Sunday, May 29, 2011

Puisi: Selamat Datang Tamuku



Selamat Datang Tamuku



Dalam debar aku menunggu
Dalam gementar aku merayu
Di sela-sela waktu yang terus berlalu
bermunajat daku mengharapkan belas kasih-Mu

Syukur tamu nan dinanti kini bersama
di alam fana 'kan turut memenuhi rencana
menggalas taklif ketetapan Azzawajalla
sebagai khalifah-Nya di alam yang nyata

Selamat datang wahai tamuku
Dikaulah penyeri taman usrahmu
permata hati pendamai kalbu
anugerah nur daripada Nan Satu

Selamat datang wahai tamuku
ke negeri ini yang penuh berliku
Semoga dikau tidak 'kan tertipu
oleh pesona kemilau pendaya nan semu

Selamat datang wahai tamuku
Usah kaulupakan ikrarmu dahulu
Di alam ruh dikau sedia mengaku
Dialah nan kausaksikan Tiada Bersekutu

Selamat datang wahai tamuku
Taati kedua-dua punca hidupmu
Berbakti usah mengira waktu
laksana pelita terbakar sumbu

Selamat datang wahai tamuku
Tegakkanlah akaid yang padu
Hablum mina-Allah tunjang yang fardu
Habulum minannas kaujadikan perdu

Selamat datang wahai tamuku
Hiasilah dirimu dengan ilmu
Akrabkan dirimu dengan guru
Nescaya kembalimu kelak tiada 'kan kelu

Selamat datang wahai tamuku

~Kembara Bahasa~
30 Mei 2011

Saturday, May 28, 2011

Kemuliaan Bahasa: Besarnya Makna Isyarat dari Atas



KEMULIAAN BAHASA: BESARNYA MAKNA ISYARAT DARI ATAS

Awang Sariyan


Secara berturut-turut penyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin tentang keunggulan bahasa Melayu mendapat liputan media di tanah air dan semua itu berlaku sesudah beliau pulang dari lawatan ke Republik Rakyat China selama beberapa hari pada minggu ketiga bulan April 2011. Beliau seakan-akan muncul sebagai juara perjuangan bahasa dalam kalangan para pemimpin negara, dalam keadaan kebanyakan yang lain menyepikan diri untuk menyatakan sikap tentang kedudukan dan peranan bahasa Melayu. Kekecualiannya Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim yang memang tekal pendiriannya dalam soal bahasa Melayu.

Laporan tentang kebanggaan beliau apabila menyaksikan pengajian Melayu berkembang luas di peringkat antarabangsa (Utusan Malaysia 21 April 2011), berdasarkan ucapannya di Universiti Pengajian Asing Beijing pada 20 April 2011 seakan-akan dapat membersihkan nama beliau yang sebelum itu agak tercalar apabila diberitakan akan melanjutkan pemansuhan PPSMI ke tahun 2015. Laporan akhbar pada 26 April 2011 pula menampilkan kritikannya kepada pelbagai pihak di tanah air yang berasa malu dan berasa rendah diri untuk mengutamakan bahasa Melayu, hatta dalam majlis kerajaan, selain dalam sektor swasta. Kritikan itu terkandung dalam jawaban kepada soalan persidangan Dewan Negara yang dikemukakan oleh Senator Datuk Firdaus Abdullah.

Yang terbaharu ialah pernyataan medianya bahawa kerajaan bersedia menimbangkan penghantaran guru bahasa Melayu ke negara-negara tempat terdapatnya rakyat Malaysia (The Star, 10 Mei 2011 dan Utusan Malaysia, 11 Mei 2011). Penyataan itu dibuatnya di Copenhagen, Denmark sebagai menyahut permintaan Presiden Persatuan Malaysia Denmark, Chua Poo Choo yang secara suka rela telah menjadi tenaga pengajar bahasa Melayu di kota itu. Dalam berita Utusan Malaysia itu juga beliau menyebut kesediaan kerajaan untuk menggunakan bahasa Melayu dalam majlis peringkat antarabangsa, dengan menyediakan prasarana seperti jurubahasa.

