Wednesday, August 31, 2011
Kenangan dengan Dato' Dr. Hassan Ahmad Panglima Bahasa
Kenangan dengan Dato' Dr. Hassan Ahmad Panglima Bahasa
Keterangan gambar: Dato' Dr. Hassan Ahmad (no. 3 dari kiri baris belakang) menerima Anguerah Tokoh Pejuang Bahasa Persatuan Linguistik Malaysia, 2004)
31 Ogos 2011 - Dalam perjalanan pulang dari Pontian ke Kuala Lumpur, sesudah berhari raya dengan ibunda dan kaum kerabat, sms Sasterawan Negara Dato' Dr. Anwar Ridhwan pada kira-kira pukul 2.30 petang mengejutkan saya dengan pertanyaan "Betulkah Dato' Hassan Ahmad meninggal dunia?"
Kerana sedang memandu kereta, saya membalasnya ringkas, "Saya tidak pasti; saya masih di Johor". Selang beberapa minit kemudian, Dato' Anwar mengirimkan sms yang mengesahkan berita yang tadinya ditanyakannya. Sesudah itu bertalu-talu puluhan sms dan panggilan telefon yang memaklumkan berita duka yang sama.
Apabila mendapat berita duka sedemikian, tiadalah ungkapan lain yang sesuai diucapkan selain "Innalillahi waainna ilaihi rajiun" (Daripadamu kami datang, maka kepada-Mu kami kembali). Kita mesti meredhai takdir Allah yang menetapkan usia, rezeki, jodoh dan segala yang berkaitan dengan kehidupan.
Hanya berita itu agak mengejutkan kerana baru pada petang hari akhir Ramadhan, iaitu 29 Ramadhan, saya mengirimkan sms ucapan Hari Raya dan segera pula mendapat balasannya, dengan pesan agar ke rumahnya pada Hari Raya pertama untuk berbual-bual. Oleh sebab saya perlu menziarahi ibunda saya di Pontian pada hari pertama itu, maka saya merancang untuk menziarahinya kemudian. Takdir Allah menentukan bahawa hubungan melalui sms itulah hubungan akhir antara kami di mayapada ini.
Pontian tempat saya lahir berkaitan rapat dengan kerjaya awal Allahyarham Dato' Hassan Ahmad, kerana pada tahun 1962 beliau pernah menjadi Penolong Pegawai Daerah di daerah itu, sesudah tamat mengaji di Universiti Malaya. Ketika itu saya baru di darjah tiga sekolah rendah. Muar, daerah tempat kelahirannya ada kaitannya sedikit dengan saya kerana saya pernah mengajar di Sekolah Tinggi Muar beberapa bulan.
Tulisannya dalam majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka ada saya baca ketika di sekolah menengah, tetapi dapat saya katakan bahawa saya belum kenal dengan beliau secara rapat. Pada bulan April 1978 saya mula bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai Pegawai Penyelidik Bahasa dan Editor Jurnal Dewan Bahasa; ketika itulah saya mula mengenal Allahyarham kerana beliau menjadi Ketua Pengarah sesudah Allahyarham Dato' Hj. Sujak Rahiman tamat tempohnya.
Hubungan antara saya dengan beliau sebagai ketua lebih bersifat hubungan rasmi dan secara peribadi saya tidak rapat dengannya. Namun secara beransur-ansur hubungan kami menjadi kian rapat apabila ada titik persamaan dalam haluan perjuangan bahasa dan kesediaan berbincang atau malah berbahas tentang selok-belok bahasa.
Kesempatan yang diberikannya kepada saya untuk menggalas beberapa projek dan program bahasa di DBP, termasuk sebagai Editor pertama Jurnal Dewan Bahasa (yang dinaikkan tarafnya daripada Majalah Dewan Bahasa pada tahun 1979), Pengurus Projek pertama Projek Sejarah Bahasa Melayu dan pembentangan kertas kerja mewakili negara dalam Pertemuan Sasterawan Nusantara di Brunei Darussalam pada tahun 1985 menjadi kenangan manis kepada saya.
Dalam hubungan kerja, ada kalanya kami tidak dapat bersetuju tentang sesuatu hal, terutama tentang keputusan untuk menetapkan ejaan, istilah dan aspek tatabahasa yang tertentu. Namun, hal itu tidak menghalang untuk kami terus saling menghormati pandangan masing-masing, meskipun salah satu tindakan saya yang agak drastik mungkin menyinggung perasaannya. Buku saya "Isu-isu Bahasa Malaysia" mulanya telah diluluskan penerbitannya oleh DBP, tetapi disebabkan aduan editor petugas yang tidak setuju saya menggunakan beberapa patah kata dengan ejaan yang saya yakini lebih tepat daripada segi etimologinya, Allahyarham terpaksa campur tangan dengan menasihati saya agar mengubahnya.
