Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Wednesday, October 24, 2012

Penerapan Bahasa Melayu Tinggi dalam Bidang Pendidikan (Bahagian 2)

PENERAPAN BAHASA MELAYU TINGGI
DALAM BIDANG PENDIDIKAN

Awang Sariyan, Ph.D
Ketua Pengarah
Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia
Profesor Kehormat Pendidikan Bahasa dan Kebudayaan
Universiti Pengajian Asing Beijing (BFSU)



[Kertas kerja untuk Seminar Pemantapan Pengajaran dan Pemelajaran Bahasa Melayu, anjuran Persatuan Pendidikan Bahasa Melayu Malaysia, Jabatan Pendidikan Sarawak dan Dewan Bahasa dan Pustaka di Hotel Merdeka Palace, Kuching, Sarawak pada 16-18 September 2012]

BAHAGIAN (2)

VI. Lingkungan Penggunaan Bahasa Melayu Tinggi

Penggunaan bahasa secara umumnya dapat dibahagi kepada dua suasana dan urusan, iaitu rasmi dan tidak rasmi. Semua penjawat awam, iaitu orang yang berkhidmat dengan kerajaan dan eksekutif serta kakitangan swasta biasanya berada dalam kedua-dua suasana dan urusan, iaitu rasmi dan tidak rasmi. Oleh itu, mereka perlu memahami peraturan penggunaan bahasa yang sesuai dalam konteks tertentu, khususnya dalam konteks yang rasmi. Hal ini demikian kerana dalam suasana dan urusan rasmilah peraturan bahasa lebih ditekankan penggunaannya.

Namun demikian, dalam kedua-dua konteks rasmi dan tidak rasmi itu, kesantunan bahasa tetap perlu dititikberatkan walaupun ragam dan gaya bahasa dalam kedua-dua konteks itu berlainan. Perbandingannya mudah, iaitu di majlis dan untuk urusan rasmi kita diperlukan memakai pakaian rasmi sementara dalam majlis dan untuk urusan yang tidak rasmi, pakaian kita boleh lebih sederhana dan lebih bebas. Namun kesantunan cara berpakaian masih tetap perlu dititikberatkan. Demikianlah juga halnya dengan bahasa.

Suasana dan Urusan Rasmi

Suasana dan urusan rasmi merujuk kepada konteks sesuatu majlis atau urusan yang berkaitan dengan pentadbiran kerajaan atau mana-mana pihak berkuasa dan institusi, termasuk swasta dan pertubuhan.

Suasana rasmi merujuk kepada apa-apa sahaja bentuk majlis yang diadakan berkaitan dengan pihak-pihak yang disebut di atas tadi, iaitu sama ada kerajaan mahupun institusi lain yang sah kewujudannya. Antara majlis rasmi yang lazim termasuklah:

1. Majlis perasmian (pembukaan dan penutupan)
2. Majlis pelancaran
3. Majlis sambutan/keraian
4. Majlis santapan diraja
5. Majlis jamuan
6. Majlis pertabalan Yang di-Pertuan Agong/Raja/Sultan
7. Majlis pengurniaan darjah dan bintang kehormat
8. Majlis menandatangani perjanjian
9. Majlis pengisytiharan
10. Majli konvokesyen

Urusan rasmi pula lazimnya berkaitan dengan pelaksanaan sesuatu tugas yang berkaitan dengan pihak-pihak yang disebut tadi, iaitu sama ada kerajaan, swasta mahupun pertubuhan. Antaranya, yang lazim ialah:

1. Surat-menyurat rasmi
2. Pemakluman
3. Mesyuarat (mesyuarat agung, mesyuarat berkala dsb.)
4. Seminar dan persidangan
5. Ceramah
6. Dialog
7. Pengiklanan pentadbiran/pengurusan
8. Kuliah/pengajaran

Dalam semua suasana dan urusan rasmi seperti yang dinyatakan di atas, kesantunan bahasa hendaklah berasaskan ragam bahasa rasmi, iaitu ragam bahasa yang secara maksimumnya mematuhi peraturan-peraturan bahasa, baik daripada sudut linguistik, sosiolinguistik mahupun pragmatiknya.

Daripada segi peraturan linguistik, bahasa yang digunakan hendaklah bahasa yang bertatabahasa (sempurna binaan kata dan ayatnya), tersusun wacananya, dan ditulis dengan berdasarkan sistem tulisan yang betul (jika dalam bahasa tulisan) dan disebut dengan betul (jika dalam bahasa lisan). Keterampilan menggunakan bahasa yang baik susunannya memerlukan pengguna bahasa mendalami aspek-aspek yang berkaitan dengan sistem bahasa.

Daripada segi sosiolinguistik, bahasa yang digunakan hendaklah menepati adab sopan yang berkaitan dengan sistem sosial. Sebagai contoh, penggunaan kata ganti dan kata panggilan hormat serta pangkat hendaklah menurut sistem yang telah disahkan oleh pihak berkuasa. Pemilihan kata, ungkapan, ayat dan gaya hendaklah disesuaikan dengan bentuk dan taraf sesuatu majlis atau urusan yang berkenaan.

Demikian juga daripada segi pragmatik, perlu difikirkan dan dirancang penggunaan bahasa yang sesuai dengan tujuan sesuatu majlis atau urusan itu agar tujuan dan hajat tercapai dan pada waktu yang sama kesantunan bahasa dapat terpelihara.

Suasana dan Urusan Tidak Rasmi

Berlawanan dengan suasana dan urusan rasmi, suasana dan urusan tidak rasmi berkaitan dengan sesuatu yang lebih bersifat persendirian, peribadi dan tidak berkaitan dengan kepentingan kerajaan dan institusi lain.

Antara suasana dan urusan tidak rasmi yang lazim termasuklah:
1. Perbualan (bersemuka atau melalui alat seperti telefon)
2. Perbincangan biasa
3. Jual beli biasa
4. Gurau senda
5. Catatan peribadi

Komunikasi dalam konteks yang tidak rasmi lazimnya tidak tertakluk terlalu ketat kepada peraturan linguistik, baik daripada segi binaan kata, ayat mahupun susunan wacananya. Yang dipentingkan dalam komunikasi sedemikian ialah kesalingfahaman, seringkali juga dengan bantuan bahasa badan (mimik muka dan gerak anggota badan yang tertentu). Misalnya, seseorang boleh sahaja menggunakan gerak tangannya untuk menunjukkan sesuatu tempat atau untuk menunjukkan maksud tidak mahu tanpa, kadang-kadang malahan tanpa kata-kata dalam suasana yang sangat tidak rasmi.

Namun demikian, peraturan daripada sudut sosiolinguistik dan pragmatik masih tetap dipentingkan dalam komuniksi yang tidak rasmi. Contohnya ialah penggunaan kata sapaan atau kata panggilan yang menepati sistem masyarakat, misalnya sistem kekeluargaan. Dalam hubungan kekeluargaan, baik dalam keluarga asas mahupun dalam keluarga besar, amat penting digunakan kata sapaan yang betul, sama ada yang berasaskan taraf atau kedudukan dalam keluarga, faktor usia atau faktor lain.

Demikian juga, walaupun jual beli di pasar atau di kedai makan bukan suasana dan urusan yang rasmi, masih tetap perlu dijaga penggunaan kata sapaan dan budi bahasa. Sekarang ini berlaku keadaan apabila anak gadis umumnya disapa dengan panggilan “kak long”, orang lelaki muda atau remaja disapa dengan panggilan “Mat” (atau “Yop” jika di Perak) dan orang lelaki dewasa yang belum kelihatan tua disapa dengan panggilan “abang”. Kini muncul sapaan seperti “brother” kepada lelaki secara umum. Sapaan sedemikian memang menggambarkan kemesraan daripada satu segi, tetapi belum tentu sesuai digunakan kepada orang yang tidak kita kenal atau tidak mempunyai hubungan yang akrab. Dalam keadaan itu, lebih baik digunakan sahaja sapaan yang neutral seperti “cik” atau “saudari”, “encik” dan “saudara”. Orang tua pula belum tentu sesuai disapa dengan panggilan “pakcik” atau “makcik” kerana ia mungkin tidak gembira disapa dengan cara itu. Maka “encik” dan “puan” lebih wajar digunakan untuk menyapa orang berumur yang tidak kita kenal atau yang tidak akrab hubungannya dengan kita.

Pernah terjadi seorang profesor wanita yang agak berumur disapa oleh seorang pelajar di kawasan kampus dengan panggilan “makcik” dan profesor itu berasa tersinggung sehingga komunikasi yang berlaku sesudahnya antara mahasiswa itu dengan beliau menjadi kurang mesra. Timbul juga cerita bagaimana seorang pegawai kanan yang disapa oleh seorang gadis yang menjual makanan di sebuah restoran dengan panggilan “abang” terus meninggalkan restoran itu kerana tidak selesa dengan sapaan begitu.

Panggilan nama kepada orang yang tidak atau kurang akrab dengan kita, sekalipun dalam suasana tidak rasmi, pun tidak manis, terutama jika orang itu lebih tua dan lebih tinggi kedudukannya daripada kita. Panggilan nama mungkin sesuai hanya dalam kalangan teman yang cukup akrab. Budaya Barat mungkin membenarkan keadaan sebegitu, tetapi budaya kita mempunyai asas norma yang lain. Kata pepatah Melayu, “Yang tua dihormati, yang muda disayangi”.

