Mengenang Jasa Bakti Allahyarham Pak AsrafTanggal 6 November 1999, iaitu 11 tahun lalu, bahasa dan persuratan Melayu kehilangan seorang tokoh yang hingga akhir hayatnya tidak berhenti-henti memperjuangkan martabat bahasa Melayu, baik dalam aspek tarafnya mahupun mutunya. Asraf atau nama penuhnya Mohd. Asraf bin Haji Wahab dijemput kembali oleh Allah pada waktu Zuhur pada tarikh berkenaan, beberapa hari sesudah tiba di tanah air dari tanah suci Makkah kerana mengerjakan ibadah umrah. Sebagai mengenang jasa baktinya kepada perkembangan bahasa dan persuratan Melayu sejak tahun 1950-an hingga akhir hayatnya, saya siarkan Ucap Jasa Penganugerahan Tokoh Pejuang Bahasa kepada Asraf yang saya sampaikan dalam Majlis Anugerah Tokoh Pejuang Bahasa Persatuan Linguistik Malaysia pada 26 Ogos 1997, bersempena dengan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-20 PLM. Al-Fatihah.Asraf Tokoh Pejuang Bahasa Sepanjang Hayat
Nama Asraf dapat dikatakan bersinonim dengan perkembangan bahasa Melayu dalam era baharu. Asraf atau nama penuhnya Mohd. Asraf bin Haji Wahab telah mengabdikan dirinya kepada dunia persuratan Melayu kira-kira setengah abad, bermula dengan kerjayanya sebagai pemberita pada penghujung tahun 1949, kemudian sebagai subeditor dan seterusnya sebagai anggota redaksi di Utusan Melayu, ketua editor dan pengurus di Oxford University Press (1957 – 1970), pengurus redaksi dan kemudian pengarah eksekutif di McGraw Hill Far Eastern Publishers (1973 – 1977).
Barangkali tidak ada sesiapa pun yang percaya bahawa Asraf pada mulanya bukan orang yang cinta akan bahasa Melayu, bukan kerana is berketurunan Jawa, tetapi kerana ia tidak dapat melihat keindahan bahasa Melayu yang digunakan pada waktu itu. Tambahan pula, pendidikan yang diperolehnya melalui bahasa Inggeris menyebabkan Asraf tidak memandang tinggi akan bahasa Melayu, malah dilihatnya bahasa tersebut tidak lebih sebagai bahasa untuk komunikasi sehari-hari saja, seolah-olah bahasa Melayu tidak bersistem sama sekali. Kejelasan sistem bahasa Inggeris yang dikuasainya dengan baik, sehingga ia cukup mahir membuat analisis klausa
(clause analysis) di hadapan kelas, kadang-kadang kerana menggantikan gurunya yang kehilangan suara, menyebabkan Asraf begitu kagum akan kehebatan bahasa Inggeris sebagai bahasa untuk pengungkapan pikiran.
Syukurlah, Allah kemudian membuka pintu hati Asraf kepada bahasa Melayu apabila ia terdedah kepada buku-buku roman atau novel dan buku-buku umum dari Indonesia. Ia seolah-olah menemukan satu bentuk bahasa Melayu yang baru, bahasa yang hidup dan memancarkan sistem yang teratur serta indah pula. Maka bertaubatlah Asraf atas ‘dosa’nya yang memandang rendah akan bahasa Melayu sebelum itu dalam perbandingannya dengan bahasa Inggeris. Mudah-mudahan akan bertaubat juga sekian banyak orang lain yang sehingga kini masih memandang rendah akan bahasanya sendiri dan memandang tinggi pula akan bahasa lain, lebih daripada kadar yang wajar.
Demikianlah, apabila telah dapat melihat potensi bahasa Melayu sebagai bahasa pemikiran dan pengungkapan rasa, Asraf mula memberikan perhatian kepada penulisan yang teratur, jelas dan berkesan. Karya sastera yang baik, pada pendapat Asraf, ialah yang baik bahasanya, di samping yang baik isinya. Dengan kesedaran akan pentingnya penguasaan bahasa sebagai alat utama untuk melakukan penerjemahan yang baik itulah maka Asraf berhasil menjadi penerjemah yang diakui kewibawaannya, baik dalam bidang sastera kreatif mahupun dalam bidang ilmu.
