Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Friday, November 19, 2010

Islam di China: Misi ke Provinsi Henan (Bhg 1)






[Keterangan gambar: (1) Di hadapan pintu utama Masjid Hua Yuan Jie/Syari` al-Riyadh; (2) Wawancara dengan Imam Ibrahim Nuruddin dan Imam Abdul Hakim; (3) Koleksi buku agama Islam di kedai buku masjid; (4) Solat Jumaat di Masjid Hua Yuan Jie

Misi ke Provinsi Henan (Bahagian 1)

Henan ialah provinsi di bahagian tengah China yang berpenduduk hampir 100 juta orang dan penduduk Islam, menurut catatan dalam Wikipedia, merupakan satu peratus daripadanya. Angka satu peratus memang kecil, tetapi jika dinisbahkan dengan angka sebenar, maka terdapat kira-kira satu juta umat Islam di provinsi itu.

Pada 11 November 2010, 10.38 malam, bertolaklah hamba dengan anakanda Fayyadh dan Syafiq (kedua-duanya pelajar Malaysia yang mengikuti kursus ijazah pengajian Mandarin sebagai bahasa kedua di Beijing Foreign Studies University) dari Stesen Kereta Api Barat Kota Beijing ke kota Zhengzhou, ibu kota provinsi Henan.

Pada awal pagi 12 November, sekitar pukul 7 pagi, tibalah kami di kota Zhengzhou lalu berjalan kaki menuju ke Masjid Hua Yuang Jie atau dalam bahasa Arabnya ditulis Masjid Syariq al-Riyadh bi Madinah Zhengzhou (Masjid Jalan Taman Kota Zhengzhou), yang jauhnya kira-kira 700 meter dari stesen kereta api. Anakanda Fayyadh telah lebih dahulu hamba minta berhubung dengan pihak masjid yang bakal menjadi pangkalan misi kami mengkaji masyarakat Islam di Henan. Syukur kerana dua minggu sebelumnya 119 orang pelajar Malaysia di BFSU telah dibawa ke Henan untuk lawatan sambil belajar dan sebilangan pelajar telah sempat singgah di masjid berkenaan dan dapat mencatat nombor telefon masjid.

Di hadapan pintu masjid, telah sedia menunggu Yusuf, salah seorang pegawai masjid (kemudian hamba ketahui ia salah seorang muazzin atau bilal). Sesudah meletakkan beg kami di pejabat masjid yang lengkap dengan komputer, kami dibawa oleh Yusuf ke sebuah kedai makan untuk sarapan. Tampaknya restoran itu popular kerana pelanggan berbaris untuk mengambil giliran membuat pesanan. Sarapan yang istimewa rupanya sup kambing (yang persiapannya mengambil waktu lima jam, kata Yusuf) dengan roti (seakan-akan roti nan). Restoran itu terletak di kawasan perniagaan orang Islam kerana dapat hamba saksikan banyaknya restoran dan kedai lain milik orang Islam di sekitarnya.

Setibanya kami di pejabat masjid semula, Yusuf tidak berlengah-lengah lagi mempertemukan kami dengan Imam Besar, Haji Ibrahim Nuruddin (50 tahun), anak watan kota Zhengzhou yang mendapat pendidikan ijazah pengajian Islam di Kuwait, dan sebelumnya di Institut Pengajian Islam Yunnan ketika berusia 18 tahun. Beliau telah 20 tahun menjadi imam di masjid itu. Salah seorang anaknya pernah belajar selama dua tahun dalam bidang penyiaran di Universiti Multimedia, Cyberjaya.

Masjid enam tingkat yang lengkap dengan hotel, kediaman imam, asrama pekerja dan musafir, tadika, perpustakaan, kelas, kedai buku, dewan solat lelaki dan dewan solat perempuan serta kemudahan lain itu merupakan kompleks masjid yang baru siap pada tahun 2006, dan terletak kira-kira 200 meter dari tapak asal masjid lama berusia 200-300 tahun. Tapak masjid asal diambil oleh pemerintah untuk pembangunan. Hotel milik masjid menjadi salah satu sumber dana utama untuk pengurusan masjid dan kebajikan masyarakat Islam setempat.

