Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Monday, September 9, 2013

Puisi "Catatan Persinggahan di Schipol"

Catatan Persinggahan di Schipol

Schipol
aku singgah bukan sekadar menumpang lalu
kerana di daerah lingkunganmu
kuketahui sekian banyak
khazanah bangsaku
dibawa penjarah ke situ
sehingga aku perlu
menyeberang ribuan batu
untuk menyaksikan segala kebijakan
dan segala kecendiaan leluhurku
dalam manca bidang dan manca ranah

Aku bertekad
semua warisan peradabanku itu
mesti dibawa pulang
ke haribaan waris mahawangsa
di alam Melayu
untuk dihayati dan diteliti
dan dipersadakan
sebagai wasilah ta'dib
anak bangsaku
meskipun tidak dalam sosok aslinya

Manchester
8 September 2013

No comments:

Post a Comment