Apabila saya tidak bersedia mengikuti nasihatnya, tidak pula beliau marah dan persetujuan yang kami capai ialah bahawa buku itu boleh diterbitkan oleh penerbit lain. Alhamdulillah buku itu kemudian diterbitkan oleh Penerbit Fajar Bakti dan dipilih untuk menerima Hadiah Bahasa PLM-Public Bank kali pertama pada tahun 1985, bersama-sama dengan buku Prof. Hashim Awang tentang kritik sastera. Demikianlah sikap terbuka dan kesediaan Allahyarham dalam meraikan perbedaan pendapat.
Hubungan kami menjadi cukup akrab sesudah beliau pulang bertugas sebagi Wakil Malaysia di UNESCO bertaraf Duta Besar di Paris, dan sekali gus membawa kejayaan meraih ijazah doktor falsafah daripada Universiti Leiden. Keakraban itu terbina daripada kekerapan kami berbincang tentang pelbagai isu bahasa dan linguistik, daripada isu taraf dan pelaksanaan dasar bahasa negara kepada isu teoritis tentang linguistik, terutama tentang falsafah bahasa dan perancangan bahasa.
Apabila Kumpulan Prihatin yang dianggotai majoritinya oleh veteran pejuang bahasa dan cendekiawan Melayu ditubuhkan pada awal tahun 1990-an, Allahyarham merupakan tokoh yang dapat dikatakan hadir dalam semua mesyuarat dan pertemuan serta memberikan buah fikiran yang membina. Apabila tercetus isu penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar utama di IPTA pada tahun 1993 dan kemudian pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) pada tahun 2002, pertemuan Kumpulan Prihatin diadakan dengan lebih kerap dan kami dalam kumpulan itu merancang pelbagai strategi, antaranya menyediakan memorandum, surat, pertemuan dengan pemimpin tinggi negara, mengadakan seminar dan menerbitkan siaran untuk menyatakan sikap tentang peri pentingnya dasar negara, termasuk dasar bahasa kebangsaan dipertahankan.
Dalam peristiwa kemuncak penentangan terhadap PPSMI, iaitu perarakan ke Istana Negara pada bulan Mac 2009, Allahyarham muncul sebagai teraju utama apabila dilantik menjadi Pengerusi Gerakan Mansuhkan PPSMI, dengan dukungan SN Dato' A. Samad Said, Prof. Shaharir Mohd. Zain, Prof. Abdullah Hassan dan aktivis-aktivis lain. Saya hanya sempat hadir dalam pelancaran GMP di Kompleks Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman pada bulan Januari 2009 kerana bertugas di Beijing; namun hubungan melalui e.mel dalam gerakan perjuangan itu berterusan dengan beliau dan pejuang-pejuang yang lain.
Selain bergerak dengan nada dan fikrah yang sama tentang perjuangan bahasa, kesempatan kami membentangkan kertas kerja dalam pelbagai seminar di dalam dan di luar negara menjadi faktor yang menambah keakraban hubungan. Sikap dan pendiriannya tekal dan tidak mudah berubah. Kritikannya tajam dan pedas tetapi tetap bersulam jenaka sehingga orang masih dapat senyum atau ketawa. Allahyarham memang berbakat sebagai pemikir, penulis dan pemidato yang dapat menarik perhatian khalayak, bukan dengan gendang atau retorik kosong, tetapi dengan bersandarkan ilmu dan pemikiran yang jitu.
Daripada pengamatan saya, tempoh kira-kira satu dekad sebelum beliau dijemput pulang oleh Khalik memperlihatkan iltizam beliau yang cukup jelas lagi mendalam tentang pembinaan tamadun yang berteraskan bahasa dan agama, meskipun sebelum itu telah sedia jelas iltizam dan sikapnya dalam pembinaan tamadun. Inti tulisan, ceramah dan kertas kerjanya dalam tempoh itu cukup padat dan penuh dengan asas ilmiah yang bersandarkan sumber syariat selain sumber ilmu yang autoritatif.
