Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Wednesday, October 30, 2013

Audit Bahasa

Penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi jabatan kerajaan belum memuaskan

NIBONG TEBAL 22 Okt. - Program Audit Bahasa Melayu yang dilaksana oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di beberapa kementerian dan jabatan kerajaan mendapati penggunaan bahasa Melayu masih belum mencapai tahap memuaskan.

Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr. Awang Sariyan berkata, berdasarkan penilaian itu, tidak ada kementerian atau jabatan kerajaan yang menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya dalam urusan rasmi termasuk dalam bentuk surat-menyurat.

Beliau berkata, Audit Bahasa Melayu yang dibuat terhadap beberapa kementerian dan jabatan kerajaan termasuk Kementerian Pendidikan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jabatan Perkhidmatan Awam, Kementerian Kewangan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mendapati amalan itu belum dilaksana sepenuhnya.

"Kita mendapati bahasa Melayu belum digunakan sepenuhnya dalam urusan rasmi di kementerian atau jabatan terbabit dan dirasakan masih terdapat kekangan dan perlu penambahbaikan supaya bahasa Melayu digunakan sepenuhnya kelak," katanya.

Beliau ditemui pemberita dalam majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2013 peringkat negeri Pulau Pinang di Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM), di sini hari ini.

Majlis perasmian program itu disempurnakan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas.

Dalam majlis itu, Abdul Rahman turut menyampaikan anugerah kepada bekas pensyarah Maktab Perguruan Persekutuan Pulau Pinang, Abdul Rahim Darus, 87, yang dinobatkan sebagai Tokoh Bahasa dan Sastera Pulau Pinang tahun ini.

Dalam pada itu, menurut Awang, beliau sudah berbincang dengan Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) supaya program Audit Bahasa Melayu disertakan dengan penarafan bintang.

Katanya, menerusi kaedah itu jabatan kerajaan yang diaudit akan diberi taraf bintang tertentu mengikut skala satu hingga lima berdasarkan tahap penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi mereka.

Menurutnya, jabatan yang menggunakan sepenuhnya bahasa Melayu dengan cara yang betul akan diberi lima bintang sekali gus melambangkan kesungguhan mereka dalam memartabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

"Bagi jabatan yang diberi tahap bintang lebih rendah, sudah tentu menjadi cabaran kepada mereka untuk berusaha lebih gigih dalam memartabat bahasa Melayu dalam urusan rasmi pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, Awang berkata, DBP juga akan bekerjasama dengan Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) bagi melaksana ujian kecekapan bahasa Melayu di semua agensi dan jabatan kerajaan di negara ini.

Menurutnya, DBP dan Intan kini sedang merangka format soalan yang akan dimasukkan dalam ujian kecekapan tersebut supaya memenuhi standard yang dikehendaki selain mencapai objektif ditetapkan.


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131023/dn_25/Penggunaan-bahasa-Melayu-dalam-urusan-rasmi-jabatan-kerajaan-belum-memuaskan#ixzz2jCQWbQrh
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment