Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Friday, May 31, 2013

Puisi HMS Abu Bakar "Doa untuk Dr Awang Sariyan

DOA UNTUK DR AWANG SARIYAN



Dr Awang Sariyan
Seorang yang berkebolehan
Seorang yang berpengalaman
Suka berkawan dengan yang beriman
Minat ilmu pengetahuan
Tegas pendirian
Boleh dijadikan teladan
Sekarang memegang jawatan
Ketua Pengarah
Dewan Bahasa dan Pustaka
Cerah bahasa dimasa muka
Bantulah dia
Paksi memang percaya
DBP akan gah semula
Membantu yang maaruf dapat pahala
Dengan ini warga
Seniman Paksi Rakyat
Akan terus bermunajat
Juga solat hajat
Supaya Dr. Awang Saiyan sihat walafiat
Semoga Bahasa Melayu terus berdaulat
Kurniakanlah
Wahai Tuhan Yang Maha Esa



HMS ABU BAKAR
paksalleh.blogspot.com
RAwal1433/Feb2012


Dicatatkan oleh محمد صالح ابو بکر pada 13:34
E-melkan Ini
BlogThis!
Kongsi ke Twitter
Kongsi ke Facebook

Labels: DOA UNTUK DR AWANG SARIYAN

Tazkirah kepada diri: Tentang hak bercakap

Tentang hak bercakap:

Benar bahawa setiap orang berhak bercakap, tetapi hendaklah tentang sesuatu yang diketahuinya. Jika ia tidak tahu, haknya bercakap hendaklah dalam bentuk pertanyaan kepada orang yang tahu.

Jika makna hak bercakap difahami, insya-Allah terhindar sangkaan buruk, fitnah dan andaian palsu yang menjadi punca perbalahan dan permusuhan sesama manusia.

Kembara Bahasa
31 Mei 2013/22 Rejab 1434

Wednesday, May 29, 2013

Puisi penghargaan kepada Allahyarhamhu Tan Sri Ainuddin Wahid

TAN SRI

Asar 28 Mei 2013
19 Rejab 1434
menyaksikan seorang cendekiawan
dijemput pulang oleh Pemilik hakiki
sesudah melunaskan amanah
sepanjang hayat yang dipinjamkan

Kala kuziarahi jenazahmu
Dalam keheningan sesudah Subuh
wajahmu tenang damai
membayangkan kepuasan
kehidupan yang dimaknai
oleh sumbangan dan bakti
Namun kusedari
semacam manik-manik air mata
membasahi kelopak matamu
mungkin sesalan
perihal masih berlangsungnya
kemelut umat Melayu Islam
di watan tercinta

Tan Sri
Masih kurindui patah-patah madah
yang menjadi azimat
dan pengobar semangat juang
yang Tan Sri gemakan
di pelbagai pentas wacana

Madahmu
mudah
tetapi indah
dengan jelasnya arah
bersendikan fikrah

Tan Sri
Dikau kobarkan
asas umat bangsa
berteraskan agama
agar jati diri dan martabat terpelihara
Dikau kobarkan
kekuatan bangsa
berwahanakan bahasa
kurniaan Nan Esa
tanpa silau atau bangga
akan kemegahan milik orang lain

Tan Sri
Dikau janakan
puluhan ribu teknokrat
yang mengenal hakikat
akan erti insan bermartabat
yang tunduk patuh kepada sunatullah
dan mengakar dalam budaya mardhatillah

Tan Sri
Masih kurindui
suara lunakmu
dengan tamsil dan kias
memecahkan empang keras
yang membendung kejahilan
dan kesalahan yang jelas
Madahmu
"Lain yang luka lain yang dibebat"
menyindir tegas
pemegang amanah
yang bertindak
tidak beralaskan hujah
dan alasan yang munasabah
akhirnya mendatangkan musibah

Tan Sri
Kuiringi kembalimu
ke pangkuan Kekasih Abadi
dengan doa semoga dikau dirahmati
di alam barzakh
dan kelak ke alam syurgawi
Jejak-jejak perjuanganmu
Dan denai peradaban
yang dikau rintis
Insya-Allah kami lanjutkan.

Tan Sri
Berbahagialah
di bawah naungan
dan payungan
rahmat Allah Izzati.

Kembara Bahasa
30 Mei 2013/21 Rejab 1434

Seberang Perai

Baha Zain Sasterawan Negara Ke-12


Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menyampaikan Anugerah Sasterawan Negara kepada Baharuddin sambil diperhatikan Muhyiddin di Kuala Lumpur.
Penulis terima wang tunai RM60,000, kemudahan berkarya

Kuala Lumpur: Bekas Timbalan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr Baharuddin Zainal atau nama penanya Baha Zain malam tadi menerima Anugerah Sasterawan Negara Ke-12 yang membawa gelaran Sasterawan Negara.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah berkenan menyampaikan anugerah itu kepada Baharuddin.
Beliau menerima wang tunai RM60,000, watikah Sasterawan Negara Ke-12 selain kemudahan berkarya.