Saya merincikan siri penyataan Timbalan Perdana Menteri yang begitu positif tentang bahasa Melayu itu, semata-mata untuk menunjukkan bahawa betapa besarnya makna dan nilai isyarat yang ditunjukkan oleh pemimpin negara dalam pelaksanaan sesuatu dasar negara. Dalam hal ini, isyarat yang disampaikan melalui siri pernyataan itu melonjakkan nilai bahasa Melayu di mata masyarakat, sekurang-kurangnya dalam tempoh sebelum ada pernyataan lain yang mungkin berbunyi sebaliknya. Kita mengharapkan beliau dan pemimpin yang lain akan terus memperlihatkan sikap dan pendirian yang jelas dan tegas tentang kedudukan dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa negara dan sebagai bahasa tunjang tamadun.

Dengan pernyataan yang dapat dianggap sebagai arahan itu, maka semua pihak pelaksana di pelbagai peringkat, seperti kementerian, jabatan dan agensi kerajaan sewajarnya membuat susulan yang segera dalam menerjemahkan isyarat itu. Sebagai contoh, pada tahun 1997, Jemaah Menteri sendiri telah meluluskan penubuhan Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) melalui Dewan Bahasa dan Pustaka. Dalam tempoh tahun 2000-2004 MABM telah menggerakkan pelbagai kegiatan penyelidikan, seminar, promosi, penerbitan dan tidak ketinggalan penghantaran tenaga pengajar bahasa Melayu ke luar negara, seperti ke Sri Lanka, Kampuchea, Thailand, China dan juga Eropah.

Namun sesudah itu program pengantarbangsaan bahasa Melayu telah dihentikan atas sebab yang kurang jelas dan MABM pun tidak kelihatan dan kedengaran lagi fungsinya. Jemaah Menteri berhak bertanya kepada pihak yang menghentikan program pengantarabangsaan bahasa Melayu yang telah pun mendapat kelulusan Jemaah Menteri itu dan pihak berkenaan seharusnya bertanggungjawab untuk memberikan penjelasan kepada Jemaah Menteri.

Demikian juga, suara yang mengkritik pengutamaan bahasa asing dalam majlis rasmi kerajaan telah sekian lama bergema. Jika hal ini dapat ditangani dengan segera dan tekal oleh semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan, maka usaha untuk meningkatkan penggunaan bahasa Melayu dalam majlis rasmi di peringkat antarabangsa seperti yang disebut oleh Timbalan Perdana Menteri itu akan dapat digerakkan sebagai usaha susulan. Idea positif itu perlu disertai semangatnya oleh semua penjawat awam, bermula daripada Ketua Setiausaha Negara kepada Ketua Setiausaha Kementerian, Ketua-ketua Pengarah Jabatan dan penjawat awam di semua peringkat, dengan mula merancang pelaksanaan idea itu. Kita tidak mahu sesudah pembesar negara berkata-kata, tiada susulan yang jelas pada peringkat pelaksanaannya.

Berkaitan dengan pengajian Melayu yang kian meluas di peringkat antarabangsa pula, perlu ada tindakan yang jelas oleh kerajaan agar bidang itu tidak hanya subur dan mekar di peringkat antarabangsa, sebagai sesuatu yang dapat dijadikan kebanggaan, sedang di dalam negara usaha untuk meminggirkan atau meremehkan bidang pengajian Melayu terus-terusan berlaku. Bersama-sama dengan bidang-bidang kemanusiaan yang lain, pengajian Melayu dianggap oleh sesetengah pemimpin institusi ilmiah negara sebagai bidang yang tidak mempunyai nilai ekonomi dan malah disifatkan oleh kalangan tertentu dalam kepemimpinan institusi pengajian tinggi sebagai duri dalam daging, kerana kononnya tidak membantu meningkatkan penarafan universiti menurut piawai badan asing di luar negara.

