Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Wednesday, April 21, 2010

Ceritera Bahasa (1)

[Untuk melapangkan fikiran pengunjung blog ini, selain mengemukakan tulisan yang serius tentang bahasa, budaya, pendidikan dan isu lain, saya buka ruangan baharu yang mencatat hal-hal umum, tetapi penting, secara santai. Ruangan ini saya namai "Ceritera Bahasa" kerana kandungannya memang cerita atau kisah yang berlegar seputar yang berkaitan dengan bahasa.]

Dalam usaha mengajak masyarakat, khususnya penulis, pendidik, pelajar dan pengguna bahasa rasmi yang lain menggunakan bahasa yang persis, salah satu unsur bahasa yang diketengahkan ialah penggunaan bentuk jamak yang lewah atau berlebihan. Antaranya termasuklah penggunaan kata mereka-mereka yang jelas lewah. Kata mereka memang telah jelas merujuk kepada jumlah jamak, iaitu lebih daripada seorang. Maka bentuk seperti mereka-mereka yang beminat, mereka-mereka yang beriman, mereka-mereka yang layak dan sebagainya dikira salah menurut tatabahasa bahasa Melayu. Cukuplah dikatakan mereka yang berminat, mereka yang beriman dan mereka yang layak dengan makna sesiapa yang berminat, sesiapa yang beriman dan sesiapa yang layak. Saya pernah mendengar ada penceramah, malahan ahli bahasa tertentu yang berhujah bahawa penggunaan kata mereka-mereka boleh digunakan untuk tujuan penegasan atau penekanan maksud! Wallahu a`lam.

Dengan maksud untuk memberikan pemahaman yang lebih baik, saya sering menimbulkan jenaka bahawa ada tempatnya kata mereka boleh digunakan dua kali secara berurutan, tetapi tanpa tanda sempang. Ayat contoh yang biasa saya berikan ialah Mereka mereka cipta model baharu kereta nasional. Dalam ayat itu, kata mereka yang pertama merujuk kepada karyawan atau tenaga kerja di syarikat kereta nasional, sementara kata mereka yang kedua ialah kata kerja yang sama maknanya dengan merancang atau memikirkan sesuatu yang baharu. Dalam perkembangan bahasa Melayu, wujud bentuk kata majmuk mereka cipta (awas, kata majmuk tidak sama dengan kata jamak), yang bermakna merancang atau memikirkan sesuatu ciptaan baharu.

Oleh itu, ayat tadi bermaksud bahawa 'Para karyawan atau tenaga kerja di syarikat kereta negara merancang atau memikirkan model baharu kereta syarikat itu'. Entah bagaimana penerangan saya itu telah disalahfahami oleh orang tertentu lalu sampai kepada sejumlah orang lain di luar dewan kuliah atau ruang seminar, ceramah dan kursus bahawa bentuk mereka-mereka tidak salah. Yang menggelikan hati, tetapi turut menjengkelkan ialah bahawa kononnya 'fatwa bahasa' itu dikeluarkan oleh Awang Sariyan, orang yang dikenal tegas dengan bentuk bahasa yang tepat dan persis! Itulah yang kedengaran oleh telinga saya melalui beberapa orang yang berani bertanya secara langsung kepada saya. Yang tidak berusaha bertanya untuk mensahihkannya terus percaya sahaja, sehinggalah dalam satu ceramah di Kota Bharu anjuran Dewan Bahasa dan PustakaCawangan Wilayah Timur pada sekitar tahun 2000 seorang sasterawan besar (kemudian menjadi Sasterawan Negara) dengan yakin memetik 'fatwa' yang kononnya saya keluarkan, iaitu kata mereka-mereka tidak salah digunakan.

Saya terkejut tetapi bukan ruangnya untuk saya bangkit memberikan penjelasan, kerana saya biasanya berusaha menjaga adab supaya tidak mengganggu ceramah orang lain. Hanya sesudah tamat ceramahnya baru saya menjelaskan bahawa beliau sebenarnya telah tersalah petik 'akan fatwa' yang didengar daripada sumber yang tidak sahih, iaitu orang yang keliru dan tidak mampu memahami jenaka dalam wacana ceramah atau kuliah saya. Dan jenaka itu pula tidaklah sekadar jenaka kosong, tetapi menjelaskan beda antara kata berbentuk jamak yang lewah, iaitu mereka-mereka dengan dua patah kata yang berlainan golongan dan fungsinya dalam ayat. Kata mereka yang pertama ialah kata nama yang menjadi subjek ayat, sementara kata mereka yang kedua ialah kata kerja yang menjadi sebahagian predikat ayat, dan antara kedua-dua patah kata itu tidak ada tanda sempang. Jelas bahawa kata mereka-mereka tidak betul, atau dengan lebih lembut 'tidak persis'.

Hal itu tampaknya kecil, tetapi memberikan kesan besar kepada khalayak pengguna bahasa, terutama apabila ceramah disampaikan oleh seorang sasterawan besar. Saya tidak pasti adakah sesudah ceramah itu semua peserta dengan senang hati terus menggunakan bentuk jamak yang lewah mereka-mereka atau tidak. Namun itulah kesannya apabila orang yang keliru (barangkali peserta kursus atau ceramah saya atau barangkali juga pelajar saya di universiti) dijadikan sumber rujukan, maka kekeliruan pun tersebar. Sesudah peristiwa di Kota Bharu itu, ada lagi di beberapa tempat lain saya mendapat maklumat pemalsuan 'fatwa' tentang bentuk jamak itu. Malah ada lagi beberapa 'fatwa bahasa' lain yang kononnya saya keluarkan, tetapi ternyata bahawa hal itu tidak lain daripada salah faham atau kekeliruan khalayak tertentu dalam ceramah atau seminar yang tidak sampai atau tidak mampu akalnya mencerna kupasan ilmu. Alangkah baiknya sesuatu yang meragukan ditanyakan kepada orang yang dikatakan mengeluarkan 'fatwa' itu, daripada turut menjadi penyebar khabar palsu yang mengelirukan. Dalam tradisi ilmu, kita boleh berbeda pendapat, tetapi perbedaan itu mestilah atas asas yang sahih, bukan atas asas salah faham atau salah dengar.

- AS, Beijing (6.10 pagi, 22 April 2010)

No comments:

Post a Comment