Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Saturday, June 2, 2012

Ilmu bukan hak eksklusif saintis

Ilmu bukan hak eksklusif saintis

Oleh ISWAN SHAFIQ MAT ISA
pengarang@utusan.com.my

KUALA TERENGGANU 30 Mei - Para saintis perlu menyebarkan ilmu yang diperoleh untuk dikongsi dan dimanfaatkan bersama oleh masyarakat.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr. Awang Sariyan berkata, ilmu tidak sepatutnya menjadi hak eksklusif mereka.

Menurutnya, ilmu sains perlu diterapkan dan diberi pendedahan kepada rakyat seiring dengan matlamat pendidikan sains yang sentiasa menekankan usaha ke arah melahirkan masyarakat celik ilmu dan bijak membudayakan ilmu sains.

Namun, jelasnya, dalam usaha menyebarkannya, penulisan haruslah bermutu, tepay dengan laras bahasa yang disesuaikan dengan kelompok sasaran agar mudah difahami oleh setiap lapisan masyarakat.

"Menjadi kerugian besar sekiranya ilmu itu tidak disampaikan dan ini juga boleh dikira sebagai satu diskriminasi kepada masyarakat umum," katanya selepas merasmikan Seminar Penulisan dan Penerbitan Saintifik 2012, di sini hari ini.

Seminar selama dua hari itu antara lain bertujuan menggilap bakat-bakat baru dalam bidang penulisan saintifik dan perbincangan turut menyentuh cabaran hak cipta, undang-undang, peranan dan masa depan penerbitan saintifik.

Seminar itu anjuran bersama DBP dengan kerjasama Agensi Nuklear Malaysia, Persatuan Perlindungan Radiasi Malaysia (Marpa) serta pelbagai agensi lain termasuk beberapa institut pengajian tinggi (IPT) tempatan.

Dalam pada itu, Awang memberitahu, bagi mengatasi masalah tersebut, DBP mengambil pendekatan dengan menghasilkan buku ilmiah khususnya yang berbentuk saintifik kepada sarjana, penuntut IPT serta masyarakat umum.

Katanya, walaupun sebahagian besar daripada penulisan saintifik itu lebih berbentuk teknikal, namun masalah itu boleh diatasi setelah mendapat bimbingan yang betul daripada pihak yang berkenaan.

"Kami (DBP) juga membuat pendekatan baru dengan memulakan gerak kerja ke arah itu menerusi bengkel dan dijangka memakan masa sehingga tujuh atau lapan bulan sebelum manuskrip berbentuk saintifik itu diterbitkan dan dipromosikan secara besar-besaran.

"Untuk itu, dari awal lagi kita membuat pemetaan bahawa skop-skop bidang yang mesti ditulis hendaklah menggambarkan atau mewakili tamadun negara sama ada dari segi sains tabie, sains sosial, sains kemanusiaan dan sebagainya.

"Bengkel akan dilaksanakan dengan bimbingan editor kanan DBP dan penulis-penulis kanan dari institusi pendidikan termasuk IPT kepada penulis-penulis muda atau mereka yang baru mahu berjinak-jinak dalam bidang ini sehingga ke peringkat pengeditan," katanya.

Utusan Malaysia 31 Mei 2012

No comments:

Post a Comment