Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Wednesday, June 16, 2010

Mencari Makna Diri Melayu: Renungan untuk Bangsaku (2)


MENCARI MAKNA DIRI MELAYU: Renungan untuk Bangsaku (Bahagian 2)
Kelunturan Beberapa Aspek Kekuatan Bangsa Melayu
Awang Sariyan


Dalam makalah “Mencari Makna Diri Melayu” Bahagian (1), telah kita telusur asal-muasal bangsa Melayu sebagai bangsa mahawangsa di Kepuluan Melayu, dengan zaman Kesultanan Melayu sebagai mercu tanda kegemilangan tamadun Melayu klasik. Gelombang ketiga perjuangan bangsa Melayu terlihat dalam kebangkitan gerakan kebangsaan untuk membebaskan tanah air daripada belenggu penjajahan. Di Indonesia, pada awal abad ke-20 telah ditubuhkan perkumpulan politik seperti Budi Utomo (1908), Parti Hindia (1912), Sarekat Islam (1913), Perhimpunan Indonesia (1922), Partai Nasional Indonesia (1927) dan yang lain-lain kemudiannya. Gerakan kebangsaan di Indonesia ditandai juga oleh pergerakan pemuda seperti Jong Java, Jong Sumatera, Jong Ambon, Jong Batak dan lain-lain.

Kesemuanya kemudian bergabung menjadi Indonesia Muda. Pada 28 Oktober 1928, mereka mengadakan Kongres Indonesia Muda di Jakarta dan menetapkan tiga resolusi penting, iaitu:
1. Kami putera dan puteri Indonesia mengaku bertumpah darah ang satu, iaitu Tanah Indonesia.
2. Kami putera dan puteri Indonesia mengaku berbangsa yang satu, iaitu Banga Indonesia.
3. Kami putera dan puteri Indonesia menjunjung bahasa persatuan, iaitu Bahasa Indonesia.

Sejarah perjuangan Melayu di Indonesia melalui pasang surutnya, khususnya daripada sudut politik. Namun daripada sudut kekuatan jati diri, terutama dalam hal bahasa, sebilangan besar mereka masih berpegang pada Sumpah Pemuda 1928, iaitu “menjunjung bahasa persatuan, iaitu Bahasa Indonesia”.

Di Malaysia, kebangkitan semangat kebangsaan untuk membebaskan tanah air daripada penjajahan Inggeris dikobarkan melalui pergerakan politik, persuratan dan agama. Penubuhan Kesatuan Melayu Muda (KMM) lebih kurang lima tahun sebelum Perang Dunia Kedua dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang aktif selama lebih kurang empat tahun setelah Jepun menyerah kalah telah menyemarakkan perjuangan bangsa Melayu untuk mempertahankan kedudukannya sebagai bangsa yang besar dan berdaulat. Yang harus dicatat di sini ialah bahawa semangat kebangsaan dan kemerdekaan pada tahap awal berlandaskan perjuangan mewujudkan negara Melayu Raya, iaitu Tanah Melayu dan Indonesia dalam satu kesatuan politik.

Cita-cita tersebut dicetuskan kembali dalam Kongres Pemuda Melayu Se-Malaya pada 8-10 April 1955 di Kuala Lumpur. Dalam kongres itu, 800 orang peserta yang mewakili 44 persatuan merumuskan Ikrar Pemuda yang antara lain menegaskan bahawa “matlamat akhir perjuangan nasionalisme Melayu ialah pembentukan satu bangsa, satu negara dan satu bahasa yang bernama Melayu”.

Sejarah tidak berpihak kepada cita-cita tersebut, tetapi semangat penyatuan Melayu yang digerakkan dalam bidang bahasa dan persuratan seperti oleh GAPENA dan beberapa waktu dahulu oleh Dewan Bahasa dan Pustaka melalui pelbagai majlis kerjasama serantau dan antarabangsa (Majlis Kerjasama Kebahasaan dan Persuratan Wilayah Utara, Wilyah Borneo dan Wilayah Selatan, singkatannya MEKKAP/ MAKKAP, Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA), Forum Kerjasama Penerbitan Serantau (FORKEPS), Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM)) diharapkan dapat memenuhi semangat Melayu raya meskipun tidak dalam kerangka politiknya.

