Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Monday, June 28, 2010

Kajian Islam di China: Menjejaki Warisan Islam di Kunming (4)

Islam nan Mekar di Yunnan dan Kunming




Keterangan gambar: Masjid Nan Cheng di Jalan Jin Bi; Pintu gerbang Sekolah Menengah Etnik-etnik Kunming; Paparan perihal pentingnya ilmu, termasuk petikan hadith

Sesudah menyorot kisah Islam di Baldatun Na Gu dan kisah aktivis Islam yang zuhud di Kota Kuming, kisah Islam di Kunming saya putar semula kepada beberapa maklumat yang sempat saya peroleh dalam kunjungan rehlah keluarga beserta kajian ringkas.

Kota Kunming bersejarah yang cukup panjang, iaitu 2400 tahun. Cuaca yang nyaman pada sepanjang tahun menyebabkan Kunming mendapat jolokan "Kota Musim Bunga Abadi". Kedudukannya yang strategis di bahagian barat daya China menjadikannya pintu keluar masuk utama Jalan Sutera untuk perdagangan dari dan ke Tibet, Sichuan, Myanmar dan India, dalam zaman silam. Hingga kini, Yunnan, iaitu provinsi yang ibu kotanya Kunming terkenal sebagai bahagian segi tiga emas bersama-sama Laos dan Mynmar.

Yunnan menampung jumlah etnik yang terbesar berbanding dengan provinsi-provinsi lain di China. Terdapat 26 kumpulan etnik minoriti di Yunnan, seperti Yi, Bai, Miao dan Dai. Penduduk Islam di Yunnan tidak tergolong dalam etnik yang 26 itu, oleh sebab jumlahnya yang agak besar, iaitu kira-kira satu perlapan daripada penduduk Yunnan seluruhnya. Hal ini menujukkan bahawa provinsi Yunnan, termasuk Kunming sebagai ibu kotanya merupakan bumi tempat mekarnya Islam berkembang yang warisannya masih bertahan hingga kini. Dua hari raya, iaitu Idulfitri dan Iduladha diiktiraf sebagai cuti umum bagi orang Islam di Yunnan.

Sejarah petempatan orang Islam di Yunnan dikatakan bermula dalam zaman Dinasti Yuan, iaitu dinasti orang Monggolia, pada abad ke-13. Meskipun dinasti itu bercitrakan agama Buddha, namun banyak tenteranya yang terdiri daripada orang Islam. Dengan kedatangan tentera-tentera dinasti itu ke Yunnan, terjadilah perkahwinan campur dengan penduduk setempat sehingga berkembanglah zuriat orang Islam dari waktu ke waktu.

Di Yunnan, terdapat empat pusat petempatan Islam yang besar. Selain di Kunming, penduduk Islam banyak bermastautin di Shidian, Shadian dan Na Gu. Malah di Dali, iaitu kota yang dahulunya menjadi ibu kota Yunnan pun terdapat jumlah penduduk Islam yang agak besar. Kisah Islam di Na Gu telah sedikit banyaknya saya perikan dalam bahagian ketiga siri rencana ini. Menurut pemilik kedai makan tidak jauh dari pusat pelancongan Hutan Batu (Stone Forest) yang perjalanannya dari Kunming mengambil waktu dua jam, Haji Yusuf, di bandar Shidian terdapat 40 ribu penduduk Islam. Keseluruhan penduduk Islam di Yunnan berjumlah 600 ribu orang. Amatlah menarik bahawa dalam perjalanan dari Kunming ke Hutan Batu, kelihatan beberapa buah masjid yang seakan-akan menyerupai masjid di Melaka.

Orang Islam di Yunnan terdiri daripada dua kumpulan utama, iaitu orang Hui dan orang Monggol. Orang Hui sebenarnya merupakan istilah yang digunakan untuk merujuk kepada semua orang Islam di China, tetapi pada hakikatnya orang Islam terdiri daripada tidak kurang 10 kaum yang berbeda, seperti orang Hui, Uyghur (di Xinjiang), Kirgiz, Tatar, Tajik, Dongxiang, Sala dan Bao'an.

Terakam dalam sejarah bahawa tentera yang beragama Islam banyak terlibat dalam peperangan menentang penjajahan Jepun. Sewaktu Republik Rakyat China di tubuhkan pada tahun 1848 pula, banyak pegawai daripada kalangan orang Islam yang dilantik menjadi pegawai pemerintah. Sebagai bukti bahawa penduduk Islam merupakan bahagian yang penting di Yunnan, di kota Kunming terdapat pejabat hal ehwal agama Islam.

Orang Islam di China dapat dikenal dengan agak mudah berdasarkan nama keluarga (yang letaknya di pangkal nama seseorang) walaupun tidak semua orang Islam di China menggunakan nama berkenaan. Antara nama yang cukup terkenal termasuklah Sha, Ma dan Na. Tentang nama ma, terdapat etimologi atau asal usul kata yang menarik. Kata itu dalam bahasa Mandarin (dengan sebutan nada 3) bermakna 'kuda'. Orang Islam pada zaman dahulu banyak yang berniaga kuda; lalu lekatlah nama keluarga itu di pangkal nama orang yang berketurunan peniaga kuda. Di Malaysia, kita kenal akan tokoh dakwah dan usahawan China yang terkenal, iaitu Allahyarham Ibrahim Ma.

Sementara itu, menurut Haji Salehah yang saya temui di Na Gu, nama keluarga Na pula dipercayai ada kaitannya dengan keturunan yang bernasab Nabi Muhammad, sama dengan kepercayaan dalam masyarakat Melayu bahawa Sayid atau Syed itu ada kaitannya dengan keturunan Nabi.

Di Kunming, petempatan Islam yang terkenal ialah Jalan Jin Bi (Jin Bi Lu). Namun demikian, pemodenan kota itu telah menyebabkan jalan Jin Bi kehilangan sebahagian citra sebagai petempatan dan kawasaan perniagaan orang Islam, apabila di situ didirikan pelbagai pusat beli belah dan kompleks pejabat yang baharu, mulai tahun 2005.

Bagaimanapn syukur kerana warisan petempatan dan kawasan perniagaan serta pusat kegiatan orang Islam masih dapat diperhatikan dengan jelas di sepanjang jalan itu. Lelaki berkopiah putih dan wanita bertudung yang sibuk dengan kegiatan masing-masing masih dengan mudah dan kerap dapat dilihat. Masjid terbesar dan termoden, iaitu Masjid Nan Cheng (Masjid Bandar Selatan) yang berusia 300 tahun tetapi telah dibina semula dengan seni bina moden pada tahun 2009 menjadi salah satu mercu tanda di kota Kunming, dan khususnya di Jalan Jin Bi. Masjid empat tingkat itu lengkap dengan dataran medan selera, ruang pejabat, kemudahan penginapan, ruang perniagaan dan dewat solat serta kemudahan lain dan terletak di pusat perniagaan yang cukup sibuk.

Selain masjid itu, terdapat lima buah masjid lain di Kunming, iaitu Masjid Shun Cheng (Masjid Susur Bandar), Masjid Yong Lin (Masjid Kekal Abadi), Masjid Jin Niu Jie (Masjid Jalan Kerbau Emas), Masjid Yi Xi Gong (Masjid Gotong-royong Orang Barat) dan Masjid Ceng De (Masjid Menghargai Budi Bahas). Antara semua masjid itu, Masjid Shun Cheng merupakan masjid yang tertua, iaitu berusia 400 tahun dan masjid yang paling aktif dalam pengembangan dakwah. Kompleks masjid itu bukan sahaja lengkap dengan bangunan masjid wanita yang terpisah daripada bangunan utama masjid, bahkan dilengkapi madrasah berasrama yang menawarkan kursus bahasa Arab dan pengajian al-Qur'an. Kursus jangka panjang berlangsung selama empat tahun, selain kursus jangka pendek yang pelajarnya terdiri daripada orang dewasa dan remaja. Dalam kunjungan saya ke masjid itu, kelihatan sejumlah wanita dewas berbual-bual di koridor tingkat atas asrama dan sebilangan yang lain mengambil angin di pekarangan masjid. Di luar kompleks masjid pula, terdapat beberapa baris kedai yang menjual barang keperluan orang Islam, termasuk kedai pakaian dan kedai makan. Ada antara kedai pakaian itu yang menjual kain tudung dari Malaysia.

Sekolah Menengah Etnik-etnik, iaitu sekolah yang menampung pelajar pelbagai etnik, termasuk pelajar Islam berdiri megah di susur Jalan Jin Bi. Ada dua hal yang cukup menarik sebagai kesan pandangan pertama apabila melihat sekolah itu. Yang pertama ialah seni bina di bahagian hadapan, terutama pintu gerbang dan temboknya yang menggambaran seni bina Islam. Yang kedua ialah adanya paparan setinggi tidak kurang daripada 10 kaki atau lebih kurang tiga meter di sisi kanan dan sisi kiri pintu gerbang itu. Di sisi kanannya terdapat tiga paparan petikan hadith Nabi, pepatah Kongfutze dan seruan Mao Ze Dong, kesemuanya tentang perihal pentingnya ilmu dan pendidikan. Di sisi kirinya pula terdapat paparan nama tiga orang sarjana terkenal, termasuk seorang sarjana Islam. Kedua-dua hal yang cukup menarik itu, iaitu seni bina Islam sebagai citra sekolah menengah pelbagai etnik dan paparan perihal pentingnya ilmu dan sarjana Islam menjadi bukti jelas bahawa Islam telah demikian lamanya berakar dan mekar di Yunnan, termasuk di Kunming. Malahan kedua-dua hal itu tadi turut membuktikan penerimaan dan tolerasni etnik-etnik lain terhadap orang Islam yang cukup tinggi di situ.

