Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Saturday, November 2, 2013

Puisi "Bujukan Hati"

Puisi yang hamba deklamasikan dalam Majlis Malam Genta Puisi di Jabatan Penjara Dusun Dato' Murad, Melaka pada 1 November 2013:

"Bujukan hati"

Wahai hati usahlah berduka
Kehidupan memang penuh rona
Timbangkan yang baik insya-Allah bahagia
Ada pun yang buruk dijadikan sempadannya

Wahai hati usahlah kecewa
apabila kawan tidak setia
Amal yang baik itulah teman sebenarnya
Di alam akhirat pendamping selamanya

Wahai hati usahlah bimbang
akan nasib mujur mendatang
Di Lohmahfuz telah tertayang
Hanya ikhtiarkan agar gemilang

Wahai hati usahlah gentar
menghadapi ujian yang mungkin menggegar
Kitabullah dan sunnah jadikan akar
Jalannya terang kesesatan terhindar

Wahai hati usahlah iri
akan kelebihan rakan sendiri
Kenal akan kemampuan diri
Hak dirimu Allah memberi

Wahai hati usahlah hasad
Sepanjang hidupmu tiada berkat
Bersihkan niat darjat meningkat
Rezekimu luas tiada tersekat

Wahai hati usahlah takbur
Kawal dirimu jangan terlanjur
Kata dan tingkah perlu diukur
Jangan sampai amalmu lebur

Wahai hati usahlah bersangka
segala yang buruk pada saudara
Kajilah cacat cela yang ada
pada dirimu manakan sempurna

Wahai hati usahlah alpa
kecintaan berlebihan kepada dunia
Yang dikejar itu hanya sementara
Duniawi dan ukhrawi seimbangkan sentiasa

Wahai hati usahlah derhaka
kepada Yang Menciptakan kamu di dunia
Pasrah dan redha akan ketentuan-Nya
Tidak disekutukan dengan segala yang ada

~Kembara Bahasa~
13 Julai 2011

(Terbit dalam buku kumpulan puisi hamba "Mencari Makna Diri", DBP, 2012) — bersama Kamaruzaman Bin Mohd Yunus dan 7 yang lain.

No comments:

Post a Comment