Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Friday, November 30, 2012

Tazkirah kepada diri: Boleh berbeda pendapat tetapiusah bermusuhan

Usahlah perbedaan pendapat atau aliran pemikiran sehingga membenihkan permusuhan sesama insan.

Raikanlah perbedaan pendapat selama perbedaan itu dalam rangka mencari kebenaran. Perbedaan pendapat, jika lahir daripada keikhlasan, dapat membawa rahmat.

Kembara Bahasa
1 Disember 2012/17 Muharam 1434

Thursday, November 29, 2012

Puisi Chai Loon Guan "Wira Cendekia Bahasa"

Wira Cendekia Bahasa

(Untuk YBhg. Prof. Dr. Awang bin Sariyan, Keyua Pengarah DBP bersempena dengan Muzakarah Munsyi Dewan pada 28 November - 1 Disember 2012 di IAB, Genting)

Dikau bagaikan sang tukang ukir
yang mahir
Antara pahat metafora
dan tukul personifikasi
Tabah cekal mengukir
Seni wasilah bangsa
Untuk telaahan bangsa
Untuk khazanah nusa
zaman-berzaman.

Dikau bagaikan sang petani
Dari daerah pedalaman yang bening
Antara cangkul diksi dan kudrat harapan
Penuh kasih kausemai akrab
benih-benih bahasa
Di kebun ilmu
Di kebun bangsa.

Dikau bagaikan sang tukang jahit zaman
Antara jejarum frasa dan bebenang klausa
Kaucipta busana susila bahasa
manifestasi peradaban
nilai kesantunan
citra ketamadunan
bangsa
di persada nusa
di persada Nusantara
D persada antarabangsa

Dikau bagaikan wira sepanjang zaman
Antara merah dan darah perjuangan
dan keris peradaban
Kau melangkah gagah di persada wacana
Melahirkan anak-anak merdeka
Yang cekal akal budi
Yang tekal jati diri

Wira cendekia bahasaku
Dikau persis kandi ilmu
Obor menerangi buana zulmat
Terampil wibawa menongkah arus cabaran
Pena ilmu di buana manusiawi
Wacana ilmu di buana rabbani

Dirgahayu
Wira cendekia bahasaku
Bahasawan yang cemerlang
Bahasawan yang terbilang
Bahasawan sepanjang zaman!

Chai Loon Guan
Institut Aminuddin Baki
Genting
28 November 2012

Terima kasih, wahai para Munsyi



Terima kasih banyak-banyak kepada para Munsyi Dewan yang sedang bermuzakarah di Institut Aminuddin Baki, Seri Layang, Genting kerana mengurniai hamba Anugerah Wira Cendekia Bahasa bersempena dengan Muzakarah Munsyi Dewan 2012 yang berlangsung pada 28 November - 1 Disember 2012.

Terharu hamba menerima selempang merah Anugerah Wira Cendekia Bahasa, cenderamata senaskhah mushaf al-Qur'an beserta terjemahan dan catatan tajwid dan sepersalinan pakaian kebangsaan, lengkap dengan kain songket yang lembut kain dan warnanya.

Semoga kesatuan fikiran (wahdatul fikr) dan kesatuan tindakan (wahdatul amal) kita dalam jemaah Munsyi Dewan dapat menjadi landasan perjuangan kita untuk mengangkat maruah dan martabat bahasa sebagai tunjang tamadun.

Kembara Bahasa
29 November 2012/16 Muharam 1434

Wednesday, November 28, 2012

Isu pengambilan bahasa asing



Oleh : SUHARNE ZAINUDIN

"MEMANG wujud kesukaran dalam mencipta sesuatu istilah," kata Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Awang Sariyan.

Namun begitu katanya, hal itu bukanlah alasan untuk melabelkan bahasa Melayu sebagai bahasa yang tiada standard. Hal ini tidak berlaku pada bahasa Melayu sahaja, bahasa lain turut menghadapi keadaan serupa termasuklah bahasa Inggeris.

Dalam bahasa Inggeris, lebih 65 peratus daripada kosa katanya, tidak termasuk istilah, bukan asli berasal daripada bahasa tersebut. Ada yang diambil daripada bahasa Arab, Perancis, Jerman dan yang lain.

"Contohnya perkataan bread (roti) diambil daripada bahasa Jerman, brott dan menurut kamus dwibahasa RJ Wilkinson, perkataan compound berasal daripada perkataan kampung," jelasnya.

Awang berkata, dalam bidang sains istilah atau perkataan sebahagiannya diambil daripada perkataan bahasa asing kerana amat sukar untuk dicari atau dipadankan ke dalam bahasa Melayu. Oleh itu, perkataan atau istilah asing yang diperoleh diambil dan diubah suai.