Sejak tahun 1970-an, Asraf terpaksa melupakan penglibatannya secara aktif dalam bidang sastera dan terjemahan, dengan menumpukan perhatiannya kepada ilmu bahasa, khususnya tata bahasa. Kesempatan untuk memperoleh pendidikan formal dalam bidang linguistik memang tidak mungkin didapatnya, kerana sebagaimana yang diakuinya, ia gagal dalam ujian Senior School Certificate pada akhir tahun 1948, kerana leka dengan cita-cita untuk turut dalam perjuangan politik. Ia mendampingi para pemimpin kiri seperti Sutan Djenain, Dr. Burhanuddin al-Helmy, Ishak Haji Muhammad, dan Ahmad Boestamam; malah ia turut menjadi anggota API (Angkatan Pemuda Insaf) pimpinan Ahmad Boestamam dan anggota PKMM (Partai Kebangsaan Melayu Malaya pimpinan Dr. Burhanuddin al-Helmy.)
Asraf tidak menjadikan masalah pendidikan formal itu sebagai batu penghalang untuk mendalami linguistik. Dengan kedudukannya sebagai ketua editor, dan akhirnya sebagai pengurus di Oxford University Press dari tahun 1957 hingga tahun 1970, dan juga sebagai pengurus redaksi dan kemudian sebagai pengarah eksekutif di McGraw Hill Far Eastern Publishers dari tahun 1973 hingga tahun 1977, terbukalah peluang yang cukup luas bagi Asraf menemukan beberapa banyak buku linguistik dari Barat, dengan pelbagai teori dan aliran pemikiran. Dibacanya dan dihayatinya sungguh-sungguh segala karya linguistik yang diperolehnya sehingga berjaya ia akhirnya merumuskan pemikirannya sendiri tentang asas tata bahasa Melayu. Rumusannya tentang tatabahasa Melayu banyak yang dijadikan dasar dalam penyusunan buku-buku tatabahasa Melayu dan juga buku-buku pelajaran bahasa Melayu.
Kewibawaannya sebagai pakar tatabahasa Melayu dihargai oleh Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas sebagai Ketua Jabatan Bahasa, Kesusasteraan, dan Kebudayaan Melayu (kemudian sebagai Pengarah Institut Bahasa, Kesusasteraan, dan Kebudayaan Melayu) di Universiti Kebangsaan Malaysia, lalu diundangnya Asraf mengajarkan Tatabahasa dan Gaya Bahasa Melayu kepada beratus-ratus orang mahasiswa, bukan sahaja daripada Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu bahkan daripada Fakulti Sains Kemanusiaan dan Kemasyarakatan serta Fakulti Pengajian Islam juga.
Dalam tempoh itulah (1971 – 1976), Asraf berusaha mengembangkan huraian tatabahasa Melayu dengan berasaskan teori transformasi generatif yang dipelopori oleh Noam Chomsky. Kerana asyiknya Asraf dengan Chomsky, mahasiswanya di Universiti Kebangsaan Malaysia ketika itu memberinya gelar ‘Chomsky Malaysia’. Jasa dan kewibawaan Asraf kemudian diiktiraf oleh Universiti Kebangsaaan Malaysia apabila pada tahun 1983 ia dikurniai Ijazah Kehormat Sarjana Sastera oleh universiti tersebut.
Generasi muda mungkin mengenal Asraf sebagai ahli tatabahasa semata-mata. Sebenarnya Asraf terlibat juga dalam perancangan bahasa Melayu, baik daripada segi perancangan taraf mahupun daripada segi perancangan korpus sejak tahun 1950-an. Sebagai salah seorang guru bicara ASAS ’50 yang lantang, Asraf telah mengemukakan gagasan penyatuan bahasa Melayu, khususnya antara bahasa Melayu di Tanah Melayu dengan bahasa Melayu di Indonesia. Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga pada tahun 1956 menjadi saksi akan iltizam dan kesungguhan Asraf menjadikan bahasa Melayu bahasa yang berwibawa sebagai bahasa negara, bahasa ilmu, dan bahasa pemikiran. Untuk kongres itu, Asraf menulis memorandum yang berjudul “Penyatuan Bahasa Melayu : Malaya dan Indonesia” dan dua buah kertas kerja yang berkaitan dengan perancangan korpus bahasa Melayu, iaitu “Ejaan Bahasa Melayu dengan Huruf Rumi” dan “Bunyi Bahasa Melayu dalam Ucapan”.
Terang bahawa upaya penyatuan bahasa Melayu pada tahun 1970-an yang diformalisasikan dalam bentuk Majlis Bahasa Melayu Indonesia-Malaysia (MBIM) dan kemudian diperluas menjadi Majlis Bahasa Melayu Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) telah diletakkan asasnya oleh Asraf kira-kira dua dekad sebelum itu. Demikianlah juga, penetapan sistem ejaan Rumi dan sebutan baku bahasa Melayu yang kita gunakan kini telah dikemukakan asasnya oleh Asraf lebih 40 tahun yang lalu. Prof. Dr. Anton Moeliono, salah seorang sarjana linguistik ternama di Indonesia ketika berforum di Dewan Bahasa dan Pustaka, bersempena dengan Sidang MABBIM pada tahun 1977, turut menyebut hal tersebut sebagai penghargaan yang tinggi kepada Asraf.
