Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Tuesday, November 26, 2013

Puisi "Pusingan U"

Puisi kesan dan tanggapan ekoran pengisytiharan seorang "pejuang lama" yang menyesali sokongan kepada pemansuhan PPSMI dan seterusnya mendesak dihapuskan sekolah kebangsaan untuk digantikan dengan sekolah Inggeris, konon untuk kepentingan anak cucu bangsa Melayu (dalam sesi soal jawab forum sebelum Mesyuarat Agung PENA pada 16 November 2012):

Pusingan U

Pusingan U di jalan raya
untuk pemandu mendapat arah yang tepat
juga untuk pemandu yang tersasar
dan perlu mencari jalan asal
Dalam perjuangan
pusingan U untuk orang yang silap perhitungan
mencari jalan perjuangan yang betul
Namun pusingan U
dari arah yang benar
mencari jalan yang tersasar
tanda akal telah tertipu
oleh niat yang palsu
tanda tiada istiqamah
dalam menentukan arah
tanda jiwa yang gegabah
sebagai sokong membawa rebah

Kami tidak sekali-kali akan menahan
ketetapan sikap yang kaujadikan pilihan
Tidak jua akan kami hulurkan bujukan
kerana dikau telah terlebih dewasa dalam kehidupan
dan telah melalui jalan beronak
ketika berdekad di jalur perjuangan
Kini dikau pasti memiliki hujah sendiri
dan telah bertanya kepada nurani
tentang asbab dikau beralih paksi
Namun usah sekali-kali kauhina kami
dengan memaksakan alasan peribadi
konon untuk menghindari hipokrasi
kerana kami yang masih istiqamah di jalan ini
tidak pernah memilih untuk mungkir janji
kepada diri
kepada bangsa kami
kepada bahasa kami
kepada tamadun kami

Silakan melakukan pusingan U
barangkali dikau akan bertemu
dengan kehidupan baharu
yang memenuhi makna kehidupan menurut tafsiranmu
dan beroleh kemerdekaan daripada belenggu
pilihan salah puluhan tahun yang kausesali
Biarkan kami terus di jalan ini
atas keyakinan yang sah
mengungguli bahasa, bangsa dan tamadun kami
tanpa kami perlu bersedih atau kecewa
akan kehilanganmu
Selamat melakukan pusingan U

Kembara Bahasa
16 November 2013

Sent from my iPad

No comments:

Post a Comment