VII. Bahasa Melayu Tinggi: Sistem Bahasa

Dalam bahagian awal, telah dijelaskan bahawa salah satu asas bahasa Melayu tinggi dan kesantunan bahasa ialah peraturan linguistik. Seperti yang diterangkan, peraturan linguistik berkaitan dengan penggunaan bahasa daripada sudut tatabahasa (kata dan ayat), sebutan dan intonasi serta sistem ejaan dan tanda baca. Tatabahasa diperlukan dalam kedua-dua bentuk komunikasi, iaitu lisan dan tulisan. Sebutan dan intonasi pula diperlukan dalam komunikasi lisan, sementara sistem ejaan dan tanda baca diperlukan dalam komunikasi tulisan.

Dalam bahagian ini, tidak akan dihuraikan semua aspek yang berkaitan dengan peraturan linguistik itu secara mendalam. Buku dan makalah yang khusus menerangkan aspek tatabahasa, sistem sebutan, sistem ejaan dan tanda baca yang sedia ada di pasaran dapat dijadikan rujukan. Bahagian ini hanya memberikan panduan umum dan ringkas tentang peraturan linguistik yang perlu dikuasai oleh pengguna bahasa, terutama dalam konteks yang rasmi.

Tatabahasa

Tatabahasa menjadi unsur yang amat penting dalam mana-mana bahasa. Tidak ada orang yang mempelajari sesuatu bahasa tanpa mempelajari tatabahasa bahasa itu. Hal ini demikian kerana tatabahasa ialah acuan bahasa. Maksudnya, tatabahasa merupakan peraturan bagaimana kata dan ayat dibina dan seterusnya disusun dalam bentuk yang lebih besar, iaitu wacana.

Sepucuk surat, misalnya ialah sebuah wacana, iaitu binaan bahasa yang lengkap, kerana ada maklumat pengirim, penerima, perkara, kandungan surat dan sebagainya. Wacana dalam bentuk surat itu terdiri daripada kata-kata dan ayat-ayat. Demikian juga, ucapan ialah sebuah wacana yang terbentuk daripada sejumlah kata dan ayat. Setiap kata dan ayat yang terdapat dalam surat dan ucapan itu dibina atau dibentuk berdasarkan peratuan yang disebut tatabahasa.

Tidak ada orang yang dapat berkomunikasi dengan sempurna, baik secara lisan mahupun tulisan jika ia tidak menguasai tatabahasa. Contohnya, kata pembangunan yang menurut tatabahasa terdiri daripada kata dasar bangun dan apitan pem-…-an akan kehilangan makna apabila diubah menjadi kebangunan, kerana bentuk kata itu tidak menurut kaedah penerbitan kata dalam bahasa Melayu dan tidak pula mendukung makna yang ingin dinyatakan. Demikian juga, apabila ayat seperti Pengurusan yang cekap bertitik tolak daripada petugas yang cekap diubah menjadi Pengurusan bertitik tolak yang cekap daripada petugas yang cekap, komunikasi tidak akan berlaku kerana tidak ada makna yang timbul daripada penggunaan ayat seperti itu.

Kedua-dua contoh itu merupakan contoh ekstrem yang mungkin amat rendah kemungkinan penggunaannya oleh orang yang mempunyai asas berbahasa Melayu. Namun yang hendak ditegaskan ialah bahawa kesilapan penggunaan kata dan ayat yang tidak menurut tatabahasa dapat menjejaskan kelancaran komunikasi di samping mengurangkan mutu bahasa yang digunakan. Contohnya, penggunaan kata mengagumi dalam ayat Kebolehan orang itu amat mengagumi saya menimbulkan makna yang salah, iaitu ‘Kebolehan orang itu kagum kepada saya’ sedang yang dimaksudkan ialah ‘Kebolehan orang itu menjadikan saya kagum’. Oleh itu, bentuk kata yang betul ialah 'mengagumkan'. Sebagai rumusan, tatabahasa ialah peraturan bahasa yang berkaitan dengan penggunaan kata dan ayat yang betul.

Idea, pendapat dan perasaan yang hendak disampaikan oleh seseorang perlu disusun menurut peraturan tatabahasa, baik yang berkaitan dengan penggunan kata mahupun ayat. Pendengar atau pembaca hanya dapat memahami idea, pendapat dan perasaan orang lain melalui bahasa yang disusun berdasarkan peraturan yang telah menjadi asas bahasa masyarakat. Apabila pembicara atau penulis di satu pihak, dan pendengar atau pembacadi satu pihak lain menggunakan peraturan yang sama, barulah komunikasi dapat berlangsung.

Maka itu, orang yang tidak menguasai tatabahasa sesuatu bahasa asing tidak mungkin dapat memahami bahasa yang didengar atau dibacanya. Selain itu, penguasaan tatabahasa penting untuk memastikan bahawa bahasa yang kita gunakan kemas, teratur dan lancar serta lepas daripada kesilapan yang mengurangkan mutu bahasa yang kita gunakan. Di bawah ini dihuraikan secara ringkas kedua-dua aspek tatabahasa, iaitu binaan kata dan binaan ayat.

Binaan Kata

Binaan kata terbahagi kepada empat bentuk, iaitu:

1. kata tunggal (kata yang berdiri sendiri tanpa imbuhan atau unsur lain,
misalnya surat, memo, taklimat, hadir,masuk, cemerlang, lengkap) ;
2. kata terbitan (kata yang menerima imbuhan, misalnya ucapan,
perbincangan, memohon, bermesyuarat, terlaksana, kebaratan);
3. kata ganda (kata yang diulang penuh atau sebahagiannya, misalnya ketua-
ketua, undang-undang, jejari, tetikus ,huru-hara, surat-menyurat);
4. kata majmuk (gabungan lebih satu patah kata, misalnya temu duga, ibu
pejabat, , surat kuasa, kemas kini, ambil alih).

Penggunaan setiap bentuk kata itu ada peraturannya. Pengguna bahasa perlu memastikan bentuk kata tunggal yang betul dengan merujuk kepada kamus. Kata terbitan, iaitu kata berimbuhan pun ada peraturannya. Pengguna bahasa perlu merujuk kepada buku tatabahasa dan juga kamus untuk memastikan bentuk kata terbitan yang betul. Demikian juga kata ganda dan kata majmuk.

Penggunaan Kata Tunggal

Dalam ucapan atau tulisan, kadang-kadang dapat dikesan penggunaan kata tunggal yang salah seperti:

1. bistari (sepatutnya bestari)
2. biadap(sepatutnya biadab)
3. cekerwala (sepatutnya cakerawala)
4. cendikiawan (sepatutnya cendekiawan)
5. definasi (sepatutnya definisi)
6. dekat (sepatutnya dekad – dengan makna sepuluh tahun)
7. durhaka (sepatutnya derhaka)
8. gemetar (sepatutnya gementar)
9. istirehat (sepatutnya istirahat tetapi rehat bukan rahat)
10. kerinting (sepatutnya keriting)
11. lembab (sepatutnya lembap)
12. resmi (sepatutnya rasmi; resmi betul dengan makna ‘sifat’)

Semua kesilapan itu bukan semata-mata kesilapan ejaan, tetapi berkaitan dengan kesilapan bentuk kata tunggal. Pengguna bahasa dianjurkan senantiasa merujuk kepada kamus untuk memastikan bentuk yang betul.

Ada juga kesilapan tatabahasa yang berkaitan dengan penggunaan kata tunggal yang disebabkan salah memilih kata tugas, khususnya kata sendi nama. Pemilihan kata yang berkaitan dengan ketepatan makna tidak termasuk dalam kategori ini, tetapi berkaitan dengan kesantunan bahasa dalam aspek gaya pengungkapan dan akan dibincangkan dalam bab yang lain. Kesilapan yang lazim tentang penggunaan kata sendi nama ialah:

1. Kata sendi nama di dan pada – Kata sendi nama di sepatutnya digunakan untuk
Tempat, sementara kata sendi nama pada untuk masa. Contoh penggunaan kata
sendi nama di ialah:

a. Ketua Pengarah berada di luar kota.
b. Seminar itu diadakan di tingkat dua Menara DBP.
c. Kebanyakan kementerian terletak di Putrajaya.

Contoh penggunaan kata sendi nama pada pula ialah:

a. Bahasa Melayu telah mula menjadi bahasa pentadbiran pada abad ke-7, iaitu zaman kerajaan Sriwijaya (bukan …di abad ke-7….).

b. Pada saat kita menghadapi era globalisasi ini, jati diri perlu diperkuat (bukan Di saat…).

c. Kami mengalu-alukan kehadiran tuan-tuan dan puan-puan ke majlis pelancaran buku pada hari yang mulia ini (bukan …di hari yang mulia ini.)

2. Kata sendi dari dan daripada – Kata sendi nama dari digunakan untuk menunjukkan tempat dan waktu, sementara daripada untuk manusia, haiwan, asal atau sumber, kandungan dan perbandingan. Contoh penggunaan dari dan daripada ialah:

a. Rombongan pelabur itu dari Jepun (bukan daripada Jepun).

b. Dari tahun 1970 hingga kini, Universiti Kebangsaan Malaysia telah mengeluarkan puluhan ribu siswazah yang terlatih dalam bahasa Melayu (bukan daripada tahun 1970....).

c. Pegawai yang berdedikasi itu menerima Anugerah Khidmat Cemerlang daripada Ketua Setiausaha Negara (bukan …dari Ketua Setiausaha Negara).

d. Gembala di Zoo Negara itu menanggalkan rantai daripada leher harimau itu (bukan …daripada leher harimau itu).

e. Hasil kraftangan yang dijual itu dibuat daripada bahan-bahan alam setempat (bukan …dibuat dari bahan-bahan alamt setempat).

f. Kamus ekabahasa itu terdiri daripada 100,000 entri pokok dan subentri (bukan terdiri dari….).

c. Manusia lebih mulia daripada sebarang makhluk lain (bukan …dari sebarang makhluk lain.)