"Mencipta sesuatu istilah bukan mudah. Diperlukan kajian mendalam dan diperlukan
masa yang lama. Harus diingat, kerja mencipta istilah atau menggubal sesuatu istilah bukan bidang kuasa DBP sebaliknya golongan cendekiawan atau sarjana yang terlibat secara langsung dalam bidang berkenaan.

"Peranan DBP sebagai penyelaras yang melantik dan mempertemukan ahli ilmu daripada pelbagai bidang sebagai jawatankuasa istilah bagi tujuan menggubal dan mencipta istilah menurut bidang masing-masing," katanya sambil memberitahu DBP antara lain berperanan memberi khidmat nasihat dari segi bahasa, tatabahasa dan ejaan.

Menjawab pertanyaan, mengapa banyak berlaku keadaan penggunaan bahasa asing yang diubah suai sedangkan bahasa Melayu mempunyai perkataan bagi maksud serupa, beliau berkata, hal ini terjadi kerana mereka tidak merujuk DBP terlebih dahulu.

"Contohnya perkataan bajet, kita ada belanjawan; konsisten, kita ada tekal; kolaborasi, kita ada kerjasama; informasi, kita ada maklumat. Tetapi sesetengah orang tidak peka.

"Mahu juga menggunakan bahasa asing yang diubah suai sendiri, seterusnya kekal dan diisytiharkan sebagai bahasa, sedangkan belum lagi diangkat sebagai bahasa baku," ujar Awang.

Di dalam kamus DBP, beliau menambah, mana-mana perkataan ditandakan dengan BP adalah penanda bagi merujuk perkataan tersebut sebagai bahasa percakapan umum.

"Saya mengajak supaya agensi kerajaan, pihak swasta mahupun Persatuan merujuk DBP terlebih dahulu sebelum mencipta sesuatu singkatan, istilah ataupun mencipta sesuatu perkataan. Ini penting dalam usaha menjaga dan memartabatkan bahasa Melayu," katanya.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Kembara Bahasa
29 Novrmber 2012/15 Muharam 1434

Sunday, November 25, 2012

Tazkirah kepada diri

Bertanya tentang sesuatu yang tidak kita ketahui atau kita fahami ialah perbuatan yang mulia dan menyerlahkan keikhlasan diri daripada terus membuat andaian dan dakwaan yang mungkin bertukar menjadi fitnah pula.

Kembara Bahasa
26 November 2012/12 Muharam 1434

Friday, November 23, 2012

Tazkirah kepada diri: mengharapkan redha Allah

Tazkirah kepada diri:

Usahlah berasa kecewa seandainya segala usahamu tidak diketahui atau dihargai orang di dunia, kerana Allah maha mengetahui dan akan menghargai usaha yang diredhai-Nya.

Janganlah pula sampai segala usahamu tidak dipedulikan dan dihargai Allah kerana dilakukan dengan riyak, ujub dan takbur serta mengharapkan penghargaan manusia.

Kembara Bahasa
24 November 2012/10 Muharam 1434

Thursday, November 22, 2012

Perlukah konflik untuk memperoleh idea yang lebih baik?

Konflik diperlukan untuk mencapai sintesis ke arah pemantapan teori, pendapat dan kebenaran. Gema pandangan demikian menjadi pendirian sejumlah sarjana dalam satu persidangan baru-baru ini meskipun hamba dan sejumlah sarjana lain berpandangan sebaliknya.

Perbedaan pendapat atau hujah tidak semestinya konflik, dan perbedaan itu perlu disampaikan berasaskan adab ilmiah, bukan perasaan atau sentimen. Konflik tidak akan mungkin berasaskan adab kerana istilah itu sendiri membawa nilai yang bercirikan permusuhan, pertentangan dan kaedah yang tudak berlunaskan adab.

Dalam hal yang sudah putus atau qat'i pula, kerana sudah ada nas dan khabar yang sadik (benar), tdak diperlukan konflik sama sekali. Oleh sebab itu perihal hakikat yang telah dijelaskan dalam al-Qur'an dan hadith tidak sewajarnya menjadi asas konflik meskipun dibokehkan perbedaan daripada sudut tafsirannya. Di luar kesedaran, kepercayaan bahawa konflik dapat melahirkan idea yang lebih baik mungkin kesan daripada penjajahan pemikiran tamadun lain kerana Islam tidak berdasarkan konflik tetapi ijtihad.

