Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Saturday, December 3, 2011

Perkembangan Pengajian Melayu di China dalam Konteks Hubungan Ketamadunan

[Gambar: Majalah Kiatuo memuatkan berita kajian penulis tentang masyarakat Islam di kota Lanzhou, Provinsi Gansu]



PERKEMBANGAN PENGAJIAN MELAYU DI CHINA DALAM KONTEKS HUBUNGAN KETAMADUNAN

Prof. Dr. Awang Sariyan
Mantan Penyandang Pertama Kursi Pengajian Melayu Malaysia-China
Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia/Beijing Foreign Studies University
(Penasihat Persatuan Linguistik Malaysia)

[Kertas kerja Ceramah Bahasa di Bahagian Bahasa Malaysia, Terjemahan dan Interpretasi, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia pada 1 Disember 2011]

Pendahuluan

Persefahaman antara tamadun sedunia tidak seharusnya dilihat sebagai sekadar kesan alamiah interaksi antara satu tamadun dengan tamadun yang lain, bahkan sudah sampai pada tahap keperluan yang wajar direncanakan dan diupayakan. Dugaan berlakunya pertentangan tamadun (the clash of civilizations) sebagai fenomena zaman kini dan zaman mendatang sebagaimana yang diungkapkan oleh Samuel P. Huntington (2002) tidak seharusnya diterima bulat-bulat sebagai hukum alam yang menimpa umat manusia sejagat. Pelbagai kelainan yang wujud dalam tamadun-tamadun sedunia, baik pada sisi sistem nilainya, pemikiran, pandangan sarwa, amalan dan yang lain-lain tidak sewajarnya dijadikan alasan untuk memperlebar jurang ketamadunan manusiawi atau juga untuk mewajarkan krisis ketamadunan yang sampai pula berlangsung dalam bentuk pertempuran ketenteraan atau penjajahan. Perlu difikirkan dan direncanakan pemupukan persefahaman antara tamadun untuk mencapai kesejahteraan umat sejagat.

Dalam hubungannya dengan keperluan memupuk persefahaman antara tamadun itu, bidang ilmiah ada peranannya yang tersendiri, di samping peranan yang dapat dimainkan oleh bidang yang lebih banyak mendapat perhatian, terutamanya politik hubungan antarabangsa dan ekonomi. Pengajian Melayu sebagai bidang ilmiah memiliki peranan dan sumbangan yang khusus dalam memenuhi bahagian tertentu gagasan persefahaman antara tamadun. Kertas kerja ini mengemukakan sebahagian gagasan pelan tindakan yang dapat diupayakan untuk memenuhi peranan dan sumbangan pengajian Melayu dalam persefahaman antara tamadun.

Interaksi antara Tamadun Melayu dengan Tamadun China

Sejarah interaksi antara tamadun Melayu dengan tamadun China cukup panjang sejarahnya. Pembicaraan yang dapat dikira tuntas tentang hal itu terdapat dalam buku Prof. Liang Liji, sarjana pengajian Melayu-Indonseia yang ulung di Universiti Peking, iaitu Hubungan Empayar Melaka - Dinasti Ming Abad Ke-15 (1996, 2009). Beliau menyandarkan kupasannya pada sumber China yang dicatat dalam zaman dinasti-dinasti China dahulu kala, kerana semenjak zaman Dinasti Xia (2140-1711 S.M) Dinasti Shang (1722-1066 S.M), sudah wujud tradisi pencatatan sejarah oleh pegawai istana yang dikenal sebagai Shi Guan. Sistem pencatatan sejarah diraja itu mencapai kesempurnaan pada zaman Dinasti Han (206 S.M – 220 M). (Liang Liji, 1996: 10).

Dalam hubungannya dengan interaksi tamadun Melayu-China, Ming Shi Lu (Rekod Hal Ehwal Dinasti Ming) menjadi sumber utama yang memerikan hubungan dengan Kesultanan Melaka pada abad ke-15. Di samping itu banyak sumber lain dalam bentuk buku sejarah rasmi dan tidak rasmi yang mencatat hubungan dengan Melaka, seperti Ming Shi (Sejarah Dinasti Ming), Ming Tong Dian (Almanak Umum Dinasti Ming), Ming Hui Dian (Kumpulan Dokumen Dinasti Ming), Xian Bing Lu (Rekod Tetamu Negara), Deng Tan Bi Jiu (Catatan Hal Ehwal Kerajaan). Ada pula tulisan cendekiawan China yang mendampingi Laksamana Zheng He (Ceng Ho) dalam kunjungan ke alam Melayu (Liang Liji, 1996: 11).