3. Kata sendi nama ke dan kepada – Kata sendi nama ke digunakan untuk menunjukkan arah, tempat dan masa. Kata sendi kepada pula digunakan untuk manusia, haiwan, unsur mujarad (abstrak), menyatakan pecahan dan menyatakan perubahan keadaan. Contoh penggunaan kata sendi nama ke ialah:

a. Pada musim dingin, burung-burung itu terbang ke bahagian selatan dunia.
b. Penambahbaikan perlu dilakukan dari waktu ke waktu.

Contoh penggunaan kata sendi nama kepada pula ialah:

a. Derma disampaikan kepada wakil rumah kebajikan itu oleh pengetua.

b. Berikanlah pertolongan walaupun kepada haiwan.

c. Media massa perlu mengurangkan penyiaran bahan yang mendedahkan masyarakat kepada unsur yang negatif.

d. Sesetengah universiti membahagi tahun pengajian kepada tiga semester.

e. Suhu diramalkan meningkat kepada 35 darjah celcius dalam tempoh sebulan ini.

Beberapa contoh kesilapan penggunaan kata sendi nama yang lain ialah:

a. Sejak dari dahulu lagi bangsa kita kaya dengan kesenian tradisi.
(Pilih salah satu, sama ada sejak atau dari)

b. Demi untuk mempertahankan negara, kami sanggup berjuang hingga ke
titisan darah yang akhir.

(Pilih salah satu, sama ada demi atau untuk)

c. Hingga ke akhir hayatnya pemimpin itu terus berbakti kepada rakyat.
(Pilih salah satu, sama ada hingga atau ke)

Penggunaan Kata Terbitan, Kata Ganda dan Kata Majmuk

Seperti yang telah dijelaskan, kata terbitan ialah kata yang terdiri daripada kata dasar dan imbuhan. Proses pembentukan kata kata terbitan dikenal sebagai proses pengimbuhan. Ada empat jenis imbuhan dalam bahasa Melayu, iaitu awalan (seperti ber-, me-, ter-, memper-), akhiran (seperti an, kan, i), apitan (seperti ber-…-kan, me-…-kan, me-…i, memper-…-kan, memper-…-i).

Kata terbitan lazimnya menimbulkan makna baru daripada kata dasar yang menerbitkannya. Contohnya, kata ajar dapat menimbulkan pelbagai bentuk baru yang mendukung pelbagai makna , iaitu berajar (berpendidikan, beradat), belajar (menuntut ilmu dll.), mengajar (memberi seseorang ilmu dan kemahiran), mengajari (mengajar seseorang), mengajarkan (memberikan ilmu atau kemahiran), ajaran (sesuatu yang diajarkan), pengajaran (perihal mengajar), pelajaran (sesuatu yang dipelajari), berpelajaran (mempunyai pelajaran atau pendidikan), pembelajaran (proses belajar), pengajar (orang yang mengajar), pelajar (orang yang belajar), mempelajari ( belajar sesuatu untuk mendalami sesuatu), terpelajar (berpendidikan tinggi, cerdik pandai), pemelajaran (proses mempelajari). Orang yang dapat memanfaatkan penggunaan kata terbitan dengan baik dengan sendirinya mempunyai kosa kata yang luas dan hal ini membantunya berkomunikasi dengan lebih berkesan.
Untuk menggunakan kata terbitan dengan baik, peraturan yang berkaitan dengan proses penerbitan kata itu perlu dikuasai dengan baik. Misalnya, pengguna bahasa perlu tahu bahawa untuk kata nama, akhiran yang patut digunakan ialah –an, bukan –kan. Oleh itu tidak akan terjadi kesilapan seperti:
a. Kebanyakkan laporan badan berkanun telah diterima. (sepatutnya kebanyakan, iaitu kata banyak menerima apitan ke-…-an)

b. Salah satu puuca kesesakkan jalan raya ialah pertambahan jumlah kendaraan. (sepatutnya kesesakan, iaitu kata sesak menerima apitan ke-…-an)

c. Pelantikkan Perdana Menteri dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong. (sepatutnya pelantikan, iaitu kata lantik menerima apitan pe-…-an)

d. Galakkan pelaburan seperti pengurangan cukai dapat menarik pelabur asing. (dengan makna ‘dorongan’ sepatutnya galakan, iaitu kata galak menerima akhiran –an)

Sebaliknya, kata kerja terbitan menerima akhiran –kan, bukan akhiran –an. Dengan memahami aturan itu, tidak timbul kesilapan seperti:

a. Rakyat meletakan harapan yang tinggi kepada Perdana Menteri. (Sepatutnya meletakkan, iaitu kata letak menerima apitan me-…-kan)

b. Peningkatan peruntukan kewangan untuk sektor pendidikan menunjukan bahawa bidang itu penting dalam pembentukan modal insan. (Sepatutnya menunjukkan, iaitu kata tunjuk menerima apitan me-…-kan)

c. Galakan pelajar mengisi waktu lapang dengan kegiatan yang berfaedah.
(Sepatutnya galakkan kerana kata itu ialah kata kerja, iaitu kata galak
menerima akhiran -kan)

Tentang penggunaan kata ganda pula, pengguna bahasa perlu memahami adanya kata ganda penuh, kata ganda separa dan kata ganda berentak. Kata ganda penuh terbahagai pula kepada kata ganda penuh tulen dan kata ganda penuh semu. Kata ganda penuh yang tulen terbit daripada penggandaan atau pengulangan satu kata dasar, misalnya murid-murid, jabatan-jabatan, dan negara-negara ialah kata ganda penuh yang tulen kerana terbit daripada kata dasar murid, jabatan dan negara. Kata ganda semu pula tidak digandakan daripada kata dasar, sebaliknya memang asalnya berbentuk ganda, misalnya anai-anai, jentik-jentik, kura-kura, labah-labah (tidak terbit daripada kata anai, jentik, kura, labah). Oleh itu, timbul istilah kata ganda semu, iaitu kata ganda yang bukan sebenarnya mngalami penggandaan (semu bererti bukan ‘yang sebenarnya’).

Kata ganda separa pula ialah kata ganda yang mengalami penggandaan sebahagian kata. Jenis yang pertama ialah yang merupakan kata dasar, misalnya bebola (daripada bola-bola), jejari (daripada jari-jari), lelangit (daripada langit-langit), tetikus (daripada tikus-tikus). Jenis yang kedua ialah yang merupakan kata terbitan, iaitu kata yang berimbuhan, misalnya berkejar-kejaran, kejar-mengejar, bahu-membahu, surat-menyurat.

Kata ganda berentak ialah kata ganda yang kebanyakannya mempunyai persamaan bunyi atau rima, baik di awal mahupun di hujung kata, misalnya bengkang-bengkok, hura-hara, kacau-bilau, remuk-redam, selok-belok, serba-serbi, tunggang-langgang.

Dalam hubungannya dengan kesantunan bahasa, pengguna bahasa perlu menitikberatkan penggunaan kata ganda yang tepat. Contohnya, kesilapan seperti yang berikut perlu dielakkan:

a. kata aluan (seharusnya kata alu-aluan kerana kata dasarnya ialah alu-alu)
b. tiap orang (seharusnya tiap-tiap orang atau setiap orang)
c. saudara mara (seharusnya saudara-mara)
d. serba serbi (seharusnya serba-serbi)

Ada juga penggunaan kata ganda yang salah dan menimbulkan makna yang tidak betul, misalnya dalam ayat Drama kejar-mengejar antara pihak polis dengan penjenayah itu berlaku selama satu jam. Penggunaan kata ganda kejar-mengejar dalam ayat itu bermakna bahawa polis dan penjenayah saling mengejar, iaitu bergilir-gilir mengejar antara satu dengan yang lain. Ayat itu menimbulkan makna yang tidak munasabah.

Akhirnya, kata majmuk ialah kata yang terdiri daripada dua kata atau lebih dan menimbulkan makna tertentu. Ada tiga jenis kata majmuk. Yang pertama ialah yang merupakan rangkaian kata bebas, misalnya alat tulis, gambar rajah, pejabat pos dan projek ekonomi. Yang kedua ialah yang berbentuk istilah khusus seperti garis pusat, kanta lekap, kertas kerja, lut sinar, pita suara dan susun lapis masyarakat. Yang akhir ialah yang mendukung makna kiasan, seperti anak emas, buah tangan, makan suap, pilih kasih, sakit hati dan sebagainya.

Masalah yang sering dihadapi oleh pengguna bahasa ialah pengejaan kata majmuk, sama ada dicantumkan atau dipisahkan. Panduan yang dapat dijadikan pegangan ialah bahawa semua kata majmuk dieja terpisah. Kekecualian, seperti yang disenaraikan dalam buku Tatabahasa Dewan Edisi Baharu, pada halaman 75, hanya berjumlah 15 patah kata sahaja, iaitu:

antarabangsa setiausaha
beritahu sukarela
bumiputera suruhanjaya
jawatankuasa tandatangan
kakitangan tanggungjawab
kerjasama warganegara
olahraga pesuruhjaya
matahari

Binaan Ayat
Dalam binaan ayat, pengguna bahasa perlu menguasai bagaimana ayat dibina daripada gabungan frasa-frasa. Contohnya, daripada dua frasa yang berikut:

a. pengesahan jawatan
b. diputuskan oleh Jawatankuasa Perjawatan

dapat dibina ayat yang berbunyi Pengesahan jawatan dipustuskan oleh Jawatankuasa Perjawatan. Frasa yang di hadapan, iaitu pengesahan jawatan disebut subjek sementara frasa di belakangnya, iaitu diputuskan oleh Jawatankuasa Perjawatan disebut predikat. Susunan ayat yang meletakkan subjek di hadapan dan predikat di belakang diseubut susunan ayat biasa. Sebagai kelainan gaya atau untuk menegaskan bahagian predikat, kebanyakan ayat dapat disongsangkan, iaitu predikat dikehadapankan dan subjek dikebelakangkan.

