Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Saturday, December 21, 2013

Puisi "Jabal Rahmah"

Jabal Rahmah di Arafah
memahat kisah sejarah
pertemuan Adam dan Hawa
setelah sekian lama terpisah
terkeluar dari syurga Allah
atas kealpaan menurut perintah
Maka bertaubat Adam
dengan doa yang diterima Allah
dan dirakam dalam Kitabullah:
"Wahai Tuhanku, sesungguhnya daku telah menzalimi diriku,
maka ampunilah daku dan rahmatilah daku
agar tidak termasuk daku dalam kalangan yang rugi."
Astaghfirullah memang sungguh kami ini sering alpa dan lalai, ya Allah!

21 Disember 2013
Hotel Al-Sawah Royale Orchid
Makkah

Puisi "Bukit Pengukir Sejarah"

Bukit Pengukir Sejarah

Dua buah bukit mengukir sejarah.
Jabal Thur menjadi saksi Nabi s.a.w utusan Allah
dimusuhi oleh pengingkar risalah Allah.
Jabal Nur menjadi saksi
penerimaan wahyu pertama oleh Nabi s.a.w
daripada Allah melalui malaikat Jibril a.s.
Peristiwa Jabal Thur menjadi ingatan
kepada pejuang kebenaran
peri pentingnya bersedia untuk menghadapi ujian.
Peristiwa Jabal Nur menjadi ingatan kepada semua
bahawa tiada sama sekali sesuatu yang terpisah daripada Allah atau agama.
Pertimbangan aqli tidak bebas daripada ketentuan naqli.

21 Disember 2013

Thursday, December 19, 2013

Puisi "Saat Daku Mendampingi-Mu"

Puisi "Saat Daku Mendampingi-Mu"

Apatah lagi yang mampu kuungkapkan
selain kesyukuran sebesar-besarnya
meskipun hampir-hampir tidak terlafazkan
dik tersekat di kerongkongan
oleh rasa takjub yang luar biasa amat
apabila merasakan begitu dekat dengan-Mu
setelah satu dekad daku tidak mendekat
tidak seperti pada saat lain ketika daku menghadap-Mu
Betapatah tidak
di hadapan mata tertampil terang
segala lambang maujud yang tidak berbanding
lambang keesaan, kekuasaan dan keperkasaan
Dikau pencipta, pengatur dan pengawal sekaliannya:
Ka'bah rumah-Mu
arah kiblat tumpuan semua mereka yang solat
dari segala penjuru dunia
tempat tawaf jutaan umat
menyerahkan diri melupakan darjat
di situ Hajar Aswad dikucup dan jemaah beristilam
Multazam dan Hijir Ismail tempat munajat dirafakkan
Maqam Ibrahim tanda peringatan pendiri Ka'bah yang asal
Safa dan Marwah serta perigi zamzam
menyingkap pengorbanan tanpa tara
sebuah keluarga pilihan Allah
untuk ibrah umat kemudian sepanjang masa
Seandainya daku mempunyai pilihan
inilah tempat menjadi dambaan
untuk sepenuh-penuh penyerahan
dan pelepasan daripada kealpaan
meladen keperluan kehidupan
yang ada kalanya mengurangkan perhatian
kepada-Mu yang selayaknya diutamakan
Berilah kami kesempatan lagi
berkali-kali
ke tempat ini
untuk pembersihan hati
untuk pemurnian diri
meningkatkan pengisbatan
tentang kehambaan daku kepada-Mu
Allah Allah Allah
Allahu Akbar
Tiada yang sebenar-benarnya besar dan agung
melainkan Dikau

Sesudah Subuh,
Makkatul Mukarramah
19 Disember 2013

Wednesday, December 11, 2013

Puisi "Menunggu Saat"

Menunggu Saat

Dalam khayal yang asyik
serasa kudakap Ka'bah Baitullah
dan maqam Ibrahim Habibullah
mendongak ke Multazam memohon seribu rahmah
di Hijr Ismail kutumpahkan seribu hajat
Allah, Allah, Allah
segera dekatkan daku pada-Mu
tanpa hijab

Zuhur 9 Disember 2013

Puisi "Doa dari Kejauhan"

Puisi untuk seorang kenalan yang sedang agak kritikal diuji kesihatannya

Bagaimanakah dapat kusampaikan
rasa prihatin dan simpati
atas ujian yang kaulalui
kerana kita di "benua" yang berbeda
Hanya doa dan munajat
semoga dikau kuat
redha dan tawakal
terus meniti kehidupan

10 Disember 2013

Puisi "Munajat untuk Sahabat"

Puisi "Munajat untuk Sahabat"