Namun, beberapa lama sebelum abad ke-15 yang menandai hubungan China dengan Melaka sebagai kerajaan Melayu yang paling masyhur, telah wujud hubungan antara dua wilayah itu, yang menurut Liang Liji telah berlangsung selama 1500 tahun lebih. Sumber sejarah China terawal yang mencatat hubungan China dengan alam Melayu ialah Han Shu – Di Li Zhi (Kepustakaan Dinasti Han – Catatan Geografi). Sumber itu memerikan pelayaran utusan Maharaja Wu Di (140 S.M – 87 S.M). ke India yang melalui Semenanjung Tanah Melayu dan sambil itu melakukan perniagaan barter dengan negeri-negeri di Asia Tenggara dan Asia Selatan (Liang Liji, 1996: 13-15). Hubungan yang khusus merujuk kepada alam Melayu berlaku dalam zaman Dinasti Han. Dicatat dalam Hou Han Shu (Kepustakaan Dinasti Han Zaman Kemudian) dengan pemerian bahawa pada tahun 131 Masihi, kerajaan Ye Diao yang dipercayai berada sama ada di Jawa atau Sumatera telah mengirimkan ufti kepada maharaja China dan kemudian maharaja China menganugerahkan hadiah kepada raja itu pula.

Sumber-sumber sejarah China memerikan hubungan Kerajaan China dengan Kerajaan di alam Melayu dengan agak rinci, dari permulaan yang dirintis secara jelas dalam Dinasti Han itu dan diikuti siri hubungan dalam dinasti-dinasti sesudahnya. Namun, menurut Liang Liji, oleh sebab sesudah Dinasti Han kestabilan dalam negara China kurang baik, maka hubungan dengan alam Melayu sering terputus-putus dan tidak bersinambung.. Demikian pula pada waktu belum ada kerajaan Melayu yang betul-betul besar sehingga hubungan tidak begitu akrab. Hubungan China dengan alam Melayu melonjak ke peringkat yang lebih tinggi sesudah munculnya Dinasti Tang (618-907 M) dan Empayar Sriwijaya di alam Melayu pada abad ke-7 (Liang Liji, 1996: 25-26).

Hubungan antara dua buah kerajaan besar, yang satu di Asia Timur dan yang satu di alam Melayu itu mempunyai signifikan yang khusus dalam konteks interaksi tamadun, yang bukan hanya terbatas pada hubungan dagang semata-mata, malahan menjangkau hubungan kebudayaan, pemikiran dan sistem kepercayaan. Bagi Dinasti Tang, kesuburan kegiatan pendeta Buddha di Sriwijaya menjadi pangkalan terbaik untuknya mengembangkan ajaran agama itu di luar wilayahnya dan pada waktu itu bahasa Melayu kuno yang sangat kuat dipengaruhi oleh bahasa Sanskrit menjadi wahana pemahaman bahasa Sanskrit bagi para pendeta Buddha. Kegiatan Pendeta Yi Jing (I-Cing) yang tinggal selama enam bulan di ibu kota Sriwijaya dengan misi memperdalam pengajian agamanya, di samping membantu memperluas kegiatan agama Buddha di negara itu dengan jelas memperlihatkan keakraban hubungan antara dua buah negara dan tamadun itu. Selain soal agama, aspek adat istiadat, budi bahasa dan aspek-aspek kebudayaan lain di alam Melayu turut mendapat perhatian Yi Jing sehingga Empayar Sriwijaya dipandang begitu tinggi oleh Dinasti Tang sebagai pusat tamadun besar di alam Melayu.

Keakraban hubungan antara China dengan alam Melayu dilanjutkan oleh Dinasti Song (960-1279 M.) dan Dinasti Yuan (1206-1368 M.). Dalam tempoh kedua-dua dinasti itu, hubungan dengan Sriwijaya dan Jawa lebih tertumpu pada bidang perniagaan meskipun aspek kebudayaan tetap berlangsung terus. Zaman gemilang hubungan antara dua tamadun itu berlaku dalam zaman Dinasti Ming pada abad ke-15, sehingga Liang Liji mengungkapkan bahawa “Lembaran sejarah ini patut dicatat dengan tinta emas kerana pencapaiannya tiada tandingannya lagi dalam sejarah kedua-dua bangsa.” (Liang Liji, 1996: 42). Hal ini demikian kerana hubungan kedua-dua tamadun dalam zaman itu benar-benar mencapai puncak hubungan diplomatik yang halus dan teratur, baik dalam huubungan politik antara dua kuasa besar mahupun dalam hubungan perdagangan dan kebudayaan. Melaka di bawah pemerintahan Raja Parameswara (Sultan Iskandar Syah) menjadi destinasi pertama misi Maharaja Ming Cheng Zhu ke alam Melayu pada tahun 1403. Sejarah pembukaan hubungan diplomatik antara China dengan Melaka itu tercatat dalam Ming Shi (Sejarah Dinasti China).

Kepesatan dan keakraban hubungan antara dua tamadun itu tergambar pada beberapa fakta yang penting dan menarik. Antaranya termasuklah pengutusan Laksamana Zheng He atau Sampo Kong (yang dalam persuratan Melayu dikenal sebagai Laksamana Cheng Ho) dengan armada raksasa untuk melakukan lawatan muhibah ke Asia Tenggara, Asia Selatan dan Asia Barat, dengan kapal terbesarnya dapat memuat barang seberat 2500 tan dan orang sejumlah 1,000 orang. Jumlah kapal yang menyertai armada itu pula sekitar 100 hingga 200 buah, dengan pegawai, awak kapal dan askar yang mencecah angka antara 27,000 hingga 28,000 orang (Liang Liji, 1996: 43-44).