Dengan menguasai kaedah membina ayat, dapat dielakkan ayat yang salah strukturnya seperti:

a. Dengan hormatnya merujuk kepada surat tuan bertarikh 20 Jun 2005.
(Sepatunya Dengan hormatnya saya merujuk kepada surat tuan bertarikh 20
Jun 2005)

b. Dengan kerjasama tuan diharapkan akan lebih menjayakan program itu.
(Sepatutnya Kerjasama tuan diharapkan akan lebih menjayakan program
itu atau Dengan kerjasama tuan, diharapkan program itu akan lebih berjaya.)

c. Dengan kehadiran tuan mudah-mudahan akan lebih memeriahkan majlis
tersebut.
(Sepatutnya Kehadiran tuan mudah-mudahan akan lebih memeriahkan majlis
tersebutt atau Dengan kehadiran tuan, mudah-mudahan majlis tersebut akan
lebih meriah.)

d. Pendidikan yang menentukan masa hadapan pelajar.

(Sepatutnya Pendidikanlah yang menentukan masa hadapan pelajar.)

e. Sekiranya orang ramai sedar tentang bahaya pencemaran alam sudah tentu
lebih mudah dibendung.

(Sepatutnya Sekiranya orang ramai sedar tentang bahaya pencemaran alam,
masalah itu akan lebih dibendung.)
f. Oleh sebab pembangunan yang tidak dikawal menyebabkan keseimbangan
ekologi terjejas.
(Sepatutnya Pembangunan yang tidak dikawal menyebabkan keseimbangan
ekologi terjejas.)

g. Menurut Jabatan Alam Sekitar menyatakan bahawa semakin banyak sungai
yang tercemar.
(Sepatutnya Menurut Jabatan Alam Sekitar, semakin banyak sungai yang
tercemar atau Jabatan Alam Sekitar menyatakan bahawa semakin banyak
sungai yang tercemar.)

Semua kesalahan ayat di atas disebabkan oleh pembinaannya yang tidak menurut aturan tatabahasa, terutama dalam hal hubungan antara subjek dengan predikat. Selain itu, ada aspek-aspek lain tentang binaan ayat yang perlu dikuasai, seperti ragam ayat (ayat aktif dan ayat pasif), jenis ayat (ayat penyata, ayat tanya, ayat permintaan dan ayat seru) dan golongan ayat (ayat tunggal atau ayat majmuk). Kesemuanya itu ada aturan yang perlu difahami dan dipatuhi. Seperi yang saya sebut lebih awal, buku ini bukan buku tatabahasa dan oleh itu tidak dapat menghuraikan semua aspek itu. Pengguna bahasa perlu membaca buku atau tulisan lain tentang tatabahasa untuk mendalami semua aspek itu.

Selain kesilapan dalam binaan ayat, kesilapan yang kerap dilakukan oleh pengguna bahasa ialah yang berkaitan dengan binaan frasa. Sebelum ini telah dijelaskan bahawa frasa ialah unsur yang membina ayat. Kesilapan yang paling luas berkaitan dengan binaan frasa nama. Umumnya, frasa nama yang terdiri daripada lebih satu kata terbina dengan adanya kata nama sebagai unsur inti dan diikuti oleh kata lain. Misalnya frasa nama dewan besar terbina daripada kata nama dewan sebagai unsur inti, sementara penerangnya ialah kata adjektif besar. Dalam bahasa Melayu kita tidak mengatakan besar dewan sebagaimana halnya dalam bahasa tertentu yang lain. Dalam bahasa Inggeris, misalnya, memang penerang didahulukan sedang unsur intinya dikemudiankan, lalu terbina frasa nama main hall. Dalam bahasa Melayu, unsur yang penting, iaitu yang disebut unsur inti lazimnya diletakkan di hadapan.

Dengan memahami susunan kata yang membentuk frasa nama itu, maka dapatlah dielakkan penggunaan frasa nama yang salah seperti:

a. lain-lain perkara (sepatutnya perkara-perkara lain)
b. lain dokumen (sepatutnya dokumen lain)
c. tentatif program (sepatutnya program tentatif)
d. Anita Klinik (sepatutnya Klinik Anita)
e. Radio Ipoh FM (sepatutnya Radio FM Ipoh)
f. Sony perakam video (sepatutnya perakam video Sony)
g. Eksekutif Koc (sepatutnya Koc Eksekutif)
h. Nasi Kandar Restoran (sepatutnya Restoran Nasi Kandar)

Sebutan, Intonasi, Ejaan dan Tanda Baca

Aspek sebutan dan intonasi penting dalam komunikasi lisan, sementara ejaan dan tanda baca penting dalam komunikasi tulisan. Sebutan berkaitan dengan cara kita membunyikan sesuatu kata dan intonasi berkaitan dengan turun naik suara, sesuai dengan maksud yang hendak disampaikan. Ejaan yang betul melambangkan sebutan yang betul dan tanda baca sebahagiannya mewakili intonasi yang betul. Misalnya, tanda koma dan tanda noktah mewakili hentian dalam pertuturan.

Aspek sebutan, terutamanya, amat penting diberi perhatian kerana sebutan yang salah kerap kali menghilangkan makna sesuatu kata dan bahkan mungkin mengubah maknanya pula. Sebagai contoh sekadar untuk menunjukkan pentingnya sebutan yang betul, pengguna bahasa perlu menyedari adanya ejaan yang sama tetapi lain sebutannya disebabkan huruf ada yang berbunyi “e pepet” dan ada juga yang berbunyi “e taling”. Dalam kata seperti emak, lemak, menang, petang, senang dan tenang, bunyinya ialah “e pepet”. Dalam kata seperti cetak, dendang, gesek, hebat, lebar, dan tengok, bunyinya ialah “e taling”.

Masalah sering timbul apabila ada kata-kata yang dapat disebut dengan dua bunyi, iaitu “e pepet” dan “e taling” tetapi dengan makna yang lain. Contohnya ialah:

Bunyi pepet Bunyi taling
bela (pelihara) bela (mempertahankan)
dekan (sejenis ulat) dekan (ketua fakulti)
gelang (lingkaran) gelang (sejenis tumbuhan)
kepak (sayap) kepak (membengkokkan)
perang (pergaduhan besar) perang (sejenis warna)
rendang (sejenis makanan) rendang (rimbun)
sebak (sesak, hiba) sebak (kuak, selak)
selak (kancing pintu) selak (singkap)
semak (belukar) semak (periksa)
sepah (hampas) sepah (berserak)
sepak (tampar) sepak (tendang)

Sekiranya kelainan sebutan bagi kata-kata seperti di atas itu tidak dikuasai, maka akan timbul kekeliruan dan mungkin kelucuan. Sebagai contoh, jika seorang pengacara majlis mempersilakan dekan (ketua fakulti) untuk berucap tetapi dengan sebutan “e pepet”, maka yang diundang berucap bukan ketua fakulti tetapi sejenis ulat! Jika dekan atau ketua fakulti itu tahu akan makna kata dekan yang disebut dengan “e pepet” itu, tentu ia tidak tampil ke pentas untuk memberikan ucapan kerana bukan dia yang diminta berucap.

Pernah juga saya mendengar seorang pengacara majlis mengundang Rektor sebuah universiti berucap tetapi yang disebutnya ialah reaktor. Tentu lain sama sekali makna reaktor daripada rektor. Rektor ialah pemimpin universiti (setaraf dengan Naib Canselor) sedang reaktor ialah sumber pembangkit tenaga seperti atom dan nuklear.
Dalam hal lain pula, amat penting pengguna bahasa, khususnya dalam komunikasi rasmi, sedapat mungkin mengelakkan penggunaan kata menurut sebutan dialek yang asing atau tidak difahami khalayak. Sebagai contoh sahaja, orang dari utara Semenanjung Malaysia tidak sepatunya menuturkan kata ayak bagi kata air atau pikiak bagi kata fikir kerana khalayak yang tidak berasal dari utara tidak memahaminya. Pernah terjadi seorang tokoh yang di dalam dialeknya tidak ada atau amat jarang digunakan bunyi “e pepet” menyebut kata pentadbiran dalam ucapan rasminya dengan mengucapkan bunyi “e pepet” dalam kata itu sebagai bunyi [a]. Maka timbullah bunyi yang tidak enak didengar pada sebahagian kata itu. Hal ini secara langsung mengganggu komunikasi yang berlangsung dan sekali gus memberikan imej yang kurang baik kepada tokoh itu.

Tentang ejaan dan tanda baca, kedua-duanya penting dikuasai dalam komunikasi tulisan untuk memastikan keselarasan dan juga makna yang tepat. Dalam sistem ejaan Rumi, ada aturan keselarasan vokal, kekecualiannya, pengejaan kata sendi nama dan awalan di dan ke, pengejaan kata terbitan, kata ganda dan kata majmuk. Pengguna bahasa perlu menguasai aturan tersebut dengan merujuk kepada kamus dan daftar ejaan.