Apabila ditanya tentang kegiatan pengajian ilmu Islam di masjid itu, beliau menjelaskan bahawa pada setiap hari Sabtu diadakan pengajian agama yang dibimbing oleh imam-imam dengan kebanyakan khalayaknya ialah pelajar universiti di sekitar kota itu. Sesudah solat Jumaat pula diadakan kelas pengajian al'Qur'an dan hadith. Dalam cuti musim sejuk dan cuti musim panas, yang berlangsung kira-kira dua bulan bagi setiap musim, masjid menganjurkan kursus intensif pengajian agama untuk kanak-kanak dan remaja kerana tidak ada sekolah agama yang khas didirikan untuk pengajian sehari-hari. Tampaknya demikian juga yang diamalkan di provinsi-provinsi lain yang telah hamba kaji.

Institut Pengajian Islam Zhengzhou yang menawarkan kursus empat tahun terdapat di luar kota Zhengzhou dan lawatan ke institut itu kami lakukan keesokan harinya. Laporan lawatan itu akan hamba siarkan dalam bahagian selanjutnya.

Ketika wawancara sedang berlangsung, masuk seorang imam lain, iaitu Imam Abdul Hakim yang sejak berusia 8 tahun memang telah terdidik dalam pengajian agama kerana ayahnya merupakan imam di provinsi Ningxia sebelum pindah ke kota Xi'an. Beliau mendalami ilmu di Institut Pengajian Islam Monggolia selama tiga tahun dan telah menjadi imam di kota Xi'an selama 8 tahun sebelum menjadi imam di Masjid Hua Yuan Jie di Zhengzhou sejak 5 Oktober 2010.

Yang menarik, Imam Abdul Hakim pernah mewakili Republik Rakyat China dalam Tilawah Al-Qur'an Peringkat Antarabangsa di Kuala Lumpur pada tahun 2004. Bacaannya memang baik dan sempat kami hayati apabila beliau memperdengarkan bacaan ayat suci al-Qur'an sebelum solat Jumaat pada hari pertama ketibaan kami itu.

Kami teruskan wawancara dengan menanyakan beberapa aspek lain tentang masyarakat Islam di Henan. Menurut Imam Ibrahim Nuruddin, terdapat 16 buah masjid di kota Zhengzhou dan lebih seribu buah masjid di seluruh provinsi Henan. Penduduk Islam di kota Zhengzhou berjumlah 20 ribu orang dan di seluruh Henan berjumlah 300 ribu orang (jauh berkurangan daripada angka yang tercatat dalam Wikipedia, iaitu kira-kira satu juta orang).

Kebanyakan orang Islam di Henan berbangsa Hui Ze (etnik Hui), yang merupakan majoriti orang Islam di seluruh negara China. Terdapat sejumlah kecil orang Monggol, Uyghur dan etnik lain. Kebanyakan orang Islam di Henan tertumpu di bahagian timur dan selatan provinsi itu.

Tentang kedatangan Islam ke Henan, kami diberitahu bahawa Henan menerima risalah Islam pada zaman yang awal, sesudah Xi'an. Kajian hamba di Xi'an sebelum ini mendapati bahawa Xi'an telah menerima Islam pada abad ke-7 Masihi, tidak lama sesudah Islam sampai di Guangzhou. Islam sampai ke Guangzhou di bahagian selatan melalui Jalan Sutera Laut manakala ke Xi'an pula Islam sampai melalui Jalan Sutera Darat. Provinsi Shaanxi tempat terletaknya kota Xi'an memang bersempadan dengan Henan; maka munasabahlah bahawa Islam telah sampai di Henan sesudah sampai di Xi'an, iaitu pada zaman Dinasti Tang.

Berkaitan dengan pekerjaan masyarakat Islam pula, kebanyakannya menjalankan perniagaan dan kecil bilangan yang menjadi penjawat awam. Bagaimanapun Pegawai Daerah Zhengzhou ialah orang Islam.

Sesudah tamat wawancara, kami dibawa ke asrama pegawai masjid di tingkat lima. Niat asal kami untuk menginap di hotel milik masjid kami batalkan kerana diberi tawaran untuk tinggal di asrama pegawai masjid, sebuah bilik besar yang memuatkan 7 buah katil bujang, lengkap dengan tilam, bantal, cadar dan selimut tebal. Di balik kemudahan yang sederhana itu, kami bersyukur kerana dengan tinggal di situ, peluang kami untuk berinteraksi dengan pegawai dan jamaah masjid terbuka lebih luas.

Sesudah meninjau tadika masjid dan kedai buku, kami dipelawa makan tengah hari bersama-sama dengan pegawai masjid dan jamaah yang telah tiba untuk solat Jumaat. Di meja makan itulah kami berkenalan dengan Imam Ibrahim (imam ketiga) yang berusia 39 tahun, yang kemudian menjadi rakan akrab kami dan keesokannya mengiringi kami ke beberapa lokasi kajian.