Masih terlalu banyak duri dan ranjau yang perlu dilalui untuk melihat bahasa Melayu mendapat kedudukan dan penghormatan yang selayaknya di negaranya sendiri. Masih terlalu banyak isu yang perlu dirungkaikan dalam pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan di pelbagai sektor, baik pentadbiran, kehakiman, pendidikan, mahupun swasta. Kesemuanya memerlukan azam dan iltizam yang tinggi pada semua pihak. Yang paling utama ialah pemimpin negara sendiri kerana sudah menjadi tabii kebanyakan orang, apabila pemimpin di peringkat tinggi bersuara, maka suara itu lazimnya dijadikan isyarat dan dorongan untuk mereka dan menggerakkan dasar-dasar negara dalam bentuk program yang nyata. Maka itu, dalam bidang apa pun, baik ekonomi, pendidikan, kebudayaan, politik dan tidak terkecuali bahasa, azam dan iltizam pemimpin peringkat tinggi amat penting dan bermakna.

Pelaksana di peringkat pentadbiran, baik di kementerian, jabatan mahupun agensi kerajaan pasti menghadapi dilemma dan konflik dalaman yang serius apabila sikap dan pendirian serta keputusan pihak tertinggi tidak selaras dengan dasar negara dan undang-undang negara. Dalam kes bahasa Melayu, pelaksanaan PPSMI, sebagai contoh, jelas bertententangan dengan Akta Pendidikan dan sejumlah pentadbir di kementerian berkenaan faham akan hal itu. Yang tegas menyuarakan rasa tidak setuju, tetapi lebih banyak yang bersungut di belakang atau memilih iman tahap ketiga, iaitu tidak meredhai sesuatu yang salah sekadar di dalam hati sahaja. Yang memang tabiatnya menangguk di air keruh pula menjadi gunting dalam lipatan dan api dalam sekam untuk menjayakan dasar yang jelas bertentangan dengan dasar dan undang-undang negara, sehingga terjadi “lebih sudu daripada kuah”.

Para pemimpin perlu mempunyai kebulatan tekad untuk memimpin masyarakat berfikir dan bertindak menurut jalur dan lunas dasar kenegaraan serta undang-undang, terutama Perlembagaan dan akta-akta yang telah diluluskan oleh Parlimen sebagai badan penggubal undang-undang yang tertinggi. Mudah-mudahan Timbalan Perdana Menteri dapat memulakan tradisi itu.

~Kembara Bahasa~
29 Mei 2011

Wednesday, May 25, 2011

Puisi: Penyair


Penyair

Berdendanglah
bersyairlah
berpantunlah
berselokalah
bernazamlah
bersanjaklah

Wahai, taulan penyair!

Lagu merdumu
Syair sendumu
Pantun ibaratmu
Seloka kiasmu
Nazam tazkirahmu
Sanjak suara batinmu
semoga membelai jiwa nan rawan
menuntun akal nan walah
memujuk hati nan walang
mengurung nafsu amarah

Biarkan cemuhan mahupun sendaan
dibawa angin berlalu ke rimba raya
kerana dikau ada beban yang mesti kaugalas
ada gagasan yang mesti kauperjelas
ada peringatan meskipun majaz
sebagai penunjuk akal budi kekal waras

Berdendanglah
bersyairlah
berpantunlah
berselokalah
bernazamlah
bersanjaklah

Wahai, taulan penyair!

Selama paksimu berlunaskan hidayah
selama hatimu tunduk menyerah
selama niatmu kerana Ilah
selama jalanmu menurut risalah

~Kembara Bahasa~
Dinihari 26 Mei 2011

Perihal Bahasa dalam Al-Qur'an (Bahagian 3)


Perihal Bahasa dalam Al-Qur'an (Bahagian 3)

Susunan: Awang Sariyan

Dalam bahagian ketiga ini, saya petik beberapa ayat suci al-Qur'an yang memerikan bahasa sebagai unsur penting pada diri (dalam konteks pembentukan sahsiah) dan dalam kehidupan insan, khususnya yang berkaitan dengan tujuan Allah mengurniakan bahasa kepada manusia.

