Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Sunday, November 3, 2013

Puisi "Di Balik Wajah"

Di Balik Wajah

Di balik wajah
yang redup
masih tampak sinar
untuk masa hadapan
Masih terlakar
kesediaan untuk meneruskan perjalanan
daripada carikan sejarah silam
yang pasti memedihkan dan menghibakan

Mereka seperti kita
seperti aku
seperti engkau
seperti dia
dan yang lain
pernah silap dalam percaturan
Pernah silap dalam penentuan
pernah silap dalam pemilihan
antara yang disuruh
dengan yang dilarang
Bedanya kita bebas di luar
dan mereka di dalam
Mereka menikmati asuhan semula
dalam peningkatan diri
sedang kita yang bebas di luar
barangkali terpenjara
oleh kesilapan yang diulang-ulang

Pada saat kusantuni mereka
dengan puisi "Bujukan Hati"
kutempatkan diriku dalam diri mereka
Kuselami nurani dan batin yang berbicara
Banyak ruang untuk kita belajar daripada mereka
tentang erti kesilapan
dan kesediaan membetulkan kesilapan

Di balik wajah mereka yang redup
Terlakar kesediaan meneruskan hidup

Kembara Bahasa
Penjara Dusun Dato' Murad Melaka
1 November 2013

No comments:

Post a Comment