Kembara Bahasa
25 Oktober 2012/9 Zulhijah 1433

Penerapan Bahasa Melayu Tinggi dalam Bidang Pendidikan (Bahagian 1)


PENERAPAN BAHASA MELAYU TINGGI
DALAM BIDANG PENDIDIKAN

Awang Sariyan, Ph.D
Ketua Pengarah
Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia
Profesor Kehormat Pendidikan Bahasa dan Kebudayaan
Universiti Pengajian Asing Beijing (BFSU)

[Kertas kerja untuk Seminar Pemantapan Pengajaran dan Pemelajaran Bahasa Melayu, anjuran Persatuan Pendidikan Bahasa Melayu Malaysia, Jabatan Pendidikan Sarawak dan Dewan Bahasa dan Pustaka di Hotel Merdeka Palace, Kuching, Sarawak pada 16-18 September 2012]

BAHAGIAN (1)

I. Bahasa Melayu Tinggi sebagai Tonggak Tamadun

Pertumbuhan dan perkembangan kebudayaan sesuatu bangsa turut ditandai oleh pertumbuhan dan perkembangan bahasanya. Kebudayaan sesuatu bangsa dapat meningkat menjadi tamadun apabila wujud peningkatan adab dalam semua sudut kehidupan bangsa itu, baik dalam sistem politik dan pentadbiran, ekonomi, pendidikan, undang-undang, sosial dan yang lain. Peningkatan adab bangsa itu diwakili oleh sistem bahasanya yang memancarkan ketinggian dan kehalusan budi (akal). Maka itu, tamadun dikenal juga sebagai peradaban yang berakar daripada kata adab.
Ragam bahasa tinggi mewakili tamadun atau peradaban sesuatu bangsa. Ragam itulah yang menjadi wasilah segala sistem kehidupan yang telah sampai pada tahap ketinggian dan kehalusan budi. Ragam bahasa basahan masih tetap wujud untuk keperluan perhubungan mudah seperti perbualan sehari-hari, gurau-senda dan konteks tidak rasmi yang lain.
Dalam semua tamadun, wujud ragam bahasa tinggi. Contohnya, dalam tamadun Arab wujud ragam fusha di sisi ragam ammi dan dalam bahasa Mandarin wujud ragam Putonghua. Dalam bahasa Melayu, ragam bahasa yang digunakan untuk mengungkapkan karya ilmu, pensejarahan atau historiografi, ketatanegaraan, undang-undang, dokumen diplomasi dan susastera dalam zaman Kesultanan Melayu ialah bahasa Melayu tinggi. Ertinya konsep dan bentuk bahasa Melayu tinggi telah wujud sejak ratusan tahun lalu, terutama sebagai kesan langsung pengislaman alam Melayu.

II. Bahasa Melayu Tinggi dan Kesantunan Bahasa

Bahasa tinggi berkaitan rapat dengan bahasa yang santun. Kata santun diberi makna dalam Kamus Dewan sebagai ‘halus (budi bahasa atau budi pekerti), beradab, sopan’. Oleh itu, kata kesantunan berkaitan dengan sifat kehalusan budi bahasa atau budi pekerti dan kesopanan.

Kesantunan bahasa, secara umum, merujuk kepada penggunaan bahasa yang baik, sopan, beradab, memancarkan peribadi mulia dan menunjukkan penghormatan kepada pihak yang menjadi teman bicaranya. Kesantunan bahasa menjadi salah satu ciri penting bangsa yang bertamadun.

Bahasa Melayu sebagai bahasa yang telah wujud sejak sekurang-kurangnya dua alaf atau dua ribu tahun lalu telah mempunyai tradisi perbahasaan yang halus dan memancarkan adab bangsa Melayu. Asasnya menjadi lebih teguh dan jelas apabila agama Islam disebarkan di Kepuluan Melayu dan menjadi mercu tanda kebangkitan tamadun baharu yang bersendikan tauhid dan syariat sempurna Din al-Islam. Akhlak Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Sayidatina Aisyah r.a sebagai akhlak al-Qur’an menjadi asas akhlak dan kesantunan umat Melayu Islam, termasuk dalam aspek kesantunan bahasa.

Dalam zaman Kesultanan Melayu di pelbagai kawasan di alam Melayu, muncul pusat-pusat tamadun Melayu yang menghasilkan beberapa banyak ulama, pemikir dan pujangga dan karya-karya dalam pelbagai bentuk (prosa dan puisi) dan bidang (akidah, fekah, tasawuf, ketatanegaraan, historiografi, undang-undang, dokumen diplomatik dan susastera). Di dalamnya terpancar kesantunan atau adab bangsa yang disampaikan melalui bahasa Melayu yang santun. Gurindam 12 karya Raja Ali Haji yang penuh dengan panduan dan nasihat, umpamnya, cukup jelas memancarkan kesantunan bahasa dan sekali gus adab bangsa.

Apabila kemudian bahasa Melayu menjadi bahasa negara (sebagai bahasa kebangsaan Malaysia, Indonesia, Brunei Darussalam dan Singapura) dan menjadi bahasa bahasa rasmi (Malaysia, Indonesia, Brunei Darussalam dan salah satu bahasa rasmi Singapura), maka keperluan untuk memberikan perhatian kepada bahasa Melayu tinggi dan kesantunan bahasa Melayu menjadi lebih penting kerana kedudukan dan peranannya sebagai salah satu teras jati diri dan citra negara. Tradisi yang mantap dalam pengungkapan dan penggunaan bahasa yang santun sejak sekian lama itu perlu dipertahankan dan ditingkatkan, lebih-lebih lagi dalam zaman globalisasi yang menuntut kewaspadaan yang lebih dalam rangka melestarikan sifat dan ciri kebangsaan kita, di sisi memanfaatkan unsur-unsur positif tamadun lain.

Dalam usaha kerajaan membentuk warganegara yang berjati diri, memelihara adab dan kesopanan serta bertamadun tinggi, kesantunan bahasa sewajarnya menjadi amalan seluruh warganegara, daripada kalangan pemimpin hingga rakyat biasa. Dengan demikian, rakyat dan negara bukan sahaja maju dalam pembangunan ekonomi, sains dan teknologi, tetapi akan dihormati sebagai bangsa yang mempunyai maruah dan keperibadian yang tinggi.

Di Malaysia, Kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni yang dilancarkan oleh kerajaan pada awal tahun 2005 merupakan usaha yang penting untuk memupuk kesedaran dan penghayatan seluruh warganegara terhadap pentingnya budi bahasa dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara, bahkan dalam hubungan manusia sejagat. Kesantunan bahasa merupakan salah satu aspek penting kempen budi bahasa dan nilai-nilai murni itu.

Lama sebelum itu, iaitu pada tahun 1987, secara rasmi Falsafah Pendidikan Kebangsaan telah memasukkan nilai-nilai murni sebagai salah satu teras dasar dan sistem pendidikan, khususnya melalui program penyerapan nilai-nilai murni dalam pendidikan, iaitu Nilai-nilai Murni Merentas Kurikulum. Dalam kaitannya dengan peranan bahasa, dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan itu telah ditegaskan gagasan Bahasa Melayu Merentas Kurikulum, dengan pengertian pembudayaan bahasa Melayu tinggi dan kesantunan bahasa melalui sistem pendidikan negara.

III. Peraturan Bahasa sebagai Asas Bahasa Melayu Tinggi

Bahasa Melayu tinggi dan kesantunan bahasa diukur dengan berdasarkan kepatuhan pengguna bahasa kepada peraturan yang terdapat dalam bahasa sesuatu masyarakat. Daripada satu sisi, kepatuhan kepada sistem bahasa merujuk kepada sistem bahasa yang terdapat dalam bahasa masyarakatnya sendiri. Daripada sisi yang lain, kepatuhan kepada peraturan atau sistem bahasa berkaitan juga dengan kepatuhan kepada sistem bahasa lain apabila kita berhubung dengan menggunakan bahasa asing tersebut, terutama kepada anggota masyarkat bahasa itu. Oleh itu, di samping menegaskan peraturan atau sistem bahasa kepada pelajar penutur jati bahasa yang kita ajarkan, amat penting dititikberatkan peraturan atau sistem bahasa kita kepada pelajar asing yang mungkin tidak memahami latar budaya bahasa kita atau disebabkan kelainan sisi-sisi tertentu yang terdapat dalam budaya mereka berbanding dengan budaya kita.

Sebahagian peraturan bahasa bersifat sejagat, seperti penggunaan panggilan hormat, kata sapaan kekeluargaan dan ungkapan bertatasusila. Ada sebahagiannya pula yang bersifat khusus bagi sesuatu masyarakat atau bangsa, seperti bentuk-bentuk panggilan hormat menurut sistem susun lapis masyarakat, protokol dalam pentadbiran atau adat istiadat dan sistem kekeluargaan dalam masyarakat berkenaan. Misalnya, walaupun bangsa Melayu dan bangsa Inggeris sama-sama mempunyai sistem protokol pentadbiran dan adat istiadat masing-masing, bentuk khusus kata panggilan hormatnya tidaklah sama disebabkan kelainan latar belakang kebudayaan.

Asmah Haji Omar dalam bukunya Setia dan Santun Bahasa (2002), merumuskan bahawa ada tiga jenis peraturan penggunaan bahasa, iaitu:

1. peraturan linguistik,
2. peraturan sosiolinguistik, dan
3. peraturan pragmatik.

Kepatuhan kepada ketiga-tiga peraturan itu secara bersepadu menjadi asas kesantunan bahasa. Dengan perkataan lain, orang yang santun bahasanya ialah orang yang sedapat mungkin berbahasa dengan menitikberatkan ketiga-tiga peraturan bahasa itu.