1. Bahasa sebagai wasilah pemerolehan dan pengembangan ilmu:

"Dan Dia mengajar Adam nama sekalian benda (ciptaan-Nya), kemudian mengemukakannya kepada para malaikat lalu berfirman: Sebutlah nama benda-benda itu jika kamu memang pihak yang benar. Mereka menjawab: Maha suci Engkau, tidak ada yang kami ketahui selain apa-apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkaulah yang maha tahu lagi maha bijaksana." (al-Baqarah, 2: 31-32)

"Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakanmu. Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmu itulah yang maha pemurah, yang mengajar manusia dengan perantaraan kalam. Dia mengajar manusia tentang apa-apa yang tidak diketahuinya." (al-`Alaq, 96: 1-5)

2. Peri pentingnya perkataan yang baik (benar) untuk mengelakkan perselisihan sesama manusia, yang direncanakan oleh syaitan:

"Dan katakanlah, wahai Muhammad, kepada hambaku (mukminin): Hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang baik (benar). Sesungguhnya syaitan selalu menimbulkan perselisihan antara mereka. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi manusia." (al-Isra', 17:53).

3. Perkataan yang terbaik ialah yang berkaitan dengan seruan kepada Allah sebagai tanda penyerahan yang mutlak:

"Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan kebajikan dan berkata: Sesungguhnya aku termasuk dalam golongan muslim (yang berserah diri kepada Allah)." (Fusilat, 41:33)

4. Peri pentingnya bersederhana ketika berbahasa:

"Dan sederhanakanlah tingkahmu ketika berjalan dan lunakkanlah suaramu; sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keledai." (Luqman, 31:19)

5. Keutamaan memberikan kemaafan (melalui bahasa):

"Dan juga bagi orang yang menjauhi dosa-dosa besar dan perbuatan-perbuatan keji, dan apabila marah maka mereka segera memberikan kemaafan." (al-Syu`ara', 42:37)

6. Peri pentingnya jujur (berkata benar) ketika berbahasa, hatta kepada orang yang rapat pertalian darahnya dan pentingnya memenuhi janji Allah:

"Dan janganlah engkau mendekati harta anak yatim (mengambilnya), kecuali dengan cara yang lebih bermanfaat, sehingga ia mencapi usia dewasa. Dan sempurnakanlah takaran dan timbangan dengan adil. Dan Kami tidak membebani seseorang melainkan menurut kesanggupannya. Apabila kamu berbicara, berbicaralah sejujur-jujurnya sekalipun kepada kerabatmu dan penuhilah janji Allah. Demikianlah Dia memerintahkannya kepadamu agar kamu ingat." (al-An`am, 6:152)

7. Peri pentingnya berbahasa dengan lemah lembut untuk menimbulkan kesan dan kesedaran kepada pihak yang dihadapi:

"Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya (Firaun) dengan kata-kata yang lemah lembut; mudah-mudahan dia sedar dan takut (taqwa kepada Allah)." (Taha, 20:44)

8. Peri pentingnya bertutur kata yang baik kepada sesama manusia:

"Dan ingatlah ketika Kami mengambil janji daripada bani Israel: Janganlah kamu menyembah selain Allah, dan berbuat baiklah kepada orang tuamu, kerabat, anak yatim dan orang miskin; dan bertutur katalah yang baik kepada manusia; laksanakanlah solat dan tunaikanlah zakat. Tetapi kemudian kamu berpaling (ingkar), kecuali sebahagian kecil daripada kamu dan kamu masih menjadi pembangkang (kepada Allah)." (al-Baqarah, 2:83)

9. Keutamaan perkataan yang baik dan pemberian maaf:

"Perkataan yang baik dan pemberian maaf itu lebih baik daripada sedekah yang diiringi tindakan yang menyakiti penerimanya. Allah maha kaya lagi maha penyantun." (al-Baqarah, 2:263)

10. Setiap perkataan yang diujarkan (termasuk yang ditulis) akan dicatat oleh malaikat untuk diberi balasan oleh Allah pada hari akhirat:

"Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkan, melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang senantiasa bersedia menulisnya." (Qaf, 50:18)