Dalam pemilihan Tokoh Ilmuwan Bahasa anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2000, beliau dicalonkan dan dipilih sebagai penerima anugerah kali pertama, bersama-sama dengan Prof. Emeritus Dato' Asmah Haji Omar, Prof. Emeritus Datuk Nik Safiah Karim, Pak Asraf dan Mohd. Yunus Maris. Pada tahun 2004, beliau dikurniai oleh Persatuan Linguistik Malaysia Anugerah Tokoh Pejuang Bahasa bersama-sama dengan lapan orang tokoh yang lain (Tan Sri Ainuddin Wahid, Datuk Zainal Abidin Wahid, Dato' Abdul Rahim Bakar, Prof. Emeritus Datuk Abu Bakar Hamid, Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim, Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan, Prof. Dr. Shaharir Mohd. Zain dan Datuk Baharuddin Zainal).
Kepulangannya menghadap Allah dalam kedudukan beliau masih terus memikul amanah sebagai Pengerusi Eksekutif Yayasan Karyawan untuk menyuburkan karya-karya besar persuratan Melayu melalui projek penerbitan karya-karya agung dan juga dalam perjuangan bahasa dan pembinaan tamadun.
Al-Fatihah dan doa rahmat kepada ruh Allahyarham.
~Kembara Bahasa~
3 Syawal 1432/1 September 2011
Monday, August 29, 2011
Puisi: Kembali Fitrah
Kembali Fitrah
Kuangkat munajat kepada Ilahi
semoga Syawal menjadikan kita lebih mengerti
akan diri dan kehidupan nan hakiki.
Syawal membawa diri kembali ke fitrah
kepada jiwa yang menyerah
berjanji kepada-Nya di alam arwah
"Alas tu birabbikum qalu bala syahidna"
Semoga Ramadhan yang mencanai perisai
akan terus membentengi diri dan menjadi rantai
untuk diri patuh tunduk memenuhi ikrar.
~Kembara Bahasa~
1 Syawal 1432/30 Ogos 2011
Thursday, August 25, 2011
Puisi: Debar Gentar
Debar Gentar
Dengan dada penuh debar
dengan rasa penuh gentar
aku tetap sedar
bahawa ia akan beredar
Dengan dada penuh debar
dengan rasa penuh gentar
aku tetap sedar
bahawa belum mampu kupenuhi ikrar
Sepurnama bersama
bersemilah cinta sukma
tenggelam dalam dakapan rasa
kuperoleh makna bahagia
Andai kata ini pertemuan terakhir
andai kata belum sempurna cita yang terukir
Kuserahkan kepada takdir
Semoga tiada yang termungkir
Dengan dada penuh debar
Dengan rasa penuh gentar
Tetap daku bermunajat penuh sabar
akan pertemuan semula yang membawa sinar
di bawah naungan rahmah dan maghfirah-Mu
~Kembara Bahasa~
26 Ramadhan 1432/26 Ogos 2011
Tuesday, August 23, 2011
Puisi: Teka-teki Tanpa Erti
Teka-teki Tanpa Erti
Teka-teki apatah kiranya yang dikau berikan
sehingga daku tiada pernah mengerti
dan menemukan jawab yang pasti hingga kini
Teka-teki meskipun berkias ibarat
Tersembunyi erti dalam susunan kata yang padat
masih bisa diteka erti yang tersirat
Sungguh tiadalah daku mengerti akan teka-tekimu
yang penuh dengan madah memikat kalbu
namun kemudian terus menjadi kelabu
Sungguh tiadalah daku mengerti akan teka-tekimu
adakah mengandung erti atau sebenarnya lahir daripada akal yang keliru?
adakah kobaran semangat dan janji sejati atau wacana palsu yang semu?
Usah sekali-kali dikau robekkan kepercayaan yang daku berikan.
Usah sekali-kali dikau mungkiri janji yang dikau ikrarkan.
Usah sesekali diaku terus berteka-teki tanpa erti.
~Kembara Bahasa~
24 Ogos 2011/24 Ramadhan 1432
Monday, August 22, 2011
Kisah di Bank: Perihal Nasib Si Cucu
Kisah di Bank: Perihal Nasib Si Cucu
Ketika menunggu giliran dipanggil untuk urusan di bank pagi tadi, datang seorang nenek yang berusia 70-an atau awal 80-an beserta anak lelaki dan seorang cucu perempuan yang berusia sekitar 5 tahun duduk di kerusi sebaris dengan saya.