Penyatuan yang bersifat kebudayaan itu malahan jauh lebih bermakna dalam konteks bangsa Melayu yang terpisah-pisah oleh realiti geopolitik sezaman. Malanglah bangsa Melayu apabila ada dalam kalangannya yang sinis dan tidak melihat pentingnya segala upaya penyatuan kebudayaan itu dengan sindiran negatif terhadap upaya yang dikatakan “mencari sanak-saudara Melayu” itu dan juga dengan menutup ruang prasarana kerjasama kebudayaan Melayu serantau dan antarabangsa.

Gelombang ketiga perjuangan bangsa Melayu di Malaysia menyaksikan perjuangan mempertahankan kedaulatan dan ketuanan Melayu sebagai bangsa teras di negara ini. Asasnya jelas, iaitu bahawa bangsa Melayu ialah bangsa asal di negara dan di rantau ini yang selama kira-kira dua alaf (2000 tahun) telah meletakkan asas tamadunnya. Kedatangan penjajah telah merobah citra dan pola kependudukan di negara ini sebagai kesan tindakan Inggeris membawa masuk tenaga kerja yang besar jumlahnya dari luar dunia Melayu.

Tamadun Melayu turut terjejas, terutamanya melalui sistem pemerintahan yang didominasi oleh penjajah berasaskan acuan mereka, dengan raja Melayu dan pembesar Melayu berada di bawah kekuasaan mereka. Sistem pendidikan yang dilaksanakan Inggeris pula membenamkan bangsa Melayu ke tahap yang serendah-rendahnya apabila pendidikan Melayu disejajarkan dengan pendidikan vernakular untuk orang Cina dan orang India yang pada waktu itu merupakan golongan pendatang. Undang-undang yang sebelumnya berdasarkan undang-undang Islam pula dirobah menurut acuan sekular Barat.

Kedaulatan bangsa Melayu menjelang dan sesudah kemerdekaan disandarkan pada empat peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang dikaitkan dengan Perjanjian atau Kontrak Sosial rakyat Malaysia, sebagai imbangan pengurniaan taraf kerakyatan kepada keturunan-keturunan lain yang bukan Melayu dan bukan penduduk asal negara ini.

Pertama, kedudukan Raja-raja Melayu. Kedua, agama Islam sebagai agama Persekutuan. Ketiga, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Keempat, hak istimewa Melayu dan Bumiputera. Empat perkara itu menjadi asas kenegaraan yang penting dan dijelmakan dalam bentuk dasar-dasar negara yang kemudian dilaksanakan (atau seharusnya dilaksanakan) untuk menjamin kedaulatan dan ketuanan Melayu.

Demikianlah kita melihat pentingnya sistem pendidikan negara yang berteraskan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama. Pentingnya bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama dalam sistem pendidikan negara pada hakikatnya tidak berkaitan dengan kepentingan bangsa Melayu semata-mata, kerana manfaat daripada pelaksanaanya berkaitan rapat dengan kepentingan negara untuk semua keturunan, terutama sebagai wahana perpaduan dan pendemokrasian pendidikan untuk seluruh rakyat. Kepentingan Melayu dalam soal ini paling-paling hanya dalam konteks emosi, iaitu pendaulatan salah satu unsur tamadun bangsa Melayu, iaitu bahasa Melayu, tetapi manfaat pelaksanaan sistem pendidikan negara dinikmati oleh semua keturunan.

Demikian juga, Dasar Bahasa Kebangsaan yang menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi sebagai salah satu asas kenegaraan tidak semata-mata bermanfaat kepada bangsa Melayu. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan berkaitan erat dengan pembentukan jati diri dan citra negara dan juga sebagai lambang kewujudan dan kedaulatan negara. Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi pula berperanan penting dalam membantu menggerakkan jentera pentadbiran negara, iaitu bahasa Melayu sebagai wahana komunikasi bagi segala urusan rasmi negara, yang juga bukan hanya untuk manfaat bangsa Melayu, tetapi untuk memenuhi keperluan semua rakyat berbilang-bilang kaum.