Sahabat
dengan penuh kesayuan
kuiring keberangkatan dikau
dengan munajat tulus
meskipun jasad kita jauh terpisah
Semoga dikau tabah melalui mehnah
Terimalah itu sebagai kafarah
meskipun daku tidak melihat dikau bersalah
Entah mengapa
meskipun kita tidak pernah bersua wajah
kecuali di alam maya sesekali bermadah
atas kesetiaanmu menurut daku menjelajah
dalam rimba raya kata-kata serta seribu hujah
dikau memberiku kepercayaan akan erti
adanya ruang berfikiran bebas
dalam ketiadaan kebebasan yang dikau dambakan dan rindui
Antara kita tiada sempadan dan jurang bicara
perihal kehidupan duniawi dan ukhrawi,
perihal kemanusiaan, kejujuran dan ketulusan
kendatipun dikau di alam yang berbeda daripada alamku
Sahabat
dalam meniti ujian itu
usah dikau alpa barang sesaat
untuk terus membasahkan lidahmu dengan zikrullah
Usah dikau lupa barang sekejap
untuk terus bergantung tawakal kepada-Nya
yang senantiasa memandangmu dengan penuh rahmah
Doa dan munajatku tiada akan lekang menemanimu
semoga dikau dikasihi-Nya
wahai sahabat!

Ba'dal Maghrib, 10 Disember 2013

Puisi "Di Sempadan Itu"

Di Sempadan Itu

Di sempadan itu
kita dipisahkan
oleh batas ciptaan manusia
bukan kerana kita berbeda
warna darah dan kabilah bangsa
tetapi kerana kemahuan yang berlainan cita
oleh bawaan rasa

Di sempadan itu
ribuan hati luka lara
ribuan harapan putus hampa
ribuan jiwa kering tak bermaya

Aku hanya mampu
melambai tanda tetap kasih terpahat
mengingat tanda tetap cinta tersemat
mendoakan tanda tetap persaudaraan terikat
biarpun terpisah jasad
paduan nurani semoga tetap erat

Kembara Bahasa Melayu Mahawangsa
Menjelang tengah malam 9 Disember 2013

Warkah kepada Kanda Seperjuangan

Warkah ringkas kepada kakanda seperjuangan:

Salam wahai kanda rakan seperjuangan!

Sesungguhnya perjuangan hakiki memang pasti melalui saat getir dari waktu ke waktu. Maka pada saat merasakan perjuangan seakan-akan gagal atau begitu lambat untuk mencapai matlamat atau hasilnya, tabahkan hati, kuatkan azam, usah putus asa dan bosan sehingga mengambil langkah beralih arah, merajuk atau mencari kambing hitam untuk dijadikan korban perasaan.

Istiqamahlah. Bersabarlah. Berikhtiarlah terus. Bermunajatlah terus. Seperti yang pernah dinda ungkapkan beberapa kali dahulu, sesungguhnya kemanisan perjuangan bukan semestinya pada hasil perjuangan, kerana hak menentukan kejayaan itu pada Allah, dan kemanisan perjuangan terletak pada kesediaan kita memulakan dan meneruskan perjuangan tanpa bosan dan putus harap. Yang dihitung oleh Allah ialah ikhtiar kita, bukan kejayaan sebagai kepastian. Salam perjuangan, kanda.

Yang benar,

Dinda yang belajar tentang perjuangan daripada kanda
11 Disember 2013

Thursday, December 5, 2013

Tazkirah kepada diri: Jika manusia tidak mengenang budi kita, Allah maha mengenang

Tazkirah kepada diri:

Sungguh rapat belimbing berbuah,
Dipetik budak waktu pagi;
Sudah dapat gading bertuah,
Tanduk tidak berguna lagi.

Pantun itu baik untuk mengingatkan pentingnya kita mengenang budi seseorang. Namun usahlah berdukacita jika budi tidak dikenang orang kerana Allah menghitung setiap amal kita dan Dialah yang maha mengenang budi hamba-Nya.

6 Disember 2013

Tazkirah kepada diri: Berbaik sangka

Tazkirah kepada diri:

Jika yang berlaku dalam organ diri sendiri seperti jantung, paru-paru dan perut pun tidak kita ketahui, usah beranggapan bahawa kita tahu akan segala yang berkaitan dengan orang lain dan apa-apa yang dilakukan dan tidak dilakukannya. Berbaik sangka sifat yang mulia.

6 Disember 2013

Puisi "Tawakal"

Tawakal

Siapatah daku
untuk mengatakan tidak
atas segala suratan mujur-Mu
Dikau penentu yang penuh hak
berbuat segalanya atas kehendak
yang pada makhluk tidak tampak
rahsia di balik yang baik dan tidak
kecuali yang sampai pada makrifat
tiada sekali-kali menyalahi iradat

Kembara Bahasa
1 Disember 2013