Kembara Bahasa
23 November 2012/9 Muharam 1434

Tuesday, November 20, 2012

Kembara Bahasa bermula lagi

Pada pagi ini, 21 November 2012, secara serentak konvoi Kembara Bahasa laluan selatan, utara, timur dan tengah di seluruh negara memulakan pergerakan melwati negeri-negeri dan singgah di beberapa stesen untuk melakukan kegiatan bahasa dan sastera seperti pantau tegur bahasa di tempat awam, tinjauan keindahan bahasa sepanjang perjalanan, baca puisi, dialog bahasa dan sastera, ceramah patriotisme oleh Biro Tatanegara dan riadah bersama-sama dengan masyarakat setempat. Pelepasan konvoi akan dilaksanakan di setiap negerioleh pembesar negeri. Kembara Bahasa Sabah dan Sarawak telah berlangsung lebih awal dan wakil kedua-dua buah negeri akan menertai pergerakan ke Putrajaya untuk Majlis Teguh Bahasa.

Sementara itu, penyertaan sejumlah warganegara Singapura daripada Badan Kesenian Singapura dijangka menambah kemeriahan dan rancaknya Kembara Bahasa pada tahunini. Sejumlah 22 orang warga Singapura yang disertai 20 orang warga Malaysia memulakan Ziarah Seni 3 Merentas Semenanjung dengan Kereta Api Tanah Melayu (KTMB) di Woodlands dan akan melaksanakan kegiatan bahasa/sastera sepanjang perjalanan dalam gerabak kereta api ke Kuala Lumpur untuk kemudian mengadakan kegiatan di DBP pada malamnya, secara bergabung dengan karyawan bahasa dan sastera Malaysia. Acara pelepasan di Woodlands akan dilakukan oleh Setiausaha Parlimen Kanan YB En. Hawazi Daipi.

Keesokannya, iaitu pada 22 November, peserta meneruskan perjalanan ke Seberang Perai, Pulau Pinang dan disambut oleh DBP Wilayah Utara serta mengadakan kegiatan si sana. Semua peserta kemudian akan menuju ke Putrajaya, menyertai konvoi Kembara Bahasa laluan selatan, utara, timur, tengah, Sabah dan Sarawak untuk menyertai Majlis Teguh Bahasa pada 24 November 2012 malam dengan penyertaan kira-kira 800 orang daripada pelbagai golongan kerjaya, usia dan keturunan. Majlis Teguh Bahasa yang merupakan perhimpunan semua peserta Kembara Bahasa dari seluruh negara akan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan YB Dr. Mohd Puad Zarkhasi.

KEMBARA BAHASA ialah kegiatan simbolik untuk merakyatkan bahasa dan sastera melalui pergerakan berkonvoi ke seluruh negara, dengan melibatkan masyarakat setempat dalam pelbagai kegiatan dan pada acara kemuncaknya bertemu di Putrajaya untuk penyataan ikrar bersama dalam memperjuangkan bahasa dan sastera kebangsaan. Kegiatan itu mula digerakkan pada tahun 2000 sebagai salah satu pengisian Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN) dan bertahan hungga 2005. Mulai tahun ini, program itu digerakkan semula untuk mengisi Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK).

Kembara Bahasa
21 November 2012/6 Muharam 1434

Sunday, November 18, 2012

Membentuk semula Melayu mahawangsa

Wahai teman,

Ketika sidang berbicara tentang usaha membentuk Melayu mahawangsa (Melayu besar) di Kepulauan Melayu dan di bahagian lain dunia, terutama berdasarkan kesatuan akidah, mengapatah sdr masih berbicara tentang hal remeh berkaitan dengan kononnya pengambilan hak budaya oleh satu etnik daripada etnik lain?

Bukankah kita ini selama ratusan tahun atau bahkan lebih satu alaf hidup dalam sebuah kampung besar yang namanya alam Melayu sehingga sanggup berkongsi apa-apa sahaja dan tidak menilai pemanfaatan mana-mana unsur budaya antara etnik atau antara wilayah politik sebagai "pencurian"? Berjiwa besarlah, wahai teman!

Kembara Bahasa
18 November 2012/4 Muharam 1434

Saturday, November 17, 2012

Jambi pusat Kerajaan Sriwijaya?

Pada hari ini insya-Allah sesudah bersarapan di rumah Rektor IAIN Sultan Thaha Saifuddin, pemakalah dan peserta Persidangan Merajut Peradaban Melayu Asia Tenggara dibawa ke daerah yang dikatakan pusat kerajaan Sriwijaya (abad 7-13 M). Catatan pendeta Buddha dari China yang bermukim selama enam bulan di situ, Yi Jing menyebut ibu kota Sriwijaya sebagai Fosyih.

