Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Saturday, November 23, 2013

DBP Tetap Mempertahankan Dasar Negara (Dasar Kerajaan) tentang Bahasa Kebangsaan

Dasar DBP tentang Bahasa Kebangsaan

Penjelasan terhadap pertanyaan Farid KP dalam inbox Fb tentang dakwaan pengendali blog Boikot Bisnes Cina bahawa DBP tidak mengkritik kerajaan negeri Pulau Pinang yang menerbitkan buletin yang meminggirkan bahasa Melayu.

Salam. Dalam soal dasar bahasa kebangsaan, DBP jelas sikap dan pendiriannya, iaitu berdasarkan Perlembagaan Perkara 152, Akta Bahasa Kebangsaan, Akta Pendidikan dan Akta DBP sendiri. Semua pernyataan dan gerak kerja DBP berlandaskan undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen. Jika ada mana-mana pihak yang bersikap atau melaksanakan sesuatu yang bertentangan dengan dasar negara (dasar kerajaan) tentang bahasa kebangsaan, maka DBP tidak bersikap berpura-pura untuk menyokongnya semata-mata kerana kedudukannya yang tinggi. Sokongan DBP kepada dasar dan program kerajaan kini dalam pelaksanaan MBMMBI dan Pelan Pembangunan Pendidikan adalah atas asas bahawa keputusan dan pelaksanaan kerajaan menepati dasar negara, dalam konteks ini Dasar Bahasa Kebangsaan.

Jika ada mana-mana pihak yang melanggar dasar itu, DBP menyatakan sikap dan pendirian yang sama dan tidak ada sebab untuk menyebelahinya. Dalam kes buletin kerajaan negeri Pulau Pinang yang sdr jadikan bahan rujukan itu, DBP sama sekali tidak pernah menerima salinannya dan dengan demikian tidak tahu akan isu peminggiran bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam terbitan itu. Menuduh DBP tidak mengkritik pengendalinya samalah dengan menuduh pihak polis tidak menangkap seorang pesalah yang kesnya tidak sampai pada pengetahuan polis. DBP tidak mempunyai sebab apa pun untuk melindungi penerbit buletin itu, malah mengecam tindakannya meminggirkan bahasa kebangsaan dalam sebahagian besar kandungan buletin. Pengendali blog berkenaan tidak perlu membuat tuduhan melulu hanya kerana DBP tidak mengkritik pengendali buletin berkenaan atau pihak berkuasa di balik penerbitannya dalam keadaan DBP tidak pun maklum akan adanya buletin itu.

Pendirian DBP yang dilihat sebagai kritik kepada mantan Perdana Menteri yang melaksanakan PPSMI pasa zaman pemerintahannya, yang didapati oleh kerajaan yang memerintah negara sekarang sebagai merugikan negara, terutama bangsa Melayu, adalah semata-mata atas asas tidak selarasnya PPSMI dengan semua undang-undang negara dan dasar negara yang berkaitan dengan Dasar Bahasa Kebangsaan. DBP tidak nampak sama sekali bahawa pernyataan pendirian yang tidak selari dengan YBhg Tun Mahathir sebagai mantan Perdana Menteri itu ada kaitannya dengan usaha menentang kerajaan kerana DBP jelas menyokong kerajaan yang memang telah memansuhkan PPSMI atas kewajaran yang sudah jelas dan menggantikannya dengan program lain yang lebih praktis dan wajar. Jika pengendali blog berkenaan dapat mengemukakan hujah yang meyakinkan tentang perlunya PPSMI dilaksanakan, ia patut berani mengemukakannya kepada kerajaan, bukan dengan berlindung di balik peribadi tokoh tertentu atas asas sentimen atau emosi, yang didapati tidak selaras dengan dasar negara (dasar kerajaan). Dalam konteks ini siapakh yang menentang kerajaan? Jelas bahawa penulis blog itu yang begitu taksub akan tokoh tertentu sampai lupa bahawa ia bersama-sama dengan tokoh itulah yang menentang kerajaan yang ada kini. Keluarlah dari kepompong pemikiran dan sikap jumud yang hanya bergantung pada emosi individu, bukan pemikiran bangsa keseluruhannya.

23 November 2013, pukul 9 malam

No comments:

Post a Comment