Fakta lain yang penting juga ialah kekerapan kunjungan Raja Melaka ke China, bermula dengan kunjungan Parameswara (Sultan Iskandar Syah) pada tahun 1411 (dengan 540 orang anggota rombongannya), Megat Iskandar Syah (Raja Besar Muda), kali pertama pada tahun 1414 (selaku putera mahkota yang menyampaikan khabar kemangkatan ayahandanya) dan kali kedua pada tahun 1419, dan Seri Maharaja (Raja Kecil Besar/Sultan Muhammad Syah) pada tahun 1424,1433 dan 1434.

Selain itu, sepanjang tempoh hubungan akrab antara Melaka dengan China selama seabad lebih, iaitu dari tahun 1403 hingga tahun 1521, amat jelas kegiatan saling mengunjungi antara kedua-dua pihak, baik yang melibatkan raja mahupun pembesar, baik yang berkaitan dengan hubungan politik, perdagangan mahupun kebudayaan. Buku catatan Dinasti Ming Shi Zhong Lu, jilid 4 menyenaraikan 57 kegiatan hubungan diplomatik antara Kerajaan Melaka dengan Dinasti Ming dalam tempoh tersebut (Liang Liji, 1996: 63-76).

Liang Liji merumuskan tiga perkara penting yang menjadi natijah interaksi dan hubungan antara dua tamadun besar itu, yang dapat diringkaskan sebagai yang berikut:

1. Terjalinnya hubungan persahabatan yang saling menghormati, saling memahami dan saling menghargai sehingga tidak berlaku perselisihan dan pertikaian yang dapat menjejaskan hubungan persahabatan dua bangsa itu.

2. Wujudnya sikap yang sama dalam memupuk perdamaian dan keadilan, dengan menolak kekerasan dan perseteruan. Hal ini berbeda sama sekali dengan kedatangan armada bangsa Barat yang membawa niat dan misi penjajahan.

3. Wujudnya kerjasama ekonomi dalam bentuk perdagangan dua hala melalui tiga sistem pada zaman itu, iaitu perdagangan antara raja (dalam bentuk persembahan ufti dan balasan anugerah pelbagai barang berharga), perdagangan antara kerajaan berdasarkan kontrak penjualan barangan tertentu hanya kepada Kerajaan China dengan harga yang menguntungkan Melaka, dan perdagangan awam dalam kalangan masyarakat umum.

Benih Awal Pengajian Melayu di China

Manfaat lain yang tidak kurang pentingnya dalam konteks ketamadunan ialah pengaruh dan peluasan penggunaan bahasa Melayu yang menjadi lingua franca pada zaman Kesultanan Melayu. Jika dalam zaman Sriwijaya memang telah ada perhatian pendeta Buddha China dalam mempelajari bahasa Melayu kuno, maka dalam dalam zaman Kesultanan Melayu bahasa Melayu bukan sahaja dipelajari oleh para pendeta agama, malahan menjadi bahasa yang dipelajari dan digunakan untuk urusan perdagangan dan kehidupan oleh orang China daripada golongan lain, khususnya pedagang. Yang lebih penting daripada itu ialah adanya “perhatian diraja” pada pihak Dinasti Ming apabila menubuhkan jawatankuasa jurubahasa (Da Tong Shi) untuk memenuhi kepentingan dan keperluan dalam hubungan luar. Tong Shi atau jurubahasa yang berkhidmat dalam 18 jawatankuasa kecil (Xiao Tong Shi) berjumlah 60 orang, dan dua orang daripadanya khusus untuk bahasa Melayu, iaitu seorang untuk Melaka dan seorang untuk Sumatera.

Untuk melatih para jurubahasa, pada tahun 1405 Maharaja Ming Cheng Zhu menubuhkan akademi bahasa yang dikenal sebagai Si Yi Guan (Balai Bahasa Negeri-negeri Asing) di ibu negara Ying Tian Fu (kini Nanjing). Terdapat lapan jabatan di akademi bahasa asing itu. Bahasa Melayu dimasukkan di bawah Hui Hui Guan (Jabatan Islam yang meliputi Parsi, Arab, Melaka, Jawa dan lain-lain). Akademi bahasa asing itu bertahan melebihi 400 tahun, dan dilanjutkan dalam Dinasti Qing yang menggantikan Dinasti Ming walaupun namanya diubah pada 1748 menjadi Hui Tong Si Yi Guan. Peranan akademi itu hanya terhenti sesudah Perang Candu pada tahun 1840, sesudah Dinasti Qing menghadapi ketidakstabilan politik (Liang Liji, 1996: 82-90).

Pentingnya bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan yang merentas tamadun turut menggerakkan usaha menyusun kamus dwibahasa yang penting untuk kegunaan pedagang dan orang Cina lainnya dalam interaksi di alam Melayu. Usaha awal penyusunan kamus dwibahasa dikesan berlaku seawal abad ke-14 pada zaman Maharaja Ming Tai Zhu (1368-1399 M.), iaitu maharaja Dinasti Ming yang pertama. Namun dalam kamus dalam bentuk daftar kata Cina – kata negeri asing (Hua Yi Yi Yu) itu tidak dapat dipastikan adakah kata-kata bahasa Melayu terangkum juga di dalamnya. Namun dalam abad ke-15 telah dikesan terhasilnya kamus dwibahasa dalam bentuk daftar kata Cina-Melayu, sebagaimana yang pernah dikaji oleh sarjana Barat seperti E.D. Edwards dan C.O. Blagden pada tahun 1930-an.

