Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Monday, May 31, 2010

Kajian Islam di China: Menjejaki Warisan Islam di Kunming (1)





3 Mei 2010


Mendaratnya pesawat terbang CZ3901 di lapangan terbang Kunming sesudah penerbangan 3 jam setengah dari Beijing mengakhiri penderitaan dilambung gegaran kapal terbang yang agak dahsyat. Ketibaan saya sekeluarga di lapangan terbang Kunming disambut oleh Terry, pemandu pelancong dan En. Xie Yanchun, ayah pelajarku di BFSU (Kankan atau nama Melayunya Khairul) yang membantu mengurus soal logistik dan lainnya. Kami langsung dibawa ke Hotel Weilong, di Jalan Jin Bi (Jinbi Lu), jalan yang amat akrab dengan sejarah petempatan masyarakat Islam di kota Kunming, ibu kota provinsi Yunnan, provinsi di bahagian selatan Republik Rakyat China.

Daripada maklumat yang saya peroleh di internet sebelum bertolak ke Kunming, Jalan Jinbi yang asalnya menjadi ikon urat nadi kehidupan masyarakat Islam di kota itu sejak sekian lama telah mengalami perubahan wajah apabila pada tahun 2005 banyak tempat tinggal dan kedai milik peniaga Islam dirobohkan untuk diganti dengan gedung-gedung perniagaan moden. Ketika saya sampai, diberitakan bahawa gedung beli-belah Wangfaujing yang terkenal di kota-kota besar di RRC, termasuk di Beijing, baru beberapa bulan dibuka berdekatan dengan Hotel Weilong. Namun, masih ketara ciri-ciri kehidupan masyarakat Islam di sekitar jalan itu, dengan restoran-restoran halal (yang besar dan yang kecil), masjid, sekolah dan rumah kediaman masyarakat Islam. Di jalan raya dengan jelas dapat dilihat lelaki berkopiah dan wanita bertudung di sana sini, menandakan bahawa jalan itu masih menjadi pusat kegiatan kehidupan masyarakat Islam di Kunming.

Di Jalan Jinbi itulah terletaknya Masjid termoden, iaitu Masjid Nan Chen (Masjid Bandar Selatan) yang berusia 300 tahun dan dibina semula pada tahun 2009. Masjid empat tingkat berkubah hijau itu menjadi salah satu mercu tanda kota Kunming kerana dapat dilihat dari jalan besar. Di Jalan Yan He yang menjadi salah satu cabang Jalan Jinbi, terdapat sebuah masjid tua berusia 400 tahun yang masih dikekalkan seni bina asalnya, iaitu Masjid Shun Cheng (Masjid Susur Bandar). Letaknya hanya kira-kira 500 meter dari Hotel Weilong. Sebelum sampai di masjid itu, terdapat sekolah menengah etnik (sekolah untuk kaum-kaum etnik di Kunming)yang pintu gerbang dan pagarnya berseni bina Islam. Terpegun saya apabila membaca petikan dalam bahasa Arab, Inggeris dan China di tembok luar sekolah itu. Betapa tidak; hadith Nabi tentang seruan agar seseorang menuntut ilmu dari buaian hingga liang lahad dipaparkan di situ dan di sisinya dipamerkan pula petikan falsafah Kungfu Tze daripada karya besarnya Lun Yu (Analects) dan satu lagi petikan kata-kata Pengerusi Mao Ze Dong tentang pentingnya ilmu pada kaum belia.

Untuk makan malam pada hari pertama kami di Kunming, En. Xie Yanchun, ayah Khairul menjamu kami di restoran Islam yang paling mewah dan terkenal di Kunming. Seperti lazimnya, jamuan tradisi China memang cukup mewah dengan hidangan yang berbagai-bagai dan banyak yang luar biasa. Dalam interaksi yang cukup mesra, beberapa maklumat dapat saya catat tentang Kunming. Kebetulan En. Xie Yanchun ialah Timbalan Pengarah Bahagian Pertukaran Antarabangsa, Pejabat Hal Ehwal Antarabangsa Pemerintah Provinsi Yunnan yang tahu benar tentang Kunming.

Antaranya termasuklah maklumat bahawa Kunming merupakan salah sebuah kota terbesar dan termaju di bahagian selatan China, di samping Guangzhou, Shenzen dan Nanning. Terdapat penerbangan langsung dari Kuala Lumpur ke Kunming yang memakan waktu kira-kira tiga jam dan banyak usahawan dan peniaga Malaysia yang melaburkan modal membuka perusahaan dan perniagaan di kota itu. Provinsi Yunnan secara tradisinya merupakan petempatan kaum-kaum etnik yang terbanyak, iaitu 26 daripada 56 kaum etnik di seluruh negara. Orang Han yang merupakan kaum majoriti di RRC, menurut En. Xie, agak baru di Yunnan apabila maharaja Dinasti Yuan memindahkan mereka dengan jumlah yang besar.

Dalam siri selanjutnya, akan saya perikan kisah menarik yang lain tentang Islam dan kehidupan masyarakat Islam di Kunming serta di daerah lain yang sempat saya kunjungi.

No comments:

Post a Comment