenuhnya bahasa penjajah, sedikit demi sedikit BM hilang dari memori fikiran dan penulisan mereka. Budaya korporat yang diterapkan dalan persekitaran PETRONAS menjadikan BM itu sendiri hilang daya saingnya. BM hanya digunakan dalam komunikasi tidak formal sahaja.

Dalam situasi formal baik mesyuarat, laporan dan penulisan hanya satu bahasa sahaja terpakai. Saya lihat tiada usaha dilakukan dalam memberi nilai pengupayaan dan pemerkasaan BM dalam budaya kerja PETRONAS. Mungkin saya bias atau terlalu kritik atau tidak adil dalam hal yang melibatkan BM di PETRONAS. Tetapi itulah realitinya yang berlaku di konglemerat atau syarikat yang bertaraf multinasional di negara kita. Ia diterajui sendiri oleh bangsa kita, namun bangsa kita sendiri yang meletakkan taraf BM ditahap yang hina sekali. BM tidak diberi peluang untuk diikutsertakan sekali dalam kemajuan industri petrokimia negara negara kita. Biarpun PETRONAS telah menjana keuntungan ratusan billion ringgit sejak mula beroperasi pada 1974, namun nilai BM tidak pernah berubah, malah terus diperosok jauh ke dalam dan ke bawah..

Mudah-mudahan audit yang dilakukan dapat menunjukkan nilai sebenar BM di PETRONAS atau mana-mana GLC. Letakkan KPI atau penanda aras BM dan diberitakan kepada umum. Biar semua orang tahu nilai sebenar bahasa kebangsaan kita. Kenapa perlu hendak malu, kerana itu memang realitinya. Kita hanya meletakkan keuntungan setiap ringgit sebagai aras kemajuan, tetapi tidak pernah mempedulikan nilai kemusnahan bahasa kebangsaan kita akibat kerakusan mengejar kemajuan….kenapa saya hanya memperkatakan PETRONAS secara langsung. Kerana PETRONAS satu-satunya GLC milik Malaysia yang berjaya menempatkan dalam Forbes 500. 500 syarikat terbaik di dunia.

Jika BM dapat didaulatkan dalam PETRONAS bermakna maruah dan imej BM dalam bidang teknologi dan ekonomi dapat diberi pencerahan dan In Shaa Allah akan diikuti oleh GLC dan syarikat swasta lain. Kita hanya mahukan hak BM diberi keadilan dan diletakkan ditempat yang sewajarnya dalam semua syarikat ini. Kalau tidak sampai bila-bila pun BM tetap dihina, diperlekeh, menjadi bahasa kelas kedua atau ketiga oleh warganya sendiri. Jika warganya sendiri memperlekehkan bahasanya sendiri bagaimananya kita mengharapkan orang luar untuk menghormati bahasa kita.

Teruskan usaha Prof dan DBP…moga dalam tahun baru ia memberi sinar kepada BM yang kian sirna di dalam hampir semua sektor swasta baik atas nama bumiputra apatah bukan bumiputra.

Balasan hamba dalam Facebook 15 jam lalu (4 Januari 2012):

Kembara Bahasa Melayu Mahawangsa: DBP telah dua kali mengadakan dialog, pertama dengan Khazanah Nasional, iaitu syarikat kerajaan dalam beberapa bidang dan kedua dengan Syarikat Menteri Kewangan Yang Diperbadankan yang mengawal semua syarikat berkepentingan kerajaan.

Keputusan telah diambil untuk menubuhkan Jawatankuasa Bersama Bahasa Kebangsaan Syarikat MKD - DBP yang akan merancang kursus bahasa dan penulisan teknikal, pemantauan bahasa di GLC, penggubalan istilah bidang yang berkaitan dengan keperluan GLC dan kegiatan semarakmbahasa dan sastera di GLC.

Tampaknya kerja perlu dibuat secara bertahap menurut kategori pengguna bahasa. Audit Bahasa untuk perkhidmatan awam dahulu, Penarafan Bintang dalam bidang bahasa bagi Pihak Berkuasa Tempatan dan untuk GLC program khas yang bersifat pengisian pelaksanaan bahasa kebangsaan dalam sektor perniagaan. Selanjutnya usaha dilakukan untuk sektor swasta pula.

5 Januari 2012/22 Safar 1434

No comments:

Post a Comment