Sepanjang percakapan mereka bertiga, nenek itu terus-menerus bercakap dalam bahasa Inggeris dengan cucunya, tetapi lebih banyak bercakap dalam bahasa Melayu dengan anak lelakinya. Pelbagai persoalan timbul dalam fikiran saya, terutama mengapakah dengan cucunya nenek itu terus-menerus bercakap dalam bahasa Inggeris.
Mungkinkah ibu cucunya itu wanita negara asing yang belum sempat mempelajari dan menguasai bahasa suami dan keluarga suaminya, maka si anak itu tidak dapat bertutur dan memahami bahasa Melayu? Perihal nenek lanjut usia itu dapat bertutur dalam bahasa Inggeris tidaklah menghairankan saya, kerana barangkali ia memang orang berpendidikan Inggeris dan dahulu eksekutif firma swasta atau pegawai kerajaan.
Yang merisaukan saya, lebih daripada perbualan dalam bahasa yang tidak begitu sesuai dengan tempat dan dalam kalangan pelanggan-pelanggan lain juga seperti tertanya-tanya dan berasa pelik, ialah apakah nasib cucu yang berusia sekitar lima tahun itu kelak?
Jika ia tinggal di negara ini, adakah ia kelak membesar dan dewasa dalam keadaan terasing kerana tidak dapat bertutur dan memahami bahasa Melayu di tengah-tengah rakyat yang umumnya berbahasa Melayu? Adakah ia akan bergaul hanya dengan kalangan orang yang dapat berbahasa Inggeris? Bagaimanakah hubungan sosialnya dengan keluarga besar ayah dan neneknya, dengan jiran tetangga dan dengan masyarakat, dalam keadaan ia tidak dapat berbahasa Melayu?
Saya segera teringat akan kisah cucu seorang kenalan yang perhubungan di rumah memang berlangsung dalam bahasa Inggeris sepenuhnya. Masalah besar yang dihadapinya ialah apabila ia didaftarkan di sekolah kebangsaan, maka ia tidak dapat berinteraksi dengan teman-temannya dan tidak dapat mengikuti pelajaran di kelas kerana tidak memahami bahasa Melayu, apatah lagi bertutur dalam bahasa ibunda ayah dan ibunya!
Maka, terpaksalah datuknya menghantar si cucu itu ke kelas tuisyen untuk memepelajari bahasa Melayu agar dapat ia mengikuti pelajaran dan dapat bergaul dengan rakan-rakan di sekolah. Aduh, mahal sekali biaya hidup apabila untuk dapat berbahasa ibunda si cucu itu terpaksa dihantar ke kelas tuisyen, gara-gara sepanjang hidupnya selama enam tahun ia tidak diberi peluang berbahasa Melayu di rumah keluarganya yang semuanya Melayu!
Hak asasi dan kebebasan untuk berbahasa apa-apa sahaja menurut keselesaan sementara telah mendatangkan malapetaka kepada si cucu itu. Alangkah kasihannya!
~Kembara Bahasa~
23 Ogos 2011/23 Ramadhan 1432
Ketika menunggu giliran dipanggil untuk urusan di bank pagi tadi, datang seorang nenek yang berusia 70-an atau awal 80-an beserta anak lelaki dan seorang cucu perempuan yang berusia sekitar 5 tahun duduk di kerusi sebaris dengan saya.
Sepanjang percakapan mereka bertiga, nenek itu terus-menerus bercakap dalam bahasa Inggeris dengan cucunya, tetapi lebih banyak bercakap dalam bahasa Melayu dengan anak lelakinya. Pelbagai persoalan timbul dalam fikiran saya, terutama mengapakah dengan cucunya nenek itu terus-menerus bercakap dalam bahasa Inggeris.
Mungkinkah ibu cucunya itu wanita negara asing yang belum sempat mempelajari dan menguasai bahasa suami dan keluarga suaminya, maka si anak itu tidak dapat bertutur dan memahami bahasa Melayu? Perihal nenek lanjut usia itu dapat bertutur dalam bahasa Inggeris tidaklah menghairankan saya, kerana barangkali ia memang orang berpendidikan Inggeris dan dahulu eksekutif firma swasta atau pegawai kerajaan.
Yang merisaukan saya, lebih daripada perbualan dalam bahasa yang tidak begitu sesuai dengan tempat dan dalam kalangan pelanggan-pelanggan lain juga seperti tertanya-tanya dan berasa pelik, ialah apakah nasib cucu yang berusia sekitar lima tahun itu kelak?