Dasar Ekonomi Baharu yang dimulakan pada tahun 1970 dan kemudian digantikan dengan Dasar Pembangunan Nasional (kemudian direncanakan pula Agenda Utama Negara), merupakan dasar ekonomi yang bertujuan mengagihkan kekayaan negara secara adil tanpa mengira kaum. Peruntukan 30 peratus kepada Melayu dan Bumiputera (yang tidak pernah pun tercapai) dalam hal pelibatan dan pemilikan dalam bidang ekonomi negara sebenarnya bukanlah nilai yang tinggi bagi bangsa asal di negara ini. Dengan segala kekurangan dan dalam keadaan “bermain di padang yang tidak rata”, bangsa Melayu sebenarnya memerlukan lebih daripada sekadar angka 30 itu untuk benar-benar mencapai keadilan ekonomi dan sosial.

Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang diputuskan pada tahun 1971 dalam Kongres Kebudayaan Kebangsaan menetapkan tiga asas. Yang pertama ialah kebudayaan asal rantau ini atau dengan perkataan lain kebudayaan Melayu. Yang kedua ialah unsur-unsur kebudayaan lain yang wajar dan sesuai. Yang ketiga ialah Islam sebagai unsur teras. Dasar itu tidak lain dan tidak bukan bertujuan untuk membentuk suatu rupa kebudayaan Malaysia, yang terasnya kebudayaan Melayu dan Islam, dengan tidak mengesampingkan penyerapan unsur-unsur kebudayaan lain yang wajar dan sesuai.

Gelombang ketiga perjuangan Melayu, melalui segala dasar kenegaraan yang secara ringkas saya bincangkan di atas perlu dipertahankan, diperteguh dan dijadikan agenda utama perjuangan bangsa Melayu seterunya. Para pemimpin Melayu, terutamanya perlu menjadikannya amanah dan tanggungjawab bangsa dan para pemimpin bukan Melayu perlu memahami dan menerimanya sebagai hakikat yang tidak boleh dipertikaikan atau dirombak menurut selera cauvinisme.

Telah kian ketara bahawa hakikat bangsa Melayu sebagai bangsa teras, kebudayaan Melayu sebagai kebudayaan teras, agama Islam sebagai agama bangsa teras di negara ini dan ekonomi serta pendidikan bangsa Melayu sudah terancam. Sebahagian ancanam itu datangnya daripada kalangan orang Melayu sendiri yang alpa atau bersikap "masa bodoh" (tidak peduli) atau apologetik untuk menunjukkan kemurahan hati yang tidak kena pada tempatnya.

Ancaman terhadap kedaulatan bangsa Melayu saya bincangkan dengan mengupas isu-isu yang berkaitan dengan bangsa Melayu. Mula-mula saya bincangkan isu kebudayaan. Kemerosotan peranan kebudayaan Melayu sebagai asas Kebudayaan Kebangsaan cukup ketara, antara lain berdasarkan beberapa senario yang berikut.

Pertama, Citra kebudayaan Melayu kian kabur dalam institusi kenegaraan. Unsur kebudayaan Melayu kian kurang menonjol dan bahkan terpinggir dalam bidang penyiaran apabila stesen radio dan televisyen, termasuk ada kalanya stesen radio dan televisyen kerajaan sendiri, tidak begitu peka akan peranan meningkatkan Kebudayaan Kebangsaan melalui siarannya. Sebahagian (yang tidak kecil)program dalam bidang penyiaran di negara ini kini lebih dicirikan oleh kebudayaan asing, terutama dalam rancangan-rancangan hiburannya (misalnya, dalam aspek filem, ciri budaya Bollywood dan Hollywood cukup menonjol, sementara dalam bidang seni muzik amat kuat pengaruh muzik Barat, baik melodi mahupun seni katanya serta penampilan artis-artisnya).

Sebilangan anggota masyarakat kita daripada yang muda hingga yang tua (yang jumlahnya tidak kecil) sudah dirasuk oleh hedonisme atau tabiat ketagih hiburan yang melampau sebagai akibat penyiaran rancangan-rancangan yang tidak sesuai dengan asas Kebudayaan Kebangsaan. Jelas bahawa program televisyen keseluruhannya belum lagi membayangkan Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang berteraskan tiga prinsip, iaitu kebudayaan asal rantau ini (Melayu), unsur-unsur asing yang wajar dan sesuai, dan Islam. Hampir-hampir tiada bedanya siaran stesen televisyen di negara ini dengan yang ada di negara asing kerana masing-masing stesen berlumba-lumba untuk menjadi global.