Hati saya bagaikan digamit oleh lambaian kota-kota lain di Yunnan yang turut menjadi petempatan orang Islam. Pasti banyak warisan Islam yang dapat ditemukan dan diperhatikan di sana. Tidaklah menghairankan bahawa Maharaja dalam Dinasti Ming mengutus putera China dari Kunming, iaitu Laksamana Zheng He (dalam persuratan dan sejarah Melayu dikenal sebagai Laksamana Cheng Ho dan nama Islamnya Ma Poh Sam) sebanyak tujuh kali ke alam Melayu, terutama ke Melaka, kerana beliau merupakan bukan sahaja duta yang hebat malahan pendukung syiar Islam yang membawa berkat dalam hubungan antara alam Melayu dengan China. Semoga Islam dan umat Islam di Yunnan dirahmati Allah dan melanjutkan penyuburan syiar Islam di bumi China.

Friday, June 25, 2010

Pemansuhan UPSR dan PMR

PENYATAAN MEDIA
ISU PEMANSUHAN PEPERIKSAAN UPSR DAN PMR


Sebarang keputusan yang berkaitan dengan bidang pendidikan negara pertama-tama hendaklah berasaskan dasar pendidikan yang telah disepakati atas prinsip tertentu. Bagi negara kita, dasar pendidikan kebangsaan telah mengalami transormasi yang amat bererti apabila secara rasmi Falsafah Pendidikan Negara (FPN) digubal dan diisytiharkan pada tahun 1987 dan versi sempurnanya pada tahun 1988.

Serentak dengan pengisytiharan FPN, sistem pendidikan negara beranjak daripada sistem yang lebih berpusat pada pencapaian akademik kepada sistem yang berpusat pada pembinaan sahsiah secara menyeluruh dan bersepadu daripada segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Kurikulum Bersepadu diperkenalkan dan menjadi tunjang sistem pendidikan negara. Transformasi itu merupakan pelaksanaan yang berdasarkan Laporan Kabinet Mengkaji Semula Pelaksanaan Dasar Pelajaran yang terbit pada tahun 1979.

Jika asas keputusan Kementerian Pendidikan hendak memansuhkan dua peperiksaan umum, iaitu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Peperiksaan Menengah Rendah berlandaskan tujuan untuk mencapai matlamat pembinaan sahsiah pelajar dengan lebih berkesan, maka cadangan itu perlu disokong. Dengan pemansuhan kedua-dua peperiksaan umum itu, tumpuan perhatian pelajar, guru dan ibu bapa diharapkan dapat dijuruskan lebih banyak kepada usaha dan langkah pembinaan sahsiah yang menyeluruh dan bersepadu itu.

Sikap dan tindakan tidak akan terbendung semata-mata oleh pencapaian gred dalam peperiksaan, sehingga perhatian kepada aspek pembinaan sahsiah terabai atau diberi perhatian sampingan. Tambahan pula, secara praktisnya, kelulusan pada kedua-dua peringkat itu tidak mempunyai nilai yang begitu penting sebagai ukuran atau keperluan untuk peringkat pendidikan seterusnya, selain untuk keperluan pemilihan ke sekolah berasrama penuh.

Walau bagaimanapun, Kementerian Pendidikan perlu membuat perancangan yang amat teliti dan rinci tentang bagaimana cita-cita untuk mengalih paradigma pemikiran dan sikap semua pihak berkepentingan, iaitu pelajar, guru dan ibu bapa itu dapat dipenuhi dengan sebaik-baiknya. Pengalaman menyaksikan pelaksanaan Kurikulum Bersepadu (KBSR dan KBSM) menunjukkan bahawa dasar yang baik semata-mata, tanpa susulan dan pemantauan yang cukup berkesan tidak menimbulkan kesan yang diharapkan.

Walaupun dalam tempoh lebih kurang 10 tahun pertama dilaksanakan, Kurikulum Bersepadu memperlihatkan hasil dan kesan yang menggalakkan, namun sesudah itu ketara berlakunya pencairan, sehingga beberapa teras Kurikulum Bersepadu seperti Bahasa Merentas Kurikulum, Nilai Murni Merentas Kurikulum dan Kemahiran Berfikir Kreatif dan Kritis Merentas Kurikulum tidak jelas lagi pelaksanaannya. Akhirnya, sistem pendidikan yang berpusat pada pencapaian akademik lebih daripada pencapaian menyeluruh dalam pembinaan sahsiah mengambil tempat semula.

Seluruh jentera Kementerian Pendidikan, terutamanya perancang kurikulum, bahagian penilaian dan bahagian latihan guru perlu digerakkan dengan bersepadu untuk merangka satu pelan tindakan yang dapat memenuhi idealisme pendidikan bersepadu. Sistem penilaian alternatif perlu direncanakan dengan jelas agar pihak pengurusan sekolah mempunyai garis panduan yang tepat untuk melaksanakan sistem penilaian alternatif itu.

Pada asasnya, saya bersetuju bahawa penilaian berasaskan sekolah perlu dijadikan alternatif penilaian umum di seluruh negara, yang memang sudah lama dibincangkan. Sekali lagi, penilaian berasaskan sekolah pun memerlukan garis panduan yang tuntas untuk dilaksanakan oleh pihak pengurusan sekolah, kerana akhirnya pihak itulah yang bertanggungjawab melaksanakannya dan memastikan pencapaian sistem alternatif itu.

Akhirnya, peralihan paradigma yang cuba dilakukan oleh Kementerian Pendidikan hendaknya tidak semata-mata berlangsung dalam bentuk pemansuhan dua peperiksaan umum itu, tetapi hendaklah benar-benar kembali kepada terasnya, iaitu pelaksanaan sistem pendidikan yang dapat membina insan yang baik, sesuai dengan matlamat pendidikan yang digariskan oleh Islam (dan agama lain), dan telah pun diisytiharkan dalam Falsafah Pendidikan Negara.

Prof. Dr. Awang Sariyan
Penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia-China
Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia – Beijing Foreign Studies University

Wednesday, June 23, 2010

Mencari Makna Diri Melayu: Renungan untuk Bangsaku (3)


Buku Mencari Makna Diri Melayu: Renungan untuk Bangsaku diterbitkan oleh Persatuan Linguistik Malaysia

Mencari Makna Diri Melayu (Bahagian 3)
Kian Rapuhnya Kontrak Sosial yang Berteraskan Melayu

Awang Sariyan

Kontrak sosial sudah tidak relevan?


Kontrak sosial yang menjadi asas pembentukan konsep kebangsaan dan kenegaraan kian tidak difahami malah dipersoalkan. Sebilangan yang mempertikaikan kontrak sosial yang berteraskan Melayu berbahas daripada sudut istilah kerana ketiadaan istilah itu dalam Perlembagaan atau mana-mana dokumen perundang-undangan negara. Inilah kesan buruk apabila sejarah dipandang remeh sehingga beberapa peruntukan dasar dalam Perlembagaan yang dengan jelas merupakan kontrak sosial rakyat negara ini tidak dapat dilihat roh dan semangatnya oleh sesetengah kalangan. Mereka berbahas tentang soal kulit, bukan soal inti sarinya.

Belum ada kajian yang dibuat tentang adakah masyarakat kini, khususnya generasi muda memahami isu yang berkaitan dengan kontrak sosial. Soal yang lebih asas lagi ialah fahamkah masyarakat akan kandungan kontrak sosial itu? Tampaknya isu kontrak sosial ini bukan isu khusus generasi muda kerana banyak juga yang telah tidak muda lagi yang sama ada memang tidak faham, tidak sedar atau meremehkannya. Apabila pada sekitar dua minggu pertama bulan Ogos 2005 Presiden Parti Gerakan ketika itu, Lim Keng Yaik membangkitkan isu kontrak sosial yang dianggapnya sudah tidak sesuai dengan zaman lagi, kurang kita dengar atau kita baca reaksi atau polemik tentang isu itu.

Ada reaksi beberapa orang tokoh dalam bentuk laporan di media tetapi gemanya tidak sampai menggugah pemikiran dan sanubari masyarakat terbanyak, terutama orang Melayu sendiri, seolah-olah isu itu memang tidak relevan dan tidak ada kepentingannya lagi. Barangkali sebahagian besar masyarakat tidak mengerti pun apakah “kontrak sosial” itu. Hanya apabila Chua Soi Lek, ketika itu Timbalan Presiden MCA dan beberapa orang pemimpin parti politik mempertikaikan kontrak sosial yang berteraskan Melayu, baru dapat kita saksikan reaksi sejumlah pemimpin Melayu.

Kontrak sosial dalam sejarah pembentukan bangsa dan negara


Kontrak sosial yang saya maksudkan itu merupakan unsur penting dalam sejarah pembentukan bangsa dan negara ini. Sebelum kedatangan penjajah Inggeris, Tanah Melayu diidentifikasikan dengan penduduk asalnya yang teras, iaitu bangsa Melayu. Hakikat ini menjadi fakta sejarah yang tidak mungkin dapat dinafikan oleh sesiapa pun kerana bukan hanya merupakan dakwaan orang Melayu semata-mata, tetapi dirakamkan oleh para sarjana dan penulis dari luar, termasuk dari Barat juga. Penduduk di Kepuluauan Melayu, termasuk Tanah Melayu ialah bangsa Melayu. Maka itu pandangan nakal atau tidak bertanggungjawab sesetengah pihak (seperti Ketua Wanita Gerakan yang menjadi timbalan menteri kabinet) yang mengatakan bahawa bangsa Melayu bukan penduduk asal Tanah Melayu ternyata terbit daripada orang yang buta sejarah.

Apabila penjajah membawa orang Cina dan India secara beramai-ramai untuk menjadi tenaga kerja bagi manipulasi ekonomi penjajah itu sendiri, maka situasi demografi negara ini secara langsung berubah. Atas desakan penjajah Inggeris, orang Melayu perlu menerima syarat kemerdekaan yang akan diberikan hanya jika kaum-kaum yang asalnya pendatang itu diterima sebagai warganegara. Sebagai imbangan kepada pemberian taraf kewarganegaraan itu, maka para pemimpin kaum-kaum lain itu setuju menerima peruntukan yang berkaitan dengan kepentingan orang Melayu.