Hamba berasa begitu teruja kerana selama ini banyak menulis pertumbuhan dan perkembangan gelombang pertama peradaban Melayu yang diwakili oleh peradaban pada zaman Sriwijaya dan kemudian menanjak pada zaman Kesultanan Melayu sebagai gelombang kedua, iaitu sesudah Islam sampai di Kepulauan Melayu. Menurut sumber setempat, Kesultanan Jambi diasaskan oleh orang Turki yang dipercayai ada kaitannya dengan Kerajaan Uthmaniyah - satu lembaran baru maklumat peradaban Melayu.

Persoalan lain yang menjadi fikiran hamba ialah kedudukan Jambi sebagai pusat peradaban pada zaman Sriwijaya selama ini dibayangi oleh catatan sejarah bahawa Palembanglah ibu kota kerajaan itu dan tanda sejarahnya pun diletakkan di situ. Sejumlah sarjana Jambi berpendapat bahawa Sungai Batang Hari, iaitu sungai terpanjang di Sumatera yang terletak di provinsi Jambi itulah laluan yang mengembangkan peradaban Melayu, bukan Sungai Musi di Palembang. Sejarah terbuka untuk dikaji.

Kembara Bahasa
18 November 2012/4 Muhaam 1434

Friday, November 16, 2012

Inti sari kertas kerja Persidangan Antarabangsa Merajut Peradaban Melayu Asia Tenggara Beracuan Alam Melayu

Inti sari kertas kerja Kembara Bahasa Melayu Mahawangsa dalam Persidangan Antarabangsa Merajut Peradaban Melayu Asia Tenggara: Memperkuat Budaya Lokal dalam Konteks Perubahan Global, anjuran Asosiasi Dosen Ilmi-ilmu Adab (ADIA), Institut Agama Islam Negeri Sultan Thaha Saifuddin Jambi (16-18 November 2012).

Tajuk: Jerangkap Samar Epistemologi dalam Peradaban Timur-Barat - Keperluan Pembinaan Kerangka Falsafah Bahasa dan Pendidikan Bahasa untuk Merajut Peradaban Melayu

BAHAGIAN I

1. Peradaban Melayu yang manakah yang perlu diranjutkan? Peradaban Melayu yang dimaksudkan ialah peradaban yang diasaskan pada lunas-lunas risalah Allah atau agama Islam kerana peradaban Melayu telah dibentuk rupa dan jiwanya oleh Islam sejak lebih satu alaf atau seribu tahun lalu (al-Attas, 1969, 1972 dll).

2. Usaha meranjutkan peradaban Melayu berteraskan Islam merupakan tanggungjawab umat Melayu yang ditakdirkan Islam dan menjadi bangsa Islam kedua terbesar di dunia, selaras dengan amanahnsebagai khalifah Allah di muka bumi.

3. Usaha meranjutkan peradaban Melayu menjadi fardhu kifayah, bukan sekadar usaha untuk memenuhi psikologi dan emosi bangsa atas nama etnik.

4. Prasyarat untuk meranjut peradaban Melayu beracuan alam Melayu yang memenuhi keredhaan Allah:

- Pemerdekaan atau pembebasan peradaban Melayu daripada mana-mana tasawur atau pandangan sarwa yang bercanggah dengan lunas syariat, tidak kira daripada mana sumbernya, barat mahupun timur.

- Oleh sebab kebanyakan sumber teori ilmu dan sistem kehidupan sedunia datang dari dunia barat, maka perhatian perlu diberikan kepada percanggahan-percanggahan dan kekeliruan yang didatangkan dari dunia barat, sebahagiannya dibawa sendiri oleh anak bangsa kita yang menerima segala yang bersumberkan barat sebagai benar belaka tanpa saringan.

- Usaha menilai dan menolak mana-mana lunas yang tidak sesuai dengan syariat Islam yang menjadi teras peradaban Melayu diungkapkan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas sebagai "dewesternisasi", bukan kerana baratnya tetapi kerana sumbernya yang sejumlahnya
tidak serasi. Jika istilah itu tidak disenangi kerana mungkin dianggap memusuhi Barat, maka boleh sahaja kita menggunakan istilah lain seperti "dekolonialisasi ilmu dan pemikiran" atau dengan istilah yang sudah meluas diterima, iaitu "pengislaman ilmu".

- Sikap dan tindakan terus-menerus menjadi makmum kepada imam-imam (sarjana) Barat yang telah jelas salah atau bercanggah dengan pandangan sarwa Islam perlu dirobah dengan berusaha menjadi pemuka pendekatan beracuan alam Melayu. Bidang ilmu dan pendidikan dalam peradaban Melayu perlu dilonjakkan untuk diberi kesempatan memimpin pemikiran dunia, melalui penerokaan pemikiran, penialian dan perumusan pemikiran yang menayangkan pandangan sarwa peradaban Melayu.

