Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Friday, June 25, 2010

Pemansuhan UPSR dan PMR

PENYATAAN MEDIA
ISU PEMANSUHAN PEPERIKSAAN UPSR DAN PMR


Sebarang keputusan yang berkaitan dengan bidang pendidikan negara pertama-tama hendaklah berasaskan dasar pendidikan yang telah disepakati atas prinsip tertentu. Bagi negara kita, dasar pendidikan kebangsaan telah mengalami transormasi yang amat bererti apabila secara rasmi Falsafah Pendidikan Negara (FPN) digubal dan diisytiharkan pada tahun 1987 dan versi sempurnanya pada tahun 1988.

Serentak dengan pengisytiharan FPN, sistem pendidikan negara beranjak daripada sistem yang lebih berpusat pada pencapaian akademik kepada sistem yang berpusat pada pembinaan sahsiah secara menyeluruh dan bersepadu daripada segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Kurikulum Bersepadu diperkenalkan dan menjadi tunjang sistem pendidikan negara. Transformasi itu merupakan pelaksanaan yang berdasarkan Laporan Kabinet Mengkaji Semula Pelaksanaan Dasar Pelajaran yang terbit pada tahun 1979.

Jika asas keputusan Kementerian Pendidikan hendak memansuhkan dua peperiksaan umum, iaitu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Peperiksaan Menengah Rendah berlandaskan tujuan untuk mencapai matlamat pembinaan sahsiah pelajar dengan lebih berkesan, maka cadangan itu perlu disokong. Dengan pemansuhan kedua-dua peperiksaan umum itu, tumpuan perhatian pelajar, guru dan ibu bapa diharapkan dapat dijuruskan lebih banyak kepada usaha dan langkah pembinaan sahsiah yang menyeluruh dan bersepadu itu.

Sikap dan tindakan tidak akan terbendung semata-mata oleh pencapaian gred dalam peperiksaan, sehingga perhatian kepada aspek pembinaan sahsiah terabai atau diberi perhatian sampingan. Tambahan pula, secara praktisnya, kelulusan pada kedua-dua peringkat itu tidak mempunyai nilai yang begitu penting sebagai ukuran atau keperluan untuk peringkat pendidikan seterusnya, selain untuk keperluan pemilihan ke sekolah berasrama penuh.

Walau bagaimanapun, Kementerian Pendidikan perlu membuat perancangan yang amat teliti dan rinci tentang bagaimana cita-cita untuk mengalih paradigma pemikiran dan sikap semua pihak berkepentingan, iaitu pelajar, guru dan ibu bapa itu dapat dipenuhi dengan sebaik-baiknya. Pengalaman menyaksikan pelaksanaan Kurikulum Bersepadu (KBSR dan KBSM) menunjukkan bahawa dasar yang baik semata-mata, tanpa susulan dan pemantauan yang cukup berkesan tidak menimbulkan kesan yang diharapkan.

Walaupun dalam tempoh lebih kurang 10 tahun pertama dilaksanakan, Kurikulum Bersepadu memperlihatkan hasil dan kesan yang menggalakkan, namun sesudah itu ketara berlakunya pencairan, sehingga beberapa teras Kurikulum Bersepadu seperti Bahasa Merentas Kurikulum, Nilai Murni Merentas Kurikulum dan Kemahiran Berfikir Kreatif dan Kritis Merentas Kurikulum tidak jelas lagi pelaksanaannya. Akhirnya, sistem pendidikan yang berpusat pada pencapaian akademik lebih daripada pencapaian menyeluruh dalam pembinaan sahsiah mengambil tempat semula.

Seluruh jentera Kementerian Pendidikan, terutamanya perancang kurikulum, bahagian penilaian dan bahagian latihan guru perlu digerakkan dengan bersepadu untuk merangka satu pelan tindakan yang dapat memenuhi idealisme pendidikan bersepadu. Sistem penilaian alternatif perlu direncanakan dengan jelas agar pihak pengurusan sekolah mempunyai garis panduan yang tepat untuk melaksanakan sistem penilaian alternatif itu.

Pada asasnya, saya bersetuju bahawa penilaian berasaskan sekolah perlu dijadikan alternatif penilaian umum di seluruh negara, yang memang sudah lama dibincangkan. Sekali lagi, penilaian berasaskan sekolah pun memerlukan garis panduan yang tuntas untuk dilaksanakan oleh pihak pengurusan sekolah, kerana akhirnya pihak itulah yang bertanggungjawab melaksanakannya dan memastikan pencapaian sistem alternatif itu.

Akhirnya, peralihan paradigma yang cuba dilakukan oleh Kementerian Pendidikan hendaknya tidak semata-mata berlangsung dalam bentuk pemansuhan dua peperiksaan umum itu, tetapi hendaklah benar-benar kembali kepada terasnya, iaitu pelaksanaan sistem pendidikan yang dapat membina insan yang baik, sesuai dengan matlamat pendidikan yang digariskan oleh Islam (dan agama lain), dan telah pun diisytiharkan dalam Falsafah Pendidikan Negara.

Prof. Dr. Awang Sariyan
Penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia-China
Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia – Beijing Foreign Studies University

1 comment:

  1. Salam, Prof;
    Ada kemungkinankah, kelesuan KBSR dan KBSM sepuluh tahun selepas pelaksanaannya itu berpunca daripada pertukaran menterinya. Menteri yang berbeda ingin memberikan idea yang berbeda supaya orang nampak jasa-kerjanya. Idea pemansuhan ini mungkin satu daripada hal tidak baik ini.

    Saya berpendirian bahawa pemansuhan peperiksaan itu akan melesukan minat membaca dalam kalangan murid/pelajar. Pemansuhan itu juga yang kemudiannya mungkin digantikan dengan penilaian berasaskan sekolah akan menghuru-harakan pencapaian pelajar (tidak ada standard yang sama). Wallahua'lam.

    ReplyDelete