Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Monday, June 7, 2010

Ceritera Bahasa (6): Perihal "Judi Halal"

Sudah demikian banyaknya ulasan yang diberikan oleh pelbagai pihak (orang perseorangan dan pertubuhan) tentang betapa salahnya perbuatan menghalalkan judi, yang merupakan salah satu dosa besar, menurut syariat Islam. Sekurang-kurangnya dua orang mufti, iaitu Mufti negeri Perak dan Mufti Negeri Selangor, yang merupakan orang yang dilantik oleh pihak berkuasa sebagai wewenang agama secara rasmi, telah mengeluarkan penyataan yang jelas dan tegas. Banyaknya ulamak lain yang turut memberikan nasihat tidaklah terhitung jumlahnya, melalui penyataan media, ceramah dan sebagainya di seluruh negara.

Nas al-Qur`an, kitab yang diimani oleh sekalian orang yang mengaku Islam, tentang haramnya judi tampaknya seakan-akan tidak memberikan kesan pada hati dan kalbu pihak yang membuat keputusan mewujudkan "judi halal" itu. Semakin diberi nasihat dengan berdasarkan hujah dan dalil naqli, tampaknya semakin garang pihak berkenaan mempertahankan keputusan yang bercanggah dengan hukum Tuhannya dan di sisi itu rancak "membalas serangan" pihak-pihak yang melaksanakan amanah "al-dinunnasihah" (agama itu ialah nasihat).

Semalam (7 Jun 2010), saya membaca penyataan Menteri Dalam Negeri dalam akhbar di talian tentang seruannya agar semua pihak yang dikatakannya "berbuat bising di luar" tentang judi pertaruhan sukan bola sepak itu bersama-sama dengan pihaknya memberantas "judi haram". Jika beliau berusaha atau bersedia untuk berfikir dengan cermat tentang implikasi perkataannya itu, nescaya tidaklah terbit penyataan sedemikian. Mengatakan bahawa "mari kita perangi judi haram" bererti pada fahamannya ada judi yang halal, walhal semua media, termasuk media yang dulu, kini dan selamanya mengaminkan hampir semua perkataan pihaknya pun menzahirkan penyataan sekian banyak pihak yang membantah keputusan meluluskan lesen "judi halal" untuk pertaruhan pertandingan sukan bola sepak itu.

Adakah sikap dan tindakan itu seiring dengan sikap dan tindakan pemimpin utama negara yang mengatakan bahawa "Kita tidak akan membincangkan isu ini" atau pemimpin kedua negara yang menyatakan bahawa ia belum diberi maklumat tentang adanya tentangan pelbagai pihak terhadap keputusan itu. Hairan bin ajaib bahawa dalam zaman ledakan maklumat yang serba pantas dan canggih prasarananya ada orang yang menggunakan hujah "tidak maklum" akan perisitwa yang berlaku di keliling kehidupannya dan perlu mendapat maklumat daripada pembantunya. Hati yang empunya dirilah yang dapat mengesahkan bahawa adakah penyataan itu benar atau sekadar alasan mudah dan spontan untuk tidak menyatakan sikap dan pendirian yang jelas tentang hukum yang sudah putus.

Oleh sebab setiap perkataan dan perbuatan akan dihisab di yamulakhir kelak, maka saya dengan ikhlasnya mengingatkan semua pihak, termasuk diri saya sendiri, agar cermatlah hendaknya kita dalam menggunakan bahasa. Usahlah menciptakan kata atau istilah yang jelas salahnya, seperti istilah "judi halal" itu, semata-mata kerana judi itu diberi lesen, apatah lagi salahnya istilah itu bukan semata-mata disebabkan tatabahasanya, tetapi disebabkan hukum yang qat`i daripada Tuhan yang kita ikrarkan sebagai satu-satunya tempat kita menyerahkan solat, amal, hidup dan mati kita, sebagaimana yang kita ucapkan dalam doa iftitah solat kita.

Malah, lebih berat tanggungjawab orang yang diberi amanah sebagai pemimpin untuk menuntun atau membimbing golongan yang dipimpinnya dalam memahami apa-apa yang benar dan apa-apa yang salah. Kata hadith Nabi, "Setiap pemimpin akan ditanya (disoal) tentang orang yang dipimpinnya."

Mudah-mudahan tazkirah ringkas ini dapat diterima dengan ikhlas jua oleh para pemimpin yang terlibat dalam pelulusan lesen "judi halal" untuk pertandingan sukan bola sepak piala dunia itu. Tidak ada orang yang tidak berbuat silap, dan Allah senantisa membuka pintu taubat kepada hamba-Nya.

Oleh itu usahlah membiarkan kesilapan terus berlaku sehingga mungkin akan timbul kepercayaan dalam kalangan masyarakat bahawa sesuatu yang haram dibolehkan apabila disahkan melalui pemberian lesen oleh pihak berkuasa. Akan ada juga pihak yang pasrah dan bersikap melulu menjadi "masa bodoh" (kata orang Indonesia, maksudnya tidak peduli) tentang apa-apa yang berlaku kerana pada fahamannya pihak berkuasa akan bertanggungjawab menanggung dosa mereka. Sedih sekali kita kerana memang pada suatu waktu dahulu ada pemimpin yang berani menjamin bahawa dosa rakyat akan ditanggungnya untuk "menghalalkan" loteri kebajikan masyarakat. Mudah-mudahan Allah mengampunkan kita.

2 comments:

  1. Salam, Prof;
    Tindakan dan perkataan pemimpin yang berani menjamin bahawa dosa rakyat akan ditanggungnya untuk "menghalalkan" Loteri Kebajikan Masyarakat dahulu dengan pemimpin yang mewarisi kekuasaan daripada partinya itu sama benar.

    Bedanya pemimpin yang berkata demikian dahulu barangkali hendak "mengayakan yang miskin" sebaliknya pemimpin yang sekarang hendak mengayakan yang kaya.

    Mereka lupa, apa-apa pun matlamat mereka, cara mestilah halal.

    ReplyDelete
  2. Berani betul mereka secara terang-terangan melawan perintah Allah. Keberanian yang tidak pada tempatnya itu mengundang musibah dan bala', yang akan melibatkan semua kalangan - yang bersalah dan yang tidak bersalah. Selain kita nasihati, marilah kita doakan mereka agar dilembutkan mereka oleh Allah untuk kembali ke pangkal jalan.

    ReplyDelete