Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Saturday, July 13, 2013

Puisi "Bisikan Kalbu"

Bisikan Kalbu

Ribuan bait puisi
ribuan nukilan prosa
tidak mungkin mampu mengungkapkan
rasa syukur
atas nikmat yang Kauanugerahkan

Di tangan-Mu segala kekuasaan
Di wujud-Mu segala kebesaran
Di wajah-Mu segala keindahan
Engkaulah segalanya
Pencipta, pemilik dan penentu
Tiadalah kepada yang lain
melainkan kepada Engkaulah sahaja
kami bermohon
kami berlindung
kami berserah
Engkaulah pemilik kami.

Kembara Bahasa
Sesudah Subuh 5 Ramadan 1434/14 Julai 2013

Tazkirah kepada diri: Menjaga mulut yang satu

Alangkah mulianya
jika yang terbit daripadanya
kata semerbak kesturi
ungkapan penenang hati
madah pancaran akal bestari
bukan kata racun sukma
bukan ujaran mengadu domba
bukan hasutan membakar rasa

Ini waktunya semua patut mencuba.

Kembara Bahasa
13 Julai 2013

Wednesday, July 10, 2013

Munajat fajar

Ya, Allah berikanlah bantuan dan inayah-Mu kepada kami dalam usaha kami memartabatkan tamadun bangsa dan negara melalui bidang bahasa dan persuratan. Lepaskanlah kami daripada ujian yang menghambat kelancaran ikhtiar kami, khususnya dalam memperkaya khazanah ilmu dalam bahasa Melayu. Datangkanlah bantuan penyelesaian terhadap kemelut yang menguji kami. Amin.

11 Julai 2013

Tazkirah kepada diri: Jangan hapuskan pahala dengan dosa

Sembang Labu dan Labi:

Labu: Eh, kereta engkau ini tak betul letaknya. Susah kereta yang kaublok nak keluar nanti.
Labi: Di sini dekat; dia kena tunggullah hingga selesai solat tarawih nanti.
Labu: Tak boleh begitu. Engkau solat 20 rakaat. Kalau orang itu solat lapan rakaat dan perlu balik cepat bagaimana?
Labi: Alah, aku kan solat, bukan saja-saja.
Labu: Solat tarawih bagus, tetapi jangan kauhapuskan pahala solat sunat dengan dosa menyusahkan orang lain. Ibadat luas maknanya. Menjaga kebajikan orang lain pun ibadah, bukan solat sahaja.

Kembara Bahasa
11 Julai 2013

Saturday, July 6, 2013

Tazkirah kepada diri: Erti merdeka

Bukalah kurungan yang memenjarakan jiwa.
Leraikan simpulan tali yang mengikat rasa.
Merdekakan akal di bawah suluhan cahaya.

7 Julai 2013

Friday, July 5, 2013

Keruntuhan keluarga besar


Kembara Bahasa Melayu Mahawangsa
7 minit yang lalu berhampiran Kuala Lumpur

Melayang kenangan ke alam kanak-kanak dan remaja di kampung dahulu. Keluarga besar menjadi pengikat silaturrahim. Hubungan dengan embah (datuk), nenek, buyut (moyang), wak, paman, lek (semua bermakna pakcik tetapi dengan ciri khusus daripada segi kekerabatan), bibik (ibu saudara, bukan pembantu rumah seperti fahaman umum kini), kakang, mas, mbakyu. Kini keluarga besar tidak menjadi penanda kekerabatan yang utuh seperti pada zaman dahulu.

Kembara Bahasa
6 Juai 2013

Tazkirah kepada diri: Jagalah silaturrahim

Tazkirah kepada diri:

Bersilaturrahim itu indah
Bermusuhan membawa padah
Saling bermaafan membawa barakah
Fitnah dan khianat membawa rebah

Kembara Bahasa
6 Julai 2013