11. Peri pentingnya mengelakkan perkataan yang sia-sia:

"Sesungguhnya beruntunglah orang yang beriman, iaitu orang yang khusyuk solatnya, dan orang yang menjauhi perbuatan dan perkataan yang tiada berguna (sia-sia)." (al-Mukminun, 23: 1-3)

12. Peri pentingnya berbahasa santun kepada ibu bapa:

"Dan Tuhanmu telah memerintahkan kamu supaya tidak menyembah melainkan Dia semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang atau kedua-duanya sampai pada umur tua dalam jagaanmu, janganlah engkau berkata kepada mereka sebarang perkataan kasar, sekalipun dengan 'ah' dan janganlah engkau menengking atau menyergah mereka tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (sopan santun). Dan rendahkanlah dirimu kepada mereka berdua dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah: Wahai Tuhanku, kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku semasa aku kecil." (al-Isra', 23-24)

Mudah-mudahan petikan ayat-ayat suci al-Qur'an di atas menjadi tazkirah kepada kita.

~Kembara Bahasa~
25 Mei 2011

Tuesday, May 24, 2011

Puisi: Teruskan Bicaramu


Teruskan Bicaramu

Teruskan bicaramu
dengan angin
dengan pohon
dengan batu
dengan tanah
dengan debu
dengan pasir
dengan segala di mayapada
untuk mencari makna
yang tersirat di balik segalanya
kerana di balik segala itu
terakam rahsia kekuasaan dan kebesaran-Nya

Teruskan bicaramu
dengan bahasa alam
meskipun sukar ditanggap akal
kerana bicara luhurmu dengan alam
bisa menajamkan akal
bisa meningkatkan sedar
bisa mengajarmu pasrah
bisa membantumu menghilangkan resah

Teruskan bicaramu
dengan segala isi alam
berkongsi tasbih siang dan malam
kepada perencana yang qidam
biarpun engkau tunduk dan diam
itu lebih membahagiakan
daripada simpang-siur kata yang kejam
daripada bicara bani Adam yang kian berbalam-balam

Teruskan bicaramu
aku tetap menunggu tafsir dan takwil
daripada erti bahasa alammu

~Kembara Bahasa~
25 Mei 2011

Monday, May 9, 2011

Perihal Bahasa dalam Al-Qur'an (Bahagian 2)


Perihal Bahasa dalam Al-Qur'an (Bahagian 2)

oleh Awang Sariyan

Selanjutnya saya petik beberapa ayat al-Qur'an yang lain untuk menjelaskan hakikat bahasa:

3. Dan antara tanda-tanda kekuasaan-Nya termasuklah menciptakan langit dan bumi dan berlain-lainan bahasamu dan warna kulitmu. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda bagi orang yang tahu. (al-Rum: 22)

Huraian: Ayat ini dengan jelas menujukkan bahawa Allah menciptakan pelbagai bahasa untuk manusia, menurut bangsa masing-masing. Ayat ini rapat hubungannya dengan ayat 13 dalam Surah al-Hujurat yang menegaskan bahawa Allah menjadikan manusia berbangsa-bangsa supaya mereka saling mengenal. Pengertian "berbangsa-bangsa" dalam ayat itu berkaitan juga dengan hakikat bahawa setiap bangsa mempunyai bahasanya sendiri.

Menjadi tanggungjawab setiap bangsa mengembangkan dan memajukan bahasa yang dikurniakan oleh Allah itu. Meremehkan, apatah lagi meminggirkan bahasa kurniaan Allah bagi bangsanya itu merupakan suatu bentuk kufur nikmat meskipun Islam turut menggalakkan manusia mempelajari dan menguasai bahasa lain untuk saling memanfaatkan kelebihan sesama manusia yang berlainan bangsa.

Oleh itu anggapan bahawa hanya ada satu bahasa unggul di dunia yang dapat melonjakkan kemajuan sesuatu bangsa dengan jelas merupakan mitos dan menyalahi sunatullah dan fitrah manusia yang berbangsa-bangsa dan memiliki bahasa kurniaan Allah masing-masing. Menguasai bahasa asing untuk tujuan membantu meningkatkan tamadun bangsa tidaklah salah, tetapi tidak sewajarnya bertukar kepada tindakan menggantikan bahasa sendiri dengan bahasa asing.