- Yang perlu dinilai, disaring dan diberi ganti dengan acuan alam Melayu bukan yang disalahfahami oleh sesetengah orang sebagai penghasilan termasuk yang fizikal sifatnya, sehingga ada sindiran bahawa perlu ada "jambatan Islam, basikal Islam" dan yang seumpamanya. Yang kita maksudkan ialah pengislaman kerangka pemikiran, falsafah dan pandangan sarwa yang menjadi dasar pelaksanaan sistem pendidikan, pendekatan pengajaran dan pendekatan penyelidikan, agar kita tidak terperangkap oleh acuan pemikiran dan falsafah yang menyebabkan bangsa kehilangan acuan yang tepat dan benar.

- Sebagai contoh, selama kita taksub akan dikotomi antara rasionalisme dan empirisme sepervti yang diperjuangkan oleh kelompok pendukungnya dalam tradisi pemikiran dan ilmu Barat, kita akan terus terjajah oleh kerangka pemikiran yang tidak membawa penyelesaian. Dalam hal inilah diperlukan kita mengambil epistemologi Islam sebagi kerangka rujukan, kerana epistemologi Islam memadukan hasil kerja akal (yang didukung oleh golongan rasionalis) dengan hasil kerja pancaindera (yang didukung oleh golongan empirisis), sehingga tidak perlu kita membina dikotomi yang begitu ketat dan saling memusuhi. Yang lebih penting pula ialah asas epistemologi Islam yang bersandarkan sumber atau khabar yang benar, terutama bersumberkan al-Qur'an dan sunnah, ditambah pula oleh ijmak dan
ijtihad ulamak muktabar. Aspek sumber ketuhanan inilah yang amat kurang terdapat dalam kerangka falsafah dan pemikiran Barat meskipun ada sejumlah sarjana Barat yang percaya akan sumber ilahi dalam sesetengah huraian ilmu, seperti oleh golongan Skolastik.

- Antara kesan besar yang membentuk sistem kehidupan, termasuk pendidikan bangsa kita, terutama sesudah dijajah termasuklah amalan sekularisme dan dualisme. Beberapa segi sistem kehidupan bangsa kita memperlihatkan pemisahan antara dunia dan akhirat. Dualisme dengan jelas berlangsung dalam praktik kewujudan dua sistem yang terpisah atau jika berintegrasi masih jelas dualistiknya, seperti wujudnya sekolah agama dan sekolah akademik dan fakulti yang diberi nama pengajian Islam dan fakulti yang seolah-olah tidak memerlukan lunas Islam.

- Maka itu timbul keperluan (baca: kewajiban) bangsa kita "mengislamkan" bidang ilmu dan pendidikan, kerana kebaikan dan keburukan segala sistem sosial yang lain berakar daripada bidang pendidikan.

BERSAMBUNG (implikasi dan isu dalam bidang bahasa - pengislaman bahasa pada sisi pandangan sarwanya berkaitan rapat dengan usaha merajut peradaban Melayu)

Kembara Bahasa
17 November 2012/3 Muharam 1434

Thursday, November 15, 2012

Kerangka Falsafah Bahasa Melayu Berasaskan Epistemologi Islam

Insya-Allah hamba akan membentangkan kertas kerja tentang keperluan (kewajiban) membina dan melaksanakan kerangka falsafah bahasa dan pendidikan bahasa Melayu beracuan alam Melayu (bersumberkan epistemologi Islam) dalam Persidangan Antarabangsa Merajut Peradaban Melayu Asia Tenggara: Memperkuat Budaya Lokal dalam Konteks Perubahan Lokal, anjuran Institut Agama Islam Negeri Sultan Taha Saifuddin, Jambi, Sumatera (17-18 November 2012).

Kembara Bahasa
2 Muharam/16 November 2012

Jika hendak berbahasa Inggeris, berbahasalah dengan betul

Wahai, tuan,

Jika hendak berbahasa Inggeris, berbahasalah dengan betul! Usahlah menulis "dateline" bagi kata "deadline" untuk memberitahu kami bahawa tempoh menghantar bahan terbitan menghampiri tarikh akhirnya. Kata " dateline" lain maknanya, tuan.

"Deadline" bererti tarikh akhir, sementara "dateline" bererti ruang tarikh ditulis atau dicetak pada akhbar dan sebagainya. Telah ada istilah "tarikh akhir" tetapi tuan lebih berminat menggunakan istilah dalam bahasa Inggeris, yang malangnya salah pula, dalam surat kepada saya yang keseluruhannya tuan tulis dalam bahasa Melayu. Dalam ayat lain pula, tuan menggunakan kata "meeting" untuk mesyuarat dan "urgent" untuk mendesak.

