Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Thursday, May 27, 2010

Ceritera Bahasa (5): Perihal "Rektor" dan "Reaktor"

Perihal kekeliruan sesetengah pihak tentang kata rektor dan kata reaktor pernah saya ulas dalam makalah saya lebih 20 tahun lalu. Peristiwa yang menunjukkan adanya kekeliruan tentang dua patah kata itu berlaku dalam satu majlis di sebuah universiti apabila pengacara mengundang Rektor universiti itu berucap, tetapi yang diundangnya berucap sebenarnya bukan Rektor, melainkan reaktor. Khalayak yang umumnya tidak peduli akan soal ketepatan bahasa tidak memberikan reaksi kepada kesilapan penggunaan kata itu; namun orang yang peka akan pentingnya ketepatan bahasa menzahirkan rasa tidak puas hati dan senyum sinis. Saya hanya mampu menggeleng-gelengkan kepala kerana tidak menyangka bahawa pengacara majlis itu tidak memahami adanya perbedaan yang amat nyata antara kata rektor dengan reaktor. Alangkah baiknya ia lebih dahulu menyemak skrip teksnya kerana pastilah nama jawatan yang diberikan oleh pentadbiran univeriti kepadanya ialah rektor, bukan reaktor.

Kata rektor berkaitan dengan jawatan di institusi ilmiah, yang sama maknanya dengan istilah naib canselor. Di Malaysia, universiti awam menggunakan istilah naib canselor sebagai terjemahan vice chancellor dalam bahasa Inggeris untuk jawatan ketua eksekutif. Universiti swasta sebilangannya menggunakan rektor dan sebilangannya menggunakan istilah presiden untuk ketua eksekutifnya. Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, misalnya, menggunakan istilah rektor.

Kata reaktor pula tidak ada kaitannya sama sekali dengan jawatan. Sebaliknya, kata itu berkaitan dengan pengeluaran tenaga nuklear. Kamus Dwibahasa Bahasa Inggeris-Bahasa Malaysia terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, misalnya, memberikan makna kata itu dalam konteks frasa nuclear reactor, dengan makna 'alat yang digunakan untuk mengawal penghasilan tenaga nuklear'. Seandainya alat pengawal penghasilan tenaga nuklear itulah yang dilantik sebagai ketua eksekutif universiti, tidak dapat kita bayangkan apakah yang terjadi kepada universiti itu. Barangkali pemimpin Amerika Syarikat akan membawa usul kepada Pertubuhan Bangsa Bersatu untuk mengenakan sekatan kepada universiti itu, kerana ditakuti mengeluarkan tenaga nuklear yang berbahaya, sebagaimana tekanan yang diberikan kepada negara Iran!

Baru-baru ini, seorang penulis melaporkan berita dalam akhbar tentang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Rupa-rupanya masih ada lagi kekeliruan tentang istilah rektor sebagai ketua eksekutif universiti. Dalam rencana itu, terdapat ayat yang berbunyi "Ini ditegaskan oleh Reaktor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof. Datuk Seri Dr. Syed Arabi Idid yang menyifatkan bahawa UIAM memainkan peranan besar dalam melahirkan para sarjana dan cendekiawan Islam."

Memang tidak ada orang yang sempurna, tetapi fakta itu bukan alasan bahawa kesilapan bahasa yang asas seperti penggunaan kata reaktor untuk rektor itu patut diterima sebagai lumrah. Marilah kita bersama-sama membina tradisi berbahasa dengan lebih bertanggungjawab, iaitu dengan memperhatikan aturan dan sistem yang ada, sebagaimana penulis dalam bahasa Inggeris, misalnya, berusaha sedapat mungkin meneliti ketepatan bahasa yang digunakannya.

No comments:

Post a Comment