Dewan solat yang terletak di tingkat empat dapat memuatkan kira-kira 200 orang jemaah lelaki dan 100 orang jemaah wanita. Dewan solat wanita terletak di bahagian belakang dan dipisahkan dengan tirai. Sesudah azan pertama (seperti di masjid lain di seluruh China azan dilaungkan di luar masjid atau dewan solat) dan solat sunat qabliah Jumaat, Imam Abdul Hakim membaca ayat-ayat suci al-Qur'an dengan bacaan yang fasih dan lagu yang menusuk kalbu.

Imam Ibrahim Nuruddin menjadi khatib dan imam bertugas pada hari itu. Berbeda dengan masjid-masjid lain yang telah hamba kunjungi sebelum ini yang khutbahnya dalam bahasa Arab, berdasarkan teks yang telah dicetak dalam bentuk buku, di Masjid Hua Yuan Jie atau Masjid Syari` al-Riyadh khutbah adalah bahasa Mandarin dan tampaknya Imam Ibrahim Nuruddin tidak berdasarkan teks tertulis. Kandungan khutbahnya menurut perkiraan hamba adalah tentang pengorbanan Nabi Ibrahim, sesuai dengan Idul Adha yang akan disambut dalam minggu berikutnya. Khutbah kedua disampaikan dalam bahasa Arab dan bahasa Mandarin.

Usai solat Jumaat, sempat kami menyaksikan kelas pengajian al-Qu'ran untuk muslimat yang dipimpin oleh Imam Abdul Hakim di salah sebuah kelas. Kami berehat sebentar untuk seterusnya ke beberapa buah masjid lain di kota Zhengzhou pada petang itu.

4 comments:

  1. Di Malaysia, masjid didirikan di atas tanah yang digazet waqaf atas nama Majlis Agama Islam (Negeri). Bagaimana status tanah tapak masjid di Henan?

    ReplyDelete
  2. Prof..
    Teruja rasa membaca kisah di sana..
    Teringin hati untuk mengetahui dan melihat sendiri sejarahnya..
    InsyaAllah akan sampai saya disana..
    Wawancara Prof ini berlangsung dalam bahasa Mandarin ya ?

    ReplyDelete
  3. Sdr. Hasanuddin,

    Banyak juga masjid asal yang tidak 'diganggu' oleh pemerintah tetapi ada juga yang tapak asalnya diambil untuk pembangunan kerana terletak di kawasan segi tiga emas. Di Henan sebahagian masjid asal diruntuhkan dan diberi tapak baru, juga dgn sebahagian biaya mendirikannya semula drp dukungan korporat Islam sendiri. Yang dikekalkan sebahagiannya lebih untuk tujuan pelancongan walaupun masih dijadikan tempat beribadah.

    Sofie,

    Memang sesudah menyaksikan sendiri budaya dan semangat melestarikan agama wahyu Allah dalam kalangan sebahagian masyarakat Islam di China, keinsafan kita meningkat kerana kita yang hidup dalam negara "Islam" seakan-akan santai menghadapi gelombang cabaran globalisasi dll, malah bersikap permisif dalam sesetengah hal. Dalam bahagian selanjutnya nanti saya laporkan usaha gigih aktivis Islam di Henan dalam menyemarakkan pendidikan Islam yang memang tidak disediakan oleh pemerintah (dapat difahami dengan dasar negaranya), dengan titik peluh dan kekentalan semangat, sehingga di perkampungan yang hampir 200 km dari ibu kota Zhengzhou, terdiri sebuah insitut pengajian Islam peringkat kolejyang kemudian melahirkan imam, guru, korporat dan bakal sarjana (dihantar ke Mesir, Pakistan, Madinah, Malaysia dll). Saya sebak menyaksikan kekentalan semangat mereka untuk melestarikan pendidikan Islam dalam kalangan generasi muda.

    ReplyDelete
  4. Sofie,

    Maaf, lupa menjawab soalan. Ya, wawancara sebahagian besar dalam bahasa Mandarin dan saya memanfaatkan pelajar Msia yang mengikuti kursus pengajian Mandarin 5 tahun di Beijing sebagai jurubahasa. Ada beberapa orang informan yang dapat berbahasa Inggeris, maka dapat juga saya berkomunikasi langsung dengan mereka.

    Dialu-alukan kehadiran di bumi yang sejak abad 7M. telah didatangi risalah Islam.

    ReplyDelete