Peraturan Linguistik

Peraturan lingusitik berkaitan dengan peraturan penggunaan bahasa yang menitikberatkan ketepatan bentuk dan binaan bahasa. Aspek utama yang mewakili bentuk dan binaan sesuatu bahasa ialah sebutan, intonasi, ejaan, kosa kata dan tatabahasa. Kepatuhan kepada peraturan linguistik lebih ketara dan ditekankan dalam penggunaan bahasa yang berkaitan dengan urusan dan majlis rasmi, berbanding dengan urusan tidak rasmi.

Sekurang-kurangnya ada dua faktor mengapa peraturan linguistik perlu diberi perhatian dalam urusan dan majlis rasmi. Yang pertama ialah untuk menjaga kesempurnaan perjalanan urusan atau majlis yang bergantung pada kejelasan mesej yang disampaikan. Yang kedua ialah untuk memastikan bahawa semua yang hadir atau terlibat dengan urusan atau majlis rasmi itu dapat saling memahami pada tahap yang sebaik-baiknya dan tidak mengalami jurang komunikasi disebabkan kelainan dialek atau ragam bahasa yang digunakan oleh sesuatu pihak.

Dalam urusan dan majlis yang tidak rasmi, lazimnya anggota kelompok terdiri daripada individu-individu yang akrab dan telah saling kenal. Dalam konteks sedemikian, keperluan kepada peraturan linguistik yang formal agak minimum. Misalnya komunikasi boleh berlangsung dalam dialek yang sama-sama difahami atau dalam ragam bahasa basahan yang tidak begitu tertakluk kepada peraturan bahasa yang formal, seperti banyaknya ayat penggalan (ayat yang tidak lengkap subjek dan predikatnya) atau kata-kata yang tidak lengkap imbuhannya atau kata yang lain sama sekali daripada kata dalam penggunaan yang rasmi (antara contoh yang paling ketara termasuklah penggunaan kata dekat bagi kepada dan di).

Peraturan Sosiolinguistik

Peraturan bahasa yang kedua, iaitu peraturan sosiolinguistik pula berkaitan dengan penggunaan bahasa yang menitikberatkan hubungan sosial antara pembicara dengan pendengar (dalam konteks komunikasi lisan) dan antara penulis dengan pembaca (dalam konteks komunikasi tulisan). Contohnya ialah penggunaan kata sapaan yang betul, sama ada kata ganti diri mahupun kata panggilan hormat, yang ditentukan menurut sistem dalam masyarakat. Secara lebih luas, penggunaan bahasa perlu disesuaikan dengan konteks dalam masyarakat, baik disebabkan oleh faktor hubungan antara pembicara dengar khalayak, faktor suasana (misalnya antara rasmi dengan tidak rasmi), faktor bidang yang tertentu mahupun faktor media (lisan atau tulisan).

Dalam pelaksanaannya, kedua-dua suasana berbahasa, iaitu rasmi dan tidak rasmi memerlukan kepatuhan kepada peraturan sosiolinguistik. Sebagai contoh, dalam urusan dan majlis rasmi di Malaysia, perlu dipatuhi penggunaan kata sapaan rasmi yang betul. Penggunaan gelar (seperti Tun, Tan Sri, Dato’, Dato’ Seri dan yang lain), panggilan hormat (seperti Yang Amat Berhormat, Yang Berhormat, Yang Amat Berbahagia, Yang Berbahagia, Yang Berhormat, Yang Berhormat Mulia dan sebagainya) serta kata ganti nama diri (seperti tuan dan puan) amat penting diberi perhatian sebagai salah satu adab atau unsur kesantunan bahasa.

Dalam suasana tidak rasmi, masih diperlukan penggunaan gelar dan kata ganti nama diri yang menepati kedudukan seseorang dan juga hubungannya dengan orang yang berbicara. Sebagai contoh, orang yang bergelar tetap perlu disapa dengan gelar yang dimilikinya. Menjadi tanggungjawab pembicara menyapanya dengan gelar itu walaupun ia mungkin tidak mengharapkannya. Demikian juga, kata sapaan yang mewakili sistem kekeluargaan perlu digunakan dengan betul sebagai tanda hormat. Seorang anak saudara yang seusia atau lebih tua daripada ayah saudara atau ibu saudaranya tetap perlu menyapa ayah saudara atau ibu saudaranya itu dengan panggilan pak cik atau mak cik atau dengan panggilan lain yang setara dengannya, misalnya pak ngah, pak su, mak andak dan sebagainya.

Tidak peka atau kurang peka akan hal itu menyebabkan wujud kecenderungan sesetengah orang memanggil semua orang yang agak berumur dengan panggilan pakcik atau makcik, hatta kepada profesor atau pensyarahnya, atau abang kepada semua pelanggan lelaki yang berurus niaga dengannya. Gadis pula sering menjadi mangsa dengan panggilan kak long. Dalam hal ini, perlu dibedakan panggilan yang berasaskan kekerabatan dan kemesraan daripada panggilan yang berasaskan hubungan neutral dan rasmi.

Peraturan Pragmatik

Yang ketiga, iaitu peraturan pragmatik menekankan penggunaan bahasa yang perlu disesuaikan dengan tujuan komunikasi. Peraturan ini berkaitan dengan penggunaan bahasa yang sopan dan berkesan. Maka itu, dalam perundingan, jual beli, ceramah, pengajaran, dialog dan sebagainya diperlukan penguasaan peraturan pragmatik supaya tujuan atau hajat kita tercapai dan pada waktu yang sama kesopanan bahasa terpelihara dan kita tidak menyakiti perasaan orang lain. Dalam bidang ilmiah, ilmu yang berkaitan dengan peraturan pragmatik disebut retorik. Antara yang dipentingkan termasuklah pemilihan kata, ungkapan dan wacana yang sesuai dengan tujuan pembicara, latar belakang khalayak, bidang dan suasana. Dalam wacana, misalnya, dapat dipilih wacana jenis penceritaan, pemaparan, penghujahan dan pembujukan.

Tujuan dapat dikaitkan dengan bentuk wacana, iaitu sama ada wacana informatif, wacana khas (seperti majlis perasmian, majlis perpisahan dan yang lain) atau hiburan. Latar belakang khalayak berkaitan dengan ciri-ciri demografi seperti bangsa atau etnik, agama, budaya, usia, jantina, pendidikan dan kedudukan sosioekonomi. Bidang pula berkaitan dengan kekhususan topik yang dibicarakan, seperti bidang ilmiah, bidang industri, bidang pemasaran dan yang lain. Suasana berkaitan dengan pelbagai keadaan seperti tempat berlangsungnya komunikasi, tempoh atau jangka masa, kemudahan yang ada dan kesediaan khalayak.

IV. Bahasa Melayu Tinggi daripada Sudut Agama

Bahasa, menurut huraian ulama’ Islam dan juga ahli bahasa aliran mentalisme, berkaitan rapat dengan akal. Manusia disebut haiwan natiq atau rational animal disebabkan adanya dua unsur itu, iaitu akal dan bahasa pada dirinya. Sifat natiq dan rasional dikaitkan dengan ciri manusia sebagai haiwan yang berakal dan berbahasa. Kedua-dua sifat itu menjadikan manusia makhluk yang paling istimewa dan sempurna kejadiannya di dunia ini (al-‘Alaq: 4). Sebagai makhluk yang istimewa dan mulia, manusia wajib menjaga kemuliaan akhlak dan salah satu tanda kemuliaan akhlak manusia ialah kesantunan bahasanya.

Bahasa merupakan wahana atau saluran akal sebagai alat berfikir dalam bentuk dua fungsi. Pertama, bahasa menjadi wahana atau saluran akal melahirkan idea, fikiran dan bahkan perasaan seseorang sehingga dapat disampaikan kepada pihak lain. Kedua, bahasa menjadi wahana yang menerima dan menafsirkan idea, fikiran atau perasaan daripada pihak lain sehingga penerima idea, fikiran atau perasaan itu faham dan mungkin perlu memberikan gerak balas atau respons.

Peranan bahasa sebagai penzahir dan penerima mesej itulah yang memungkinkan manusia dapat berkomunikasi untuk mewujudkan kesalingfahaman, persefahaman, perpaduan dan kerjasama ke arah kebaikan. Dengan berlangsungnya semua keadaan itu, manusia dapat membentuk cara hidup yang dikenal sebagai kebudayaan dan pada tingkat yang tinggi disebut tamadun atau peradaban.

Peranan bahasa dalam pembentukan kebudayaan dan tamadun manusia dapat diringkaskan seperti yang berikut:

1. Bahasa menjadi alat pemerolehan dan pengembangan ilmu - Dalam Surah al-Baqarah, ayat 31, dijelaskan bagaimana Allah mengajar Adam tentang nama sekalian ciptaan dan kejadian di alam, iaitu sebagai bukti bahawa pemerolehan dan pengembangan ilmu memerlukan bahasa sebagai alatnya.

2. Bahasa menjadi alat pendidikan dan pemasyarakatan (sosialisasi) – Pembentukan sahsiah yang bermula dengan institusi keluarga, rakan sebaya, institusi pendidikan formal (seperti sekolah), media massa dan masyarakat berlangsung dengan menggunakan bahasa sebagai alat penyaluran sistem kepercayaan, sistem nilai, adat dan kebudayaan keseluruhannya.

3. Bahasa menjadi tali pengikat persefahaman dan perpaduan – Baik dalam kalangan sesama bangsa, kaum atau suku mahupun dalam kalangan antara bangsa, kaum dan suku yang berlainan, bahasa menjadi alat yang membentuk persefahaman dan perpaduan manusia (al-Hujurat: 13).

