Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Thursday, March 17, 2011

Pendidikan Asas Pembinaan Tamadun


PENDIDIKAN SEBAGAI ASAS PEMBINAAN TAMADUN
Awang Sariyan

[Petikan salah satu bahagian kertas kerja penulis]

Pendidikan merupakan proses kehidupan manusia yang sama tuanya dengan kewujudan manusia itu sendiri. Dengan kata-kata lain, pendidikan wujud bersama-sama dengan wujudnya manusia itu sendiri baik manusia sebagai individu (iaitu bermula dengan terciptanya Nabi Adam, telah bermula proses pendidikan) mahupun manusia sebagai kelompok yang dikenal sebagai masyarakat. Proses pendidikan khusus berkaitan dengan makhluk manusia dan tidak berkaitan dengan kehidupan makhluk lain seperti haiwan, tumbuh-tumbuhan, gali-galian dan benda. Hal ini selaras dengan peranan dan tanggung jawab manusia melaksanakan amanah yang diberikan oleh Allah, iaitu sebagai khalifah Allah di muka bumi.

Jika dibandingkan dengan makhluk-makhluk lain, hanya manusia sahaja yang mampu meneroka kemajuan. Ibn Khaldun menamai manusia sebagai “makhluk agresif yang senantiasa bergerak maju” (al-insan madani bi al-taba’) (Mohd Ali Abu Bakar, 1986: 146). Kemampuan manusia meneroka kemajuan itulah yang memungkinkan munculnya konsep kebudayaan dan tamadun. Konsep kebudayaan bertitik tolak daripada kata budi yang merujuk kepada akal (Kamus Dewan, 1989: 165), iaitu asas segala aktiviti manusia yang secara kreatif dan inovatif menghasilkan kebudayaan.

Tamadun pula merupakan puncak kecemerlangan sesuatu kebudayaan yang muncul sebagai hasil kreativiti terbaik sesuatu masyarakat atau bangsa. Jelas bahawa kebudayaan dan tamadun merupakan konsep yang hanya relevan dengan kehidupan manusia, tidak dengan kehidupan makhluk-makhluk lain. Apakah yang memungkinkan manusia mampu membentuk kebudayaan dan tamadun? Proses pendidikanlah yang memungkinkan hal itu berlaku, kerana pendidikan ialah sesuatu yang secara progresif dan terus-menerus diserapkan ke dalam diri manusia (al-Attas, 1991:13). Keterangan ini memperkuat hakikat bahawa pendidikan hanya berkaitan dengan kehidupan manusia, tidak dengan kehidupan makhluk-makhluk lain.

Pendidikan berlaku pada dua peringkat, iaitu peringkat masyarakat dan peringkat individu (Hasan Langgulung, 1991:3). Pada peringkat masyarakat, pendidikan merupakan proses pewarisan kebudayaan generasi tua kepada generasi muda secara terus-menerus agar kelangsungan hidup masyarakat dapat berlaku. Unsur-unsur kebudayaan yang diwariskan itu meliputi pemikiran, politik, ekonomi, kesenian, adat istiadat, dan yang lain, tidak ketinggalan bahasa. Setiap unsur kebudayaan itu disaluti nilai-nilai yang tertentu yang secara keseluruhannya membentuk imej dan jati diri sesuatu masyarakat atau bangsa. Pada hakikatnya, pewarisan nilai-nilai yang menayangkan pandangan hidup atau weltanschauung bangsa inilah yang menjadi bahagian penting dalam proses pendidikan, selain fungsi pewarisan unsur-unsur kebudayaan itu untuk memenuhi keperluan hidup, khususnya yang berkaitan dengan ilmu dan ketrampilan tertentu.

Sehubungan dengan itu, pendidikan menjadi agen pemasyarakatan yang penting, iaitu untuk menghasilkan perubahan yang dikehendaki dalam diri seseorang anggota masyarakat agar ia dapat menghayati dan merealisasikan nilai-nilai tertentu yang menjadi garis panduan hidup masyarakatnya (Atan Long, 1988: 25 - 26). Dalam pada itu, sesuai dengan hakikat manusia sebagai peneroka kemajuan, sebagaimana yang diungkapkan oleh Ibn Khaldun, maka pendidikan tidak ketinggalan menyerapkan nilai-nilai dan penemuan-penemuan baharu kepada masyarakat. Proses penyerapan nilai dan penemuan baharu inilah yang memungkinkan masyarakat manusia dinamis dan terus maju, selama nilai dan penemuan baharu itu tidak bertentangan dengan nilai teras masyarakat (dalam konteks masyarakat Islam, nilai teras itu ialah nilai keagamaan).

Pada peringkat individu pula, pendidikan merupakan proses pengembangan potensi-potensi yang ada pada diri manusia sehingga potensi-potensi itu dapat menimbulkan keupayaan-keupayaan tertentu bagi memungkinkan manusia menjalani kehidupan secara fitrah, normal dan seimbang. Potensi-potensi itu meliputi aspek akal, emosi, rohani, dan jasmani. Pengembangan potensi-potensi secara seimbang ini penting untuk memenuhi hakikat diri manusia yang terdiri daripada diri yang zahir dan diri yang batin.

Sehubungan dengan proses pengembangan potensi individu ini, dapat dikenal pasti berbagai-bagai ragam potensi yang ada pada manusia untuk kemudian dikembangkan melalui proses pendidikan, baik secara formal mahupun secara tak formal. Dengan mengambil potensi akal atau intelek sahaja, menurut Guilford (1956), ada 120 jenis potensi akal pada manusia. Antaranya termasuklah potensi berbahasa, mengira, mengingat, berfikir, dan mencipta (Hasan Langgulung, 1991:4).

Pada peringkat yang lebih asas daripada pengembangan potensi itu, pendidikan pada peringkat individu ialah penyerapan adab, dengan pengertian "pengenalan dan pengakuan tentang letak sesuatu menurut susunan yang akhirnya membawa manusia kepada pengenalan dan pengakuan tentang kedudukan hakiki Tuhan dalam susunan kejadian dan kewujudan." (al-Attas, 1991: 13 - 28). Wujudnya individu-individu dalam masyarakat yang telah melalui proses penyerapan adab inilah yang memungkinkan terasasnya peradaban, iaitu istilah lain bagi tamadun, yang mencerminkan pencapaian kehidupan cemerlang sesuatu masyarakat.

Dalam konteks ini, dapat dilihat pertalian antara pendidikan dengan pembinaan tamadun manusia. Dalam proses penyerapan pelbagai jenis ilmu ke dalam diri, iaitu salah satu bentuk proses pendidikan, konsep adab berkaitan rapat dengan maratib ilmu atau hierarki ilmu. Dalam Islam, adablah yang meletakkan ilmu-ilmu yang bersumberkan wahyu (the revealed knowledge) sebagai ilmu-ilmu primer, sementara ilmu-ilmu sains atau ilmu-ilmu yang dicari (the acquired knowledge) sebagai ilmu-ilmu sekunder.

Oleh itu, dalam proses pendidikan menurut kaca mata Islam, manusia perlu mendalami ilmu-ilmu yang bersumberkan wahyu sebagai teras (fardu ain) dan menguasai ilmu-ilmu sains sebagai fardu kifayah. Ilmu-ilmu sains itu pula haruslah serasi dengan kerangka yang digariskan oleh ilmu-ilmu yang bersumberkan wahyu itu, dengan penegasan asasnya ialah bahawa setiap ilmu mestilah berpaksikan tauhid atau istilah klisenya memenuhi paradigma tauhid (tawhidic paradigm).

No comments:

Post a Comment