Jika ia tinggal di negara ini, adakah ia kelak membesar dan dewasa dalam keadaan terasing kerana tidak dapat bertutur dan memahami bahasa Melayu di tengah-tengah rakyat yang umumnya berbahasa Melayu? Adakah ia akan bergaul hanya dengan kalangan orang yang dapat berbahasa Inggeris? Bagaimanakah hubungan sosialnya dengan keluarga besar ayah dan neneknya, dengan jiran tetangga dan dengan masyarakat, dalam keadaan ia tidak dapat berbahasa Melayu?
Saya segera teringat akan kisah cucu seorang kenalan yang perhubungan di rumah memang berlangsung dalam bahasa Inggeris sepenuhnya. Masalah besar yang dihadapinya ialah apabila ia didaftarkan di sekolah kebangsaan, maka ia tidak dapat berinteraksi dengan teman-temannya dan tidak dapat mengikuti pelajaran di kelas kerana tidak memahami bahasa Melayu, apatah lagi bertutur dalam bahasa ibunda ayah dan ibunya!
Maka, terpaksalah datuknya menghantar si cucu itu ke kelas tuisyen untuk memepelajari bahasa Melayu agar dapat ia mengikuti pelajaran dan dapat bergaul dengan rakan-rakan di sekolah. Aduh, mahal sekali biaya hidup apabila untuk dapat berbahasa ibunda si cucu itu terpaksa dihantar ke kelas tuisyen, gara-gara sepanjang hidupnya selama enam tahun ia tidak diberi peluang berbahasa Melayu di rumah keluarganya yang semuanya Melayu!
Hak asasi dan kebebasan untuk berbahasa apa-apa sahaja menurut keselesaan sementara telah mendatangkan malapetaka kepada si cucu itu. Alangkah kasihannya!
~Kembara Bahasa~
23 Ogos 2011/23 Ramadhan 1432
Sunday, August 21, 2011
Puisi: Tafakur
Tafakur
Kala kuziarahi pusaramu, ayahanda
Yang kulihat sepasang nisan jua
Tiada astaka tiada marmar menghias pusara
kerana tiada kauperlukan itu semua
Setiap kali kuziarahi pusaramu
atau kutatap gambar dalam hayatmu
seperti dikau tetap memberitahuku
kasih sayangmu hidup di kalbu
Rinduku kepadamu
Akan terus kubajai dengan doa syahdu
dengan titipan sedekah bacaan kalam milik Nan Satu
semoga ruhmu tenang selalu
Di sisi pusaramu daku berteleku
memohon Allah mengurniakan restu
atas segala amalmu yang dahulu
sedekah jariah dan manfaat ilmu
Tiada dikau tinggalkan harta pusaka
melainkan asuhan agama pembimbing dunia
nasihat dan wasiat yang kukuh di dada
Kembali tenang dikau ke haribaan-Nya
Di sisi pusaramu daku berteleku
sambil bertafakur membilang waktu
menghitung cukupkah sudah amal makrufku
untuk kubawa menghadap-Mu
Di sisi pusaramu daku berteleku
sambil bertafakur membilang waktu
mengabsahkan perihal daku dilahirkan dahulu
dan akhirnya akan kembali kepada-Mu
~Kembara Bahasa~
22 Ramadhan 1432/22 Ogos 2011
Thursday, August 18, 2011
Kupasan Isu oleh Kassim Ahmad untuk Renungan
Kupasan Isu oleh Kassim Ahmad untuk Renungan
Friday, August 12, 2011
JANJI TUHAN TELAH DATANG BUAT KITA –
KE MANA KITA MAHU LARI?
(Versi yang dierpanjang sedikit.)
Oleh: Kassim Ahmad
darul_hikmah33@yahoo.com.my
12 Ogos, 2011
Mengikut adat Raja-raia Melayu dalam zaman feudal Empayar Melaka, apabila seseorang pegawai hendak dihukum bunuh oleh Raja, datanglah dua orang bentara denga keris di atas dulang ditutupi kain sutera dengan perintah: “Telah datanglah takdir Tuhan ke atasmu.”
Demikianlah, seluruh dunia sekarang telah didatangi janji Tuhan untuk menerima hukuman berat, kerana dosa-dosa yang telah dilakukan manusia dua generasi yang lalu. Amaran keras telah diberi dua kali dalam dua peperangan dunia yang paling dahsyat dalam sejarah.
Buat seketika tiap kali siksaan itu menimpa, manusia berteriak dan meraung, menadah tangan ke langit memohon ampun dan bertaubat! Tetapi sebaik saja Tuhan menerima taubat itu, dan memberikan mereka ketenangan dan kesejahteraan, mereka buat lagi, atas hasutan syaitan! Cerita lama, bukan ? Manusia tidak pernah serik!