Para ulama dan sarjana Islam silam menerjemahkan karya-karya Yunani ke dalam bahasa Arab dan kemudian para sarjana Barat menerjemahkan karya-karya dalam pelbagai bidang daripada bahasa Arab ke dalam bahasa mereka untuk mengembangkan ilmu dalam bahasa mereka sendiri.

4. Tiadalah Kami mengutus rasul-rasul itu melainkan dengan bahasa kaumnya supaya mereka dapat menerangkan (ajaran Allah) kepada kaum mereka (dengan jelas). (Surah Ibrahim: 4)

Huraian: Ayat ini memberikan isyarat bahawa penyampaian dakwah dan ilmu kepada sesuatu masyarakat jauh lebih berkesan dengan menggunakan bahasa masyarakat itu sendiri. Demikianlah yang dilakukan oleh para ulama sebagai waris nabi apabila berdakwah di alam Melayu dahulu, dengan menggunakan bahasa Melayu meskipun pendakwah itu orang Arab atau berbangsa lain. Syekh Nuruddin al-Raniri yang terkenal sebagai pengarang karya-karya besar Islam di alam Melayu berasal dari Gujerat tetapi menghasilkan karya-karyanya dalam bahasa Melayu. Inilah contoh teladan yang seharusnya diikut.

UNESCO yang tidak bersandarkan ajaran Islam pun tampaknya secara tidak langsung menghayati fitrah itu apabila di dalam piagamnya mengungkapkan bahawa penggunaan bahasa ibunda ialah kaedah yang berkesan untuk penyampaian ilmu dan pendidikan. Malang sekali halnya apabila orang Islam yang telah diberi petunjuk oleh Allah tidak memanfaatkan petunjuk itu.

[bersambung]

~Kembara Bahasa~
10 Mei 2011

Perihal Bahasa dalam Al-Qur'an (Bahagian 1)


Perihal Bahasa dalam al-Qur'an (Bahagian 1)

oleh Awang Sariyan

Islam sebagai agama yang syumul atau sempurna meliputi segala aspek kehidupan. Tiada aspek kehidupan yang tidak digarap oleh Islam. Maka itu, al-Qur'an sebagai kalam Allah memerikan segala aspek dunia dan akhirat, tidak terkecuali bahasa.

Pemerian bahasa dalam al-Qur'an berkaitan dengan hal-hal penting tentang bahasa sebagai salah satu kurniaan nikmat tertinggi daripada Allah kepada manusia. Secara kasarnya, pemerian itu berkaitan dengan dua hal utama. Yang pertama ialah yang berhubungan dengan hakikat bahasa (apakah bahasa, bilakah bahasa dikurniakan kepada manusia dan untuk apakah bahasa dikurniakan kepada manusia).

Persoalan untuk apakah atau mengapakah bahasa dikurniakan kepada manusia itu secara langsung berkaitan pula dengan perkara kedua, iaitu peranan bahasa dalam kehidupan manusia.

Tentang hakikat bahasa, beberapa ayat al-Qur'an memberikan penjelasan:

1. Tuhan yang maha pemurah yang mengajarkan Qur'an. Dia menciptakan manusia, mengajarnya pandai berbahasa. (al-Rahman: 1-4)

Huraian: Ayat ini dengan jelas menegaskan bahawa bahasa ialah kemahiran yang dikurniakan oleh Allah kepada manusia. Penyataan itu didampingkan dengan penyataan Allah menciptakan manusia, dengan pemahaman bahawa penciptaan manusia oleh Allah disertai oleh pengurniaan bahasa. Hal ini mengisyaratkan pentingnya bahasa bagi manusia untuk memenuhi tujuan-tujuan dan keperluan-keperluan yang akan dijelaskan berdasarkan ayat-ayat Qur'an yang lain kelak. Bahasa sebagai salah satu kurniaan istimewa kepada manusia menjelaskan hakikat manusia sebagai "sebaik-baik ciptaan Allah", iaitu "Kujadikan manusia sebagai sebaik-baik kejadian" (al-Tin: 4).

