Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Tuesday, November 16, 2010

Inti Sari Khutbah Idul Adha


"Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, ya Allah. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, Tuhan yang tiada sekutu bagi-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Sesungguhnya segala pujian, nikmat dan perintah adalah kepunyaan-Mu. Tiada sekutu bagi-Mu."

Gema talbiah sedemikian berkumandang sejak menjelangnya wuquf di Arafah pada 9 Zulhijjah, di tanah suci Makkah dan juga di mana-mana umat Islam berada. Talbiah itu menjadi ikrar lisan dan ikrar hati bahawa hanya Allah Tuhan yang berhak disembah dan diagungkan.

Talbiah itu bukan sekadar dendangan penyayu hati dan penyebak dada, sebaliknya penerusan ikrar setiap keturunan Adam yang telah dilafazkan di alam arwah sebelum ruh ditiupkan ke dalam jasad.

"Apabila Tuhanmu mengeluarkan zuriat daripada Adam dan meminta penyaksian tentang diri-Nya, dengan berkata, 'Bukankah Aku ini Tuhanmu?', maka mereka (keturunan Adam) berkata, 'Benar, kami bersaksi.' Kami lakukan yang demikian ini supaya di akhirat kelak kamu tidak mengatakan bahawa 'Kami ialah orang yang lalai akan hakikat ketuhanan Allah." (Al-A`raf, 172)

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,

Idul Adha yang dikenal dalam masyarakat kita sebagai Hari Raya Haji dan Hari Raya Qurban merupakan salah satu perayaan yang disyariatkan oleh agama. Hal ini demikian kerana Idul Adha menandai salah satu Rukun Islam, iaitu menunaikan ibadah haji bagi orang yang mampu, sekali sepanjang hayat.

Ibadah haji dapatlah dianggap kemuncak Rukun Islam dan pelaksanaannya menuntut pengorbanan yang besar, bukan sahaja daripada segi wang ringgit, kemampuan jasmani, waktu dan keluarga, bahkan juga daripada segi jiwa dan ruhani.

Ibadah haji merupakan penghayatan suatu perjalanan atau kembara ruhaniyah kerana ibadah itu ditunaikan betul-betul di hadapan Baitullah atau rumah Allah dan di tempat-tempat yang telah ditentukan di tanah suci Makkah. Jamaah haji yang ikhlas dalam pelaksanaan ibadahnya pasrah dan memberikan jiwa raga sepenuh-penuhnya kepada Allah, dengan melupakan hal-hal duniawi yang sebahagian besarnya sering melalaikannya. Waktu digunakan seoptimumnya untuk taqarrub atau mendekatkan diri dengan Allah sebagai pencipta dan penguasa sekalian alam ini, memohon ampun atas segala dosa dan noda yang telah dilakukan, dan memohon jalan hidup selanjutnya diletakkan Allah di landasan hidayah dan taufik-Nya.

Segala ujian dan cabaran, baik yang berbentuk fizikal mahupun yang berbentuk psikologi perlu dilalui dengan tabah dan redha. Kekuatan dan keupayaan menghadapi pelbagai ujian itu memerlukan pengorbanan yang besar, terutama dalam usaha membuang tabiat-tabiat mazmumah seperti sifat angkuh, egoistik, riyak, takabbur, ujub, mementingkan diri, tidak perihatin kepada orang lain dan sebagainya.

Alangkah indahnya dan murninya kehidupan masyarakat Islam andai kata pengorbanan yang diamalkan semasa melaksanakan ibadah haji itu diterapkan dalam kehidupan bermasyarakat sepanjang masa.

"Adakah manusia mengira bahawa meereka dibiarkan mengatakan, "Kami telah beriman." sedang mereka tidak diuji?" (Al-Ankabut, 2).

Kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. dan puteranya Nabi Ismail a.s. serta isterinya Sarah dan Siti Hajar berulang kali disebut pada setiap kali umat Islam menyambut Idul Adha. Kisah tahap takwa dan penyerahan diri yang mutlak kepada Allah yang ada pada peribadi Nabi Ibrahim dan puteranya Ismail sehingga tidak berbetk di hati meraka rasa ragu atau ingkar apabila diperintahkan Allah agar Ibrahim menyembelih puteranya Ismail, sewajarnya dihayati oleh sekalian umat Islam dalam menunaikan penyerahan sepenuh-penuhnya ketaatan kepada Allah.

Firman Allah:

"Dan Aku jadikan jin dan manusia tiadalah lain kecuali untuk mengabdikan diri kepada-Ku." (Al-Zarriyat, 56).

Oleh yang demikian, sewajarnya kita menjadikan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Ismail itu sebagai peringatan untu secara menyeluruh menerima titah perintah Allah yang telah menyampaikan segala ajaran dan pedoman perihal kehidupan di dunia dan di akhirat melalui risalah Islam yang diwahyukan kepada kekasih dan pesuruh-Nya Nabi Muhammad s.a.w. Tiada harus terbetik di sanubari kita untuk mengingkari apa-apa jua yang difardhukan dan disyariatkan ke atas kita dan jua apa-apa yang dilarangnya.

Sabda Rasullullah s.a.w.:

"Sesungguhnya Allah telah menetapkan beberapa kewajiban, maka janganlah kamu abaikan. Allah juga menentukan peraturan hukum, maka jangan kamu melanggarnya. Allah mengharamkan beberapa perkara, maka jangan engaku melakukannya." (Riwayat Dar al-Qatni).