Judul kamus itu dalam bahasa Cina ialah Man La Jia Guo Yi Yu atau Senarai Perkataan Negeri Melaka. Kata-kata yang terhimpun di dalamnya dipercayai meliputi kosa kata dari zaman awal bermulanya hubungan Dinasti Ming dengan Kerajaan Melaka, iaitu pada tahun 1403 hingga tahun jatuhnya Melaka di tangan Portugis pada tahun 1511. Kamus itu terdiri daripada 482 entri kosa kata Cina yang dianggap penting dan dikategorikan kepada 17 bidang, iaitu astronomi, geografi, musim dan masa, tumbuh-tumbuhan, unggas dan haiwan, rumah dan istana, peri kelakuan, tubuh badan, barang emas dan permata, kemasyarakatan dan sejarah, warna, hitungan, dan kata umum. Setiap entri diberi padanan bahasa Melayunya dengan tulisan Cina. Kamus itu disusun untuk keperluan Kerajaan Cina dalam Dinasti Ming dalam menjalin hubungan dengan Melaka dan hingga akhir abad ke-16 kamus itu masih menjadi rujukan, termasuk dalam penyusunan buku sejarah Cina. Demikianlah, erat dan akrabnya hubungan antara dua tamadun turut meninggalkan dampak yang besar dan penting kepada bahasa juga, sebagaimana yang terbukti dengan meluasnya peranan bahasa Melayu.

Hubungan dan interaksi antara dua tamadun itu kemudian dapat dikatakan terhenti dengan lama sekali, disebabkan masalah perubahan sistem di dalam negara Cina dan juga kesan penaklukan ke atas Melaka dan kerajaan-kerajaan Melayu lain oleh kuasa Barat. Hanya pada abad ke-18 dan seterusnya tampak wujud semula hubungan itu tetapi dengan pola yang jauh berbeda, kerana kedatangan orang Cina bukan diutus oleh pemerintah Cina atas hubungan diplomasi, melainkan diupayakan oleh penjajah Barat untuk memenuhi keperluan ekonominya, dengan kebanyakan pendatang itu dijadikan buruh di lombong bijih timah dan sebilangan yang lain mencuba nasib dalam perniagaan. Sejarah akhirnya memberikan acuan kepada pola demografi dan sistem kemasyarakatan di Persekutuan Tanah Melayu dan kemudian Malaysia, apabila orang Cina dan orang India yang bermastautin diberi taraf kerakyatan pada waktu Persekutan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Kini orang Cina merupakan kira-kira 29 peratus daripada penduduk Malaysia, dan mereka turut mewarnai kepelbagaian kebudayaan di Malaysia melalui cara hidup dalam bidang kesenian, perayaan, makanan, busana, sistem kepercayaan dan yang lain.

Perkembangan Pengajian Melayu di China dalam Zaman Moden

Sinar baharu dalam hubungan antara alam Melayu dengan Republik Rakyat China muncul pada tahun 1970-an apabila timbul rasa saling memerlukan untuk menjalin hubungan diplomatik bagi kepentingan bersama. Malaysia merupakan negara di Asia Tenggara yang pertama yang menjalin hubungan diplomatik dengan Republik Rakyat China, iaitu pada tahun 1974. Hubungan yang pada mulanya lebih tertumpu pada bidang ekonomi, khusunya perdagangan dua hala, beransur-ansur melebar dalam bidang-bidang lain, seperti pelancongan, pendidikan dan kebudayaan. Hubungan itu pada hakikatnya merupakan formaliti yang bersifat kenegaraan, sedang sejak tahun 1946 bahasa Indonesia telah diajarkan di Institut Bahasa-bahasa Asing di Kota Nanjing dan dipindahkan ke Beijing pada tahun 1949 apabila Republik Rakyat China ditubuhkan.

Hingga kini jurusan bahasa atau pengajian Indonesia masih menjadi salah satu fokus pengajian di Universiti Peking dan pada tahun 1961 menjadi salah satu bahasa asing yang diajarkan di Universiti Pengajian Asing Beijing (Beijing Foreign Studies University, atau singkatannya BFSU), sementara di Universiti Pengajian Asing dan Perdagangan Luar Guangdong di Guangzhou pula pada tahun 1970 (Zhao Yue Zhen, 1970). Pada tahun 1961 juga BFSU mula menawarkan kursus bahasa Melayu varian Tanah Melayu dengan Prof. Wu Zong Yu sebagai tenaga perintisnya. Pada tahun 1998 bahasa Melayu mula diajarkan di Institut Bahasa Asing Luoyang dan pada tahun 2001 di Institut Penyiaran Radio Beijing (kini Universiti Komunikasi China). Pada permulaan tahun akademik 2008-2009 pula, iaitu dalam bulan September 2008 Universiti Bangsa-bangsa Peribumi Guangxi (Guangxi University for Nationalities) pula mula menawarkan kursus bahasa Melayu varian Malaysia, sebagai tambahan bagi jurusan bahasa Indonesia yang sedia diajarkan di situ. Yang terakhir ialah pembukaan Jurusan Bahasa Melayu di Universiti Bangsa-bangsa Yunnan di kota Kunming pada tahun 2010. Hingga kini, telah terdapat tujuh buah universiti yang mempunyai program bahasa/pengajian Melayu di seluruh negara China.