Perkara yang menjadi asas persetujuan itu ialah kedudukan raja-raja Melayu, kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi serta hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera. Itulah yang dinamai kontrak sosial dalam konteks pembentukan negara ini sesudah lepas daripada belenggu penjajahan. Semua perkara itu dirakamkan dalam manifesto pilihanraya pertama pada tahun 1955 dan kemudian apabila negara merdeka pada tahun 1957, perkara-perkara itu dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kedudukan raja-raja Melayu termaktub dalam Perkara 32(1), manakala kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi dimaktubkan dalam Perkara 152(1), Islam sebagai agama Persekutuan dalam Peerkara 3(10) dan hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera (kemudian apabila tertubuh Malaysia pada tahun 1963, hak istimewa itu turut merangkum Bumiputera lain, terutama di Sabah dan di Sarawak).

Tanpa kontrak sosial itu, tidak terbentuk bangsa dan negara yang acuannya kita warisi hingga kini. Oleh itu, apabila ada pihak yang mempertikaikan kontrak sosial yang cukup penting itu, dan mengatakannya sudah tidak relevan dan hanya menimbulkan rasa sakit hati dalam kalangan kaum-kaum yang diterima menjadi warganegara, maka penyataan pendapat seumpama itu sebenarnya tertakluk kepada Akta Hasutan dan tindakan yang setimpal perlu dikenakan ke atas orang berkenaan. Teryata bahawa orang Melayu masih tetap terus menjadi bangsa yang cukup bertolak ansur dan tinggi tahap kesabarannya (atau sebenarnya tidak cukup kental semangatnya?). Tiada gesaan dan tiada pula fikiran untuk mengambil tindakan yang sewajarnya sedang dalam kes-kes lain ada kalanya cukup segera tindakan dikenakan.

Adakah kita, khususnya para pemimpin dan cerdik pandai di negara ini sudah tidak peka lagi atau memang setuju bahawa isu kontrak sosial itu sudah tidak relevan lagi dalam konteks sekarang ini? Yang nyata, tidak ketara suara kritis daripada pimpinan Melayu, sama ada untuk mempertahankannya atau sekurang-kurangnya untuk menyampaikan maklumat tentang hakikat sebenar kontrak sosial bagi rakyat negara ini, sedang Prof. Khoo Kay Kim sebagai ahli sejarah percaya bahawa sehingga tahun 2020 sekalipun kontrak sosial tidak mungkin dapat dilupakan begitu sahaja (Berita Minggu, 21 Ogos 2005, hlm. 19).

Kumpulan Prihatin yang dianggotai oleh sekumpulan veteran pejuang kebangsaan dan ketua beberapa persatuan bahasa dan persuratan, melalui beberapa kongres, seminar dan pernyataan media, telah berkali-kali menimbulkan gagasan pentingnya kontrak sosial itu dijelaskan dengan meluas melalui sistem pendidikan dan melalui pelbagai wacana di peringkat kepemimpinan tertinggi negara dan juga di pelbagai peringkat kepemimpinan yang lain. Kerana memahami bahawa kontrak sosial itu jugalah yang menjamin kedudukan bahasa kebangsaan, agama Islam dan hak istimewa Melayu dan Bumiputera, maka Kumpulan Prihatin dalam pelbagai memorandum dan tulisan terus-menerus menggesa agar kontrak sosial itu senantiasa dijadikan premis dalam apa-apa juga dasar yang digubal agar tidak sampai merugikan bangsa teras itu sendiri.

Kini kita tahu bagaimana secara beransur-ansur “tongkat” telah tidak dibekalkan lagi kepada orang Melayu dan Bumiputera. Mereka perlu bermain di padang yang tidak sama rata. Mereka mungkin mendapat peluang belajar di institusi pengajian tinggi tetapi mereka harus menyelesaikan masalah ketiadaan biaya kerana tiada lagi biasiswa dan pinjaman daripada tabung pengajian tinggi pun lebih mengutamakan kursus-kursus yang diistilahkan sebagai kursus kritikal sahaja. Jika kelulusan untuk melayakkan seseorang masuk ke universiti mencapai tahap yang sewajarnya, mereka perlu bersedia untuk tidak diterima kerana segala-galanya sudah didasarkan pada meritokrasi. Hak istimewa tinggal pada dokumen undang-undang dan suratan sejarah.

Pada zaman saya ikut serta menulis buku sejarah dan tatarakyat untuk sekolah menengah pada tahun 1970-an dahulu, fakta tentang kontrak sosial itu diberi penegasan dalam sukatan pelajaran yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan, barangkali kerana pada waktu masih kental semangat perjuangan bangsa dalam kalangan pemimpin dan birokrat yang menduduki jawatan-jawatan penting di jabatan kerajaan. Kini saya tidak pasti adakah hal itu masih ada dalam sukatan pelajaran sejarah dan tatarakyat yang sudah diperkenalkan semula di sekolah.

Kadang kala kita menjadi keliru pula dengan kebangkitan semangat yang meluap-luap dalam kalangan pemimipin untuk membela nasib orang Melayu dan Bumiputera, dan pada waktu yang sama bercakap tentang bangsa Melayu perlu bersaing dengan bukan Bumiputera berdasar merit. Dalam Perhimpunan Agung UMNO Julai 2005, misalnya, isu untuk menghidupkan semula Dasar Ekonomi Baru bergema dengan cukup hebat dan sebahagian besar orang Melayu pun segera dapat memaafkan kealpaan pimpinan dalam memberikan perhatian kepada hak orang Melayu yang dirasakan sering dikompromikan.

Lihat sahaja isu Universiti Merdeka pada tahun 1980-an. Mahkamah menolak penubuhan universiti tersebut kerana bertentangan dengan dasar negara dan Akta Pendidikan yang tidak membolehkan universiti menggunakan bahasa Mandarin sebagai bahasa penghantar. Tetapi Kolej Tunku Abdul Rahman dibenarkan beroperasi, malah dengan bantuan kewangan kerajaan. Kini telah wujud Universiti Tun Abdul Razak yang tidak jauh berbeda daripada konsep Universiti Merdeka yang ditolak penubuhannya dahulu.

Institusi pendidikan awam yang menampung sebahagian besar orang Melayu dan Bumiputera seperti Institut Teknologi Mara dinaikkan taraf menjadi Universiti Teknologi Mara tetapi orang Melayu kehilangan ITM. Insitut Perguruan Sultan Idris dinaikkan taraf menjadi Universiti Pendidikan Sultan Idris dan IPSI tidak pula dikekalkan. Jadi, orang Melayu tampaknya tetap dalam situasi zaman Pak Kaduk, iaitu “Menang sorak, kampung tergadai”. Saran agar institusi pendidikan yang berteraskan bangsa teras dipertahankan tampaknya tidak dipedulikan oleh pihak berkuasa. Sementara itu, pendidikan yang berteraskan kaum tertentu kian meluas; kini ada juga Kolej Selatan dan beberapa buah kolej lain. Sementara korporat dan parti bukan Melayu memperkukuh pendidikan bangsa mereka, korporat Melayu sebahagian besarnya kurang memperlihatkan tanggungjawab sosial untuk memperbanyak institusi pendidikan bagi kepentingan Melayu. Malah usul agar parti utama Melayu menubuhkan universiti ditolak pula oleh kepemimpinan parti kerana univeristi-universiti awam dianggap universiti milik parti utama bangsa Melayu walhal semua universiti itu membuka pintu yang amat luas kepada semua bangsa. Demikianlah lemahnya pemikiran dalam kepemipinan Melayu.

Tentang kegagalan DEB dalam memenuhi matlamat membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan menysusun semula masyarakat Malaysia, saya kira ulasan Prof. Diraja Ungku Aziz (Mingguan Malaysia, 14 Ogos 2005) mewakili pandangan kritis yang membina dan harus diberi perhatian oleh sesiapa jua yang berhasrat menjuarai isu tersebut. Ungku Aziz tidak melihat kegagalan DEB tidak akan dapat diatasi hanya dengan kesibukan pemimpin hendak meningkatkan ekuiti Melayu dalam modal perniagaan dan perusahaan. Peningkatan ekuiti Melayu dalam modal tidak akan menyelesaikan masalah Melayu kerana masalah teras Melayu terletak pada kemiskinan dan ketinggalan orang Melayu secara menyeluruh yang majoritinya berada di luar bandar.

Oleh itu, dasar ekonomi apa-apa pun perlu difokuskan lebih kepada peningkatan sosioekonomi majoriti Melayu yang kebetulan berada di luar bandar. Strategi mewujudkan sejumlah kecil usahawan dan peniaga Melayu yang kaya dan berjaya dengan bantuan terpilih, sama ada melalui pemberian AP atau saham atau dengan kaedah apa-apa pun sudah sampai waktunya dirobah dan digantikan dengan strategi yang tertumpu pada masyarakat terbanyak. Langkah pimpinan baru di bawah Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri ketika mula-mula mengambil alih tampuk kepemimpinan negara untuk menjadikan pertanian sebagai teras pembangunan negara mudah-mudahan menjadi isyarat ke arah perubahan strategi yang mementingkan rakyat terbanyak itu.

Kini kita menunggu dan menyaksikan sejauh manakah gema semangat yang meluap-luap untuk meningkatkan ekonomi orang Melayu agar berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa lain di negara ini berterusan momentumnya. Adakah juara-juara yang sanggup mati bergalang tanah demi Melayu sebagai bangsa teras itu akan mengisi janji-janji yang telah dibuat atau adakah luapan semangat itu turut berlalu ditiup angin waktu? Orang Melayu perlu menyatakan sikap kritis terhadap hal ini. Kita tidak mahu terjadi seperti yang dikatakan oleh Noor Azam bahawa isu ekonomi Melayu apabila disuarakan lebih sebagai isu politik (mungkin sebagai suatu bentuk pelaburan politik menjelang pemilihan parti?) akhirnya mengundang tentangan pemimpin kaum-kaum lain (Berita Minggu, 21 Ogos 2005, hlm.24). Isu ekonomi tidak ditangani benar-benar secara ekonomi oleh kepepimpinan Melayu dalam tempoh 20 tahun DEB berlangsung dan kini kegagalannya cuba diatasi secara politik.