Oleh sebab demikian besarnya peranan bahasa dalam pembentukan kebudayaan dan tamadun manusia, maka kesantunan bahasa menjadi perkara yang amat penting difahami dan diamalkan oleh setiap anggota masyarakat.

Prinsip utama agama Islam dalam kaitannya dengan kesantunan bahasa berhubungan secara langsung dengan dua peranan utama manusia di muka bumi, iaitu:

1. Menyerukan kebaikan (amar ma`ruf)
2. Mencegah kemungkaran (nahi mungkar)

Dalam melaksanakan kedua-dua peranan itu, kesantunan bahasa diperlukan agar mesej (ajaran, nasihat, teguran dan sebagainya) yang disampaikan dapat diterima dengan baik dan meninggalkan kesan yang diharapkan serta tidak menyebabkan kemarahan, kebencian atau permusuhan. Antara asas prinsip itu ialah ayat al-Qur’an yang berbunyi “Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, semoga ia beringat.” (Taha: 44) dan “Allah tidak suka akan perkataan-perkataan jahat yang keluar daripada mulut seseorang.” (al-Nisa’: 148).

Dalam konteks yang lebih rinci, agama Islam menekankan kesantunan bahasa dalam hubungan antara kita dengan ibu bapa, jiran tetangga dan manusia keseluruhannya tanpa mengira usia dan taraf sosial. Penekanan ini berkaitan dengan keperluan manusia memelihara hubungan sesama manusia (hablum minannnas) di samping hubungannya dengan Tuhan (hablum minallah). Orang yang baik ialah orang yang bukan sahaja menjaga hubungannya dengan Tuhan bahkan menjaga hubungannya dengan sesama manusia. Dalam konteks inilah kesantunan bahasa amat penting diberi perhatian dalam kehidupan bermasyarakat.

V. Bahasa Melayu Tinggi sebagai Warisan Kebudayaan Bangsa

Kesantunan bahasa dalam masyarakat Melayu, iaitu masyarakat yang menjadi teras penghuni di Kepulauan Melayu sejak dua alaf lalu, merupakan salah satu warisan yang penting dalam pembentukan keperibadian bangsa hingga kini. Di Malaysia, Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang dirumuskan pada tahun 1971 meletakkan kebudayaan asal rantau ini, iaitu kebudayaan Melayu sebagai asas yang pertama. Salah satu aspek kebudayaan Melayu yang menjadi asas kebudayaan kebangsaan negara ini ialah kesantunan bahasa yang menggambarkan kehalusan budi, pemikiran, falsafah, sistem nilai, sistem masyarakat dan seluruh aspek kebudayaan itu sendiri.

Sekian banyak unsur yang menggambarkan wujudnya kesantunan bahasa dirakamkan dalam pelbagai karya persuratan (seperti hikayat, syair, pantun, gurindam dan seloka) dan tradisi lisan (seperti pelipur lara, wayang kulit dan menora). Salah satu bentuk bahasa yang banyak mengungkapkan kesantunan bahasa ialah peribahasa, sama ada dalam bentuk yang dikenal sebagai simpulan bahasa, bidalan, perumpamaan, pepatah, perbilangan mahupun kata hikmat.

Kewujudan ribuan karya dalam pelbagai bidang (agama, ketatenegaraan, undang-undang, pensejarahan, seni sastera, warkah, perjanjian dan sebagainya) sejak ratusan tahun dalam persuratan Melayu menjadi bukti wujudnya bahasa Melayu tinggi sejak lama dahulu. Jika dinilai dengan berasaskan tiga jenis peraturan bahasa yang telah disebut dalam bahagian Peraturan Bahasa sebagai Asas Bahasa Melayu Tinggi, semua karya itu disusun dalam bahasa yang berperaturan, baik daripada sudut peraturan lingusitik, peraturan sosiolinguistik mahupun peraturan pragmatiknya.

Demikian juga, telah wujud adat istiadat dan pelbagai bentuk majlis dan upacara dalam kehidupan masyarakat Melayu sejak zaman-berzaman sebagaimana yang digambarkan dalam karya-karya persuratan seperti dalam Sejarah Melayu. Pelbagai adat istiadat, majlis dan upacara itu telah berlangsung dengan berasaskan tatacara dan peraturan tertentu, termasuk tatacara dan peraturan yang berkaitan dengan kesantunan bahasa. Huraian dan dialog yang terdapat dalam pelbagai karya persuratan Melayu lama itu dengan jelas menggambarkan penggunaan bahasa yang santun dan beradab.

Sebahagian bentuk kesantunan bahasa itu kita warisi hingga kini dan masih digunakan sebagai sebahagian unsur tatacara dalam majlis, upacara dan urusan. Antara unsur kesantunan bahasa yang kita warisi termasuklah penggunaan kata ganti nama diri, gelar, panggilan hormat dan bentuk bahasa yang rasmi dalam pentadbiran, undang-undang, pendidikan dan majlis serta upacara rasmi. Perkara ini saya huraikan dalam Bab 4 buku Santun Berbahasa (2007).

Gambaran tentang pentingnya kesantunan bahasa dalam kehidupan bermasyarakat, seperti yang telah disebut sebelum ini, terdapat pada peribahasa yang diungkapkan sejak zaman-berzaman. Antara peribahasa yang menekankan pentingnya setiap orang menjaga kesantunan bahasa ketika berkomunikasi termasuklah:

1. Bahasa jiwa bangsa.
2. Bahasa menunjukkan bangsa.
3. Bahasa tidak dijual beli (atau bahasa tidak berjual beli).
4. Berbunyi bahasa diketahuilah bangsa.
5. Kerana pulut santan binasa; kerana mulut badan binasa.
6. Bercakap siang pandang-pandang; bercakap malam dengar-dengar.
7. Terlajak perahu dapat ditarik; terlajak kata buruk padahnya.
8. Kerbau dipegang pada talinya; manusia dipegang pada janjinya.
9. Kata dikota
10. Orang berbudi kita berbahasa; orang memberi kita merasa.

Dalam bentuk pantun pula, diungkapkan pentingnya kesantunan bahasa seperti pada contoh yang berikut:

1. Tingkap papan kayu bersegi,
Sampan sakat di Pulau Angsa;
Indah tampan kerana budi,
Tinggi bangsa kerana bahasa

2. Baik-baik api diberi,
Kalau padam tidak berjelak;
Jaga-jaga memelihara diri,
Lazimkan budi bahasa yang baik.

3. Anak Cina menimbang madat,
Dari Makasar langsung ke Deli;
Hidup di dunia biar beradat,
Bahasa tidak berjual beli.

4. Pohon pandan pohon berduri,
Dipandang amat sedap;
Hidup di dunia bahasa dan budi,
Serta juga tertib beradab.

5. Saya tidak menanam nanas,
Tanam kepaya di dalam padi;
Saya tidak memandang emas,
Budi bahasa yang saya cari.

6. Perigi dikatakan telaga,
Tempat budak menumpang mandi;
Emas merah ada berharga,
Budi bahasa bernilai abadi.

7. Makan sirih berpinang tidak,
Pinang ada dari Melaka;
Makan sirih mengenyang tidak,
Sebab budi dengan bahasa.

8. Pucuk pauh sedang terjela,
Penjolok bunga gelundi;
Agar jauh silang sengketa,
Perhalus bahasa dan budi.

9. Yang kurik kundi,
Yang merah saga;
Yang canti budi,
Yang indah bahasa

10. Dari Silaing ke Sijudah,
Japa melilit Tanjung Jati,
Buah jerami bergantungan;
Baju digunting kalau tak sudah.

Kembara Bahasa
25 Oktobwer 2012/9 Zulhijah 1433




Kata termulai kalau tak jadi,
Seksalah alam menanggungkan.

Nilai ibadah korban

Nilai korban dalam syariat tidak terletak semata-mata pada penyertaan dalam mengorbankan haiwan tertentu, sebahagian atau seluruhnya, kerana ibadah itu lebih merupakan lambang pengorbanan menurut sejarah anbiya. Nilai korban yang sebenarnya terletak lebih pada penghayatan dan pelaksanaan segala yang ditetapkan Allah dalam segala cabang kehidupan. Salam Aidiadha, mohom maaf zahir batin.

Kembara Bahasa
25 Oktober 2012/9Zulhijah 1433

Monday, October 22, 2012

Tazkirah kepada diri

Tazkirah kepada diri: Usahlah sekali-kali dikau kecewa apabila kebenaran dan sesuatu yang hak yang dikau sampaikan tidak dapat mengubah seseorang, kerana hanya Allah yang dapat mengubah hamba-Nya, sementara kita hanya berusaha sahaja. Maka teruslah berusaha.

Sunday, October 21, 2012

Warisan Melayu Semakin Terhakis

Warisan Melayu semakin terhakis

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
utusanmelaka@utusan.com.my

MELAKA 18 Okt. - Kecintaan dan penghargaan terhadap warisan negara dalam kalangan orang Melayu di negara ini dilihat semakin terhakis disebabkan sikap mudah tertawan dengan pengaruh globalisasi.

Sehubungan itu, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr. Awang Sariyan berkata, kaedah tertentu seperti mendokumentasikan warisan dalam bentuk pembukuan atau digital perlu dilakukan bagi memastikan warisan bangsa kekal terpelihara pada masa depan.

"Dalam keadaan kita dirempuh globalisasi, sebahagian kita seakan-akan terpukau sehingga memudahkan kita menjadi bangsa yang mudah ditawan.

"Dalam usaha melestarikan semangat warisan budaya, pendokumentasian dalam bentuk buku dilihat kaedah terbaik apatah lagi dalam bentuk digital atau elektronik yang lebih mesra dengan generasi muda," katanya.