Pada 20 Jun 1997, ditubuhkan Pusat Pengajaran Bahasa Melayu di BFSU sebagai hasil persetujuan antara kerajaan Malaysia dengan pemerintah Republik Rakyat China untuk bekerjasama dalam bidang pendidikan, khususnya tentng pengajaran bahasa Melayu di negara China. Pada 1 September 2005 pula ditubuhkan secara rasminya Pusat Pengajian Melayu China, dan dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak yang ketika itu menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Dengan peningkatan program pengajaran bahasa Melayu kepada program pengajian Melayu, Pusat Pengajian Melayu China secara rasmina menjadi pangkalan kegiatan ilmiah dan pengembangan bahasa, sastera dan kebudayaan Melayu di Republik Rakyat China, dengan turut membantu penubuhan Program Bahasa/Pengajian Melayu di institusi pengajian tinggi yang lain di seluruh negara. Pengarah Pusat Pengajian Melayu China ialah Prof. Wu Zong Yu yang memulakan program pengajaran bahasa Melayu di BFSU sejak tahun 1961 dan terus-menerus menjalin kerjasama dengan negara-negara di dunia Melayu.

Satu lagi detik bersejarah dalam hubungan ilmiah dan pendidikan antara dua buah negara ialah penubuhan Kursi Pengajian Melayu Malaysia-Republik Rakyat China merupakan jawatan ilmiah kehormat yang ditubuhkan bersama antara kerajaan Malaysia dengan pemerintah Republik Rakyat China, sebagai pengiktirafan kepada peranan Beijing Foreign Studies University dalam menubuhkan dan mengembangkan program pengajian Melayu di Republik Rakyat China sejak tahun 1961. Kota Beijing merupakan tempat keempat yang memiliki Kursi Ilmiah dengan kerjasama Kerajaan Malaysia, sesudah Ohio University di Amerika, Leiden University di Belanda dan Victoria University di New Zealand. Gagasan penubuhannya telah dicetuskan pada tahun 1996 dalam Persidangan Antarabangsa Pengajian Melayu anjuran BFSU dan Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia dan pada awal tahun 2007 secara rasminya Kursi itu telah ditubuhkan. Pada awal tahun 2008, Kursi itu mula berfungsi dengan pelantikan Prof. Dr Awang Sariyan oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia sebagai penyandang pertama. Kursi ini antara lain berperanan memperkenalkan bidang-bidang baru dalam pengajian Melayu (bahasa, sastera, budaya dll), meningkatkan program ilmiah di peringkat ijazah pertama dan ijazah lanjutan, melaksanakan penyelidikan dan penerbitan, serta membantu penubuhan dan peneguhan program bahasa/pengajian Melayu di institusi pengajian tinggi di Republik Rakyat China.

Pelan Tindakan

Pada permulaan kertas kerja ini telah ditegaskan pentingnya hubungan dan interaksi antara tamadun disertai perancangan, agar lebih jelas hala tujunya dan manfaat yang dapat diperoleh daripadanya pun dapat dibayangkan, daripada sekadar mengharapkan hasil yang alamiah sifatnya. Beberapa aspek yang perlu difikirkan untuk pelan tindakan, khusus dalam konteks hubungan tamadun Melayu dengan tamadun Cina adalah seperti yang berikut:


Penyelidikan/Penelitian

Antara projek pennyelidikan yang perlu dijalankan termasuklah:

1. Sejarah hubungan antara Malaysia/alam Melayu dengan Cina dalam pelbagai aspek ketamadunan seperti politik, ekonomi, kebudayaan, bahasa dan falsafah/pemikiran, dari zaman dahulu hingga kini, terutama dengan berdasarkan sumber-sumber Cina dan Melayu sendiri. Usaha membuat analisis dengan berdasarkan sumber setempat yang telah dimulakan oleh Liang Liji dan sarjana-sarjana lain perlu diteruskan, kerana sebagaimana yang diakui oleh Liang Liji sendiri, masih banyak hal yang perlu diperdalam, dikaji dan ditemukan untuk menghuraikan susur galur hubungan antara dua tamadun itu. Disarankan agar sumber-sumber Cina yang ada dalam tradisi istana dinasti-dinasti Cina itu dikumpulkan, diterjemahkan dan dibuat anotasi setiap sumber itu agar dapat diperoleh gambaran yang tuntas tentang sumber-sumber yang dapat dijadikan asas analisis. Kemudian dipilih sumber-sumber yang primer untuk dijadikan asas analisis, dengan sokongan sumber-sumber sekunder. Hasil yang dapat dibayangkan ialah sebuah buku besar atau beberapa jilid yang memerikan hubungan ketamadunan Melayu-Cina dalam pelbagai ranah, secara kronologis dari zaman awal hingga zaman mutakhir.