Turut berangkat pada majlis itu, Raja Permaisuri Agong Tuanku Haminah.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Pengerusi Panel Anugerah Sastera Negara Ke-12.

Muhyiddin dalam ucapannya, menyifatkan Baha Zain sebagai penulis yang amat prolifik dalam genre puisi dan kritikan sastera.

Suntik semangat
"Semoga anugerah diberikan ini akan menyuntik semangat kepada beliau untuk terus berkarya dan menyumbangkan buah fikiran ke arah pembangunan bangsa dan sastera kebangsaan," katanya.

Pada 15 Mac lalu, Muhyiddin mengumumkan Baharuddin sebagai penerima anugerah itu berdasarkan kecemerlangan serta sumbangan berterusan beliau dalam seni kesusasteraan tanah air melalui ciptaan karya kreatif, pemikiran dan kegiatan sastera bermutu tinggi.

Antara karya Baha Zain, 74, ialah puisi Topeng-Topeng (2003), Dari Kertas Catatan Tengah Malam (DBP, 1978) dan Tiga Catatan Perjalanan (DBP, 1980).

Puisi beliau antaranya diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris, Mandarin, Russia dan Sepanyol.

Baharuddin juga pernah menerima Anugerah Penyair Gapena (1988), Anugerah Tokoh Pejuang Bahasa daripada Persatuan Linguistik Malaysia (2004), Anugerah Budayawan Gapena (2008), Ijazah Kehormat Doktor Persuratan daripada USM (2010) dan Anugerah Tokoh Persatuan Penulis Nasional Malaysia (2011).

Anugerah Sastera Negara adalah anugerah tertinggi negara kepada sasterawan.

BERNAMA

Tazkirah kepada diri: Isu polarisasi jantina bukan isu Islam

Nabi Adam a.s dikurniai pasangan hidup, Siti Hawa oleh Allah untuk saling melengkapi sebagai khalifah Allah di muka bumi. Sikap mempertentangkan lelaki dan wanita, baik yang ditimbulkan oleh lelaki mahupun wanita tidak menepati sunatullah atau undang-undang Allah. Polarisasi jantina bukan isu umat Islam, melainkan isu yang dipromosikan oleh anasir bukan Islam.

Kembara Bahasa
30 Mei 2013/20 Rejab 1434

Tuesday, May 28, 2013

Tan Sri Ainuddin Wahid pulang ke rahmatullah


Tokoh pendidikan dan antara jurutera Melayu terawal yang juga perintis Institut Teknologi Kebangsaan dan kemudian Naib Canselor pertama Universiti Teknologi Malaysia, Tan Sri Ainuddin Wahid pulang ke rahmatullah pada pukul 5.45 petang tadi, 28 Mei 2013 di rumahnya, Jalan 7 Taman Tun Abd. Razak, Ampang. Al-Fatihah dan doa kesejahteraan untuk roh pejuang Melayu Islam yang jitu.

Kenangan berjuang bersama-sama dengan beliau, adindanya Datuk Zainal Abidin Wahid, Allahyarhamhu Dato' Dr. Hasan Ahmad, Datuk Abu Bakar Hamid, Dato' Baha Zain, Prof Abdullah Hasan dan beberapa yang lain dalam Kumpulan Perihatin masih segar. Meskipun berkerusi roda sejak bertahun-tahun, beliau tetap menghadiri mesyuarat dan wacana saperti ceramah dan forum. Pernah semasa UKM menganjurkan forum yang disertainya sebagai anggota panel bersama-sama dengan
hamba dan Haji Azmi Hamid pada sekitar tahun 2005, beliau bersolat Maghrib di kerusi rodanya di luar dewan forum sebelum forum bermula.

Sikap dan pendiriannya tentang baasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu cukup tegas. Ungkapan masyhur beliau dala m kritikan terhadap PPSMI ialah "Lain yang bernanah lain yang dibebat". Maksudnya, hasrat untuk mengatasi masalah yang dikatakan kelemahan bahasa Inggeris dalam alanan pelajar dengan mengajarkan sains dan atenatik merupakan kaedah yang tidak tepat.

Kembara Bahasa
29 Mei 2013

Monday, May 27, 2013

Tazkirah kepada diri: Antara mimpi dan impian

Kalau mimpi menjadi gangguan kepadamu, maka bangkitlah dari kasur yang melenakanmu, namun usah sekali-kali kaubunuh impian yang membangkitkan semangat juangmu.

Kembara Bahasa
27 Mei 2013/18 Rejab 1434