[Keluaran akan datang – Nasib bahasa Melayu yang sering tidak menentu]

Tuesday, June 22, 2010

Strategi Membudayakan Bahasa Melayu

STRATEGI MEMBUDAYAKAN BAHASA MELAYU UNTUK PEMBINAAN TAMADUN NEGARA
Awang Sariyan

Dalam makalah saya sebelum ini, “Bahasa Berbudaya: Apakah Ertinya", telah saya jelaskan maksud “bahasa berbudaya” sebagai tunjang tamadun sesuatu bangsa dan sesebuah negara. Bahasa berbudaya sebagai petunjuk atau penanda aras tingginya tingkat tamadun sesuatu bangsa dan sesebuah negara tidak mungkin menjadi kenyataan jika proses pembudayaan atau penyerapan dan pelaksanaannya dalam kalangan masyarakat tidak berlangsung. Maka itu, kewujudan bahasa berbudaya sebagai warisan tamadun silam memerlukan pelestarian yang terancang untuk memungkinkan bahasa berbudaya itu terus-menerus berperanan sebagai asas pembinaan dan peningkatan tamadun bangsa dan negara.

Pembudayaan yang dimaksudkan dalam makalah ini ialah pemupukan sikap, kesedaran dan keterlibatan semua pendukung bahasa berbudaya dalam pelaksanaannya dalam pelbagai sektor. Pembudayaan di sini dapat juga disamakan dengan usaha pemasyarakatan bahasa berbudaya untuk mencapai tahap tamadun luhur. Dalam makalah ini, saya menyarankan beberapa strategi yang praktis untuk dijadikan renungan dan pertimbangan oleh pihak berkuasa, badan bukan kerajaan dan golongan cendekiawan.

Peneguhan dasar bahasa

Strategi yang pertama berkaitan dengan usaha peneguhan dan kesetiaan kepada dasar bahasa yang telah ditetapkan dalam undang-undang negara. Ibarat rumah yang telah didirikan sekian lama memerlukan perhatian dari waktu ke waktu untuk menjamin keutuhannya, maka dasar bahasa negara pun senantisa perlu diberi perhatian agar tidak reput dan rosak oleh perubahan semasa. Demikian juga, kesetiaan kepada dasar bahasa perlu dijadikan peringatan secara berterusan kepada semua penggubal dasar dan pelaksana dalam semua sektor kenegaraan, baik dalam pentadbiran, pendidikan, undang-undang, media dan ekonomi.

Dasar Bahasa Kebangsaan telah diungkapkan dengan jelas dalam undang-undang negara, iaitu Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan, Akta Pendidikan dan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka. Yang diperlukan kini ialah peneguhan dasar itu, bukan pengurangan atau pencairannya. Kedudukan dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, sebagai contoh, masih memerlukan peneguhan dalam pelaksanaannya. Meskipun jelas bahawa erti bahasa rasmi dalam Perlembagaan meliputi penggunaan bahasa dalam segala urusan rasmi di peringkat kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa awam, namun sesudah lebih setengah abad merdeka, peruntukan itu belum terlaksana sepenuhnya, malah belum pada tahap yang cukup memuaskan. Kebiasaan bermesyuarat dalam bahasa yang bercampur-aduk antara bahasa Melayu dengan bahasa asing masih merata. Pekeliling yang judulnya sahaja dalam bahasa Melayu sedang seluruh teksnya dalam bahasa asing pun masih dikeluarkan oleh sesetengah kementerian, jabatan dan pihak berkuasa awam.

Kesetiaan kepada dasar bahasa

Kesetiaan kepada Dasar Bahasa Kebangsaan sebagai salah satu dasar negara perlu dibudayakan dengan sungguh-sungguh kepada seluruh lapisan masyarakat, daripada pemimpin negara kepada penjawat awam, pengamal media dan pengendali sektor swasta. Nasihat dan teguran semata-mata tampaknya tidak memberikan kesan yang nyata. Oleh itu, perlu dirangka mekanisme yang dapat memantau pelaksanaan dasar bahasa itu. Dalam era kepemimpinan negara kini menekankan KPI atau Indeks Pencapaian Utama untuk memastikan segala dasar dan perancangan pembangunan negara tercapai dengan optimum, maka sewajarnya dasar bahasa turut diberi ruang dalam KPI di semua peringkat eksekutif.

Dalam beberapa seminar sebelum ini, saya pernah menyarankan agar diwujudkan sistem audit bahasa untuk perkhidmatan awam, jika kita serius dalam pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan. Selagi tidak ada kesungguhan memantau pelaksanaan dasar bahasa dan penggunaan mutu bahasa yang baik, selama itulah dasar bahasa negara dijadikan perkara sampingan (atau malah tidak diacuhkan) dalam penentuan mutu kerja. Saran ini sekali gus dapat menjadi kayu ukur penilaian penguatkuasaan peruntukan-peruntukan undang-undang dan garis panduan yang berkaitan dengan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu.

Pembudayaan melalui sistem pendidikan

Strategi kedua berkaitan dengan pembudayaan melalui sistem pendidikan.Oleh sebab pendidikan merupakan lembaga sosial yang terpenting dalam proses sosialisasi, maka pembudayaan bahasa berbudaya hendaklah benar-benar ditumpukan kepada sektor ini. Kurikulum pendidikan di negara ini berteraskan kurikulum bersepadu yang menekankan kesepaduan antara rohani, jasmani, emosi dan intelek, selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Gagasan bahasa merentas kurikulum yang diperkenalkan sejak tahun 1987 menekankan peranan bahasa sebagai asas penguasaan pelbagai ilmu dan kemahiran. Kajian penilaian perlu dilakukan untuk memastikan adakah bahasa Melayu masih merentas kurikulum atau telah kembali semula ke petaknya yang dahulu kala, iaitu sebagai satu mata pelajaran semata-mata.

Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu sekolah menengah berteraskan tiga komponen utama, iaitu hasil pemelajaran bidang interpersonal, hasil pemelajaran bidang maklumat dan hasil pemelajaran bidang estetik. Apabila menyaksikan lepasan sekolah yang masih menghadapi masalah berkomunikasi dengan meyakinkan, baik dalam lisan mahupun tulisan, kita seharusnya meneliti kesan pendidikan bahasa yang dilaksanakan di sekolah. Demikian juga, penekanan bahasa Melayu tinggi di sekolah yang bertunjangkan sistem bahasa yang teratur tampaknya masih memerlukan peningkatan yang sungguh-sungguh.

Kokurikulum difahami sebagai sokongan untuk mengukuhkan penguasaan kemahiran pelajar, termasuk kemahiran berbahasa. Pembudayaan bahasa berbudaya melalui kegiatan kokurikulum memerlukan perancangan yang benar-benar dapat membantu kemahiran bahasa pelajar.

Sisi lain yang masih perlu ditegaskan kepada kerajaan ialah peri pentingnya bahasa Melayu dikembalikan tarafnya sebagai bahasa penghantar utama di institusi pengajian tinggi awam, dan pada waktu yang sama mengupayakan pemenuhan peruntukan Akta Pendidikan 1996 yang turut meliputi penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama di institusi pengajian tinggi swasta.

Pembudayaan melalui media massa

Selanjutnya, stategi yang tidak kurang pentingnya ialah pembudayaan melalui media massa. Media massa merupakan satu lagi agen sosialiasi yang amat berpengaruh dalam pembentukan sahsiah anggota masyarakat, khususnya golongan muda. Akta penyiaran dan garis panduan penggunaan bahasa Melayu dalam media penyiaran kerajaan dan swasta perlu dikemaskinikan supaya bahasa Melayu mendapat tempat yang sejajar dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan.

Selain aspek pemenuhan taraf bahasa, aspek yang tidak kurang pentingnya dititikberatkan ialah mutu penggunaan bahasanya, termasuk kandungan program yang selari dengan gagasan bahasa berbudaya, terutama bahasa akliah, bahasa ilmu dan bahasa estetik.

Pengayaan khazanah ilmu

Strategi lain ialah pembudayaan melalui pengayaan khazanah ilmu. Dengan menegaskan bahawa prasyarat kelestarian sesuatu tamadun ialah kesuburan budaya ilmunya, maka upaya pengayaan khazanah ilmu dalam bahasa Melayu perlu diketengahkan sebagai agenda pembangunan negara yang jelas. Cita-cita untuk menempatkan universiti di negara ini dalam penarafan yang cemerlang di peringkat antarabangsa tidak harus sampai menenggelamkan penghormatan kepada nilai ilmu yang ditulis dan diterbitkan dalam bahasa Melayu. Usahakanlah penerbitan dalam jurnal yang tersenarai dalam siri yang diiktiraf itu, tetapi tidak seharusnya diremehkan dan dinafikan nilai hasil sarjana untuk mengilmukan masyarakatnya dengan menggunakan bahasa Melayu.

Malahan institusi pengajian tinggi, Dewan Bahasa dan Pustaka dan penerbit lain perlu mengusahakan sesuatu agar jurnal yang diterbitkan dalam bahasa Melayu diterima dalam senarai jurnal yang mendapat pengiktirafan antarabangsa itu. Ada sejumlah jurnal berbahasa Melayu yang bertaraf jurnal berwasit dan editor perundingnya terdiri daripada kalangan sarjana antarabangsa. Mutu karya ilmiah yang bertaraf antarabangsa bukan bergantung semata-mata pada sesuatu bahasa perantaraan yang khusus. Semua bahasa yang telah mencapai taraf bahasa ilmu seharusnya diberi ruang dan peluang untuk diberi pengiktirafan sebagai bahasa perantaraan karya ilmu yang bertaraf antarabangsa. Fenomena yang pernah diungkapkan oleh Allahyarham Prof. Syed Husin Alatas sebagai "minda tertawan" dalam kalangan orang timur dan bekas anak jajahan tidak sepatutnya dibiarkan mengongkong penembusan karya ilmiah dalam bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa. Hal itu mesti bermula dengan reformasi sikap dan keyakinan diri pemimpin institusi ilmiah sendiri untuk bersedia melonjakkan karya ilmiah tenaga akademiknya yang ditulis dalam bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa, dengan lebih dahulu mengiktirafnya di peringkat institusinya. Amatlah malang bahawa tanpa segan-silu dan dengan "tahap rasa rendah diri yang tinggi" ada pemimpin institusi ilmiah di negara ini yang terang-terang menolak dan tidak mengiktiraf karya ilmiah dalam bahasa Melayu.