2. Kajian sosiolinguistik dalam konteks persebaran bahasa Melayu di tanah besar Cina, dengan menyedari adanya komuniti yang menggunakan bahasa Melayu. Yang paling menarik dan penting disegerakan ialah kajian bahasa dalam kalangan komuniti Cina yang lahir di alam Melayu, majoritinya di Indonesia, yang pindah atau lebih tepat pulang ke tanah lelulur mereka pada tahun 1950-an dan 1960-an, di beberapa provinsi seperti di Guangdong, Hainan, Fujian dan malahan di Beijing juga. Diberitakan bahawa mereka, khususnya kalangan yang berusia masih menggunakan bahasa Melayu varian Indonesia, dan malahan masih mengamalkan corak kehidupan di alam Melayu daripada segi makanan, busana, kesenian dan lain-lain. Kajian ini perlu disegerakan kerana generasi tua dalam komuniti itu kian berkurangan disebabkan faktor alamiah. Aspek sosiolinguistik yang lain ialah penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan peniaga yang berinteraksi dengan pelancong dari alam Melayu, baik di kaki Tembok Besar China mahupun di gedung-gedung beli-belah. Yang tidak kurang menariknya juga ialah penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan tenaga pengajar setempat dengan pelajar yang mengikuti jurusan bahasa Melayu dan bahasa Indonesia di beberapa institusi pengajian tinggi di Republik Rakyat China. Di Nanning, provinsi Guangxi, malah ada sekolah rendah yang mengajarkan bahasa Melayu/Indonesia beberapa jam seminggu, dan hal ini pasti menarik dan penting dikaji.

3. Perkembangan Islam di tanah besar Cina dan kaitannya dengan pengislaman di alam Melayu penting juga dikaji oleh sebab ada teori yang menyebut peranan pendakwah dari Cina yang turut mengembangkan Islam di alam Melayu (lihat, misalnya, S.Q. Fatimi, 1963). Beberapa orang daripada Wali Songo yang terkenal sebagai ulamak dan pejuang yang menentang penjajahan di Indonesia pernah dikaitkan dengan usaha dakwah dari Cina dan ada daripada kalangan mereka yang dikatakan berketurunan Cina. Fatimi merupakan salah seorang sarjana yang mengaitkan proses pengislaman di alam Melayu dengan peranan pendakwah dari Cina, meskipun teori yang lebih umum diterima ialah bahawa Islam datang ke alam Melayu langsung dari tanah Arab, khususnya oleh pendakwah dan pedagang Islam. Selain itu, pengaruh seni bina Cina kepada seni bina masjid di Melaka amat jelas dan hal ini pasti ada kaitannya juga dengan pengaruh pendakwah dari Cina. Daripada analsis yang pernah dilakukan oleh Jaffary Awang (2005) tentang perbandingan antara nilai dan amalan budaya niaga Cina dengan nilai dan budaya niaga dalam Islam dan analisis Nasruddin Yunos (2005) tentang aspek kerohanian dan kebendaan dalam budaya bekerja masyarakat Cina, misalnya, dapat direncanakan kajian-kajian perbandingan yang berkaitan dengan pelbagai aspek dalam tamadun Cina dan Islam, terutama yang berkaitan dengan Islam di alam Melayu.

4. Kajian perbandingan falsafah dan pemikiran Cina dengan falsafah dan pemikiran Melayu merupakan satu bidang kajian yang penting dan menarik. Pusat Dialog Peradaban, Universiti Malaya pernah mengadakan siri seminar perbandingan ketamadunan dan hasil seminar dan kajian yang telah dijalankan dapat menjadi titik tolak untuk diperdalam dan diperluas. Antara yang menarik dan penting termasuklah perbandingan Konfusionisme, yang menjadi salah satu asas tamadun Cina dalam hal pemikiran, dengan Islam yang yang menjadi tunjang tamadun Melayu. Wacana seperti International Seminar on Islam and Confucianism, A Civilizational Dialog (12-14 Mac 1995) banyak mengupas persamaan antara prinsip-prinsip Islam dengan prinsip-prinsip Konfusianisme yang bersifat sejagat. Demkikain juga, analisisYaacob Yusoff Awang (2005) tentang Konfusianisme di Malaysia dan amalan oleh masyarakat Cina dan Taiwan banyak menunjukkan kesejajaran yang pasti dapat menjadi asas persefahaman antara tamadun. Aspek perbandingan falsafah dan pemikiran yang lain meliputi kosmologi, sistem kepercayaan dan pandangan sarwa (worldview).

5. Kajian perbandingan pelbagai aspek kebudayaan antara dua tamadun, seperti sistem nilai, kesantunan, lambang dan imej (objek alam, warna dll), kesenian (antaranya perbandingan wayang kulit Melayu dan wayang kulit Cina), sastera (antaranya perbandingan antara pantun Melayu dengan puisi Cina yang menyerupai pantun), busana, permainan tradisi dan seni bina.

6. Kajian kontrastif tentang pelbagai aspek sistem bahasa Melayu dan bahasa Cina, seperti aspek fonologi, morfologi, sintaksis dan peribahasa. Kajian kontrastif aspek fonologi, morfologi dan sintaksis dapat membantu pengajar dan pelajar dalam proses pengajaran dan pemelajaran bahasa Melayu, khususnya bagi pengajaran bahasa Melayu sebagai bahasa asing. Kajian perbandingan peribahasa pula lebih berkaitan dengan falsafah, pemikiran, sistem nilai dan pandangan sarwa masyarakat dan dapat dimanfaatkan untuk peneguhan penguasaan bahasa, terutama dalam aspek dinamis bahasa seperti dalam pidato dan karangan.