Saya tidak faham apa tujuan tuan berbuat demikian; mungkin untuk kelihatan gengsi atau bergaya atau untuk menunjukkan bahawa tuan menguasai bahasa Inggeris. Penguasaan bahasa Inggeris tidak akan terserlah hanya kerana menyisipkan beberapa patah kata asing dalam ayat berbahasa Melayu, apatah lagi jika kata itu salah, seperti dalam hal "dateline" itu tadi.

Beberapa hari sesudah tuan mengirimkan surat itu, tuan berceramah dan membidas orang yang menggunakan kata asing. Bahkan tuan membidas orang yang menggunakan kata atau istilah yang dipinjam daripada bahasa asing secara borong, seolah-olah tidak boleh sama sekali bahasa Melayu menerima sejumlah kata atau istilah yang disesuaikan daripada bahasa asing atas dasar keperluan, bukan untuk mengada-ngada atau berlagak gengsi.

Jika saya bertanya kepada tuan apakah agaknya kata asli yang dapat tuan sarankan untuk kata seperti "basikal, atom, bas, komputer, lif, lori, pensel, buku, oksigen, karbon" dan sejumlah yang lain, saya ragu seandainya tuan dapat memberikan pilihan yang menurut tuan asli Melayu.

Bahasa Inggeris yang bertaraf antarabangsa itu pun mengambil lebih 60 peratus kata dan istilah daripada bahasa asing, sekali lagi saya tegaskan atas dasar keperluan, bukan untuk mengada-ngada seperti kata tuan. Kita perlu mempertahankan kata dan istilah yang sudah ada dan mantap dalam bahasa Melayu tetapi tidak boleh atau tidak wajar menutup keperluan menyerapkan kata atau istilah daripada bahasa lain apabila kita memang memerlukannya. Tidaklah benar kata tuan dalam ceramah itu bahawa semua kata pinjaman atau serapan itu ialah sampah sarap belaka. Yang sebenarnya sampah sarap ialah kata asing yang tidak perlu digunakan apabila telah ada kata dalam bahasa Melayu, seperti yang tuan lakukan dalam penulisan surat kepada saya itu, apatah lagi kata yang tuan gunakan itu salah pula.

Marilah kita bersikap rasional dalam membidani bahasa kesayangan kita.

Kembara Bahasa
16 November/2 Muaram 1434

Tuesday, November 13, 2012

Kuasa pengguna bahasa

Pilihan sama ada hendak mengutamakan kata jati atau kata pinjaman ketika berbahasa banyak terletak pada pengguna bahasa sekalipun kata pinjaman, terutama istilah bidang ilmu, terdapat dalam kamus.

Seorang tokoh yang menggunakan ungkapan "sampah sarap" bagi semua kata pinjaman, ironisnya apabila mengutus surat kepada saya sangat selesa menggunakan kata asing seperti "meeting, urgent, deadline" dll. walhal tidak ada keperluan baginya menggunakan kata-kata bahasa asing itu kerana telah sedia ada padanannya dalam bahasa Melayu (mestuarat, mendesak, tarikh akhir).

Tidak ada mana-mana ahli bahasa atau badan bahasa yang menganjurkan pengguna bahasa menggunakan kata asing atau kata pinjaman, terutama kata yang telah ada padanannya salam bahasa kita sendiri. Tidak jarang bahawa sesetengah kata atau istilah ditekankan penggunaannya oleh pemimpin tertentu. Kata "bajet", misalnya, tidak pernah dianjurkan okeh DBP tetapi digunakan oleh salah seorang bekas Perdana Menteri dan kemudian istilah itu terus digunakan. Dalam liputan pembentangan belanjawan 2013, Radio 24 BERNAMA menggunakan istilag "belanjawan" dan tidak ada masyarakat yang tidak faham.

Jelas bahawa yang penting ialah pentingnya proses pembudayaan bahasa digerakkan dengan berkesan melalui pendidikan dan media am. Semangat dan perasaan sahaja tidak cukup, kerana orang yang berapi-api memusuhi penggunaan kata pinjaman itu sendiri dalam bahasanya banyak menggunakan kata pinjaman, malah kata asing juga. Adakah sesiapa atau pihak di luar dirinya yang mengarahkannya berbuat demikian?

Sementara itu, sikap menolak seratus peratus kata pinjama bukanlah sikap yang betul, kerana semua bahasa besar di dunia memerlukan sumbangan sejumlah kata atau istilah daripada tamadun bangsa lain. Bahasa Inggeris sendiri meminjam lebih 60 peratus kata dan istilah daripada bahasa lain (Latin, Perancis, Jerman, Arab, dan malah daripada bahasa Melayu juga). Keperluan meminjam kata dan istilah daripada bahasa asing itu tentulah perlu melalui kaedah tertentu yang berkaitan dengan penyesuaiannya dengan sistem bahasa sendiri, seperti bentuk, ejaan dan sebutannya. Demikianlah yang ditetapkan dalam Pedoman Umum Pembentukan Istilah Bahasa Melayu yang disepakati oleh Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM).