Dalam hal ini, Kementerian Pengajian Tinggi perlu mempunyai dasar dan garis panduan yang jelas agar institusi pengajian tinggi di negara ini tidak berlumba-lumba semata-mata untuk mendapat penarafan yang cemerlang di peringkat antarabangsa tetapi mengabaikan peranannya dalam mengilmukan rakyat negara ini sendiri. Perlu ada keseimbangan antara cita-cita membina imej global dan pengiktirafan antarabangsa dengan amanah sosial yang dipikul oleh institusi pengajian tinggi.

Kegiatan massa berdampak besar

Pembudayaan bahasa berbudaya perlu juga dilaksanakan melalui kegiatan massa yang berdampak besar. Jika dalam tahun 1960-an gerakan Bulan Bahasa Kebangsaan berjaya memberikan dampak yang besar kepada pemupukan rasa cinta dan penghayatan bahasa Melayu tanpa mengenal bangsa, maka pada waktu ini perlu dirancang dan dilaksanakan kegiatan massa yang kira-kira sama dampaknya dengan Bulan Bahasa Kebangsaan tahun 1960-an. Pada tahun 1999 telah dilancarkan Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN) yang dalam tempoh lima tahun pelaksanaannya (hingga tahun 2004) memperlihatkan dampak yang besar kepada rakyat massa. Apabila berlaku “penyederhanaan” hampir semua program bahasa dan sastera DBP, maka BBSN pun tampaknya menjadi hambar. Program Kembara Bahasa yang berjaya mendekatkan bahasa dan sastera dengan rakyat pelbagai lapisan dan lokasi, sebagai contoh, tidak digerakkan lagi.

Peningkatan usaha mengembalikan Bulan Bahasa Kebangsaan yang dilancarkan di Kuching, Sarawak oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran dalam bulan Oktober 2009 memperlihatkan lonjakan sedikit dalam menyemarakkan kecintaan dan kesedaran kepada peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu, tetapi tampaknya memerlukan peningkatan yang lebih tinggi untuk mencapai dampak yang diharapkan.

Pembudayaan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa

Akhirnya, perlu juga diberikan perhatian kepda pembudayaan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa. Selaras dengan pemenuhan gagasan bahasa supra sebagai salah satu petunjuk bahasa berbudaya, maka tidak harus dialpakan pembudayaan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa. Saya hanya ingin menyarankan bahawa program yang telah dirintis oleh Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) selama lima tahun (2000-2004) dan telah pun mula memperlihatkan hasil yang nyata diteruskan, sekalipun dengan kaedah gerak kerja yang mungkin perlu diubahsuaikan. MABM perlu dijadikan prasarana untuk meningkatkan martabat bahasa dan persuratan Melayu di peringkat antarabangsa melalui kejasama pakar dan aktivis sedunia dalam bidang penyelidikan, penerbitan, promosi, pengajian dan pelbagai kegiatan lain yang dapat meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa dunia.

Kewujudan lebih 100 buah institusi pengajian tinggi di dunia yang menjadikan bahasa dan persuratan Melayu sebagai fokus kajian dan pengajaran harus dimanfaatkan untuk melonjakkan taraf keantarabangsaan bahasa Melayu.

Hampir semua gagasan dan saran dalam makalah ini telah berulang kali dikemukakan dalam pelbagai wacana lisan dan tulisan sebelum ini, tetapi tampaknya masih banyak yang belum singgah dan lekat di hati sanubari pihak-pihak yang bertanggungjawab membudayakan bahasa Melayu sebagai tunjang tamadun. Pejuang bahasa masih bersuara dan terus bersuara, dengan harapan akan sampai saatnya semua pihak yang berkaitan menginsafi peranan bahasa dalam pembentukan dan peningkatan tamadun bangsa.

[Makalah ini diubahsuaikan daripada makalah yang pernah terbit dalam majalah Dewan Bahasa, Mac 2010.]

Monday, June 21, 2010

Sedutan daripada buku "Tokoh Pembinaan Bahasa Melayu Serantau: 35 Tahun MABBIM"


Penyusun: Dr. Raja Masittah Raja Ariffin
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
Tahun: 2010


Profesor Dr. Awang Sariyan

Penglibatan Awang Sariyan (kini Profesor Dr.) dalam MABBIM berlaku secara langsung dan tidak langsung. Penglibatannya secara tidak langsung berlaku pada tahun-tahun 1980-an, iaitu apabila beliau mula berkhidmat dengan DBP pada tahun 1978. Sebagai Pegawai Perancang Bahasa yang pada masa itu dikenal sebagai pegawai Penyelidik Bahasa, beliau terlibat secara langsung dalam kegiatan-kegiatan yang berkaitan dengan pelaksanaan acara MBIM dan MABBIM di DBP Kuala Lumpur. Namun demikian, penglibatannya secara lebih mendalam berlaku apabila beliau memegang jawatan Pengarah Bahasa, di Jabatan Bahasa, DBP, Kuala Lumpur pada penghujung tahun 1999 hingga 2004 dan beberapa tahun seterusnya dengan kedudukannya sebagai anggota Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu sebagai badan tertinggi bahasa Melayu di peringkat kebangsaan. Sebagai Pengarah Jabatan Bahasa, beliau menjadi salah seorang anggota ex-officio dalam JKTBM, dan yang secara langsung atau dengan sendiri juga menduduki atau menjadi anggota dalam JKTBM dan dilibatkan dalam gerak kerja MABBIM, baik dalam Sidang Eksekutif tahunan mahupun dalam Sidang Pakar serta dalam Mesyuarat Sekretariat MABBIM. Atas nama jawatan yang disandang itu, beliau ada mewakili negara untuk Sidang Eksekutif, dan Sidang Pakar.







Semasa diwawancara, beliau menjelaskan bahawa:

"Pada saat saya berkecimpung secara lebih mendalam dengan MABBIM itu memang telah mula dicetuskan gagasan untuk memperluas skop atau pun bidang ikut kerja MABBIM daripada sekadar berkaitan dengan soal peristilahan antara negara agar MABBIM ini memenuhi semangat kerjasama yang seluas-luasnya. Apabila saya sendiri terlibat secara langsung, saya memang menekankan realisasi gagasan tersebut dan ternyata alhamdulillah MABBIM dapat bersetuju untuk mengembangkan dan meluaskan gerak kerjanya dan akhirnya disetujui penubuhan jawatankuasa penyelidikan dan penelitian, jawatankuasa penerbitan dan jawatankuasa kegiatan."


Walau bagaimanapun, Prof. Dr. Awang Sariyan menjelaskan dan mengemukakan cadangannya, iaitu:

"Saya kira kita mempunyai pakatan tentang gerak kerja dan segalanya perlu diselaraskan. Saya melihat perlu difikirkan satu strategi dan mekanisme yang lebih laju dan lebih tangkas untuk kita menyelesaikan sesuatu isu…supaya kita tidak terlalu terkongkong oleh gerak kerja yang agak birokratik."

Bahasa Berbudaya: Apakah Ertinya?

BAHASA BERBUDAYA: APAKAH ERTINYA?
Awang Sariyan

Hubungan antara bahasa dengan budaya menjadi salah satu tema utama dalam historiografi atau pensejarahan linguistik sedunia sejak awal pertumbuhan disiplin linguistik, seawal abad ke-5 S.M. di Yunani atau Greek. Persoalan hubungan antara bahasa dan budaya menyimpulkan rumusan umum bahawa bahasa bukan suatu entiti yang autonom atau bebas daripada lingkungannya, iaitu pelbagai sistem yang ada dalam masyarakatnya.

Dengan pengertian yang luas, budaya atau kebudayaan merujuk kepada segala sistem yang wujud dalam sesuatu masyarakat, iaitu sistem politik dan pemerintahan, sistem perundang-undangan, sistem ekonomi, sistem sosial, sistem pendidikan, sistem nilai, pemikiran dan yang lain-lain, dengan bahasa menjadi perantaraannya.

Dalam hubungannya dengan idealisme pembentukan dan peneguhan bangsa yang bertamadun luhur, peranan bahasa berbudaya, iaitu konsep bahasa yang menjadi tunjang segala sistem masyarakat atau bangsa, perlu dijadikan salah satu agenda utama negara, sejajar dengan agenda ekonomi, perhubungan antarabangsa dan yang lain.

Bahasa berbudaya bukan sekadar bahasa 'bergaya'

Erti bahasa berbudaya yang menjadi kata kunci dalam makalah ini tidak dibatasi oleh pengertian umum bahawa bahasa berbudaya ialah bahasa yang sarat dengan unsur-unsur stilistik seperti simpulan bahasa, bidalan, perumpamaan, pepatah atau dengan istilah stilistik Barat, bahasa yang dibumbui metafora, simile, personifikasi, depersonifiksi, hiperbola, anafora, rima, asonansi, aliterasi dan yang lain. Meskipun penggunaan segala unsur stilistik itu memang menjadi salah satu tanda atau petunjuk bahasa berbudaya, namun erti bahasa berbudaya yang saya maksudkan di sini merujuk kepada konsep yang lebih luas.