Sekarang, dalam tahun 2011 ini, kita mengahadapi krisis yang terbesar dalam sejarah manusia. Bukan saja seluruh sistem ekonomi-politik liberal sedunia telah tiba ke tahap keruntuhannya yang terakhir, tetapi seluruh sistem pemikiran liberal itu – dengan falsafahnya sekali – runtuh! Kebanyakan orang tidak sedar. Mereka tertanya-tanya: “Apa sudah jadi?” Ketua-ketua mereka, kepala-kepala penjenayah, terus meradung dan merodong dalam gelap-gulita yang mengepung mereka.
Dalam masa lebih satu dekad yang lalu, sistem kewangan –ekonomi liberal ini telah menjadi satu sistem perjudian yang besar, sebuah kasino dengan riba menjadi asasnya. Ekonomi fizikal yang prodaktif tidak wujud. Semuanya gelembung.
Dalam masa empat tahun yang lalu, sejak meletusnya krisin ini dalam bulan Julai, 2007, kredibiliti kerajaan menjadi tanda tanya. Daripada menahan pasaran-pasaran spekulasi ini dengan kawalan semula , mereka benarkan diri mereka menyerah satu demi satu kepada kuasa institusi kewangan, dan hutang peribadi beratus billion oleh para spekulator dijadikan hutang kerajaan! Rakyat dihukum dengan progrem-progrem “jimat-cermat” yang besar dalam bajet-bajet awam. Rakyat kena ikat perut, sedangkan bank-bank yang bankrup “diselamatkan”! Ini “obat” yang tidak boleh menyembuhkan penyakit , tetapi yang akan menyebabkan penyakit menjadi lebih teruk!
Ekonomi fizikal merosot. Pengangguran meningkat. Belanja hidup naik.
Massa rakyat di mana-mana bangkit dari tidur mereka yang lama: di dunia Arab, di Amerika Syarikat, di Eropah, pendek kata, di mana-mana. Tidak semena-mena London terbakar. Rusuhan-rusuhan ganas berlaku di seluruh England. Perdana Menterinya kelam-kabut pulang dari cuti musim panas, mengadakan mesyurat-mesyuarat tergembar lalu mendakwa rusuhan-rusuhan itu jenayah, jelas dan murni, bukan berpunca dari faktor-faktor socio-ekonomi.
Nyata beliau sebahagian daripada masalah, bukan penyelesai masalaah!
Keruntuhan sistem ekonomi-kewangan pasaran bebas rantau antara Atlantik, meliputi A.S. dan Eropah Barat, kawasan induk sistem liberal pasaran bebas ini, merangkumi China, India, Rusia, Asia Tenggara, Amerika Latin, Afrika dan Asia Timur. Tidak ada rantau di muka Bumi ini yang terselamat dari keruntuhan ini. Sistem liberal pasaran bebas ini, dengan falsafah di belakangnya sekali, runtuh. Satu sistem lain yang lebih baik harus mengganti system bobrok ini.
Jangan kita lupa negra kita Malaysia sebahagian dari sistem bobrok ini. Walaupun pemimpin-pemimpin agung kita telah berjaya membuat penyesuaian di sana-sini (contohnya Dasar Ekonomi Baru), kita tidak bebas dari penyakit utama sistem ini: pembahagian kekayaan yang tidak seimbang. Manakala golongan minoriti (5%) kaya telah menjadi terlalu kaya dengan pendapatan melebihi RM 50,000 sebulan, golongan miskin (40%) telah menjadi terlalu miskin dengan pendapatan kurang daripada RM 2,500 sebulan. Sebuah kelas menengah yang agak besar (50% lebih) dengan pendapatan antara RM 3,000 hingga RM 30,000 sebulan telah menyebabkan masyarakat kita menjadi lebih stabil.
Namun demikian, oleh kerana rasuah dan pembaziran, ditambah dengan kenaikan belanja hidup, khasnya dalam masa dua dekad ini, mutu kehidupan rakyat kita telah merosot.
Ambil contoh soal kemiskinan. Mengapa setelah 54 tahun merdeka, ada rakyat kita yang masih hidup melarat: miskin, dengan rumah berbumbungkan langit dan berlantaikan tanah, dengan anak-anak tidak cukup makan dan pakai, ditingglkan oleh Kerajaan dan masyarakat?
