Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Thursday, July 1, 2010

Ceritera Bahasa (7): 'Program Tentatif' atau 'Tentatif Program'?

"Program Tentatif" atau "Tentatif Program"?

Ceritera Bahasa pada kali ini berkaitan dengan penggunaan kata majmuk program tentatif dan tentatif program. Banyak sekali kertas cadangan, kertas rancangan, kertas awalan dan kertas konsep sesuatu projek atau program yang saya terima, baik yang saya terima sewaktu saya menjadi Pengarah Jabatan Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka mahupun yang saya terima daripada penganjur pelbagai program ketika mengundang saya agar ikut serta dalam program itu sebagai penceramah, penatar atau pemakalah.

Daripada sekian banyak yang saya terima itu, dalam anggaran 80 peratus lebih menggunakan kata majmuk tentatif program apabila mengemukakan jadual atau atur cara program. Hal itu menimbulkan tanda tanya kepada saya mengapakah bentuk kata majmuk itu meluas penggunaannya. Rupa-rupanya prinsip atau aturan binaan kata nama majmuk yang telah dikemukakan oleh Allahyarham Prof. Sutan Takdir Alisjahbana lebih setengah abad yang lalu belum cukup dihayati oleh sejumlah pengguna bahasa. Dalam buku beliau yang berjudul Tatabahasa Baru Bahasa Indonesia (1953), ada dijelaskan prinsip atau aturan yang diberi nama Hukum D-M. Slametmujlana pula dalam bukunya Kaidah Bahasa Indonesia (1857) menyebut aturan itu sebagai struktur progresif.

Aturan itu menjelaskan bahawa susunan kata dalam bahasa Melayu/Indonesia (yang berkaitan dengan kata nama majmuk) berdasar pada susunan "kata yang diterangkan + kata yang menerangkan". Dalam bahasa Inggeris, unsur yang diterangkan dikenal sebagai head sementara unsur yang menerangkan dikenal sebagai modifier.

Dalam bahasa Inggeris, prinsip asas pembentukan kata nama majmuk berasaskan susunan modifier + head, seperti old man (old sebagai modifier mendahului kata man sebagai head). Dalam hal contoh yang kita bincangkan, bentuk tentative program merupakan bentuk kata nama majmuk yang memenuhi prinsip modifier + head itu.

Oleh sebab kata tentative telah diubah menjadi tentatif menurut prinsip morfologi bahasa Melayu, maka susunan kata majmuknya perlu menurut susunan kata nama majumk dalam bahasa Melayu. Sebagai "kata yang menerangkan", kata itu perlu diletakkan sesudah "kata yang diterangkan", lalu terbentuklah kata nama majmuk program tentatif yang sama maknanya dengan jadual tentatif atau atur cara tentatif atau atur cara sementara. Urutan yang demikian itu sama sahaja dengan urutan orang tua (bukan tua orang) yang jelas berlawanan dengan urutan bentuknya dalam bahasa Inggeri old man, seperti yang disebut tadi.

Bentuk itu sama dengan sejumlah besar bentuk kata nama majmuk yang lain, baik yang diserapkan daripada bahasa asing seperti rawatan alternatif (bukan alternatif rawatan), jumlah kumulatif (bukan kumulatif jumlah), atau yang memang merupakan bentuk kata nama majmuk asal dalam bahasa Melayu seperti kesan sampingan, rekaan baharu, bilik kebal dan yang lain.

Bentuk lain yang sama polanya ialah hal lain (atau hal-hal lain), perkara-perkara lain, perkataan lain yang oleh sesetengah orang masih diucapkan atau ditulis sebagai lain hal (atau lain-lain hal), lain-lain perkara dan lain perkataan.

Pastilah ada beberapa kekecualian dalam sesuatu prinsip atau aturan, namun kekecualian yang kecil jumlahnya berbanding dengan penerapan aturan yang menerbitkan sekian banyak bentuk yang memenuhi prinsip tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk tidak mematuhi prinsip atau aturan. Seringkali orang menjadikan alasan adanya bentuk bumiputera, perdana menteri dan sebagainya untuk mengatakan bahawa Hukum D-M bukan prinsip atau aturan yang ketat dalam bahasa Melayu. Kekecualian itu ada penjelasannya, sebagaimana adanya bentuk seperti secretary-general dalam bahasa Inggeris yang tidak selari dengan bentuk-bentuk kata nama majmuk keseluruhannya.

[Perbincangan tentang Hukum D-M yang berkaitan dengan susunan kata nama majmuk dalam bahasa Melayu dapat dibaca dalam buku saya Tuntunan Bahasa, Bahagian Dua: Sendi Bahasa, bab 9 dan bab 10 (terbitan Pearson).]

No comments:

Post a Comment