Asas sesuatu bahasa yang mencapai taraf bahasa berbudaya, antara lain, ialah kemampuannya berfungsi sebagai bahasa akliah, bahasa ilmu, bahasa yang merentas segala ranah sistem sosial masyarakat atau bangsanya, bahasa tinggi, bahasa supra dan bahasa estetik.

Bahasa akliah

Ciri pertama bahasa berbudaya, iaitu bahasa akliah berkaitan rapat dengan hakikat bahasa dan sebab-musabab bahasa dikurniakan oleh Allah kepada manusia. Secara fitrahnya, bahasa dan akal merupakan suatu sistem yang bertaut, yang menjadi sifat istimewa manusia. Huraian Al-Attas dalam beberapa banyak tulisannya, antaranya dalam Prelogomena to Islamic Metaphysics (1995) merumuskan bahawa istilah haiwan natiq (rational animal) yang dikiaskan kepada makhluk manusia itu merujuk kepada akar kata nutq yang bererti akal dan bahasa. Manusia diibaratkan sebagai haiwan, tetapi haiwan yang berfikir dan berbahasa. Dalam surah al-Rahman, ayat 1-4, Allah berfirman, dengan mafhumnya, “Tuhan yang maha pemurah yang mengajarkan Qur`an. Dia menciptakan manusia dan mengajarnya pandai berbahasa.”

Istilah bahasa akliah bersinonim dengan istilah bahasa rasional dan bahasa saintifik, iaitu penjabaran daripada ciri rasional dan saintifik yang melandasi pandangan sarwa Islam. Kupasan tentang ciri rasional dan saintifik yang dibawa oleh Islam, termasuk ke alam Melayu, telah dibuat oleh al-Attas dalam Syarahan Perdana pada tahun 1972, iaitu sebagaimana yang dapat dibaca dalam buku Islam dalam Sejarah Kebudayaan Melayu terbitan Universiti Kebangsaan Malaysia. Sifat rasional dan saintifik yang dimaksudkan di sini merujuk kepada pemahaman dan pengakuan akan segala hakikat yang diatur oleh Allah sebagai pencipta dan pentadbir sarwa alam, bukan rasional dan saintifik yang disempitkan oleh ahli-ahli falsafah Barat yang sama ada menekankan autonomi akal (bagi pendukung aliran rasionalisme) atau yang taksub kepada kehebatan pancaindera semata-mata (bagi pendukung aliran empirisisme).

Bahasa Melayu yang kita kenal kini ialah bahasa yang inti kandungannya sarat dengan sifat bahasa akliah, iaitu bahasa yang telah mengalamai pengislaman, sejajar dengan proses pengislaman Kepulauan Melayu sejak abad ke-13 (malah ada bukti yang menunjukkan waktu yang lebih awal, seperti yang dibicarakan dalam siri terbitan Yayasan al-Fataniyah). Tidak dinafikan bahawa bahasa Melayu memang telah tumbuh dan berkembang lebih awal dalam kerajaan-kerajaan Melayu tua seperti Campa, Langkasuka dan yang paling masyhur kerajaan Sriwijaya pada abad ke-7 Masihi.

Namun bahasa Melayu yang dikenal kini bukan bahasa yang diwarisi daripada bahasa Melayu kuno yang tidak dapat difahami, kecuali beberapa patah kata yang masih kekal hingga kini. Bandingkanlah, misalnya bahasa pada prasasti abad ke-7 yang diwarnai oleh pengaruh bahasa Sanskrit dengan bahasa pada prasasti abad ke-14 (Batu Bersurat Terengganu) sesudah bahasa Melayu mengalami proses pengislaman. Nescaya dapat dilihat perbedaan yang jelas dan kita masih dapat memahami wacana yang tertancap pada Batu Bersurat Terengganu meskipun gaya bahasanya gaya bahasa lama.

Bahasa akliah yang menjadi tanda bahasa berbudaya bagi bahasa Melayu meliputi segala aspek kehidupan, baik yang berhubungan dengan ketuhanan mahupun yang berhubungan dengan kehidupan bermasyarakat. Dalam bahasa falsafahnya, bahasa Melayu telah dilengkapi aspek ontologinya, aspek epistemologinya dan aspek aksiologinya. Ontologi berkaitan dengan sistem kewujudan yang menghuraikan kewujudan pencipta dan makhluk. Epistemologi memerikan hal ehwal ilmu yang meliputi sumber, kaedah dan matlamat ilmu. Aksiologi pula meliputi aspek sistem nilai atau akhlak.

Bagi ketiga-tiga aspek itu, bahasa Melayu telah mempunyai asas yang kukuh dengan sekian banyak kosa kata yang menjelaskan segala konsep yang terkandung di dalamnya. Segala kosa kata yang terkandung dalam huraian yang berkaitan dengan Rukun Iman, Rukun Islam, akhlak atau tasawuf dan bidang-bidang yang lain (seperti munakahat atau sistem kekeluargaan, muamalat atau sistem ekonomi, siasah atau sistem pemerintahan dan jinayat atau sistem keadilan) merupakan gambaran bahasa akliah yang menjadi teras bagi bahasa Melayu dan umat Melayu di seluruh alam Melayu.

Tidaklah tercapai bahasa akliah apabila kepercayaan kepada Allah yang esa, misalnya, disertai amalan dan kepercayaan yang syirik, termasuk mensyirikkan Allah dengan manusia, seperti bergantung nasib kepada sesama manusia dalam memperoleh kedudukan atau rezeki. Tidaklah sampai kita pada penghayatan bahasa akliah juga apabila kita tidak redha akan qada` dan qadar Tuhan, malah berusaha melawan takdir dengan cara yang sesat. Demikian juga, belumlah kita masuk ke tahap menghayati bahasa berbudaya yang akliah jika kita belum memahami dan melaksanakan segala konsep yang berkaitan dengan ibadah (Rukun Islam yang lima), sistem muamalah, sistem munakahat, sistem jinayat dan adab yang kesemuanya telah dirakamkan dalam ribuan kosa kata yang mencerminkan sistem hidup yang islami.

Maka itu, untuk melestarikan ciri bahasa Melayu sebagai bahasa akliah, iaitu ciri teras bahasa berbudaya, bahasa Melayu perlu dikaitkan dengan landasan dan hala tuju yang jelas tentang konsep-konsep dasarnya. Bahasa Melayu perlu dihindari daripada sekularisme, iaitu penakrifan kosa kata yang menyimpang daripada hakikat Islam dan juga dihindari daripada kaedah menangani bahasa menurut kerangka yang pseudosaintifik (seperti peneleti yang semata-mata menghuraikan bahasa sebagai fenomena sosial tanpa pelibatan aspek akhlaknya). Meskipun globalisasi dan fenomena silang budaya menjadi kenyataan yang tidak dapat dihindari, namun sebagai bangsa yang bertradisi kukuh sejak ratusan tahun, perlu ada keazaman dan ikhtiar untuk kita memulihara bahasa akliah yang bersumberkan agama tanzil.

Bahasa ilmu
Ciri kedua bahasa berbudaya ialah keupayaannya menjadi bahasa ilmu. Syarat asas bahasa ilmu ialah pertama-tamanya kaya dengan ilmu dan keduanya, menjadi bahasa pengembangan ilmu dalam masyarakat atau bangsanya. Sejak berabad-abad lalu, bahasa Melayu memang telah menjadi bahasa ilmu, bermula dengan benih awalnya sebagai bahasa pengajian agama Buddha dalam zaman pra-Islam, iaitu pada zaman kerajaan Sriwijaya pada abad ke-7. Apabila Islam datang ke alam Melayu, tradisi ilmu menjadi mercu tanda utama kebudayaan Melayu dalam zaman Kesulltanan Melayu di seluruh Kepulauan Melayu. Pusat kebudayaan Melayu seperti Pasai, Melaka, Terengganu, Aceh, Banjarmasin, Patani, dan Johor-Riau merupakan pusat kebudayaan Melayu yang cemerlang dengan tradisi ilmu.

Bahasa Melayu dengan bantuan tulisan Jawi yang dipadankan daripada aksara Arab telah menjadi pengungkap yang berkesan dalam segala bidang ilmu yang dibawa oleh pendakwah Islam pada waktu itu, daripada ilmu kalam kepada ilmu ibadah, muamalat, munakahat, jinayat, sirah, tafsir dan adab. Malahan berkembang suburnya tasawuf atau metafizik di alam Melayu menandai kemuncak pembicaraan dan kupasan ilmu yang tinggi dalam bahasa Melayu. Usahlah kita lupakan pula daya pengungkapan bahasa Melayu dalam bidang ilmu lain seperti persenjataan, perubatan, astronomi dan sebagainya.

Apabila perjuangan memerdekakan negara digerakkan, peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu turut menjadi agenda utama. Demikianlah maka bahasa Melayu telah dirancang menjadi bahasa penghantar utama dalam sistem pendidikan negara, sebagaimana yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pelajaran Razak 1956 dan diperkukuh oleh Jawatankuasa Penyemak Pelajaran Abdul Rahman Talib 1960 sehingga dimaktubkan dalam Akta Pendidikan 1961 dan kemudian diperkukuh dalam Akta Pendidikan 1996, walaupun perkembangan kemudian menunjukkan adanya gugatan terhadap dasar tersebut. Kemuncaknya ialah apabila sempurnanya penukaran aliran pendidikan berpenghantar bahasa Inggeris kepada sistem pendidikan berpenghantar bahasa Melayu atau bahasa kebangsaan pada tahun 1970-an.

Bukti kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi pula ditandai oleh tertubuhnya Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1970 dengan pelibatan rakyat (melalui pungutan derma ke segenap negeri oleh jawatankuasa penaja yang dipengerusikan oleh Tun Syed Nasir Ismail). Asas penubuhan UKM ialah untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar ilmu di pusat pengajian tinggi, 13 tahun lebih awal daripada perancangan kerajaan untuk menjadikan bahasa Melayu bahasa pengajian tinggi pada tahun 1983.