Kembara Bahasa
14 November 2012

Monday, November 12, 2012

Tazkirah kepada diri: Kalau kukuh perdu pohon

Kalau kukuh perdu pohon, usah cemas akan ribut yang mendatang.

12 November 2012

Sunday, November 11, 2012

Tazkirah kepada diri: Atasi kekecewaan dengan bertindak positif

Merintih, kecewa dan sesal akan perkara yang tidak sepatutnya berlaku memang wajar, namun jauh lebih wajar kita memikirkan, merancang dan mengusahakan sesuatu agar keadaan menjadi lebih baik.

Kembara Bahasa
11 November 2012

Saturday, November 10, 2012

Mesyuarat Agung PENA ke-49



Perasmian Mesyuarat Agung PENA ke-49 di Dewan Seminar Dato' Dr. Hassan Ahmad, DBP.

Antara yang hamba tekankan dalam ucapan perasmian:

1) Pentingnya persatuan bukan kerajaan menjadi penggerak pembentukan dan pemantapan dasar-dasar penting negara seperti Dasar Bahasa Kebangsaan, Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan, kerana beberapa dasar negara memang disumbangkan pemikiran asasnya oleh persatuan bukan kerajaan. Penubuhan DBP sendiri ialah hasil Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu yang digerakkan oleh beberapa persatuan bahasa, pendidikan, media am, keagamaan, kewartawanan dan yang lain. UKM ditubuhkan pada tahun 1970 atas desakan golongan intelektual Melayu dan disokong oleh persatuan-persatuan kebangsaan. Dasar Kebudayaan Kebangsaan pada tahun 1971 ialah hasil Kongres Kebudayaan Kebangsaan yang digerakkan asalnya oleh persatuan bukan kerajaan. Salah satu kekuatan rakan-rakan Cina ialah persamaan agenda perjuangan mereka meskipun melalui pelbagai wadah yang berlainan. Di peringkat antarabangsa, persatuan Cina seberang laut amat kuat.

2) Perlunya gerakan pembentukan pelapis pejuang kebangsaan dalam kalangan anak-anak muda, khususnya melalui persatuan belia, persatuan pelajar dan persatuan penulis serta seni budaya yang dikendalikan oleh golongan muda. Pada tahun 2000-2004 DBP pernah menggerakkan Konvensyen Mahasiswa Nasional secara tahunan yang menggabungkan pelbagai persatuan mahasiswa di seluruh negara untuk bermuzakarah tentang agenda-agenda kebangsaan.

3) Perlunya penyeimbangan persuratan ilmu dan persuratan kreatif,kerana semua tamadun manusia yang besar berasaskan kekuatan dan kekayaan khazanah persuratan ilmu. PENA dapat menjadi antara penggerak agenda pengayaan khazanah ilmu dalam bahasa Melayu. DBP telah mula merancang penerbitan berpakej untuk 300 bidang ilmu yang telah sedia ada istilahnya, hasil kerja ratusan sarjana pelbagai bidang, tetapi masih kurang wacana ilmunya dalam bentuk buku, baik untuk golongan di pusat pengajian tinggi, masyarakat umum, remaja mahupun kanak-kanak. PENA dapat membantu pembentukan panel-panel penulis dalam bidang tertentu untuk menyokong usaha DBP yang menetapkan sasaran bahawa pada tahun 2020 apabila negara mencapai taraf negara maju, kekayaan khazanah persuratan ilmu dalam bahasa Melayu telah mencapai tahap yang 'lengkap'.

4) Pentingnya persatuan menjadi "penjaga gol" hal ehwal kebangsaan supaya program kerajaan tidak tersasar daripada dasar negara. Sumbangan pemikiran, teguran dan cadangan persatuan bukan kerajaan penting agar sasaran dan hala tuju pelan pembangunan negara dalam semua bidang jelas dan tidak berubah-ubah menurut keadaan semasa, apatah lagi perubahan yang merugikan dan menyimpang daripada dasar asal yang baik dan menjadi tonggak pembinaan negara.

5) Pentingnya sifat keberanian, kikhlasan dan pakatan strategik dalam menakhodai persatuan gerakan rakyat kerana persatuan mempunyai keluwesan dan ruang yang lebih bebas oleh sebab tidak terikat oleh birokarasi dan peraturan kerajaan.

