Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Thursday, April 3, 2014

Puisi "Mencari Dalil"

Mencari Dalil
(Renungan sesudah syarahan di IPGM Sultan Abdul Halim, Sungai Petani)

Mengapatah
dikau masih mencari-cari dalil
untuk keyakinan yang jazam
akan anugerah Tuhan
kepada umat pilihan
dengan kurnia iman
ilmu dan ihsan
peradaban insan
berlunaskan risalah al-Rahman
yang membentuk jiwa kesatuan
merentas kabilah ratusan
di persisiran, daratan dan kepulauan
dengan ulama, pujangga dan pemuka kawakan
pencetus dan pemugar sistem kehidupan
dalam manca lapangan
pemerintahan, ilmu, perdagangan
penggerak nadi peradaban insan
di paksi alam ketimuran
terpateri dalam sejarah persuratan

Lalu dalil apatah lagi
yang dikau cari
untuk meyakinkan diri
bahawa kita mewarisi tamadun bestari
sejak zaman bahari
melampaui dua alaf di muka bumi
yang kini perlu kita pugar rapi
dalam menyongsong alaf penuh duri dan api
untuk memaknai peribadi sejati

Kembara Bahasa Melayu Mahawangsa
Kangar
3 April 2014

No comments:

Post a Comment