Mengikut suatu laporan dalam akhbar Utusan Malaysia kelmarin (Khamis, 11 Ogos; hlm 29), kira-kira RM 500 juta setahun kutipan wang zakat. Dari jumlah ini, Kerajaan boleh menghapuskan kemiskinan dalam masa setahun saja! (Saya anggarkan kita memerlukan hanya RM 32.5 juta untuk berbuat demikian. Dari RM 500 juta itu, kita ada peruntukan sebanyak RM 62.5 juta untuk fakir-miskin.) Perihal rakyat miskin demikian masih wujud di kalangan kita menunjukkan kita lalai. Kita tidak prihatin, kerana keadaan ini tidak terkena kepada kita!
Demikian di negara kita, demikian di semua negara. Kemiskinan, kekadang malah kebuluran, pengangguran yang meningkat, belanja hidup yang meningkat naik 30% hingga 50%, malah lebih – ini semua, termasuk lagi pemerintahan diktator dan ketiadaan hak-hak asasi, menjadi ramuan-ramuan kemarahan rakyat terbanyak (95%) di mana-mana.
Percayalah, dari hari ini dunia tidak akan kekal begina. Suatu perubahan besar akan berlaku. Massa rakyat sudah bangkit. Mereka tidak mahu hidup dalam sistem hidup lama dulu, dalam bahasa Quran, dalam deen yang tidak diredai Tuhan. Jangan lupa, kebanyakan umat Islam telah meninggalkan agama Islam asal, agama Islam yang sebenar, yang telah diajar kepada mereka oleh nabi terakhir, Nabi Muhammad, dan yang terdapat dalm Quran dan ajaran-ajaran lain, dulu dan selepasnya, yang selaras dengan ajaran Quran.
Jalan keluar bagi masyrakat dunia jelas. Jadikan Quran sebagai panduan kita. Panduan ini hendaklah dipraktikkan secara kreatif dengan kaedak saintifik.
Khasnya, kita kena sembah Tuhan saja, dan hapuskan pendewaan terhadap lima jenis patung yang disebut dalam Quran, iaitu batu-batu, matahari dan bintang, harta-benda, pemimpin dan ideologi mereka, dan ego. Itu prinsip pertama. Prinsip kedua, pertanggungjawaban terhadap perbuatan masing-masing. Prinsip ketiga, perintahkan kebaikan dan larang kejahatan. Prinsip keempat, perintah dengan adil melaui kaedah mesyawarah dan melalui pemimpin-pemimpin yang layak (dari segi kebolehan dan moral), Prinsip kelima, laksanakan dasar ekonomi dan kewangan yang prodaktif, dan hapuskan riba dan perjudian. (Hutang-hutang angin kepada institusi-institusi kewangan dihapuskan dengan mengisytiharkan mereka bangkrup, kredit dikeluarkan oleh kerajaan untuk melaksanakan progrem-progrem ekonomi prodaktif yang besar.) Prinsip keenam, hormati dan dukung hak asasi manusia, termasuk kebebasan total beragama dan penghapuskan perhambaan dan kemiskinan.
Inilah batasan-batasan Tuhan. Jangan langgar batasan-batasan kewajaran ini.
Inilah yang harus kita lakukan sekarang, mulai hari ini. Inilah ajaran Tuhan yang telah kita abaikan buat begitu lama.
-------------------------------
KASSIM AHMAD seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau www.kassimahamad.blogspot.com
posted by Kassim Ahmad @ 11:49 PM 8 comments
Wednesday, August 17, 2011
Puisi: Mengejar Detik
Mengejar Detik
Aku sedar akan tangkasnya gerakmu
bak kuda yang dipacu laju
Namun kugagahi langkah mengejarmu
agar tidak kecewa termangu
Oh, betapalah alpanya daku
Dalam memenuhi cita bersamamu
kerap godaan dan dugaan datang bertamu
Sepertinya langkahku tidak bisa menyertaimu
Dikau terus meluru maju
sedang daku ada kalanya beku kaku
seperti menunggu-nunggu sesuatu yang tidak menentu
dan ada waktunya menjadi keliru
Aku tahu bahawa dikau tidak akan menunggu
Sampai saatnya dikau tetap berlalu
kerana dikau tetap setia kepada janjimu
kepada Dia yang mengatur segala sesuatu
Daku pasti tidak bisa memiliki detik yang pergi
Hanya yang bersisa padaku azam untuk tidak terus rugi
serta amanah mengisi detik-detik yang berbaki
Semoga masih ada ruang untuk daku memaknakan diri
~Kembara Bahasa~
18 Ramadhan 1432/18 Ogos 2011
Sunday, August 14, 2011
Munajat Ramadhan
Ya, Allah, Engkaulah yang menukar rasa lapar dahaga dan rasa letih sepanjang kami melaksanakan ibadah puasa dengan rasa lazat yang sungguh nikmat! Berilah kami terus merasakan kelazatan beribadah kepada-Mu kerana kami mendambakan pertemuan dengan-Mu kelak dengan penuh kegembiraan.