Berkat pelibatan ratusan (mungkin juga ribuan) ilmuwan dalam pelbagai bidang (sains tabii dan sains kemanusiaan), sejumlah lebih satu juta istilah ilmu dan bidang teknikal dalam kira-kira 300 bidang dan subbidang telah digubal, terutama melalui mekanisme yang diatur dan diselaraskan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka sejak tahun 1956 dan secara lebih aktif sejak tahun 1972 sesudah terbentuknya Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu dan Majlis Bahasa Indonesia – Malaysia (MBIM).

Wacana ilmiah dalam bentuk buku dan jurnal ilmiah dalam bahasa Melayu telah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dan penerbit-penerbit universiti serta sejumlah penerbit swasta. Penyampaian pelbagai mata pelajaran di sekolah dan pelbagai kuliah di institusi pengajian tinggi telah dapat disampaikan dalam bahasa Melayu oleh guru dan pensyarah dengan baiknya. Lulusan sistem pendidikan yang berteraskan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah menjadi tenaga penggerak pembangunan dalam pelbagai sektor.

Oleh itu, untuk menjamin kelangsungan bahasa Melayu terus menjadi bahasa berbudaya, dengan pengertian berfungsi sebagai bahasa ilmu, maka tidak ada tolak ansur yang dapat diterima dalam mengekalkan dan meningkatkan kedudukan dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di negara ini dan di negara berbahasa Melayu yang lain. Prasyarat utama pembentukan bangsa dan tamadun yang luhur ialah keutuhan ilmu yang dimiliki oleh bangsa itu; dan prasyarat keutuhan ilmu bangsa sebahagian besar ditentukan oleh keberkesanan penyampaian ilmu kepada masyarakat, iaitu dengan menggunakan bahasanya sendiri, sekalipun bahasa-bahasa asing tetap diperlukan sebagai bahasa sumber ilmu.

Itulah asas perjuangan pejuang bahasa Melayu, bukan disebabkan taksub, ekstrem, tertutup atau anti bahasa asing. Inilah juga hakikat sejarah perkembangan tamadun bangsa-bangsa besar di dunia dari dahulu hingga kini, termasuk bangsa-bangsa Barat yang menjadikan tamadun Islam pada zaman keemasannya, terutama pada zaman Bani Abbasiyah, sebagai sumber ilmu. Mereka mempelajari bahasa Arab dan menerjemahkan sekian banyak karya besar Islam, termasuk karya perubatan, matematik, astronomi dan falsafah ke dalam bahasa Barat, tanpa menjadikan bahasa Arab sebagai bahasa pengembangan ilmu untuk bangsanya.

Apabila bahasa Melayu mula digerhanakan sebagai bahasa ilmu, terutama dengan pelaksanaan pengajaran subjek-subjek dalam sains dan matematik pada tahun 2003 dan penyempitan pelaksanaan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama di institusi pengajian tinggi (sebagai susulan perubahan dasar di peringkat sekolah), kesan langsung tindakan itu ialah kepudaran bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Kita mengharapkan sinar 2012 (atau kini katanya mungkin 2011) menjelma menjadi kenyataan apabila bahasa Melayu dipulihkan kedudukan dan fungsinya menjadi bahasa penghantar utama dalam sistem pendidikan, bukan sahaja di peringkat sekolah tetapi semestinya di peringkat pengajian tinggi juga.

Bahasa merentas segala bidang kehidupan

Selain berfungsi sebagai bahasa ilmu, bahasa berbudaya mestilah memenuhi ciri merentas segala bidang kehidupan utama. Maksudnya, bahasa berbudaya mesti berfungsi sebagai tunjang ranah-ranah kehidupan bertamadun yang lain, seperti pentadbiran, undang-undang, media dan ekonomi. Dalam zaman kerajaan Sriwijaya, bahasa Melayu telah mula digunakan sebagai bahasa pentadbiran, termasuk di wilayah-wilayah jajahannya yang sampai di bahagian utara Semenanjung Tanah Melayu yang dikenal sebagai Segenting Kera. Dalam zaman Kesultanan Melayu pula, bahasa Melayu bertambah kukuh sebagai bahasa pentadbiran, dengan sistem pentadbirannya yang kian canggih.

Di Melaka, misalnya konsep pentadbiran beraja didukung oleh sistem pembesar yang empat, iaitu Bendahara, Temenggung, Laksamana dan Penghulu Bendahari, dengan masing-masing berfungsi sebagai ketua portfolio yang khusus – Bendahara selaku ketua eksekutif atau perdana menteri, Temenggung selaku penanggungjawab portfolio keselamatan, Laksamana selaku penanggungjawab hal ehwal kelautan dan Penghulu Bendahari selaku pengawal khazanah negara.

Sebagai bahasa undang-undang pula, Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka menjadi dokumen penting yang membuktikan bahawa bahasa Melayu telah berfungsi sebagai bahasa undang-undang. Demikian juga teks yang diukir pada Batu Bersurat Terengganu yang bertarikh 1303 itu dengan jelas membuktikan kewujudan wacana undang-undang dalam bahasa Melayu. Malahan hampir setiap kerajaan Melayu pada waktu itu mempunyai kitab undang-undangnya sendiri, seperti Undang-undang 99 Perak, Undang-undang Siak dan Undang-undang Johor.

Sebagai bahasa ekonomi, telah dirakamkan dalam sejarah bahawa bahasa Melayu menjadi bahasa perdagangan antarabangsa yang penting, sehingga segala pedagang dan utusan dari dari negara asing perlu mempelajari bahasa Melayu. Kota Melaka pada abad ke-15 dan ke-16 telah menjadi entrepot yang merupakan pusat pertukaran barang dagangan timur barat, dengan bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraannya.

Sejarah gemilang bahasa Melayu sebagai bahasa yang merentas ranah utama kehidupan bertamadun tinggi itu perlu diupayakan kesinambungannya pada zaman ini untuk melestarikan bahasa Melayu sebagai bahasa berbudaya. Walaupun penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pentadbiran telah dilaksanakan untuk memenuhi konsep bahasa rasmi dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, namun peratusan penggunaannya dan mutunya dalam sesetengah bidang urusan rasmi (surat, laporan, pekeliling, perjanjian, minit mesyuarat) masih belum cukup memuaskan (lihat, misalnya, kajian DBP tentang taraf dan mutu penggunaan bahasa Melayu dalam bidang pentadbiran, 2009).

Penggunaan bahasa Melayu dalam bidang undang-undang pun memperlihatkan pasang surutnya walaupun ada kesungguhan badan kehakiman dan Majlis Peguam melaksanakan bahasa Melayu dalam dokumen dan perbicaraan di mahkamah. Sebagai bahasa ekonomi, bahasa Melayu di negara ini masih terkebelakang jika dibandingkan dengan bahasa asing, terutama bahasa Inggeris dan bahkan bahasa Mandarin. Ikhtiar yang dilakukan oleh DBP untuk ‘menjinakkan’ sektor swasta menghormati bahasa Melayu dalam dokumen, iklan, peragaan dan sebagainya sebahagiannya berhasil, tetapi kerap terbentur setiap kali berlakunya perubahan dasar atau sikap kerajaan tentang Dasar Bahasa Kebangsaan.

Dalam bidang media pula, nasib bahasa Melayu dalam bidang media elektronik banyak bergantung pada tokoh yang menerajui badan-badan penyiaran. Dalam sektor penyiaran kerajaan sendiri, perubahan waktu berita perdana dalam bahasa Melayu telah beberapa kali diubah sehinggan martabat bahasa Melayu seakan-akan berada di kelas kedua. Syukurlah apabila menteri yang masih utuh semangat dan pemahamannnya tentang dasar bahasa mengambil alih pucuk pimpinan kementerian yang berkenaan, nasib bahasa Melayu tampaknya dijulang semula.

Saya turut menyedari bahawa di RTM dalam tempoh beberapa tahun (sekitar 2000-2005) ada pegawai tingginya yang peka tentang keperluan membentuk suatu piawai dalam hal sebutan dan mengeluarkan arahan untuk semua pembaca berita dan pengacara menyebut kata-kata serapan daripada bahasa asing menurut sebutan baku bahasa Melayu. Namun, sekali lagi usaha itu banyak bergantung pada iltizam individu tertentu. Dasar penggunaan bahasa Melayu yang dengan jelas diperuntukkan dalam Perlembagaan sering kali dilaksanakan dengan rasa ragu-ragu dan segan silu. Dalam media cetak pula, sudah sering ditimbulkan bagaimana di negara yang bahasa kebangsaan dan bahasa rasminya bahasa Melayu, akhbar berbahasa Melayu dialahkan oleh akhbar-akhbar berbahasa lain daripada segi jumlah edarannya.

Ragam bahasa tinggi

Selanjutnya, ciri keempat bahasa berbudaya berkaitan dengan bahasa yang ditandai oleh ragam bahasa tinggi. Pengistilahan ini tidak sepatutnya diberi reaksi negatif oleh mana-mana pihak, kerana penegasan akan perlunya ragam bahasa tinggi tidak bermaksud menafikan dan mematikan pelbagai ragam bahasa yang lain, baik pelbagai dialek daerah yang menjadi warisan bangsa Melayu mahupun pelbagai dialek sosial yang muncul untuk memenuhi keperluan komunikasi tertentu.

Setiap bahasa yang mewakili bangsa yang bertamadun memiliki ragam bahasa tinggi, yang dengan istilah lain disebut juga ragam baku, ragam rasmi dan ragam formal. Dalam hal ini, tidak perlu kita membesar-besarkan istilah bahasa baku sebagai istilah yang kononnya tidak tepat kerana dikatakan berkonotasi menyeragamkan bahasa sepenuh-penuhnya. Sebagai penuntut bidang linguistik, pasti semua kita faham dan sedar bahawa tidak wujud keseragaman seratus peratus dalam hal penggunaan bahasa. Maka itu timbul konsep dialek, idiolek, sosiolek dan diglosia.