Penerbitan

Antara penerbitan yang perlu diupayakan dalam rangka kerjasama ketamadunan termasuklah:
1. Kamus dwibahasa bahasa Melayu-bahasa Cina, terutama kamus pelajar, yang menekankan latar budaya yang sesuai dengan keperluan pelajar memupuk persefahaman antara budaya. Selain kamus umum yang disusun entrinya berdasarkan urutan abjad, perlu disusun kamus yang berasaskan konsep medan makna, kerana kamus seumpama itu dapat membantu pemahaman unsur budaya atau tamadun dengan lebih berkesan. Kamus lain yang amat penting ialah kamus ungkapan (bukan sekadar peribahasa, tetapi meliputi aspek ungkapan yang lebih luas), kerana inilah aspek penggunaan bahasa yang paling mencabar bagi pelajar asing. Daripada segi bentuknya pula, selain kamus bercetak, perlu diusahakan kamus di talian (online dictionary) yang memberikan kemudahan kepada pelajar membuat rujukan segera dan entri serta maklumat kamus pun dapat senantiasa dikemaskinikan dari waktu ke waktu, berbanding dengan kamus bercetak yang memerlukan waktu yang panjang untuk memperoleh edisi semakan. Sebagai catatan, Pusat Pengajian Asia Tenggara, Northern Illinois University sedang merancang untuk memulakan projek kamus dwibahasa bahasa Melayu – bahasa Inggeris di talian (maklumat daripada komunikasi dengan Pengarahnya, Prof. Dr James T. Collins).

2. Buku pedagogi bahasa untuk rujukan dan panduan pengajaran bahasa Melayu kepada pelajar asing, secara bermodul. Yang berkaitan dengan buku pedagogi ialah buku tuntunan bahasa yang praktis untuk kegunaan pelajar dalam bentuk yang mesra pengguna (termasuk dalam bentuk komik dan aplikasi bahan tuntunan bahasa dalam realiti kehidupan), yang memperhitungkan latar budaya Melayu dan budaya setempat pelajar asing. Daripada segi bentuknya, buku bercetak memerlukan sokongan bahan terbitan elektronik seperti CD dan DVD.

3. Siri monograf kajian semasa yang memerikan aspek-aspek tertentu tamadun Melayu dan tamadun Cina untuk memupuk pemahaman dan persefahaman dalam kalangan pendukung dua tamadun itu. Dalam konteks ini, Kursi Pengajian Melayu di Pusat Pengajian Melayu China telah memulakan penerbitan siri tersebut. Siri itu dapat dimanfaatkan juga untuk memuat tesis dan disertasi yang dihasilkan oleh sarjana Melayu dan China tentang bidang pengajian Melayu (linguistik, sastera, budaya, sejarah, falsafah dll). Model yang dapat digunakan ialah siri penerbitan yang pada suatu waktu dahulu amat mengesankan, iaitu ILDEP (Indonesian Language for Development Project) yang diusahakan oleh Institut Antarabangsa Pengajian Asia Tenggara (IIAS) di Leiden, Belanda dengan kerjasama Pusat Bahasa Indonesia.

4. Yang tidak kurang pentingnya ialah portal atau laman web pengajian Melayu yang berpangkalan di Beijing untuk memuat berita, hasil kajian, penerbitan dan bahan-bahan tuntutan bahasa dll. Sebagai permulaan, Pusat Pengajian Melayu China telah bekerjasama dengan Bahagian Bahasa Melayu, Radio China Antarabangsa dalam pengisian blog yang disediakan oleh Laman Web CRI untuk Kursi Pengajian Melayu.

Pengembangan/Kegiatan

Kerja-kerja pengembangan perlu digiatkan untuk menyemarakkan slogan “Tak kenal maka tak cinta”, melalui kegiatan seperti pertandingan pidato dan penulisan wilayah Asia Timur, persidangan, seminar, kolokium dan siri kunjungan budaya ke lokasi-lokasi di tanah besar China, di alam Melayu dan lain-lain. Program pertukaran pelajar BFSU – UM yang bermula sejak tahun 2007 telah memperlihatkan kesan positif dalam konteks persefahaman antara tamadun melalui pengajian Melayu. Pelajar BFSU, di sisi memperoleh manfaat ilmu bahasa, sastera dan budaya Melayu sepanjang satu semester di Universiti Malaya turut menyertai program perambihan (homestay) di rumah keluarga Melayu, sambil melakukan penelitan dan menyediakan kajian. Pelajar Universiti Malaya pula selama sebulan setengah ditempatkan di BFSU untuk mempelajari bahasa Mandarin dan meninjau aspek-aspek kebudayaan masyarakat Cina di tanah leluhur sahabat-sahabat Cinanya di Malaysia.

