Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Sunday, January 13, 2013

Puisi "Kembalikan Hak Pustaka Pusaka"

Cuaca dingin di Netherlands
Pohon rontok kehilangan sinar mentari
Air di sebilangan sungai mula membeku
menghentikan aliran
Tompok salji di sana sini
Angin dingin menggigit kulit
Tiadalah kuhiraukan semua itu
kerana dorongan batinku
dikobarkan oleh hajat nan terpendam sekian lama
berdasawarsa
untuk mengembalikan hak pustaka pusaka bangsa
untuk mengembalikan warisan peradaban
ke pangkuan tanah leluhur
yang dipindahkan ke tanah asing
entah secara rela entah secara paksa

Warisan peradaban besar itu
mewakili tasawur, falsafah, sistem nilai
ungkapan akal budi penuh beretika dan bersalut estetika
dan perihal budi dan daya pencetus sistem siasah dan iktisad
perihal hukum kanun, falak, seni bina, perubatan, persenjataan
dan segala yang dimaknai oleh takrif peradaban
Mengapatah terus dibiarkan berwujud di tanah asing
dipuja dan dirindui dari jauh
tanpa tampak pada mata kasar dan mata hati
Mengapatah terus dibiarkan berlangsung
waris bangsa menyeberang sempadan
untuk menafsirkan makna diri

Dengan berhemah perlu dipadukan
segala upaya dan iltizam
untuk mengembalikan segala warisan peradaban
ke pangkuan alam Melayu
tanpa bertangguh lagi
kerana kita telah kehilangan sebahagian makna diri
sekian lama

Gelora dan badai yang bakal kita hadapi
usah menyurutkan harapan cita pertiwi
Kemaskan kemudi
Berpadu bestari
nescaya terpenuhi
hajat ikhlas di hati
kerana kita tidak mengambil yang bukan hak
melainkan yang hak bagi kita
Semoga langkah mula
bersusulan langkah penuh berdaya
sehingga terhimpun semula segala warisan bangsa
di buminya yang hak
untuk kita taakul, tafsirkan dan manfaatkan
dalam mengenal dan membina makna diri
dalam membina kesinambungan budi dan daya
dalam membina cita dan masa depan wangsa dan negara

~ Kembara Bahasa ~
Hotel Pulitzer, Amsterdam
13 Januari 2013


No comments:

Post a Comment