6) DBP membuka ruang kerjasama dan kemudahan kepada semua persatuan untuk menggerakkan agenda bahasa dan persuratan, seperti pembentukan dana khas bantuan kewangan kepada persatuan dalam pelaksanaan kegiatan, kemudahan tempat dan yang lain. Segala kemudahan yang ada di DBP perlu diimarahkan untuk kegiatan wacana, persembahan dan yang lain.

- 11 November 2012

Friday, November 9, 2012

Puisi "Berkata Si Burung Tiung"



Puisi "Berkata Si Burung Tiung"

Syahdan berkatalah si burung tiung:
Manusia itulah yang mengajarku berkata-kata
lamun tanpa makna yang nyata.
Dilatihnya aku bertubi-tubi.
Maka puaslah hatinya
menyaksikan aku menuturkan kata
meskipun aku tiada mengerti apa-apa.

Di sana sini
rupa-rupanya bukan aku sahaja
yang dilatih menuturkan kata
tanpa memahami makna
untuk memuaskan hati manusia
bahawa ia ada pengikut setia
yang tiada pernah mengubah kata
kendatipun zahirnya iya
lamun hakikatnya tiada.

Syahdan akhirnya berkatalah si burung tiung:
Tiadalah ertinya aku terus mengajuk kata-kata manusia
Meskipun disuguhi makanan di hadapan mata
Jauh lebih bahagia aku terbang bebas merata
berkicau sambil terbang dan hinggap menikmati alam buana
kerana itulah fitrahku kurniaan Yang Empunya.

Kembara Bahasa Melayu Mahawangsa
kembarabahasa.blogspot.com

Bangkok, 10 November 2012

Thursday, November 8, 2012

Puisi "Masih tetap kutunggu"


Betapapun remuk-redam hatiku
Betapapun pedih nuraniku
Betapapun luka jiwaku
Betapapun tergores perasaanku
Betapapun kecewa dambaanku
Angkara engkau yang memunahkan kedamaian
Angkara engkau yang menghakis kepercayaan
Angkara engkau yang mendobrak keutuhan
Angkara engkau yang memecahkan kesatuan
Angkara engkau yang menyirnakan ketuanan
Namun masih tetap kutunggu
saat biduk berlalu kiambang bertaup
saat carik-carik bulu ayam bertemu jua
saat air dicencang tidak putus
saat kalah tidak jadi arang, menang tidak jadi abu
saat yang keruh dibuang, yang jernih diambil
kerana kita mendukung amanah
menyangga tamadun di bumi bersejarah
menyambung tugas mengembangkan risalah
mengangkat bangsa memperoleh daulah
gemilang di dunia, gemilang di akhirah.

Kembara Bahasa
8 November 2012

Tuesday, November 6, 2012

"Ketetapan berikut" atau "ketetapan yang berikut"?

Soalan:

Antara "ketetapan berikut" dengan "ketetapan yang berikut", yang manakah yang betul?

Penjelasan:

Kedua-dua frasa itu betul menurut binaan masing-masing. Frasa "ketetapan berikut" betul dalam binaan kata nama yang diikuti oleh kata kerja sebagai penerang, iaitu kata nama "ketetapan" diikuti oleh kata kerja "berikut", sama halnya dengan "Orang mengantuk" dalam peribahasa "Orang mengantuk disorongkan bantal". Contoh lain ialah frasa "perkara tersebut".

Binaan "ketetapan yang berikut" pula betul dalam binaan kata nama yang diikuti oleh frasa nama yang berpangkal "yang". Dalam bahasa Melayu ada frasa nama yang terbentuk dengan penggunaan kata "yang" sebagai pembenda, iaitu bagi kata yang terdiri daripada kata kerja atau adjektif. Frasa "yang berikut" ialah frasa nama yang menjadi penerang kata nama "ketetapan".

Namun bagi frasa "...seperti yang berikut" tidak boleh dinyatakan sebagai "seperti berikut" kerana kata sendi "seperti" perlu diikuti oleh frasa nama ("yang berikut").

Kembara Bahasa
7 November 2012

Saturday, November 3, 2012

Tazkirah kepada diri: Apabila kusut benang atau tali masalah yang hendak dirungkai, kepada Allah hendaknya kita bersolat istikharah untuk memohon petunjuk-Nya agar diperoleh penyelesaian yang terbaik.

Kembara Bahasa

Thursday, November 1, 2012

Tazkirah kepada diri: istikharah

Tazkirah kepada diri: Apabila kusut benang atau tali masalah yang hendak dirungkai, kepada Allah hendaknya kita bersolat istikharah untuk memohon petunjuk-Nya agar diperoleh penyelesaian yang terbaik.

Kembara Bahasa
1 November 2012