Beliau berucap merasmikan Seminar Pantun Melayu Serumpun, Temasya Pantun Melayu Serumpun, sempena Bulan Bahasa Kebangsaan 2012 peringkat negeri dan Sambutan Melaka 750 tahun di Auditorium Masjid Al-Azim, di sini hari ini.

Program yang mendapat kerjasama Gabungan Penulis Nasional (Gapena) turut dihadiri Pengerusi Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA), Prof. Datuk Dr. Abdul Latiff Abu Bakar dan Ketua Majlis Perapatan Adat, Lembaga Adat Melayu Riau, Indonesia, Datuk Dr. Tenas Effendy.

Seminar yang dihadiri kira-kira 200 peserta itu bertujuan memperkenal, memberi pendedahan serta menghidupkan semula dan menghayati warisan Melayu kepada generasi muda khususnya para pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT).

Sebanyak lima kertas kerja dibentangkan pada seminar itu oleh pakar dalam bidang tersebut termasuk Timbalan Dekan Pengajian Siswazah Fakulti Bahasa, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perak, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Rosli Saludin.

Seminar itu turut disertai pakar dari Indonesia antaranya Datuk Dr. Abdul Malik dari Universitas Maritim Raja Ali Haji Tangjung Pinang, Kepulauan Riau dan Dr. Muhammad Takari Jilin Syahrial serta Dr. Muhammad Fadlin Djaafar.

Sementara itu, Dr. Awang juga memberitahu, DBP menyasarkan penerbitan buku baharu antara 3,000 hingga 5,000 naskhah menjelang 2020.

Katanya, sasaran itu merentasi 300 bidang ilmu di negara ini.

"Penerbitan baharu itu termasuklah buku-buku bagi bahan bacaan pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan cendekiawan, sarjana, masyarakat umum, remaja dan kanak-kanak.

"Bagi merealisasikan sasaran ini, saya mempelawa mana-mana ahli bahasa yang berminat dalam program penulisan tampil dan mendaftarkan nama kepada DPB bagi memudahkan taklimat dan tugasan diberikan," katanya.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Selatan/20121019/ws_03/Warisan-Melayu-semakin-terhakis#ixzz2A0XUXqkK
© Utusan Melayu (M) Bhd

Saturday, October 20, 2012

Puisi dermaga Kasih

Konvoi Kembara Bahasa DBP di Majlis Bedudun Bahasa (perhimpunan bahasa) di Kg. Pabahanan, Limbang, tajaan Ahli Parlimen Limbang YB Hj. Hasbi Habibollah. Inilah puisi spontan yang sempat hamba nukilkan dalam ucapan penghargaan kepada warga Limbang:

DERMAGA KASIH
(Dedikasi kepada warga Limbang)

Sedasawarsa lebih
Kita tidak bersua
Di bumi pejuang pembebasan
Di Borneo tanah warisan tamadun besar
Lamun tiadalah putus
Ikatan hati kita
Daripada kasih yang pernah bersemi
Ketika saatnya daku menumpang kasih
Apabila kerinduan datang menerpa
Dikaulah pembelai jiwa
Dikaulah penenang lara

Di sela-sela daku menggalas amanah
Mengimarahkan tonggak tamadun bangsa
Pertemuan kembali kita kini
Bukan sekadar membangkitkan nostalgia
Kerana daku membawa obor perjuangan sakti
Bersama-sama para perwira penegak panji-panji
Menjaga martabat, memperteguh jati diri
Bahasa dan sastera wasilah akal budi

Kudambakan dikau di sisi
Meneruskan agenda suci
Membentuk pertiwi dalam acuan sendiri
Semoga dermaga kasih kita
Akan menaupkan cita
Dan perjuangan bersama.

Limbang, 21 Oktober 2012

Kado Hari Jadi nukilan Djazlam Zainal


KADO HARI JADI ( untuk dr. awang sariyan )

oleh Djazlam Zainal pada pada 21hb Oktober 2012 pukul 7.28 pagi ·

barangkali ini bukan kado terindah
untuk seorang pejuang sastra yang masih gagah
ini hanya sebuah ketulusan dari hati yang bersih
hati yang terharu dan rasa berbangga
akan anak watan yang punya cita-cita
bahawa hidup bukan hanya untuk meninggal nama
dengan segala polah dan tata yang tidak bermakna
hanya karena senang disebut-sebut senantiasa

perjuangan untuk bangsa dan negara perlu istiqomah
di depannya penuh api dan ranjau yang menghunjam
onak dan tajamnya terasa di hati
hingga seolah-olah untuk berjalan ke depan pun satu
satu gegaran yang meruntuhkan
duduk di kerusi yang selalu panas dan menyakitkan
inikan pula memanfaat tugas yang diamanatkan

tuan telah bekerja dengan hati yang tenang
ini kesukaan dan kekuatan tuan tentunya
bukan saja diperhatikan pekerjaan tuan hamba sekalian
maha besar di atas sana turut memberi kekuatan
bahawa inilah hambanya yang bertubuh kecil berjiwa besar
yang melebarkan rahsia jihadnya di wilayah-wilayah beradaban
melalui bahasa dan budaya yang pernah menjadi kegemilangan sejarah
di negeri-negeri pasai, melaka, jambi, samadra dan aceh
bahasa melayu bersendi tulisan arab dan rumi
menyebar luas hingga terkenal sebagai serambi

tuan mengingatkan kita tentang tentang sunan ampel
atau prabu yudhistira tokoh wayang kulit itu
atau sunan kalijaga yang menyebarkan islam melalui jalan budaya
juga tuan haji mat hassan panglima munas yang disait mati oleh penjajah
hanya karena percaya bahawa islam dan tanah air itu indah
yang harus dipertahankan hingga ke titisan darah mahmudah

barangkali perjuangan masa lalu itu bukanlah yang sesuai untuk masa kini
namun jalan lain harus dicari
apa yang tuan pekerjakan rasanya memang serasi
tuan bergaya pendekar yang bersilat filsafat setiap hari
bersiap siaga mencagar kudrat ke penjuru dunia
doaku semoga allah perkuatkan azam tuan jua

sekali lagi kado ini bukanlah yang terindah
untuk seorang birokrat yang mahu nama dipugar gagah
kado hari jadi ini surih titir zikir dari hamba
hamba yang begitu terusik oleh keikhlasan bekerja
tuan hamba yang bergerak seperti tiada noktahnya

sekiranya terdapat silap dan salah ketika hamba bertutur
maafkan hamba yang berdamba ingin mengucapkan syukur

5 zulhijjah 1433/ 21 oktober 2012


dr. awang sariyan adalah ketua pengarah dewan bahasa dan pustaka. sebagai pejuang bahasa dari zaman mudanya, perlantikannya sebagai ketua pengarah dbp, seakan sireh pulang kegagang. tahun pertama perkhidmatannya sebagai ketua pengarah, dbp yang hampir terpuruk dengan pelbagai masalah, memperlihatkan pemulihannya. gerakan dr. awang seakan helang yang mengitar awan, mendaulatkan bahasa dan budaya melayu. dengan pengalaman dan pergaulannya di kalangan akademik, dr. awang seakan menemukan kembali citranya. pergaulan dan keakrapan dengan golongan marhain, baik kalangan sastrawan dan budayawan mengingatkan kita tentang keikhlasan kepimpinan umar abdul aziz atau sultan alaudin riayat syah yang menemui rakyat jelata. dr. awang adalah tokoh teladan dan tokoh kesayangan. sekiranya ia diteladani oleh amir-amir politik kita, saya percaya tanah air kita akan secemerlangan melaka di zaman paduka maharaja tun perak. dirgahayu dr. awang.. selamat hari jadi..
Suka · · Unfollow Post · Kongsi
Anis Amida Abdulhamid, Yatie Klate, Jay Em dan 3 yang lain menyukainya.

Azim Saleh Selmoga dalam naungan rahmat Allah
lebih kurang sejam yang lalu · Suka

Ahmad David Kholilurrahman Doa semoga DBP dibawah teraju Prof Awang Sariyan berjaya memajukan martabat bahasa Melayu; semakin kacau dilidah kaum muda.

Lihatlah pertemuan majelis sastera-bahasa, adakah yang tak tercampur bual dengan malay-english?
lebih kurang sejam yang lalu melalui mudah alih · Suka

L.K. Ara Dari Aceh kukirim salam/tali silaturahmi yang wangi/pada hari jadi/tuan yang budiman dr Awang.
lebih kurang sejam yang lalu · Tidak suka · 1

Ahmad David Kholilurrahman @pak LK.Ara; jadi datang ke PPN, VI, Jambi 28-31 Desember 2012?
lebih kurang sejam yang lalu melalui mudah alih · Suka

Anis Amida Abdulhamid Cantik kado ni, menusuk qalbu kerana keikhlasannya. makasih adinda Djazlam Zainal berkongsi rasa.
9 minit yang lalu · Suka

Kembara Bahasa Melayu Mahawangsa Salam penghargaan kepadamu tuan, meskipun tiadalah hamba selayaknya diperikan sedemikian. Adapun kita masih di denai perjuangan, yang entah bila akan terselesaikan. Ayuhlah sekalian kita memperteguh barisan, mempertahankan tamadun besar nan jadi warisan.
6 minit yang lalu · Suka

Anis Amida Abdulhamid Saya suka ungkapan adinda DZ: dr Awang seakan helang mengitar awan...helang akan terbang melepasi gumpalan awan...dr awang mengatasi masalah di DBP seperti helang mengitari awan hitam. Syabas, cantik, cantik.
6 minit yang lalu · Suka