Pembakuan bahasa bukan proses penyeragaman seluruh aspek korpus bahasa sehingga ke akar umbinya. Pembakuan bahasa sekadar upaya penyeragaman hal-hal dasar atau rumus-rumus dasarnya, baik dalam tatabahasa, ejaan, sebutan, kosa kata dan laras bahasa. Piawai tertentu diperlukan untuk tujuan mewujudkan keadaan saling faham yang tinggi dalam komunikasi, terutama dalam bidang keilmuan dan urusan rasmi.

Jika bahasa Inggeris memerlukan standard English, bahasa Arab memerlukan fusha, bahasa China memerlukan phutonghua, maka bahasa Melayu memerlukan ragam bakunya untuk komunikasi keilmuan dan urusan rasmi. Istilahnya berbeda menurut masing-masing bahasa tetapi konsepnya sama. Istilah baku atau standard tidak mengubah konsep ragam bahasa yang diperlukan untuk situasi rasmi. Isu manakah istilah yang lebih tepat hanya isu luaran, sedang yang lebih inti dan penting ialah keperluan terhadap ragam bahasa rasmi. Maka itu, perdebatan tentang adakah istilah 'baku' atau 'standard' yang lebih tepat tidaklah lebih daripada perdebatan yang sia-sia, kerana perdebatan itu hanya berkisar di sekitar isu kulit, bukan isinya.

Oleh itu, perancangan bahasa yang berkaitan dengan pengekodan atau kodifikasi bahasa dalam bidang ejaan, sebutan, kosa kata, tatabahasa dan laras bahasa tidak patut diremehkan dalam rangka pembentukan bahasa tinggi. Sikap sesetengah kalangan, yang bersikap laissez-faire, deskriptif seratus peratus dan berlepas tangan terhadap bahasa yang berperaturan akan menyebabkan bahasa Melayu kehilangan jejak yang jelas tentang sistemnya. Yang lebih parah lagi ialah pemansuhan sesuatu aspek yang telah dibakukan, sebagaimana yang berlaku kepada sebutan baku bahasa Melayu, sesudah 12 tahun dilaksanakan dalam sistem pendidikan negara dan di stesen televisyen STMB.

Jelas bahawa fungsi ketiga Dewan Bahasa dan Pustaka, sebagaimana yang diaktakan, iaitu membakukan ejaan, sebutan dan istilah telah diremehkan dan diceroboh oleh tangan berkuasa yang tidak sepatutnya mengkhianati Akta Parlimen, kerana Dewan Bahasa dan Pustaka ditubuhkan di bawah Akta Parlimen. Anggapan sesetengah penyelidik kononnya pemansuhan itu dilakukan kerana dasar itu gagal ternyata anggapan yang tidak didasarkan pada penyelidikan, melainkan anggapan kosong semata-mata kerana sebutan baku telah berjaya dilaksanakan dalam sistem pendidikan dan penyiaran selam 12 tahun.

Saya menyokong segala usaha meneliti kepelbagaian dialek yang ada dalam bahasa Melayu, kerana semua itu merupakan warisan budaya yang penting, dan pada waktu yang sama melihat pentingnya diperkukuh ragam bahasa tinggi untuk menjadi wasilah pengucapan pemikiran, ilmu dan estetika.

Bahasa supra atau bahasa mahawangsa

Ciri bahasa berbudaya yang kelima pula ialah bahasa supra, iaitu bahasa yang mencapai tahap penyebaran dan penggunaan yang luas. Selain merentas etnik di peringkat negara, bahasa berbudaya seharusnya dapat juga merentas batas geopolitik. Dalam konteks bahasa Melayu, taraf supranya telah wujud dalam zaman Sriwijaya dan Kesultanan Melayu apabila bahasa Melayu menjadi jati diri dan citra Kepulauan Melayu. Maka itu, tiada masalah kesenjangan atau jurang pemahaman apabila kita membaca Hikayat Raja Pasai, Sulalatus Salatin, Hikayat Aceh, Hikayat Merong Mahawangsa dan Tuhfat al-Nafis sekalipun karya itu dihasilkan di Pasai, di Johor-Riau, di Aceh atau di Kedah.

Demikian juga sekian banyak kitab agama yang dihasilkan oleh ulama di pelbagai pusat kebudayaan Melayu hingga kini masih dapat dihayati di serata tempat di alam Melayu. Kitab karangan Syekh Arsyad al-Banjari di Kalimantan, kitab karangan Nuruddin al-Raniri dan ulama-ulama lain di Aceh, kitab karangan Syekh Daud Fatani di Patani dan kitab-kitab yang dihasilkan di wilayah lain menggambarkan bahasa Melayu supra.

Kesan penjajahan Inggeris dan Belanda yang memfaraidkan alam Melayu kepada batas geopolitik milik mereka dan kemudian merdeka atas nama dan bentuk entiti-entiti politik yang berlainan telah memberikan kesan yang buruk kepada taraf supra bagi bahasa Melayu. Jalannya tidak mudah, tetapi kita perlu membuat perancangan yang rapi agar secara beransur-ansur bahasa Melayu dapat mencapai tahap “biduk lalu kiambang bertaup”. Hasil kerjasama kebahasaan serantau melalui Majlis Bahasa Indonesia – Malaysia (MBIM) dan kemudian Majlis Bahasa Brunei Darussalam – Indonesia – Malaysia (MABBIM) sejak tahun 1972 secara beransur-ansur telah berhasil merapatkan jurang komunikasi antara bahasa Melayu di Malaysia dengan variannya di Indonesia.

Kemudian melalui Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) yang sempat beroperasi dalam tempoh 2000-2004, telah wujud persefahaman untuk menerima konsep bahasa Melayu/Indonesia sebagai bahasa yang dikaji, diajarkan dan dikembangkan di luar dunia Melayu (di Eropah, di Amerika, di Oceania, di Timur Jauh dan di wilayah lain). Sekalipun tidak menegaskan satu ragam yang meleburkan mana-mana varian itu, pendedahan padanan antara dua varian bahasa Melayu itu cukup banyak membantu pemahaman pelajar asing terhadap bahasa Melayu supra yang tersebar di alam Melayu dan di wilayah lain di dunia.

Tahap supra yang turut perlu dititikberatkan ialah usaha membina kemampuan bahasa Melayu menjadi bahasa yang bersifat antarterjemah dengan bahasa-bahasa moden lain, khususnya melalui kegiatan terjemahan karya ilmu dan teknikal, selain karya sastera. Dengan banyaknya karya ilmu dan teknikal yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, secara langsung bahasa Melayu kian kukuh dalam daya pengungkapan hal ehwal ilmu dan teknikal yang sejagat sifatnya.

Demikian pula, peranan bahasa Melayu dalam bidang diplomasi dapat meningkatkan tahap supranya. Sekali lagi, kita memerlukan iltizam dan perancangan yang rapi dan berani serta memandang masa hadapan yang lebih gemilang untuk bahasa Melayu. Protokol negara tertentu seperti Jepun, Republik Rakyat China dan Korea yang mewajibkan para pemimpin berucap dalam bahasa kebangsaan di majlis rasmi antarabangsa, dengan menyediakan jurubahasa atau terjemahan selari, seharusnya menjadi contoh negara kita, jika kita mempunyai cita-cita untuk meningkatkan bahasa Melayu ke tahap supra. Di Pertubuhan Bangsa Bersatu pula, bahasa Melayu boleh digunakan, dengan penyediaan dana untuk khidmat terjemahan. Soalnya, adakah hal ini difikirkan dan dirancang sebagai salah satu agenda negara?

Pengungkap estetik

Bahasa berbudaya tidak terlepas juga daripada fungsinya sebagai pengungkap estetik. Bahasa Melayu memang sesungguhnya kaya dengan karya susastera yang memancarkan nilai estetik yang tinggi, sehingga memukau perhatian dan minat sarjana sedunia. Pengikitirafan UNESCO kepada Sulalatus Salatin dan Hikayat Hang Tuah sebagai antara warisan persuratan sedunia menjadi bukti yang jelas. Genre sastera Melayu lama yang bervariasi, baik dalam bentuk prosa mahupun puisi, menjadi tapak yang kukuh untuk bahasa Melayu kini ditingkatkan menjadi bahasa berbudaya daripada segi estetik.

Penerokaan karya kreatif tidak seharusnya hanya dalam bentuk pengisian genre atau bentuk luaran yang wujud dalam sastera bahasa lain, seperti novel, cerpen, drama dan sajak, tetapi juga dalam bentuk peningkatan pemikiran dan nilai estetiknya. Bahasa dan persuratan Melayu Melayu kini memerlukan jelmaan Hamzah Fansuri, Nuruddin al-Raniri, Tun Seri Lanang, Raja Ali Haji dan nama-nama besar lain. Sasterawan Negara yang diberi pengiktirafan oleh negara dengan penyertaan lebih banyak karyawan perlu mengupayakan peningkatan aspek tersebut, dengan penerokaan yang menghasilkan kesan lonjakan paradigma sastera Melayu, daripada yang sederhana kepada yang bertaraf karya besar.

Selain itu, dambaan kita ialah bahawa akan tiba saatnya bahasa berbudaya daripada segi estetik menarik minat dan penghayatan serta menjadi kemahiran bukan hanya dalam kalangan yang eksklusif atau golongan yang ditakdirkan mengkhusus dalam penulisan sastera semata-mata, tetapi turut menggerakkan minat dan penghayatan serta menjadi kemahiran golongan dalam bidang sains dan tekonologi, ekonomi, pengurusan dan yang lain.

Demikianlah, bahasa berbudaya dengan pengertian yang luas pada hakikatnya menjadi prasyarat tumbuh dan berkembangnya tamadun manusia dari dahulu hingga kini. Maka itu, sewajarnya penguasa yang menentukan dasar dan pelaksanaan pembangunan negara memperhitungkan faktor bahasa sebagai salah satu inti pembangunan masyarakat dan negara.

[Diubahsuaikan daripada makalah saya yang terbit dalam majalah Dewan Bahasa, Februari 2010]