Keadaan ini diizinkan atas pertimbangan komersial dan ekonomi sehingga kementerian yang bertanggungjawab mengawal bidang penyiaran seakan-akan tidak dapat berbuat apa-apa lagi selain membuat seruan demi seruan. Malahan untuk tempoh yang agak panjang sebelum ini, konflik sering kali terjadi antara dua kementerian yang berkaitan, kerana stesen radio dan televisyen dikawal oleh Kementerian Penerangan manakalai stesen radio dan televisyen swasta di bawah kawalan Kementerian Tenaga, Komunikasi dan Multimedia. Syukurlah kini semua fungsi yang berkaitan dengan bidang penyiaran telah disepadukan dengan aspek kebudayaan di bawah sebuah kementerian yang ternyata pula dipimpin oleh menteri yang mempunyai kejelasan dan kepekaan akan pentingya asas-asas kebangsaan dipentingkan dalam siaran.

Sebelum ini tidak habis-habisnya kita memperjuangkan sesuatu yang membuang waktu kerana soal waktu siaran berita utama dalam bahasa kebangsaan sahaja, sebagai contoh, senantisa dipermasalahkan oleh menteri-menteri sebelum ini. Ada yang berfahaman bahawa waktu perdana ialah pukul 9.00 lalu diubah siaran berita perdana ke waktu itu dan waktu yang diterima umum sebagai waktu perdana, iaitu pukul 8.00 malam diisi dengan berita dalam bahasa asing. Alangkah kelirunya sesetengah pemimpin kita.

Kesediaan masyarakat menjadi permisif digambarkan oleh tingkah laku seorang lelaki tua berkopiah yang mempromosikan salah satu stesen televisyen dengan ungkapan ”Macam-macam ada!” meskipun yang macam-macam itu cacamarba sifatnya dan sebahagiannya bercanggah dengan nilai kebangsaan dan agama.

Kemudian perhatikanlah pula citra atau imej kota dan bandar serta tempat awam di negara ini yang masih kurang menggambarkan ciri Kebudayaan Kebangsaan, dan masih terlalu dominan ciri kebudayaan asing dan etnik, khususnya dalam aspek bahasa peragaan yang digunakan, baik daripada segi penamaan mahupun pemilihan bahasa peragaan. Adanya undang-undang kecil tentang kuat kuasa penggunaan bahasa kebangsaan di tempat awam di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan tampaknya jauh daripada cukup penghayatan dan pelaksanaannya. Malah menteri yang bertanggungjawab memimpin kementerian itu pada satu waktu dahulu, iaitu pada sekitar tahun 2003 atau 2004 membuat penyataan media bahawa peraturan mewajibkan penggunaan bahasa kebangsaan di tempat awam tidak perlu.

Dalam pada itu, Kebudayaan Kebangsaan seringkali dileburkan konsep dan realisasinya melalui pencampurbauran antara unsur kebudayaan pelbagai etnik sehingga tidak tampak dengan jelas tiga asas yang ditetapkan pada tahun 1971 itu, iaitu kebudayaan Melayu sebagai asas utama. Seringkali pula konsep kebudayaan disempitkan pengertiannya pada seni tertentu, seperti seni tari, seni muzik dan seni nyanyi. Garis panduan persembahan dalam majlis rasmi yang mengutamakan unsur kebudayaan Melayu telah tidak diamalkan lagi apabila tari naga tanpa kesenian Melayu, misalnya, telah naik tarafnya menjadi acara sambutan rasmi majlis tertentu yang dihadiri oleh pembesar negara.

Dalam kunjungan pimpinan Dewan Bahasa dan Pustaka ke Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan pada sekitar tahun 2000, pegawai-pegawai kanan kementerian berkenaan dengan nada sesal menekankan bahawa sebenarnya telah ada garis panduan pelaksanaan Kebudayaan Kebangsaan dalam majlis dan acara rasmi negara. Tampaknya garis panduan demi garis panduan telah tidak berperanan memandu kebanyakan pihak berkuasa lagi! Sebilangan penjawat awam yang mempunyai semangat dan kesedaran tentang pentingnya asas-asas kenegaraan dipertahankan dan dilaksanakan memendam rasa kerana tidak dapat melaksanakannya atas arahan semasa.

Aspek lain dalam kebudayaan yang kini menjadi isu ialah nilai kesopanan dan budi bahasa yang sudah kian ketara lunturnya, bukan sahaja dalam kalangan generasi muda bahkan dalam generasi dewasa juga, termasuk dalam percaturan politik. Tindakan mengaibkan lawan politik atau saingan kerjaya, fitnah, surat layang, e.mel dan sms layang serta gaya pengungkapan dalam media sudah banyak yang bertentangan dengan nilai kesopanan dan budi bahasa yang terkandung dalam Kebudayaan Kebangsaan, terutama jika disandarkan pada asas yang ketiga, iaitu Islam sebagai terasnya.

Malahan Parlimen yang menjadi tempat wakil rakyat merancang dan menggubal undang-undang negara pun tidak terkecuali daripada mengalami fenomena keruntuhan budi bahasa dan kesopanan apabila bahasa yang kesat, bernada ejekan, nistaan, pekikan seperti di rimba raya dan yang seumpamanya telah menjadi kebiasaan sebilangan wakil rakyat yang bergelar "Yang Berhormat"! Sebilangan yang hadir menyaksikan sidang Parlimen ialah pelajar sekolah. Bagaimanakah dapat kita harapkan generasi muda dapat mencontoh generasi dewasa jika kelunturan budi bahasa dan kesopanan dalam kalangan golongan "yang berhormat" demikian ketara dan leluasanya?

Selanjutnya, budaya ilmu yang menjadi teras kebudayaan Melayu dan Islam, dalam beberapa banyak kes telah digeser oleh pertimbangan kuasa dan kepentingan lain seperti kepentingan ekonomi dan pembangunan fizikal. Penghormatan dan penghargaan kepada ahli dan institusi ilmu seringkali menjadi kabur dalam pelbagai bentuk, daripada penghargaan yang berlebih-lebihan kepada kalangan bukan ilmuwan sehingga kepada pencabulan wibawa keilmuan ahli ilmu dalam bentuk tindakan seperti tidak merujuk kepada ahli ilmu atau pakar dalam bidang tertentu dan juga ‘penyingkiran’ ahli ilmu.

Apabila ahli ilmu dinafikan dalam penentuan dasar tertentu, maka seringkali terjadilah keadaan “sesat sehingga hujung jalan” dan porak-perandalah negara. Amaran Allah dalam al-Qur`an tentang bahaya kehancuran yang berpunca daripada perbuatan tidak merujuk kepada ahli ilmu tampaknya tidak menimbulkan rasa gerun dan keinsafan yang nyata dalam kalangan sejumlah pemimpin.

Dalam konteks budaya muhibah dan kasih sayang, semangat dan tindak-tanduk yang memperlihatkan kesetiakawanan dan kekelompokan sempit kian ketara, terutama dalam bidang politik, baik antara parti dengan parti mahupun antara anggota dalam satu parti, sehingga tidak jarang berlaku keadaan bahawa kebenaran tidak diukur berdasarkan sistem nilai yang diiktiraf, misalnya berdasarkan undang-undang dan peraturan, tetapi berdasarkan adakah seseorang itu di dalam atau di luar kelompok.

Keputusan dan tindakan sebahagiannya dilaksanakan tidak berdasarkan lunas keadilan dan kebenaran tetapi berdasarkan sentimen kekelompokan. Sebagai contoh, apabila ada saran agar orang yang terlibat dengan rasuah dalam kegiatan kepartian (yang dilunakkkan dengan istilah "politik wang") dilaporkan kepada Badan Pencegah Rasuah untuk dibawa ke muka pengadilan, maka ada pendapat yang mengatakan bahawa rasuah dalam parti merupakan urusan parti dan harus diselesaikan dalam parti, seolah-olah parti mempunyai kedudukan yang lebih tinggi daripada undang-undang negara dan agama.

(Bahagian selanjutnya akan membicarakan isu kontrak sosial dan dasar bahasa kebangsaan yang turut menggugat makna diri Melayu.)

1 comment:

  1. Assalamualaikum,

    Saya ingin bertanya.
    Dari manakah asal Melayu Sarawak?

    Terima kasih.

    ReplyDelete