~Kembara Bahasa~
14 Ogos 2011/14 Ramadhan 1432
Thursday, August 11, 2011
Puisi: Titipan Doa
Titipan Doa
Baru sepurnama lalu kuziarahi
bumi Xinjiang di barat laut negeri
dalam lakaran sejarah pusat laluan dagang dan santri
Jalan Sutera Darat penyambung negeri
Sinar mentari dan lembut angin musim panas
mengusap kedamaian dan keharmonian
para pedagang, karyawan dan marhain
para imam, jemaah dan anak watan sekalian
Kusyukuri limpah rahmat-Mu
menyaksikan lelaki bersongkok berbucu
wanita berkerudung bebas ke sana sini
masjid dilimpahi jemaah penegak risalah
Meskipun di sudut tertentu di kota
pasukan keselamatan ditempatkan
memperhatikan laku
Masih segar dalam kenangan
mesra santunnya Qurbajan Jan sekeluarga pengusaha kedai makan
Qurbajan Jan penjual buah-buahan
Imam Abdul Rauf di Masjid Tian Shan Qu
Imam Mukhtar di Masjid Baitul Makmur
para peniaga di Bazar Besar Antarabangsa
penuh yakin tiada sengketa tiada malapetaka
Mereka mendambakan hidup sejahtera
Dari jauh kini kudengar
awan di bumi subur dan kaya itu diselaputi mendung
angin lembut bertukar keras
Khabarnya sahabat dan saudaraku dikekang dan dihalang
melaksanakan ibadah dalam bulan penuh barakah
Air mataku menitis
bersama-sama dengan titisan air mata
Qurbajan Jan, Mukhtar, Abdul Rauf, Jamal, Nasaruddin
dan sekalian saudaraku di sana
Bagaimanakah suasana di Masjid Putih di Erdaoqiao
yang waktu Zuhurnya persis waktu solat Jumaat melimpah jemaahnya
Bagaimanakah keadaan di Masjid Baitul Makmur
Bagaimanakah kini Masjid Bazar Besar Antarabangsa
dan masjid-masjid lain di tanah Uygur waris anbiya?
Kutitipkan doa dan munajat
Saudaraku sekalian diberi kekuatan
Saudaraku sekalian diberi inayat
Saudaraku sekalian diberi ketetapan iman
untuk menegakkan risalah Allah
untuk melanjutkan tugas anbiya
~Kembara Bahasa~
11 Ogos 2011 / 11 Ramadhan 1432
Monday, August 8, 2011
Puisi: Infak
Infak
Usah dikau mengira
zakat dan sedekahmu mengurangi pusaka
Usah dikau mengira
milik yang kauagihkan menyusutkan harta
Usah dikau mengira
nikmat kurnia-Nya hak mutlakmu belaka
Kita hanya pengurus rezeki-Nya
Berbahagi nikmat sama-sama merasa
Sebiji benih yang dikau infakkan
Tujuh tangkai akan dikeluarkan
Seratus biji buah di setiap tangkai bergugusan
Demikian tamsil Allah berfirman
~Kembara Bahasa~
9 Ogos 2011/9 Ramadhan 1432
Puisi: Anugerah
Anugerah
Ramadhan penuh barakah
ialah suatu anugerah
Setiap gerak dikira ibadah
dengan 70 gandaan faedah
selama jiwa pasrah
Ramadhan penuh barakah
lapar dahaga bertukar nikmah
insaf akan golongan yang susah
Ramadhan penuh barakah
mengekang lancangnya lidah
menghalang nafsu serakah
Ramadhan penuh barakah
tanda kasih rahmahnya Allah
terbuka ruang berinfak sedekah
Ramadhan penuh barakah
Laitul Qadr istimewanya hadiah
Satu malam bernilai seribu bulan ibadah
Ramadhan penuh barakah
sebulan berada di madrasah
meningkatkan ta`dib dan tarbiyah
Kupohon Kausempurnakan
anugerah itu berkekalan
hingga ruh beralih dari badan
~Kembara Bahasa~
8 Ogos 2011