Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Wednesday, May 8, 2013

Soal Jawab Bahasa: Ayat Bersubjek Kata Kerja?



Pertanyaan

“ Menjadi tanggungjawab tiap-tiap entiti kerajaan untuk bekerjasama dan membantu Suruhanjaya”.

Ayat di atas sudah agak mantap digunakan dalam laras bidang undang-undang, dan merupakan terjemahan bagi ayat bahasa Inggeris “ It shall be the responsibility of every Government Entity to…”

Adakah ayat dalam bahasa Melayu itu ayat majmuk komplemen yang menggunakan kata komplemen untuk yang disongsangkan?

Penjelasan

Pada hemat saya, kata hubung pancangan "untuk" perlu dihilangkan, untuk memenuhi binaan ayat yang gramatis dalam bahasa Melayu, iaitu:

"Menjadi tanggungjawab tiap-tiap entiti kerajaan bekerjasama dan membantu Suruhanjaya."

Ayat itu merupakan binaan ayat songsang daripada ayat:

"Bekerjasama dan membantu Suruhanjaya menjadi tanggungjawab tiap-tiap entiti kerajaan."

Ayat asal dalam binaan ayat biasa (subjek di hadapan dan predikat di belakang) itu ada dijelaskan oleh Za'ba dalam buku Pelita Bahasa Melayu sebagai ayat yang subjeknya terdiri daripada kata kerja yang telah mengalami penghilangan kata nama.

Contoh yang diberikan oleh beliau ialah "Berenang menyihatkan badan" (dengan kata "berenang" yang berbentuk kata kerja menjadi subjek, daripada frasa asalnya yang berbentuk frasa nama "Perbuatan berenang").

Kembara Bahasa
9 Mei 2013

No comments:

Post a Comment