Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Wednesday, October 30, 2013

Anugerah Doktor Kesusasteraan daripada World Academy of Art and Culture

MB Perak terima dua anugerah sastera


ZAMBRY Abd. Kadir menyampaikan puisi berjudul Kita Akrabkan Satu Dunia Dengan Puisi pada Kongres Penyair Sedunia Ke-33, di Ipoh, Perak, malam kelmarin.
IPOH 22 Okt. - Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dianugerahkan Crane Summit Supreme Honour Crown Medallion Award oleh Akademi Seni dan Budaya Dunia (WACC) dalam Kongres Penyair Sedunia yang mula membuka tirainya secara rasmi di sini hari ini.

Zambry juga terpilih sebagai antara lima penerima anugerah 'Dr. of Literature' oleh WACC berikutan sumbangannya dalam dunia penulisan sastera dan seni.

Empat lagi penerima ialah Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr. Awang Sariyan, penulis, A. Rahim Abdullah, kartunis Datuk Mohammad Nor Khalid atau lebih dikenali dengan gelaran Datuk Lat, dan penulis Mohd. Ghazali Abdul Rashid atau nama penanya, Malim Ghozali PK.

Zambry yang dilantik sebagai Menteri Besar pada 6 Februari 2009 pernah menghasilkan beberapa buah buku bertajuk UMNO dan Jiwa Merdeka (1998), Pemuda UMNO Menebus Maruah Menuju Arah (2000) dan Islam Malaysia dan Amerika (2000).

Bekas graduan Doktor Falsafah (PhD) jurusan Pemikiran Politik dari Universiti Temple, Amerika Syarikat (AS) itu juga pernah menghasilkan kertas akademik yang kemudiannya diterbitkan dalam beberapa majalah dan jurnal seperti Politics In Malaysia A Changing Scenario (2000) dan Belia dan Cabaran Politik Pascakolonial (1999).

Malah, anak jati kelahiran Pulau Pangkor itu juga pernah menulis dan menerbitkan sebuah buku puisi dinamakan Suara Pelaut tahun lalu.

"Saya percaya puisi dapat memainkan peranan penting dalam penyatuan persahabatan melibatkan kelompok masyarakat di seluruh dunia tanpa mengira batasan bangsa, agama dan bahasa," katanya ketika berucap merasmikan Kongres Penyair Sedunia Kali Ke-33 di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Presiden WACC, Dr. Maurus Young dan Presiden Kongres Penyair Sedunia Ke-33, Madame Wan Hua Chapouthier.

Kongres Penyair Sedunia Ke-33 di Ipoh yang julung kali diadakan di negara ini menghimpunkan lebih 200 penyair dari 29 negara di seluruh dunia.

Antara negara yang mengambil bahagian ialah Indonesia, Korea, Columbia, Denmark, Argentina, Mexico, Perancis, Afrika Selatan, India, Switzerland, Ecuador, Peru dan Mauritius.

Dalam majlis itu, Zambry turut menyampaikan puisi hasil nukilannya sendiri berjudul Kita Akrabkan Satu Dunia Dengan Puisi dan sebuah karya Sasterawan Negara, Usman Awang yang diterjemah ke bahasa Inggeris bertajuk Merpati Putih Jelajahi Dunia Ini.

Majlis itu turut diserikan dengan persembahan deklamasi puisi oleh beberapa peserta antarabangsa.

Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131023/dn_20/MB-Perak-terima-dua-anugerah-sastera#ixzz2jCSG0xR0
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment