Maaf Hamba Bertanya
Maaf hamba bertanya:
Masihkah tuan hamba percaya?
tamadun kita lebih dua alaf usianya
sudah terbina sistem pemerintahannya
Wilayah takluknya hingga ke Senggora dan Langkasuka
Berita kebesarannya dan hubungan akrabnya sampai di Sri Lanka
Bahasanya menjadi wahana pentadbiran
juga bahasa dagang antara mancabangsa
dan bahasa para pendeta mengaji agama
Maaf hamba bertanya:
Masihkah tuan hamba percaya?
tamadun kita sudah cemerlang, gemilang dan terbilang
pada zaman kesultanannya
di serata pelosok alam Melayu wujud kerajaan dengan daulatnya
hidup bersendikan adat, adat bersendikan syarak
- Samudera Pasai, Melaka, Aceh, Patani, Kalimantan, Riau-Johor-Lingga
Dagang dan santeri memakmurkan iktisad dan ilmu bangsa
Ulama', pujangga dan pencerita menghasilkan karya
- perihal agama wahyu, ilmu duniawi, undang-undang peraturan, ketatanegaraan, kisah dan ceritera
dalam prosa dan puisi bermutu
Bahasa Melayu masyhur hingga ke Turki dan Parsi
dipelajari dan dikuasai menjadi syarat mendatangi negeri
diperikan menyamai bahasa Latin dan Perancis di benua atas angin
Maaf hamba bertanya:
Masihkah tuan hamba percaya?
tamadun yang kita warisi daripada keutuhan sejarah
kita jadikan asas kenegaraan kala menuntut pembebasan
agama tonggak kehidupan
bahasa wahana pemikiran
budaya teras peradaban
hak peribumi dikembalikan
hak saudara senegara diperkongsikan
raja nan adil dipertuankan
Maaf hamba bertanya:
Masihkah semua itu tuan hamba pertahankan
dalam mengemudikan watan?
~ Kembara Bahasa ~
30 November 2010, 10.00 malam
Beijing Shi
Salam, Prof;
ReplyDeleteSeronok menghayati puisi itu, tetapi apakala sampai ke baris:
Masihkah semua itu tuan hamba pertahankan
dalam mengemudikan watan?
ada kecewa yang bertandang di jiwa kerana "tuan hamba" itu jarang-jarang mahu mendengar walaupun tidak pekak!
Sdr. Zul,
ReplyDeleteMudah-mudahan suara perjuangan kita akan didengar.