Demikianlah juga, kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s beserta isterinya Sarah dan siti Hajar sepatutnya menjadi teladan bagaimana hubungan kekeluargaan harus ditangani secara bijaksana dan penuh hikmah. Pengorbanan Siti Hajar yang perlu membesarkan anak di tengah-tengah gurun yang gersang dengan segala kesusahan hidup harus dijadikan iktibar kaum hawa dalam menunaikan tanggungjawab mengasuh dan memberikan perhatian kepada anak-anak.

Sekiranya teladan itu dihayati, maka kejadian jenayah pembuangan bayi yang kian leluasa tidak akan berlaku, kerana ibu bapa mengambil tanggungjawab terhadap zuriatnya sebagai amanah Allah. Demikian jua, anak-anak yang menghayati pengorbanan ibu bapa tidak akan rela membiarkan ibu bapa mereka menjadi warga yang terpinggir.

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,

Allah tidak mensyariatkan agama Islam semata-mata untuk menjaga hubungan hambanya dengan Dia sebagai Khaliq. Allah mengatur supaya hamba-Nya menjaga hubungan sesama mereka dan makhluk lain. Maka itu, ibadah haji dan juga ibadah sunat qurban, di sisi berupa ibadah "hablum minallah" (hubungan dengan Allah) perlu difahami juga sebagai ibadah yang mempunyai dimensi sosial, "hablum minannas" (hubungan sesama manusia dalam kehidupan bermasyarakat).

Tabiat menjaga muhibah, maslahah dan keperluan bersama dalam melancarkan ibadah haji, sebagai contoh, amat penting sebagai asas kehidupan bermasyarakat yang memang memerlukan setiap anggota masyarakat bahu-membahu, tolong-menolong dan saling melengkapi. Demikian juga ibadah qurban yang pada satu sisi merupakan ibadah penyerahan kepada Allah, pada sisi yang lain mengingatkan kita peri pentingnya hubungan kemasyarakatan diberi perhatian, khususnya golongan yang kurang bernasib baik.

Dalam hubungannya dengan qurban haiwan ternakan seperti unta, lembu dan kambing, terkandung lambang pengorbanan untuk menghapuskan sifat-sifat haiwaniyyah yang sebahagiannya dimiliki oleh manusia. Mudah-mudahan dengan pemahaman itu, dapatlah kita memenuhi peranan sebagai khalifah Allah di muka bumi dan tidak pula kita terjerumus ke lembah kehinaan yang lebih rendah daripada haiwan.

Firman Allah dalam Surah al-Tin, ayat 4-5:

"Sesungguhnya telah Kami jadikan insan dalam acuan yang terbaik, kemudian telah Kami hinakan dia sehingga menjadi lebih rendah dan hina daripada yang paling rendah dan paling hina."

Oleh itu marilah kita bersegera mengikuti landasan fitrah yang telah disediakan oleh Allah melalui agama Islam yang salah satu maknanya 'selamat', agar jiwa dan raga yang dipinjamkan Allah kepada kita di dunia yang fana ini akan kembali ke haribaan-Nya di akhirat kelak sebagai golongan yang menerima kitab amal di tangan kanannya (ashab al-yamin).

Allah menegaskan:

"Dan bersegeralah kamu kepada amalan yang baik untuk mendapat keampunan Tuhanmu dan mendapat syurga yang luasnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan untuk orang yang takwa." (Ali Imran, 133)

[Kedutaan Malaysia di Beijing, 17 November 2010/10 Zulhijjah 1431]

6 comments:

  1. Salam, Prof,
    Salam Eiduladha. Rakyat di negara kita banyak yang dikorbankan dengan cara yang berlawanan dengan qurban yang dilakukan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS. Bahasa kita juga disembelih-sembelih.

    ReplyDelete
  2. Salam aidiladha Prof.

    Kadang-kadang kita bukan berkorban tetapi dikorbankan. Semoga semangat berkorban ini dapat memberikan peringatan kepada kita dan anak cucu kita bahawa kadang-kadang kita perlu menjadi Hang Jebat." Saya malu kerana tidak tahu berbahasa Melayu dengan betul, tetapi saya tidak malu berbahasa Inggeris dengan tidak betul kerana itu bukan bahasa nenek moyangku." Yakub Uton

    ReplyDelete
  3. Alhamdulillah,
    Tksh prof.
    salam aidil adha.
    smga segala pengorbanan kejalan Allah sentiasa mendapat keberkatannya.

    ReplyDelete
  4. Sdr. Zul dan Sdr. EndutAndas,

    Semua yang perihatin akan tragedi pengorbanan yang songsang perlu berkorban untuk membetulkan kesongsangan (baik dalam soal fahaman dan amalan beragama,kelestarian unsur tamadun teras seperti bahasa, keadilan sosial dll), dengan cara terus bersuara memberitahu pihak berkuasa akan kepincangan itu dan juga kepada masyarakat. Usaha menyuarakan kebenaran, keadilan, kesejahteraan dan kelestarian tamadun bangsa teras merupakan pengorbanan yang besar kerana seringkali pihak yang bersuara menerima tekanan dalam pelbagai bentuk.

    ReplyDelete
  5. Salam Prof,
    Pendapat peribadi saya..
    Pengobanan itu sendiri harus punya niat dan makna yang menepati syariat Islam.. Manusia zaman ini ramai yang rela "berkorban".. Tetapi bukanlah pengorbanan yang dituntut dalam Islam.. Ada golongan yang tidak belajar dari sejarah ini.. Maka hiduplah mereka dalam keadaan jahil selamanya.. Seringkali kita cuba mengingatkan mereka sejarah yang terdahulu.. Tetapi kerapkali juga kita diperlekehkan..

    ReplyDelete