Dalam kemelut yang melanda taraf dan kehormatan bahasa Melayu belakangan ini, Asraf belum bersedia untuk mengaku kalah.Bersama-sama dengan pejuang-pejuang bahasa dan budaya yang lain, ia masih lantang bersuara untuk mempertahankan kehormatan bahasa Melayu. Dalam keadaan dirinya yang agak uzur disebabkan beberapa penyakit yang diidapnya, ia berusaha mengumpulkan tulisan-tulisan tentang perjuangan bahasa Melayu, menyusunnya, dan mengeditnya, malah mengurus pengaturan huruf, penyemakan pruf, dan aspek-aspek pengeluaran buku yang lain, sehingga terbitlah buku
Manifesto Budaya : Pupus Bahasa Pupuslah Bangsa pada tahun 1996.
Sementara itu, usahanya menghalusi aspek-aspek tatabahasa Melayu yang pada hematnya belum beres betul terus-menerus dijalankannya. Kadang-kadang orang tidak dapat memahami mengapa ia begitu asyik dan serius terhadap soal bahasa, sekalipun tentang hal-hal yang tampaknya kecil. Saya sering mengatakan bahawa apabila seseorang telah sampai ke tahap zauq (merasakan kelazatan)dan sufi (dalam hal ini sufi bahasa), tidak ada hal yang dianggap kecil oleh orang itu. Saya agak Asraf telah sampai ke tahap itu.
Biar apapun, yang jelas ialah bahawa usaha Asraf meneliti dan mengembangkan bahasa Melayu itu selaras dengan tuntutan agar kita menyelidik sistem-sistem yang telah diciptakan Allah dalam alam sarwajagat ini, termasuk yang terdapat pada diri kita sendiri (dalam hal ini sistem bahasa) (Fussilat, ayat 53). Mudah-mudahan juga usaha penyempurnaan bahasa yang terus-menerus dilakukan oleh Asraf dapat memenuhi hakikat peranan bahasa sebagai ilmu asas dalam proses pemerolehan dan pengembangan ilmu, sebagaimana yang ditegaskan oleh al-Farabi dan al-Ghazali.
Dalam usaha meningkatkan ketrampilan berbahasa dalam kalangan ahli-ahli profesional, Asraf bergerak cergas mengendalikan penataran bahasa kepada pelbagai golongan profesional, terutama melalui penataran yang dianjurkan oleh Persatuan Linguistik Malaysia. Antara golongan profesional yang pernah dibimbingnya termasuklah hakim-hakim di Mahkamah Tinggi dan di Mahkamah Agung.
Dalam era kebangkitan usahawan Melayu, Asraf pernah mendirikan perniagaannya sendiri, mula-mula sebagai penerbit (Analekta Sdn. Bhd.) dan kemudian menceburi perusahaan dan perniagaan lain termasuk pengilangan bahan campuran PVC untuk penghasilan barang-barang plastik dan perniagaan perabot, sehingga Sasterawan Negara Dato’ A. Samad Said yang pernah berguru tentang bahasa Melayu dengan Asraf semasa di Singapura pada tahun 1950-an mengungkapkan pelibatan Asraf dalam dunia perniagaan sebagai “dari
literature ke
furniture dan dari linguistik ke plastik”. Ditakdirkan Allah, Asraf akhirnya menemui kegagalan kerana dikhianati rakan kongsinya. Di balik bencana itu, tersembunyi rahmat dan hikmah. Asraf tidak lagi memikirkan cita-cita untuk berjaya sebagai usahawan dan peniaga lalu menumpukan perhatian 100% kepada bidang bahasa, penulisan dan kegiatan perjuangan bahasa.
Berdasarkan baktinya yang cukup besar dalam pengembangan dan peningkatan martabat bahasa Melayu, dari dahulu hingga kini, Persatuan Linguistik Malaysia dan Public Bank Bhd. dengan ini menganugerahi Mohd. Asraf bin Haji Wahab Anugerah Tokoh Pejuang Bahasa Sepanjang Masa, bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-20 Persatuan Linguistik Malaysia.
- Awang Sariyan
26 Ogos 1997, Hotel J.W. Marriott, Kuala Lumpur