Hakikat bahawa bahasa itu kurniaan Allah menolak pelbagai teori dan hipotesis linguistik Barat yang kebanyakannya mengaitkan bahasa sebagai sesuatu yang terhasil daripada proses pada diri manusia itu sebagai akibat sesuatu. Antaranya termasuklah bahasa sebagai hasil peniruan dan laungan semula jadi (sebagaimana yang dikemukakan oleh Rosseau) atau hasil teriakan-teriakan emosi yang kemudian dimurnikan (sebagaimana kata Condillac).

Demikian juga, hakikat bahawa bahasa merupakan kurniaan Allah menyangkal teori behaviourisme yang mengatakan bahawa bahasa terhasil daripada hasil proses rangsangan dan gerak balas yang melalui proses pelaziman akhirnya membentuk kebiasaan-kebiasaan berupa tingkah laku bahasa.

2. Dan ingatlah ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam daripada sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka seraya berfirman, "Bukankah Aku ini Tuhanmu?", mereka menjawab. "Benar kami bersaksi (bahawa Engkaulah Tuhan kami)." Kami lakukan yang demikian itu agar pada Kiamat kelak kamu tidak mengatakan, "Sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang yang alpa tentang keesaan Tuhan. (al-A`raf: 172)

Huraian: Ayat ini menjelaskan hakikat bahawa kemampuan berbahasa telah dikurniakan oleh Allah ketika manusia di alam ruh lagi dan dijadikan perantaraan komunikasi antara Allah sebagai khaliq dengan manusia sebagai makhluk-Nya. Melalui bahasa, manusia telah membuat perjanjian atau kontrak dengan Allah, berkaitan dengan asas iman, iaitu pengakuan akan ketuhanan Allah. Potensi berbahasa di alam ruh itulah yang dikembangkan oleh manusia, dengan rahmat Allah, dalam bentuk bahasa di alam dunia, dengan pelbagai jenisnya menurut jenis bangsa manusia di muka bumi. Hakikat ini menolak hipotesis bahawa bahasa baru wujud pada manusia apabila manusia lahir ke dunia, iaitu sebagai hasil perkembangan fisiologi dan akal manusia. Meskipun benar bahawa bentuk bahasa dalam aspek sebutan, kata dan ayat berkembang pada diri manusia menurut perkembangan jasad dan usianya, namun perlu diakui bahawa perkembangan itu tidak akan berlaku jika potensinya tidak lebih dahulu dikurniakan oleh Allah ketika manusia di alam ruh.

Ayat itu secara langsung turut menjelaskan peranan bahasa sebagai alat untuk manusia memperoleh ilmu; dan ilmu yang paling asas dan penting ialah ilmu mengenal Allah. Melalui bahasa, iaitu dialog Allah dengan manusia ketika di alam ruh, manusia telah memperoleh ilmu pengenalan tentang ketuhanan Allah (selaras dengan hadith nabi "Awwaluddin ma`rifatullah", iaitu permulaan agama ialah mengenal Allah). Apabila dizahirkan di dunia, manusia dituntut mempertahankan pengenalan akan Allah itu melalui ikrar kalimah Syahadah dan melaksanakan kehidupannya dengan berdasarkan ketentuan dan hukum Allah. Ikrar Syahadah itu jugalah yang menjadi jaminan penempatan manusia di syurga kelak apabila hayatnya berakhir dengan kalimah tersebut (maksud hadith Nabi), dan di alam barzakh pun ikrar itu menjadi soalan pertama yang akan ditanyakan oleh malaikat Munkar dan Nakir.

Dengan menggunakan bahasa jugalah manusia dapat memperoleh ilmu dalam pelbagai bidang yang pada hakikatnya bersumber daripada Allah. Hal ini akan dihuraikan lebih lanjut dalam pembicaraan tentang peranan atau fungsi bahasa dalam kehidupan manusia.

[bersambung]

~Kembara Bahasa~
9 Mei 2011