Prasarana dan Jaringan Kerjasama

Aspek ini merupakan jaminan berlangsungnya segala pelan tindakan untuk memajukan jalinan persefahaman antara tamadun melalui pengajian Melayu. Antara upaya yang mesti digerakkan termasuklah:

1. Mengaktifkan semula Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) yang telah diluluskan oleh Jemaah Menteri Malaysia pada tahun 1997 dan telah mula digerakkan pada tahun 2000 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia, tetapi malangnya terhenti sesudah tahun 2004 atas alasan yang tidak jelas kepada anggota-angota MABM yang mewakili benua dan wilayah. MABM, dalam tempoh empat tahun bergerak telah berhasil membentuk rangkaian kerjasama antara negara, wilayah dan benua, sama ada melalui peningkatan program pengajian Melayu/Indonesia di serata dunia, pertukaran pakar dalam bidang bahasa, sastera dan budaya, penjanaan projek kajian, penerbitan jurnal antarabangsa Melayu, siri seminar antarabangsa beserta kunjungan budaya, program perambihan (homestay) pelajar bahasa Melayu/Indonesia antarabangsa di alam Melayu dan beberapa program lain lagi.

2. Pelbagai pusat pengajian Melayu yang ada di seluruh dunia perlu mengadakan jaringan kerjasama yang lebih akrab dan padu, seperti melalui penganjuran projek kajian dan penerbitan bersama (yang dengan sendirinya dapat menghemat kos). Direktori Pengajian Melayu Sedunia perlu diusahakan supaya semua sarjana pengajian Melayu dapat dikenal pasti, baik daripada segi bidang kepakaran, cara perhubungan mahupun pengemaskinian data peribadi.

Penutup

Jalinan persefahaman antara tamadun, sebagaimana yang telah dihuraikan dalam bahagian awal kertas kerja ini, merupakan tuntutan fitrah kepada manusia sejagat, demi mencapai keharmonian, kedamaian dan kesejahteraan manusiawi. Dalam konteks jalinan persefahaman antara tamadun Melayu dengan tamadun Cina, terang bahawa hal itu telah berlangsung demikian lamanya, melebihi dua alaf dan menjadi tanggungjawab kita yang ada dalam zaman ini untuk meningkatkannya secara berperancangan. Rasa nostalgia semata-mata akan keakraban pada zaman lampau tidak akan membawa kita maju, melainkan disertai iltizam dan upaya menjana program-program untuk mengisi jalinan persefahaman itu. Dalam kertas kerja ini telah diutarakan beberapa pelan tindakan untuk memenuhi gagasan tersebut. Marilah kita melangkah bermula dengan alif dan membilang bermula dengan satu.

Bibliografi

Awang Sariyan. 2002. “Bahasa Melayu sebagai Wahana Pemersatuan dan Pemerkasaannya di Persada Antarabangsa”. Kolokium Bahasa dan Budaya, Universiti Frankfurt, Jerman.

Awang Sariyan. 2006. Warna dan Suasana Perancangan Bahasa Melayu di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Awang Sariyan. 2007. “Keunggulan Bahasa, Persuratan dan Tamadun Melayu”. Ucap Utama Seminar Pasca-Kongres, GAPENA, PEMENANG, Dewan Bahasa dan Pustaka dan Persatuan Penulis Pulau Pinang.

Awang Sariyan. 2009. Mencari Makna Diri Melayu: Renungan untuk Bangsaku. Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik Malaysia.

Awang Sariyan. 2009. "Menjalin Persefahaman antara Tamadun: Gagasan Pelan Tindakan". Kertas kerja utama Persidangan Antarabangsa Pengajian Melayu Beijing 2009. Pusat Pengajian Melayu China, Beijing Foreign Studies University (31 Mei-3 Jun 2009)

Collins, J. T. 1998. Malay, World Language A Short History. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Fatimi, S.Q. 1963. Islam Comes to Malaysia. Singapura: Malaysia Sociological Research Institute.

Liang Liji. 1996 (Cet ke-2 2009). Hubungan Empayar Melaka – Dinasti Ming Abad Ke-15. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Mahmud Dhaouadi. 1986. “An exploration into Khaldun and Western Classical Sociologists’ Thought on the Dynamics of Change”, Islamic Quartely, V, XXX, no. 3.

Mohd. Fauzi Hamat. 2005. “Budaya berfikir kritis menurut Ibn Khaldun sebagai asas pembinaan budaya berfikir Melayu masa kini” dlm. Wan Abd. Hamid Wan Teh et al. 2005. Budaya dan Pemikiran dalam Masyarakat Global: Malaysia dan China. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Yaacob Yusoff Awang. 2005. “Konfusianisme di Malaysia: Satu Kajian Emprikial terhadap Amalan dan Aplikasi oleh Masyarakat Cina dan Taiwan” dlm. Wan Abd. Hamid Wan The et al. (Ed.). 2005. Budaya dan Pemikiran dalam Masyarakat Global: Malaysia dan China. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Wan Abd. Hamid Wan The et al. (Ed.). 2005. Budaya dan Pemikiran dalam Masyarakat Global: Malaysia dan China. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Zhao Yue Zhen. 2007. “Perkembanan Bahasa Melayu di China dan Impak Kesarjanaan China dalam Pengajian Melayu” (Tesis Sarjana Pengajian Melayu, Beijing Foreign Studies University).


~Kembara Bahasa~
4 Disember 2011/8 Muharam 1433


No comments:

Post a Comment